Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Hantu di Sekolah (bah 1/2)

Cerpen sebelumnya:
Imtihan
Cerpen selanjutnya:
Lelaki Tuxedo

1.
Samsul sedang mengetuk-ngetuk bateri pada tiang katil ketika dia terdengar junior tingkatan 1 ini terlolong. Mula-mula sayup, kemudian suara itu tiba di dormnya.

"Hantuu, hantuu! Hantu serang sekolah kitaa!!" jerit junior berkenaan tanpa peduli orang yang meliur tidur di petang Sabtu begini.

"Bedebah, berani dia buat bising di teritori tingkatan 5!" gertu Samsul geram.

Klekuk!

"Aduh! Apa ni bang? Sakitlah!" junior tu berhenti. Dia meraba-raba kepala. Atas lantai bateri AA jenama Eveready milik walkman Aiwa Samsul terpontang-panting berpusing. Bateri dah habis power, itu yang Samsul asyik ketuk-ketuk tadi. Konon boleh cas semula, cukuplah untuk dengar siaran radio. Untuk kaset tak bolehlah.

"Ni apa cerita Amal? Hantu mana yang serang sekolah kita siang-siang ni?" tanya Samsul hairan.

"Ada hantu bang! Dekat dorm kita orang. Ada satu katil ni dah ada penunggu. Siapa tidur je situ semua kena rasuk!" cerita Amal sungguh-sungguh.

Terlalu dramatik buat telinga Samsul. "Kau biar betul. Mana pulak datang penunggu tu. Selama ni dorm tu elok aje," getusnya tak puas hati.

"Buat apa saya nak tipu bang. Karang saya buat macam tu abang jugak yang akan tarik lesen merokok dengan fly saya. Tak ke aniaya saya."

"Betul jugak." Samsul garu-garu kepala.

Menurut Amal, penunggu tu datang bila budak-budak ini balik dari melilau kat hutan belakang sekolah. Ada yang pergi bawa balik benda-benda yang dia orang jumpa. Tikar buruklah, periuk lamalah.

Bertuah! Patutlah ada benda ikut. Dulu waktu Samsul masih muda, junior dan rambut belum belah tengah macam sekarang dia pun rajin juga selongkar hutan tu. Tapi pandai-pandailah jaga pantang.

"Hari ni aje, dah tiga orang kena rasuk bang. Mula kita orang ingat kenapa. Rupanya sebab tidur kat katil tu. Penunggu tu dah tinggal situ. Hiii.. takutt!"

"Tak ada ustaz datang tolong ke?"

"Ada bang. Ustaz Basir. Tadi masa Imran kena rasuk. Jin yang rasuk tu ada bercakap dengan Ustaz Basir. Dia nak kita semua tinggalkan tapak sekolah ni. Kalau tak dia dan kaum dia akan serang kita semua! Hii... takutt!"

"Peergh, celaka punya jin."

"Ahh, tadi pun saya kata macam tu jugak masa dengar tu jin cakap. Tapi lepas tu dia marah. Dia kata sebenarnya kita yang datang tempat dia. Suara dia parau bang.. hiii.. takutt!"

"Kau buat 'hii.. takut',' hii.. takut' tu sekali lagi, aku lempang kau Mal."

Amal terus diam!

 

2.
Malam itu sambil layan radio Samsul asyik berfikir tentang apa yang jadi. Cerita jin merasuk itu sudah jadi buah mulut. Semua orang nak bercakap tentangnya. Makcik dewan makan sambil-sambil senduk lauk makan malam tadi pun sibuk bertanya. Begitu juga yang tidur atau fly petang tadi. Semua dah diupdate.

"Gila, kalau pihak berkuasa tempatan datang bawak jentolak ke boleh lagi buat perisai manusia nak halang. Ini jin! Celah bedah mana nak halang!" Tergeleng-geleng kepala Samsul berfikir.

"Abang Samsul." Amal muncul di sebelah katil. Mukanya serius.
"Ya?"
"Ustaz Saadon nak jumpa." 

3.
Dalam banyak-banyak ustaz kat sekolah ni, Ustaz Saadonlah yang Samsul paling malas hendak berurusan. Bukan sebab dia selalu buat salah atau Ustaz Saadon gemar bertegas atau tunjuk bagus tidak bertempat. Tapi Ustaz Saadon ustaz yang istimewa.

Beliau seorang saja di kalangan tenaga pengajar di sini yang hafiz. Beliau datang dari Indonesia, anak kepada seorang kiyai pesantren yang terkenal. Ilmu dia tidak usah dugalah.

Pernah seorang abang kepada budak tingkatan 1 datang buat huru-hara di sekolah. Dia cari senior tingkatan 5 yang ragging adiknya. Habis dua orang kena belasah tidak melawan. Pesilat kebangsaan rupanya lelaki itu.

Cikgu Romli yang datang hendak melerai pun turut terpelanting makan pasir. Dalam keadaan gawat begitu, tiba-tiba Ustaz Saadon muncul. Lantas lelaki yang mengamuk itu hendak serang dia pula, Ustaz Saadon mengelak sebelum mencengkam lengan lelaki tersebut.

"Sudahlah.." bisiknya dengan renungan yang redup. Lelaki tadi terus longlai.

Kalau hendak diikutkan banyak lagi karamah-karamah yang boleh diceritakan. Tapi yang Samsul paling menyampah adalah kebolehan Ustaz Saadon yang satu ini. Kebolehan mengetahui sesuatu dengan melihat mata orang.

"Kamu.. baru buat benda itu petang semalam ya?" Matanya mencerun tajam memerhati muka Samsul sewaktu Samsul menyemak bacaan Quran dengannya.
"Err, buat apa ustaz?" Jelas cuak pada nada Samsul
"Oh, patutlah saya lihat kamu ke tandas belakang dewan." Ustaz Saadon menambah.
"Ehh, apa ini ustaz, saya tak fahamlah!" Muka Samsul memerah. Mujurlah rakan-rakan lain jauh di belakang.
Ustaz Saadon geleng. "Manalah nak lekas hafal kalau begini."

Sejak peristiwa merenung mata itu Samsul tak mahu pandang muka Ustaz Saadon lagi!

Tok! Tok!

"Assalamualaikum!" Sapa Samsul sebaik tiba di bilik yang paling hujung. Bau atar menerobos walau pintu masih tertutup. Kawasan bilik di situ suram tanpa lampu di perkarangan.

Samsul dipersilakan masuk dan beliau hanya berdua dengan Ustaz Saadon.

"Ustaz panggil saya sebab nak tenung mata saya ke? Saya dah lama dah berhenti." Seloroh Samsul buat hilang gemuruh.

Ustaz Saadon tergelak kecil. "Tidaklah, bukan kerana itu." Dia main-main dengan bulu panjang yang keluar dari tahi lalat di pipi.

"Habis tu, sebab apa ya? Takkan ustaz panggil ni nak ajak saya halau hantu yang budak-budak dok kecoh tu? Saya bukan ghostbuster!" Samsul masih dalam mod seloroh.

Ustaz Saadon gelak lagi. Besar sikit dari tadi.

"Begini, saya dapat aduan kamu ada mencuri.." Kata-kata Ustaz Saadon memeranjatkan Samsul. Berkerut kejap dahinya sebelum tersengih tahan lucu.

"Saya ni tak adalah miskin sangat ustaz nak buat macam tu. Sampai hati siapa yang buat aduan palsu tu."

Baru Samsul teringat, selain kes rasuk ini, akhir-akhir ini terdapat beberapa kecurian yang turut menggemparkan sekolah.

"Entah-entah jin yang rasuk budak-budak tu yang mencuri tak, ustaz? Eh, tapi kes rasuk ni baru jadi hari ni." Tanya Samsul sebelum menjawab sendiri.

Ustaz Saadon hanya senyum memerhati. Ada raut yang tidak termengerti pada wajah beliau.

"Eish, ustaz jangan tenung saya macam tu. Wallahi, saya tak mencuri. Tak ada kerja saya nak ambil harta haram ni." Ditegaskan sekali lagi pengakuannya. Siaplah siapa yang pandai-pandai tuduh aku ni!

Ustaz Saadon pusing ke belakang. Dia capai satu cawan yang bagai sudah tersedia dihidang.

Satu aje? Pelawa saya sorang ajakah? Samsul belum faham.

"Ini air doa. Kalau betul kamu tidak mencuri, minumlah air ini sampai habis."

Kata-kata Ustaz Saadon buat perut Samsul tiba-tiba kecut tanpa darah.

...bersambung! 

Cerpen sebelumnya:
Imtihan
Cerpen selanjutnya:
Lelaki Tuxedo

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.3
4 Penilai

Info penulis
Support underground talents!
mas_joko | Jadikan mas_joko rakan anda | Hantar Mesej kepada mas_joko

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya mas_joko
Hantu di Sekolahh (bah 2/2) | 3183 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

10 Komen dalam karya Hantu di Sekolah (bah 1/2)
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor


Kapasitor Bookstore

The Poseidon Adventure

Paul Gallico\s classic novel, The Poseidon Adventure, is the exciting story of a luxury ocean ...
Price: RM 8.00


Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik