Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Tetamu Bukit Berot

Cerpen sebelumnya:
Wasiat
Cerpen selanjutnya:
Salam Perkenalan :)

TETAMU BUKIT BEROT

Tak siapa peduli tentangnya. Lelaki itu terlalu tua menjangkau usia emas. Jalannya juga tertengkak-tengkak tapi dia cukup kuat untuk mendaki Bukit Berot, Saban malam ketika bulan purnama penuh, dia dikatakan gagah mendaki bukit itu. Penduduk kampung kebanyakan tidak mengenalinya. Cuma kata orang dia itu bergelar. Dia dipanggil Tok Pujangga. Mungkin kerana dia gemar bercerita pada anak-anak kampung selepas solat Isyak. Dia tidak bersolat di surau tetapi resminya dia hanya membasuh ketayapnya yang berhabuk sehinggalah kariah surau usai solat. Tok Pujangga kemudiannya  menceritakan satu kisah. Tragedi penculikan di Bukit Berot. Dia cuma tahu satu cerita mungkin kerana itu tak siapa peduli tentang ceritanya.

            Aku juga sama seperti Tok Pujangga. Sekadar orang luar yang mengisi tembolok sendiri hasil dari kerja-kerja kampung. Mungkin aku lebih dilayan mesra kerana aku siuman dan Tok Pujangga dianggap tua sepera. Namun, aku lebih senang mengukir kemesraan pada Haji Mihad yang mengajarku ilmu agama. Atas jasanya aku dilantik sebagai muazin surau yang banyak memerhati afal masyarakat. Biarlah tak ada siapa yang peduli tentang Tok Pujangga.

            Bezanya ialah aku peduli tentangnya. Ceritanya berkisah walaupun teriak suaranya acapkali nyaring dan menendang naluri warasku tetapi aku tetap mendengar dengan hormat. Dia bukanlah ayahku tetapi dia datang ke rumahku pada satu malam di tengah hujan. Katanya meminta perlindungan. Aku sudah tidak mempunyai apa-apa sementelah kehilangan kedua orang tuaku. Biarlah aku menjaganya dengan penuh taat. Ilham Allah Azza Wa Jalla tak siapa yang duga. Kisahnya terlalu panjang untuk kita semua telusuri.

            Malam itu di surau, Tok Pujangga tidak bercerita pada anak-anak kampung. Dia terus mendaki Bukit Berot. Rembulan memang nampak bundar jingga warnanya. Sayangnya warna itu cuma boleh dilihat di Bukit Berot. Dia gagal mendaki ke atas biarpun terlalu banyak kali mencuba. Kata orang kampung, Bukit Berot itu dipenuhi makhluk-makhluk indah. Bahasa mereka juga penuh stilistik dan aksara-aksara yang tercatat penuh personafikasi dan menjadi deviasi kepada makhluk-makhluk yang wujud di sekitar kampung Tok Pujangga. Tok Pujangga mendaki juga. Melintasi pohon ara di bawah bulan dan bintang dalam jubah  serba putih. Aku yang mengekornya juga kekadang mudah tercungap memohon nafas. Kakinya melangkah melalui bencah di kaki bukit, hujung jubahnya sudah mengikat hitam lumpur. Janggutnya pula sudah dibasahi keringat. Dia menangkap apa sahaja bunyi yang berdesir. Aku cuba menjadi terlalu senyap agar dia tak tahu aku mengekor dan keinginanku pula terlalu kuat untuk memahaminya.

            Burung tukang dengan tempo pertukangannya. Disambut tingkah cengkerik yang galak menjamu halwa malamnya. Bulan mengambangkah? Ya dia menyedarinya. Dia membumbu setiap bunyi di hujung langkahnya. Dia mampu menangkap semuanya. Denai-denai yang semakin mengecil sudah menjadi kebiasaan Tok Pujangga. Bukit yang tegak juga mampu dipanjatnya. Dia lelaki tua yang tidak terbejat dalam kelam malam, dia menghayun kaki tidak berlapik. Dia Tok Pujangga yang rabun malam malah berjalan dalam gores-gores luka yang mencecah semalu hutan. Tak siapa peduli. Ingin aku tegaskan bahawa Bukit Berot bukanlah seperti pemikiran kalian,  ada jalan berturap yang dibina untuk naik ke atas tetapi Tok Pujangga masih ingin bersusah.

            Tiba di atas perbukitan, Tok Pujangga menanggalkan jubahnya yang sudah hitam berlumpur. Dia memerhati Pokok Ara yang sungguh besar sehingga tidak terpeluk berapa jumlah manusia sekalipun. Dia tahu disitulah deviasi dua dunia berlaku. Dia benar-benar ingin menerjah masuk ke dalam. Aku tak tahu kenapa dia ke sana tetapi ceritanya ialah dia merindukan seseorang yang hilang di dunia itu. Dia betul-betul pasti orang itu sedang mengecap bahagia sedangkan dia masih lagi meratib. Dia memeluk pohon Ara sambil menangis dalam alur fikiranya berkibar menerawang. Dia duduk dan memohon agar hijab itu dibuka dan dia diterima masuk menjadi tetamu makhluk-makhluk indah. Kisahnya sudah terlalu lama dipendam. Kini fikirannya menerawang sekali lagi. Menyusun blok-blok kenangan sedekad yang lalu. Di Bukit Berot juga kisah penculikan itu terjadi. Muncullah seorang lelaki bertubuh kekar iaitu Ranggau. Menjerit hingga memekakkan telinga. Aku juga jadi terkejut melihat sehinggalah mataku tidak terkedip memandang.

            Dasawarsa yang lalu, hutan di Bukit Berot menjadi tempat yang ditakuti tetapi itu tidak mensisakan sebarang gentar pada jiwa anak muda bernama Ranggau. Dia sudah sebati dengan Bukit Berot. Langkahnya sahaja begitu kukuh. Bila dia melangkah, makhluk-makhluk malam yang serba indah takut dan terdiam. Dia menarik Nisa dengan kasar. Bunyi air terjun menjentik deria pendengarannya. Dia terus mendukung Nisa setelah dia melihat Nisa kepenatan. Dia melangkah batu-batu sungai dengan pantas. Kakinya tidak terluka malahan berkematu keras. Dia Ranggau yang dilatih lanun di kawasan pulau.

            Ranggau telah terdampar di tanah lanun di pulau Ungka. Di situ, dia diseksa semahunya. Biarpun sudah cukup terseksa. Dia terlalu kuat untuk mati. Dia bangkit dan menunjukkan siapa dirinya. Dia mengalahkan panglima lanun yang ada. Dia menjadi lelaki kasar dan tidak selembut dulu. Mengubah sisa putih dirinya menjadikan dirinya penuh zulmat berkarat. Merompak dan membunuh nelayan di perairan menjadi makanan rujinya. Kini dia kembali ke Bukit Berot kerana mahu membalas dendam. Dia sudah bersedia membunuh Haji Tajuddin.

            Nisa memerhati Ranggau yang berpakaian jaket jeans biru dan berjambang tidak terurus. Mata Ranggau galak memerhati kelongsong pelurunya yang diisi satu persatu. Kemudian mata pistol diarah ke dahi Nisa. Bayangan maut mula hadir dan merembeskan sinaran pasti di jiwa Nisa. Serentak itu, hatinya menyembut kalimah suci Allah. Dia menjadi tenang biarpun matanya sudah menitiskan titisan suci dari jiwanya yang ketakutan. Segala macam bunyi alam sebati di jiwanya. Bunyi desiran daun senduduk di hujung seluarnya mampu didengar. Embun di hujung daun yang mengalir di setiap cabangnya mampu dikira setiap kali. Dia terlupa pada bayangan maut.

            “Engkau dah lupa pada maut atau kau sudah mati?” Ranggau menjadi musykil dan menyimpan pistolnya ke dalam jaketnya. Ranggau menggosok telapak tangannya ke muka Nisa sambil merasakan kelembutan wajah mongel Nisa. Ternyata tindakannya telah membangkitkan perasaan halus dalam dirinya sebagai lelaki.

            “Tidak, engkau keturunan jijik, ayahmu pembunuh!” Ranggau menarik semula tangannya. Ranggau kemudian melangkah menghampiri tebing sungai dan mengambil air lalu diisi ke dalam botol yang telah kering sebelum dibawa berhampiran muka Nisa. Dituangnya perlahan-lahan.ke dalam mulut Nisa.

            “Engkau juga ada perasaan:?” Nisa memprovok dengan nada sinis  Ranggau membulatkan matanya sebelum menyimbah air ke muka Nisa. Berderai ketawa Nisa. Entah siapa yang psiko sebenarnya. Kenikmatan meragut nyawa orang tidak pernah menghentikan kegundahannya. Ranggau sedar dia bersalah kerana menculik Nisa, tetapi dia terpaksa menghalalkan cara.

            “ Maafkan aku. Aku tahu kita berbeza tapi tolonglah dengar apa yang aku nak cakap dulu!” Ranggau mengerling ke arah pokok sambil berlari ke arah batang pokok sambil menusukkan mata pisau ke batang pokok berhampirannya. Ranggau berteriak kemudian menangis meraung.

“ Kau pokok kayu ara

Bawah bulan bintang,

Dengarlah rayu hai ayahanda,

Pulanglah kau datang”

Mata pisau yang ditoreh ke dalam batang pokok mengeluarkan cecair getah putih dan mengalir mengikut alur yang terukir. Pokok senduduk yang berbunga ungu berserakan di rumput dan habislah semuanya rosak bersama manik-manik jernih yang menitis dari matanya yang bergores-gores kehitaman  Nisa bergerak perlahan-lahan membelakangi Ranggau sebelum disedari oleh Ranggau.

“Engkau dah gila sampai bercakap sendirian? Apa salah ayah aku?” Nisa bungkam sendirian sambil kakinya menggeletar.

Ranggau berjalan sambil bahunya terangkat-angkat menahan tangis. Sendu juga berterusan menyerlahkan sifat keanak-anakan. Ranggau seolah-olah dirasuk tenaga anak kecil yang dingin ditinggalkan kasih sayang. Ranggau tidak lagi menderam, cumanya dia teresak-esak. Dia mengelilingi Nisa dan menolak bahu Nisa berulang kali.

“Sabarlah Ranggau! Biarlah Allah yang balas kalaupun ayah salah tapi apa pula aku yang dilibatkan?” Nisa memaut kaki Ranggau.

“Luqman bukan Ranggau… aku tak sekejam dia. Cuma tolonglah aku kembalikan apa yang aku hilang. Ayahku, ibuku, dan seluruh hidupku. Adakah kau mampu berikan? “ Ranggau memperkenalkan keperibadian barunya. Sesekali dia menggosok hidungnya yang berair.

“Err… tidak aku tak mampu berikan” Nisa mengakui yang dia telah terperangkap sekali lagi.

“ Sebab tu aku nak jumpa ayahku semula!” Suara garau bak petir membelah bumi. Burung Kelicap dan unggas-unggas kecil berterbangan pada malam gulita. Takut diapa-apakan makhluk kasar bernama Ranggau.

Ranggau kemudian memikul Nisa di atas bahunya. Kekuatannya tidak tersekat dek bebanan berat Nisa sebagai wanita dewasa. Buluh-buluh yang melintang ditengah jalan dilintasinya dan batu sungai yang licin juga tidak lut dek kakinya yang keras berkematu. Ranggau mendaki terus ke puncak hinggalah tiba ke satu tanah tertinggi di Bukit Berot. Di situlah terletak persimpangan dua dunia. Tanahnya begitu subur dan terhidu haruman melur di tengah kepekatan sepertiga malam. Ranggau meletakkan Nisa perlahan-lahan dan diikatkan ke tengah-tengah pokok kayu Ara yang pemeluknya terlalu luas. Bagai tak tercekau tangan-tangan manusia. 

“ Dua puluh tahun lepas, ibuku begitu berbahagia di kampung, tetapi dia dihalau oleh Haji Tajuddin kerana tidak mampu bayar sewa… aku berhenti sekolah” Ranggau sudah tidak sekaras tadi dan duduk bersila di hadapan Nisa. Tangannya membelek-belek laras pistol yang masih berada di tangannya. Badannya tergoyang-gayang dan mula menyanyikan lagu yang sama seperti sebelumnya.

“ Kau pokok kayu ara

Bawah bulan bintang,

Dengarlah rayu hai ayahanda,

Pulanglah kau datang”

Angin semilir di atas perbukitan itu mulai bertiup perlahan menghempas ke muka Ranggau seolah meminta agar dia bertenang. Ranggau menangis teresak-esak sehinggalah telefon bimbitnya bordering. Bunyi panggilan dari Haji Tajuddin membunuh emosinya. Matanya kembali merah berbinar. Dia berdiri dan membelakangi Nisa kemudian menjawab kasar panggilan Haji Tajuddin.

“Bagaimana mahu masuk ke dunia itu? Yang memberi keindahan pada jiwa-jiwa yang memandang!” Ranggau mengerutkan pandangannya memerhati pokok Ara yang disimbah sinar bulan dan bintang.

“Engkau lelaki kasar juga bahasa kau teruk tak berbudi. Bukan tempat kau tu!” Haji Tajuddin mengingatkan di sebalik telefon.

“Jadi bagaimana untuk kumasuk ke sana?” Ranggau terduduk di satu sudut. Nafasnya terhembus bersama tembuni wap yang mengibarkan kepul-kepul putih yang terapung-apung.

“Percaya pada kuasa Allah dengan mayang jiwa yang lembut. Kau berlepaslah ke sana” Haji Tajuddin mengingatkan Ranggau yang sudah mati akal. Sedas tembakan dilepaskan dan memecahkan kesunyian malam. Dahan-dahan pokok yang menadah seolah-olah bertasbih melihat suasana yang semakin gamat.

“ Kau pokok kayu ara

Bawah kuasa bulan bintang,

Dengarlah rayu hamba renta,

terimalah ratib jiwaku pulang”

            Lembut suara Nisa mengalunkan lagu yang didendangkan Ranggau. Suatu cahaya serba putih berpancaran terbuka dari tengah-tengah pohon Ara menyilaukan pandangan. Ranggau terduduk hingga tak terpandang pada sinaran cahaya yang hangat membahang. Kulitnya bagai terbakar dan tercarik dari isinya.

            Nisa bagai terapung-apung di udara dan ikatan yang mengikat tangannya terus terlerai. Tubuhnya dilitupi satu sinaran putih kecuali matanya yang masih lagi tergamit memerhatikan Ranggau yang menjerit-jerit menahan kepanasan.

            “Aku penghuni jazirah yang terpilih bersama dengan ayahmu disebabkan keyakinanku kepada Allah dan ilmu yang ditaakul dan diertikan. Selagi belum kau faham. Tak dapat tidak kau akan terus layu dan tua bersama kesombongan kau!” Gema suara Nisa kedengaran menerjah gegendang telinga Ranggau dan diingatinya sehinggalah ke hari ini. Pandangannya terbejat apabila spektrum cahaya dari biasan di tengah pokok makin mengecil dan menghilang dari pandangan. Ranggau pengsan di situ.

            Adegan-adegan pelik yang memuntahkan kenangan seolah-olah benar-benar mencuit realiti pemikiranku. Ranggau dan Luqman termasuk dalam diriku. Serentak itu aku memerhatikan Tok Pujangga yang asyik memeluk pokok Ara. Mukaku terasa panas serta merta. “Patah sayap bertongkat paruh” darah dibayar darah. Begitulah bisikan yang kudengar dibelakangku.

            “ Sekarang kau boleh ingat pada dendam kita?” Ranggau memegang bahu kiriku dengan rentapan kasar.

            “ Bunuh Haji Tajuddin!” Luqman berdiri di sisi kananku sambil menggoyang-goyangkan bahu kananku dalam suara rengek. Bunyi kedua-dua mereka terhenti dan mereka kini kaku tidak bergerak.

Aku beristighfar perlahan-lahan dan memandang Tok Pujangga dengan naluri yang bergomolan antara satu dengan yang lain. Aku memerhati dahan pohon ara yang sudah patah sebesar lengan lelaki dewasa berada di sisiku, lalu mengambilnya.  Aku menyusup perlahan-lahan tak ubah seperti bayang-bayang dibalik pohon. Ingatanku jadi berserabut.

            Seisi Jazirah memerhati pada malam ini. Tentang hutang piutang sesama manusia. Aku pernah terlalai dan tergugat dalam ujian Allah. Biarlah kali ini aku padamkan semua kisah tentang Ranggau, Luqman, dan Haji Tajuddin.

‘Kau pokok kayu ara

Bawah kuasa bulan bintang,

Dengarlah rayu hamba renta,

terimalah ratib jiwaku pulang’

            Suara Nisa berselubung dalam cambahan mindaku. Aku bukan Ranggau dan Luqman. Aku hamba Allah di bawah kuasa Iman dan Taqwa. Tak salah untukku cari jalan pulang. Aku menyentuh bahu Haji Tajuddin dan memeluknya perlahan-lahan. Kayu yang kupegang terlepas dari pegangan.Aku memerhati jalur mata tuanya kosong tidak mentafsirkan sebarang rasa.

            “ Mari pulang tok, Kita solat subuh di surau sebelum masuk waktu syuruk” Aku memimpin tangannya melangkah turun dari Bukit Berot yang keras. Maksudnya keras bukanlah berhantu tetapi penuh asbab dan akibat yang boleh menjerat keimanan mereka-mereka yang serba goyah. Seri mentari belum mengintai di ufuk timur. Burung tukang masih giat bertukang seperti kebiasaannya. Begitu juga isi alam yang lain tetap sebati berzikir memuji kuasa Allah. Itulah kesaksian tentang tetamu Bukit Berot.

Cerpen sebelumnya:
Wasiat
Cerpen selanjutnya:
Salam Perkenalan :)

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis

Nian Adika

Hiduplah bagai gobok usang penuh isi! adanya memberi robohnya ditangisi!
Adika | Jadikan Adika rakan anda | Hantar Mesej kepada Adika

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Adika
Hang Kurrat ( Cahaya) | 1998 bacaan
Mata Pedang Di Daerah Kalbu | 3405 bacaan
Takdir Di Hujung Kuku | 3502 bacaan
DI MANA BENARNYA? | 1992 bacaan
LEMBU PRU | 2038 bacaan
Bara Di Kebunan | 2276 bacaan
Gema | 2226 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya Tetamu Bukit Berot
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik