Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

cerita dia..

Cerpen sebelumnya:
K.A.S.I.H. T.E.R.K.I.S.A.H.
Cerpen selanjutnya:
Hidup atau mati (1)

Tiga bulan yang lalu...

“Awak, yang baju kelabu seluar hitam, nanti!” Jerit suara gadis daripada belakang. Jeritan yang berkali-kali itu didengarnya tapi dia tidak endahkan, kerana dia tahu pasti bukan dia yang dipanggil. Dia terus mengatur langkahnya yang laju.

“Azlan!!”

Langkahan diberhentikan. Lantas dia menoleh. Dilihatnya seorang gadis yang tercungap-cungap berlari ke arahnya. Dia memandang pada dirinya sendiri yang tersarung dengan tshirt kelabu dan seluar jeans hitam. Kemudian dia tergelak kecil sambil mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Ini buku awakkan?” Soal si gadis sambil tangannya menghulurkan sebuah buku ke arahnya. Walaupun dalam tercungap-cungap gadis itu mengukir senyuman. Senyuman manis yang membuatkan dia terpaku seketika. Dihiasi dengan lesung pipi di kedua belah, sedikit senyuman sudah memperlihatkan kemanisan yang mampu mencairkan hatinya. Namun dia cuba berlagak bersahaja menyembunyikan perasaan tertawan. Bukan baru kali ini dia tertawan, sebenarnya sudah lama. Gadis itulah yang selalu duduk selang beberapa baris dengannya ketika berada di dalam dewan kuliah, yang sering dicuri pandangnya dalam diam.

“Err..sebenarnya minggu lalu, saya jumpa kat bawah kerusi awak. Maaf sebab baru serahkan kat awak hari ni..” ujar si gadis manis yang masih senyum.

Buku yang dihulur diambil lalu menilik kulit buku itu. Tertera namanya di situ. “Laa..ingatkan takkan jumpa balik, sampai saya dah pun beli sebuah lagi yang baru. Erm, terima kasih ye..err..awak?”

“Ann..just call me Ann..” kali ini senyuman paling manis dihadiahkan padanya. Dalam dia tidak sedar pintu hatinya diketuk. Sepasang matanya merenung pada keindahan bidadari senyum yang tercegat di hadapannya. Saat ini mata bertembung mata. Lantas gadis manis itu yang cepat-cepat menundukkan wajahnya yang merona.

“Err, maaf ye Ann..sebab susahkan awak kejar saya semata-mata nak tolong bagi buku ni..” Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu. Rasa bersalah jelas terpamer di wajahnya. Memang salah dia menyusahkan gadis manis itu. Sedangkan tadi gadis itu sudah menjerit memanggilnya beberapa kali tapi dia tidak endahkan.

“Saya buat apa yang patut je..” Bibirnya si gadis tidak lekang dari mengukir senyuman. Senyuman itu dibalas dengan senyuman.

Ketika itu sebuah Perdana hitam sedang meluncur laju dari jalan raya utama dan berhenti di tepi mereka. Tingkap diturunkan dan kelihatan seorang senior yang dikenalinya berada perut kereta.

“Ann, jom abang hantar balik.” Senior itu bersuara dengan senyumannya pada Ann, kemudian memandang curiga pada Azlan.

“Eh, tak apalah bang, saya boleh naik bas je.” Pantas Ann menolak. Tolakan itu menyebabkan air muka senior itu berubah.

“Kan abang dah datang ni! Marilah abang hantarkan!” Keras nada suaranya. Membuatkan senyum si gadis manis bertukar kelat. Azlan tepinga-pinga hairan.

“Errrr, tapi...saya dah janji nak balik dengan Azlan..” Sambil memandang pada Azlan dengan wajah yang seakan meminta sokongan. Azlan sekadar senyum, tidak pasti harus mengiyakan atau tidak. Senior itu nampak bengang. Dia keluar dari perut kereta, ke arah mereka dan berdiri di sisi Ann.

“Awak, sape? Azlan ek?” Senior itu memandang Azlan dari bawah ke atas. “Saya nak hantar adik saya balik..takkan tak boleh kot. Awak boleh balik sendirikan?” Mendatar saja katanya tapi sebenarnya terselit nada ungutan dengan renungan yang tajam pada Azlan.

Azlan mengangguk sahaja, bukan kerana takut tapi kerana rasa hormat. Ann yang sudah tidak senyum itu memandangnya dengan wajah seakan meminta simpati tapi Azlan tidak mahu endahkan. Siapalah dia untuk mengganggu hubungan adik beradik itu.

“Tak apalah Ann, awak balik jelah dengan abang awak.”

“Tapi Azlan..” Spontan lengan bajunya ditarik oleh Ann. Dipandangnya Ann yang meminta simpati itu dengan gelengan. Perlahan Ann melepaskan lengan bajunya.

“Awak ikutlah abang awak balik. Terima kasih untuk buku ni..” Azlan mengaturkan langkahnya meninggalkan bidadari senyumnya bersama senior itu.

------------------------------------------------------------------------------------------

Bermula cerita...

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Perhubungan yang diumumkan sebagai muhrim rupanya sekadar bertindak seperti tudung periuk sahaja. Menutupi perhubungan sebenar yang cuba diselindung daripada penglihatan mata kasar orang ramai. Orang di sekeliling percaya, nasi yang ada dalam periuk itu masak dengan eloknya. Walhal, yang ada di dalam tinggallah bubur yang sudah hangit separuh di bawah. Tiada siapa tahu kerana tiada siapa pun mahu membau. Melainkan apabila sudah terbuka tudung periuk itu, maka ramai pula yang datang berduyun-duyun mendekatkan hidung lalu memasang telinga lantas menganyam ketupat dengan mulut.

“Biar pecah di mulut asal jangan pecah di perut!” Itu janji si gadis yang diakun pada si lelaki. Itu juga sebenarnya adalah kata-kata amaran daripada si lelaki. Tapi itu dulu. Kini rahsia yang lama di simpan di perut si gadis itu sudah terburai. Dengan kuasa Tuhan...siapa tahu rahsia yang disimpan di perutnya itu akan tergugur keluar di depan mata semua orang. Bukan niatnya untuk membunuh yang tidak berdosa, dia tidak melakukan aborasi dengan sengaja. Sudah tertulis dalam takdir bahawa dia akan jatuh tersungkur bersama buku-bukunya sewaktu hendak menuruni anak tangga di dalam dewan. Dewan tempat dia dan rakan-rakan sekalian menadah ilmu.

Bunyi yang kuat menarik tumpuan semua mata. Kelihatan seorang gadis berbaju kurung kuning sedang terduduk dengan buku-bukunya berselerakan. Tergelincir dek sandal flatnya yang licin. Dia merungut sakit, seketika kemudian berusaha untuk berdiri. Semua mata yang menyaksi tidak sedikit pun terluak rasa di hati mereka ingin membantu. Malah gelak ketawa yang merajai suasana. Membingitkan telinga.

Beberapa pelajar lelaki yang duduk bersebelahan tangga tersengih-sengih. Kemudian masing-masing menyambung semula sembang-sembang kosong atau ada yang kembali pada bahan bacaan masing-masing. Insiden itu seperti selingan sahaja, paling tidak hanya seperti memberi laluan iklan sebentar. Iklan lucu si gadis yang dianggap sebagai penambah perisa keceriaan dalam dewan kuliah. Sesungguhnya tiada sesiapa pun yang memperlihatkan riak-riak simpati. Termasuklah dia yang duduk betul-betul bersebelahan tangga itu. Terdetik juga di hatinya untuk membantu bidadari pujaannya namun disebabkan egonya yang tinggi dia lupakan hajatnya.

Ishk..aku bukanlah gentleman!..
Ah, lantak dialah!.
Siapa suruh dia malang sangat hari ni....
Taulah dia macam mana nak bangun sendiri...

Tidaklah ada sesiapa pun yang mahu ambil pusing apa-apa perkara yang tiada kaitan dengan diri mereka. Maka Azlan si ego itu juga membiarkan sahaja walaupun di hatinya berkata sebaliknya. Dia pura-pura menumpukan perhatian pada buku yang terhidang di atas meja.

Seketika itu..sedang sayup-sayup di cuping telinganya, suara erangan si gadis. Suara sayu sendu tangis itu mengundang rasa cemas di hatinya. Dengan pantas dia memalingkan kepala semula. Hairan...melihat si gadis masih duduk di situ. Tapi wajah gadis itu pucat serta air mata mengalir di pipi gebu. Matanya kemudian tertumpu pada kaki gadis malang itu yang kelihatan mengalirnya cecair pekat berwarna merah. Kemudian dengan banyaknya mengalir sehingga terlumur pada anak tangga. Refleks saja Azlan bangkit dari duduk, menghampiri si gadis yang tersedu-sedan. Gadis itu memandangnya dengan wajah meminta simpati. Ah, sayunya.. Ketika itu ada suara halus menerjah masuk ke dalam hati kemanusiannya. Maka egonya ditempis ke tepi.

---------------------------------

Profesor Mariati menggeleng kepala dengan keluh yang memanjang. Sehingga dia sendiri dapat rasakan pensyarahnya itu sedang beristighfar dalam hati. Dalam wad itu dia bersama dua orang lagi pelajar perempuan yang dimaklumkan sebagai praktikal di bawah kelolaan Prof. Mariati, hanya tercegat berdiri di sudut wad. Melihat saja Prof. Mariati yang bakal menyoal siasat si gadis malang yang terlantar di katil.

Dia seorang sahaja lelaki di wad ini. Jika bukan kerana Prof. Mariati yang menahannya untuk tunggu seketika, sudah lama dia beredar dari hospital itu. Sudah lama dia belari pulang menukar kemeja biru lautnya yang sudah dipenuhi dengan palitan corak berwarna merah. Sungguh, dia tidak selesa dalam pakaian itu. Di wad itu dia bersama dua lagi pelajar wanita Prof. Mariati tercegat seperti tiga tunggul kayu, yang mempunyai mata dan telinga tapi tidak mempunyai mulut. Seperti dijadikan saksi untuk mendengarkan segala kenyataan yang bakal diluahkan oleh seorang gadis malang.

Dengan sekuat kudratnya dia bangun dari baringan. Dia duduk, dengan wajahnya menunduk. “Dia sebenarnya..bukan abang kandung saya...” perlahan Ann bersuara. Masih lemah dengan keadaan yang baru menimpanya. Ketika ini empat pasang mata sudah membulat ke arahnya. Masing-masing terkesima dengan ayat penyata ringkas yang baru dimuntahkan dari bibir pucat lesu. Dan Azlanlah orang yang paling terkejut. Hatinya dirasakan seperti ditoreh dengan pisau tumpul.

“Habis tu, dia boyfriend kamu??” Soal Prof. Mariati dengan wajah mengagak. Ann mengeleng dengan lemah sekali. Kepalanya masih tunduk. Malah makin tunduk ke arah perutnya. Lemah sangatkah dia ketika ini? Atau malu dan berasa bersalah yang amat? Masakan dia berani mahu bertentang mata dengan Prof. Mariati di hadapan katilnya. Sedang anak mata Prof. Mariati yang terjegil itu terkandung kemarahan yang sememangnya ditahan-tahan.

“Dia cuma abang angkat saya..” ringkas dan mendatar jawapannya. Prof. Mariati sudah menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Ann, kenapa awak berbohong?!” Kening Profesor Mariati berkerut seribu. Matanya memandang tepat pada si pesalah. Semua menantikan jawapan daripadanya namun dia membisu membiarkan saja semua terlopong.

“Supaya kamu berdua boleh tinggal serumah?” Soal Prof. Mariati lagi. Maka dia pun mengangguk. Sunyi mengambil alih lagi ruang wad yang hening itu. Masing-masing berfikir. Memikirkan alasan itu yang semua orang sudah jangkakan.

“Cis, alasan yang paling bodoh pernah aku dengar!” Si tunggul kayu lelaki tunggal di situ sudah mempunyai mulut untuk membisikkan kata-kata sirna. Sambil menggeleng kepalanya dengan sengihan sinis. Bisikan yang berupa sirnaan itu walaupun perlahan tapi semua telinga yang ada di wad sunyi itu menangkap dengan jelas sekali.

“Kamu sedar tak apa awak dah buat ni Ann? Awak dah merosakkan hidup awak sendiri! Masa depan awak..awak tahu tak?!” Prof. Mariati bersuara lagi dengan nada tinggi yang terselit nada kesal.

“Saya...saya tahu Prof..saya ini yang bodoh! Saya termakan pujuk rayunya untuk tinggal serumah. Dia janji..tidak akan berlaku apa-apa...tapi dia...........” Kedengaran sedikit getar pada suaranya. Mungkin menahan sebak di dada. Setelah menarik sedikit nafas, dia menyambung lagi. “Sayalah yang bodoh..kerana percaya pada janji yang mustahil..”

“Huh, sedar juga kau tu memang bodoh!!” Azlan dengan rasa meluatnya melampiaskan lagi sirnaan. Kali ini terang-terang bukan lagi bisikan.

“Dia..dia..dia paksa saya..saya tak mahu..dia pukul saya!” Sambil air mata mula dititiskan. Esakan yang ditahan kedengaran tersekat-sekat. Profesor Mariati segera meminjamkan bahunya. Dia rebah dalam pelukan erat pensyarah itu. Dan waktu itu juga Prof. Mariati mencebik muka memandang Azlan. Azlan buat tak nampak, tidak mahu bertembung mata. Suara tangisan semakin lama semakin kuat. Memecahkan suasana heningan dalam wad. Tiada kata dapat diungkap lagi oleh Azlan kerana hati lelakinya sendiri dirasakan sakit yang amat sangat mendengar tangisan itu.

Tabir hitam yang tergantung sudah putus tali. Sudah jatuh menyembah bumi. Tiada lagi yang disebut di sebalik tabir. Telus sudah matanya menyaksi sandiwara yang dulu pernah diselubungi dengan auta pasangan bodoh itu. Kini kemusykilan yang pernah menjengah di mindanya yang suka mencari kelogikkan selama ini akhirnya terjawab. Akhirnya bau bubur hangit sudah menusuk ke dalam lubang hidungnya. Sehingga tembusnya ke dalam hati dan dia terasa akan sakitnya.

Pertama kali dia melihat pasangan yang mengaku adik beradik itu suatu ketika dulu pernah mengundang curiga di hatinya. Kemesraan yang ditunjukkan lain daripada yang biasa. Seorang abang senior memperkenalkan si gadis manis itu sebagai adiknya. Selepas sebulan, mereka masing-masing keluar dari kolej kediaman dan menyewa di kawasan perumahan yang juga berhampiran dengan kampus. Mereka tinggal serumah, dan tiada siapa pun yang membantah kerana mereka mengaku ada ikatan. Mata rakyat universiti itu dikaburi oleh pembohongan semata-mata. Ya, mungkin Azlan juga. Dia juga buta, tapi bukan buta pada mata kerana dia dapat melihat keanehan pada perhubungan itu. Cuma dia itu buta hati, kerana menafikan firasat hatinya sendiri yang kini ternyata baru memperlihatkan bukti sebenar yang sudah hangit.

Ann yang di anggap sebagai bidadari senyuman itu sudah menganiaya dirinya sendiri. Rela saja membiarkan dirinya masuk ke kandang buaya. Buaya yang bukan sebarang buaya, tapi buaya darat yang bijak dengan taktik memujuknya. Sungguh kasihan siapa yang menjadi mangsa. Dan senior itu yang dihormati dan dipercayai selama ini akhirnya menunjukkan rupanya yang sebenar, itulah raja segala buaya.

Ketika suasana wad didendangkan dengan lagu tangisan sayu yang mendayu-dayu, telinga Azlan tertangkap suatu bicara. Dua tunggul kayu di sebelahnya sudah mula mengeluarkan suara. Bisikan itu perlahan namun dapat juga cuping telinganya mencuri dengar.

“Topik bagus nih…esok mesti jadi panas!” Rupanya tunggul kayu yang satu itu sudah kelihatan mulutnya yang berupa paruh. Akhirnya tunggul kayu sudah menjelmakan diri, kelihatanlah seekor murai betina. Segala isi-isi yang telah dimuntahkan oleh si gadis malang sudah ditelan bulat-bulat olehnya.

“Syyhh!..don’t you ever do that friend!” Tunggul kayu yang satu lagi rupanya seekor kucing yang cuba menajamkan renungan mata kecilnya memberi amaran pada si murai. Si murai membalas dengan jelingan kemudian membebel sendiri.

----------------------------------------

 

Peristiwa gadis tersungkur di Dewan Kuliah Perdana sudah menjadi mauduk perbualan yang panas. Telinganya sendiri juga berasap. Usikan-usikan daripada kawan-kawannya dirasakan tidak kena pada tempat dan masanya.

“Lan kini dah jadi hero!”
“Fuyoo..hebat kau Lan!!”
“Oi Lan, sejak bila ko ada hati perut ni?”
“Gentlemanlah kau ni Lan..bravo!”
“Tak ke berat kau angkat si Ann tu?”
“Lan, apa sebenarnya cerita pasal si Ann?”
“Lan, kongsilah kat kitorang...”
“Apa cerita di hospital hari tu?”

‘Arghhhh! Cukup!!’ Bukan saja telinga dirasakan panas ketika ini. Hatinya juga turut terbakar. Paras suhu 16 darjah celsius dalam dewan itu tidak lagi terasa kedinginannya. Panas saja! Apa yang termampu dia lakukan ketika ini hanyalah memekakkan telinga. Dengan rakan-rakan lelakinya mungkin dia boleh bertelinga badak sahaja. Tetapi tidak kepada suara gema murai-murai betina sekalian yang bertempek-tempek dan berkumpulan-kumpulan di serata tempat dalam dewan itu. Gegendang telinganya seakan mahu pecah. Apa lagi yang dikatakan sebagai rahsia? Pada ketika ini sedang berlangsungnya suara-suara,

“Eh, korang nak tau tak cerita pasal dia?”
“Tau tak mereka tu rupanya ...........”
“Tak sangka ya mereka tu .................”
“Kononnya abang kandung, rupanya abang sayang.”

Berantailah cerita panas itu membentuk polimer yang panjang sekali. Dalam tempoh masa yang singkat, semuanya sudah tersingkap. Ann yang sudah pulih itu menghadirkan dirinya ke dewan kuliah seperti biasa. Tapi kini sudah menjadi luar biasa apabila semua mata tertumpu ke arahnya. Dari muka pintu dia bergerak sehinggalah ke tempat duduknya, mata-mata mengiringi setiap langkahnya dengan bunyi bisikan. Bisikan yang amat menyakitkan. Mana dia hendak letak mukanya? Di bawah kerusi? Di belakang pintu? atau di hadapan skrin putih menggantikan pensyarah yang sudah lewat masuk sepuluh minit? Sungguh mengaibkan buat dirinya. Azlan hanya memandang dengan sinis. Baginya itulah pelajar wanita paling bodoh yang dia pernah kenal..yang dia pernah puja dalam diam..yang kini akibatnya, di hati sendiri yang mengalami sakit yang kian mencengkam hebat.

Suara-suara yang kurang senang semakin riuh kedengaran. Watak utama yang menjadi bahan sindiran dan bisikan itu mengambil tempat duduk sebaris dengannya, mereka hanya dijarakkan dengan 6 buah kerusi dalam baris itu. Ann memandang ke arahnya dan merenungnya lama. Dia sekadar melemparkan jelingan. Lalu Ann menundukkan wajahnya. Kesal atau sebal?..entah...Sukar untuk dia tafsirkan. Ann kemudian bangkit dari duduknya, dia mengatur langkah keluar dari dewan. Semua mata yang ligat memerhati tercenggang hairan. Riuhlah suasana di dalam dewan itu seraya kelibat Ann hilang di muka pintu. Suasana seakan pasar ikan, memekik suara-suara yang bukan lagi bisikan. Sehingga kemunculan pensyarah di hadapan barulah keadaan bertukar sesenyap perpustakaan.

----------------------------------------------

 

Akhir cerita..

Dengan longlai diaturkan langkahnya keluar dari dewan kuliah. Sedang ligat otaknya berfikir. Memikirkan kerunsingan dan keresahan yang mejengah hebat dalam hatinya ketika ini. Dia sendiri tidak faham. Masalah Ann tidak ada kena mengena sedikit pun dengan dia. Tapi fikirannya tetap ligat hanya mahu memikirkan tentang Ann.

“Ann....” Nama itu terbit dari bibirnya bersama keluhan. Ketika itu pandangannya tertumpu pada susuk tubuh Ann yang sedang duduk berseorangan di bangku tepi tasik. Mungkin kerana perasan akan dirinya diperhatikan, Ann menoleh. Azlan cepat-cepat mengalihkan pandangan. Pura-pura tak nampak. Dia meneruskan langkahnya menyeberangi jalan.

“Azlan, nanti!!” Azlan buat-buat tidak dengar. Langkahan yang tadi longlai bertukar laju. Melintas jalan raya dengan cepat. Ann mengejarnya sehingga ke seberang jalan. Lantas berhenti di hadapannya.

“Awak nak apa?!” keras dan angkuh lagaknya walau riak wajah menunjukkan selamba. Ann merenungnya. Renungan itu membuatkan dia resah. Wajah di hadapannya itu aneh..bersinar walaupun pucat. Tidak pernah dia melihat Ann dengan wajah seperti itu.

“Awak memang orang macam ni ke?” Ann memandang tepat pada anak matanya. Hatinya sedikit kejut.

“Awak jangan nak main tuduh-tuduh. Bukan saya penyebarnya!” Dia tahu Ann pasti mahu menyalahkan dirinya kerana ceritanya yang telah berantai panjang di dalam dewan kuliah.

“Awak memang tak pernah mahu berterus terang..” Ann bersuara mendatar dengan menundukkan wajahnya.

“Terus terang apa pula ni?! Kan saya dah kata bukan saya yang sebarkan cerita awak!” Azlan makin keliru. Hairan. Resahnya juga kian bertambah. Perasaan yang aneh semakin menjalar dalam hati. Dia sendiri tidak faham. Namun dia tetap berlagak tenang. Mengawal dengan wajah selamba.

“Awak memang macam ni. Selalu buat-buat tak faham. Sayalah yang bodoh kerana masih yakin lagi tentang telahan perasaan sendiri..”

“Apa ni? Awak cakap apa ni? Saya tak fahamlah!” Bingung dan aneh sudah bercampur baur. Fikirannya sudah berkecamuk dengan suatu perasaan dalam hati yang sukar untuk dia tafsirkan sendiri. Lidahnya kelu untuk berkata-kata kerana kebingungan. Direnungnya sekujur tubuh pucat di hadapannya tanpa berkelip.

“Takpelah Azlan...lupakan saja..sudah tak ada maknanya lagi.” Ann yang masih tunduk menghembuskan sekelumit keluhan berat. Lalu dia menyambung lagi, “Apa-apa pun saya nak ucap terima kasih, sebab bantu saya hari tu. Jika saya ada peluang saya nak balas jasa awak. Tapi..nampaknya biarlah Tuhan saja yang dapat membalasnya. Assalammualaikum...” Kata-katanya berakhir di situ dan mengatur langkah meninggalkan Azlan dengan tanda tanya. Azlan terpaku dan bingung sendiri.

Seraya Ann meninggalkannya, dia di sapa dari belakang. “Assalamualaikum Lan..”

“Eh, Dam..panjang umur kau.” Wajah bingungnya disembunyikan. Lagak selambanya dipamerkan semula. “Cepat juga kau habis kursus di Langkawi tu. Bila kau balik Dam?”

“Semalam. Nah ambil nih! Ada sesuatu yang kau perlu baca kat dalam tu..” Adam menghulurkan buku yang dipinjamnya bulan lalu kepada Azlan.

“Dah abis pakai ke?” Dengan kening berkerut buku yang dihulur sahabatnya itu diambil.

“Ada sesuatu kat dalam tu yang kau patut baca dulu sebelum kau serahkan kat aku. Kau tak sepatutnya pinjamkan kat aku hari tu.” Adam tersengih dengan wajah bersalahnya.

“Ok, aku chow dulu Lan, aku ada kelas ni..” Adam meninggalkannya dengan buku itu.

Buku dibuka perlahan. Diselak-selak mencari sesuatu, sedang dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dicarinya dan apa yang perlu dibacanya. Sambil kakinya diatur berjalan melintas jalan raya dia membelek-belek lagi sekali, sehinggalah dia terselak pada muka surat terakhir. Sebuah kertas memo berwarna ungu terlekat pada muka surat itu. Langkahannya terhenti. Tulisan pada kertas itu dibacanya dengan hati yang berdebar-debar.

Salam perkenalan dari saya..
Saya Nur Aina Azif suka pada awak Azlan Suhail.
Saya tidak pasti jika awak juga rasa seperti apa yang saya rasa, maka saya perlukan jawapan daripada awak. Saya tunggu..
-Ann-

Matanya terkebi-kebil. Dia seakan tidak percaya. Dibacanya lagi satu persatu perkataan dengan teliti. Barulah dia faham. dan barulah hatinya celik. Dirasakan hatinya seperti dicucuk dengan duri. Duri rasa bersalah yang menjalar di dinding hatinya yang selama ini membatu. Buku lantas ditutup dengan perlahan.

“Ann..” Nama itu terbit dari bibirnya. Dia menongak ke langit menahan sebak yang mula melanda. Ketika itu deruman laju sebuah kenderaan kedengaran kuat. Sebuah kereta meluncur dari arah kiri.

“Azlan!! Tepiiii!!!

Belum sempat dia menoleh, seseorang telah merempuhnya daripada belakang. Tubuhnya ditolak kuat ke depan dan terhumban jatuh ke tepi jalan. Tersembam mukanya pada tanah dan kepala terhantuk pada batas. Dalam masa yang sama kedengaran bunyi rempuhan yang kuat bersama dengan suara jeritan. Segalanya berlaku dengan spontan! Sekelip mata! Sepantas kilat!

Azlan yang tertiarap perlahan-lahan mencapai sebuah tiang. Berpaut untuk bangkitkan dirinya. Pening. Kepala yang sakit diusap-usap sambil menoleh ke arah jalan raya. Dilihatnya orang ramai sedang berpusu-pusu ke arah sesuatu. Semua kelihatan kaget. Pantas dia berlari ke situ. Dilihatnya sebuah Perdana hitam yang berhenti di tengah jalan. Jantungnya bedegup kencang. Semakin mendekati ke situ semakin pula jantungnya bagai hendak gugur. Langkahan kakinya beransur perlahan dan berhenti apabila melihat sekujur tubuh yang berlumuran darah, sedang terbaring ngeri di hadapan Perdana hitam. Pandangannya serta merta berpinar. Seluruh tubuhnya bergetar. Dunia seakan berpusing.  Airmatanya tumpah tanpa dipinta.

 

****************************************

 

 

 

 

p/s: cerita ni ditulis selepas tension baca nota...=)  ntah korang faham ke tak cerita ni....

 

Cerpen sebelumnya:
K.A.S.I.H. T.E.R.K.I.S.A.H.
Cerpen selanjutnya:
Hidup atau mati (1)

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.0
1 Penilai

Info penulis

Nuripa Abdullah

Schematic Gurl..
nurie | Jadikan nurie rakan anda | Hantar Mesej kepada nurie

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya nurie
Masih ada cinta | 3117 bacaan
Kedai runcit Junaidah dan Warung Pak Saman | 22433 bacaan
Sisa Kemaafan Di Hujung Jalan Pulang (2) | 2654 bacaan
Kasihkan Ucop | 2670 bacaan
Jaga diri baik-baik ya kawan2. | 3237 bacaan
Sisa Kemaafan Di Hujung Jalan Pulang (1) | 2599 bacaan
Berangan 2 | 2354 bacaan
Berangan | 2289 bacaan
Ending : Takdir pen parker merah, Syam, Syah, dan Zulkifli... | 2996 bacaan
takdir Syam dan Syah.. | 1403 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

8 Komen dalam karya cerita dia..
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik