Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Kapasitor MS: Ulasan Seksyen Cerpen Bulan Mac 2011
- ridhrohzai
- 14 years ago
- 367,778
Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Sepanjang bulan Mac yang lalu, saya dapati seksyen cerpen banyak didatangi penulis baru dan pelbagai variasi karya telah ditonjolkan. Setiap karya mempunyai kekuatan dan keunikan masing-masing.
Justeru, berikut adalah lima buah cerpen pilihan kru pengelola MS untuk bulan Mac yang dirasakan begitu menarik tulisannya di antara cerpen-cerpen yang ada. Diharap reviu ini sedikit-sebanyak dapat membantu dalam menghasilkan karya yang lebih mapan dan kreatif.
DI SAYAP KUPU-KUPU TERBANG nukilan cerpenis yang tidak asing lagi di Kapasitor iaitu Upenyu, mengungkap tema cinta tentang seorang pemuda yang bertemu secara tidak sengaja dek kerana kemalangan kereta dengan gadis yang sudah terlalu jauh melangkah dalam dunia gelap. Hari demi hari menghantar dan mengambil gadis itu pulang dari kerjanya, putik-putik sayang mula bersemi sehingga menghasilkan bebunga cinta yang rekah mewangi. Akhirnya, pemuda tersebut melafazkan juga perasaan yang terpendam di dalam hati namun atas dasar rendah diri, gadis itu menolak dengan sopan. Bagi gadis itu, pemuda tersebut terlalu baik untuk dijadikan tempat dia berlindung dan berkongsi hidup.
Struktur dan olahan cerpen ini tiada masalah. Struktur yang digunakan dalam cerpen ini boleh dikatakan struktur 90/100 iaitu satu struktur di mana pendahuluan yang sehampir boleh dengan penamat, yakni kedudukannya sekitar 90% dari keseluruhan cerita. Dalam erti kata mudah, plotnya tidak berkembang jauh dan hanya tertumpu pada satu plot, satu konflik dan satu sudut pandangan sahaja selain mempunyai krisis dan penyelesaian konflik dan penutup cerita biasanya merupakan penyambung semula kepada pendahuluan.
Secara keseluruhan, ia sebuah cerpen yang baik dan wajar dijadikan panduan bagi mereka yang mahu menulis mengikut skema dan tatacara penulisan yang betul.
MERDEKA CINTA KITA adalah nukilan khairulr yang merupakan seorang novelis dengan nama pena Mk Riza. Cerpen ini sangat unik kerana latarnya mengambil tempat pada zaman di ambang kemerdekaan. Kisah seorang pemuda bernama Emran yang menjadi penulis sajak yang begitu bersemangat mahu membantu negara mencapai kemerdekaan. Turut berada di sisinya adalah tunang pemuda itu yang juga merupakan seorang penulis dengan nama Anggerik Desa. Gadis bernama Musalmah menyuntik semangat dan berjuang melalui penulisan.
Lantaran kerana sibuk berpersatuan, Emran berjanji mahu melangsungkan perkahwinan selepas negara mencapai kemerdekaan. Namun sayang, sesuatu telah berlaku sebelum mereka sempat berkahwin. Kalau nak tahu apa yang berlaku, silalah baca cerpen ini.
Struktur dan olahannya saya kira berjalan dengan sangat tenang dan lancar. Dari babak ke babak saling berkait tanpa ada kepincangan. Cukup rasa. Cerpen ini menggunakan struktur kronologi. Ia ditulis mengikut susunan plot iaitu pendahuluan, perkembangan, konflik dan penutup.
SURAT karya penglipur mengungkap tema ketuhanan. Kisahnya ringkas sahaja. Tentang seorang pemuda yang mahu menghantar surat permohonan maaf pada Tuhan yang Maha Mencipta. Ternyata ia sebuah 'twist' yang menarik kerana pembaca tidak tahu dari mula ke mana surat tersebut mahu dihantar. Mulanya terdapat beberapa kesalahan ejaan dan tatabahasa yang agak ketara tetapi ia boleh dimaafkan dengan jalan cerita yang begitu menyentuh hati. Tulisan yang baik dan kemas.
Toti seorang penulis yang sentiasa menyelitkan teladan dalam setiap tulisannya. Seorang penulis yang kaya dengan falsafah dan matang dari segi olahan dan gaya penulisan. Kali ini cerpen tulisannya yang bertajuk MAIL MONDOK memaparkan kisah seorang penulis yang mahu menukilkan karya-karya yang mampu membuka mata dan membuat minda berfikir. Dalam mahu menghasilkan karya, Mail Mondok tetap seorang penulis yang menempuh pelbagai onak dan ranjau demi menghasilkan karya yang mencabar diri. Seorang penulis yang mahu menyelitkan kebenaran dan kejujuran dalam setiap karyanya.
Struktur cerpen ini adalah 1-2-3 bang! di mana penyusunan plotnya berbeza dari struktur biasa iaitu struktur kronologi. Susunan plot dimulai dengan konflik. Kemudian konflik yang semakin memuncak yang menuju penyelesaian dan akhirnya bang! Penamat yang ‘twisted’. Konflik cerita ini tidaklah berat kerana ia lebih menjurus ke arah biografi tentang Mail Mondok.
Akhir sekali adalah cerpen tulisan Miss Clark yang bertajuk LA MER. Tidak banyak yang boleh saya katakan kerana cerpen ini masih belum menemui penyudahnya. Yang menariknya pada cerpen ini adalah gambaran situasi yang digunakan. Tulisannya santai sahaja dan agak kemas.
Sekian dahulu serba-sedikit ulasan saya untuk cerpen pilihan bulan Mac. Terkhilaf bahasa itu, sepuluh jari dihulur. Ia sekadar pendapat peribadi. Yang baik jadikan teladan, yang kurang elok itu, usahlah diikut.
Salam karya,
ridhrohzai