Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Lelaki Penjual Goreng Pisang

 

             Aku tercari-cari lelaki itu. Dimanakah dia berada ketika ini. Sudah hampir sebulan tidak kutemui wajahnya. Adakah aku merinduinya? Tidak kunafikan bahawa dia seorang lelaki yang elok paras rupanya. Wajahnya kelihatan bersih dan tenang. Namun, yang paling utama sekali adalah aku dapat melihat bahawa dia ikhlas dalam pekerjaannya. Tidak perlu dia memberitahuku. Aku dapat menafsirnya sendiri dari gerak-gerinya. Senyuman itulah bukti segala-galanya.

i

            Cerita aku dengannya cuma cerita biasa. Bukan cerita cinta dongeng selebiriti yang tidak masuk akal. Aku mula mengenalinya lebih kurang tiga bulan yang lepas. Ah, mungkin tidak sesuai aku beritahu kalian bahawa aku mengenalinya! Aku sendiri tidak pasti adakah aku benar-benar mengenalinya.

            Hujan masih bersisa walaupun tidak selebat tadi. Aku memerhati keadaan di  sekeliling stesen komuter. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam stesen. Ada yang berjalan kaki sambil berpayung. Ada juga yang dihantar dengan kereta. Mungkin dihantar oleh keluarga atau teman. Aku melihat para pemandu teksi yang tidak henti-henti memancing penumpang untuk menaiki teksi mereka. Kadang-kala sehingga tepaksa berhimpit-himpit di dalam teksi. Sering terjadi kepadaku juga.

             Mengikut perkiraanku, teksi seharusnya menjadi tempat yang selesa kepada penumpang. Bukan menjadikan mereka seperti "sardin dalam tin". Adakah ketamakan sudah menjadi satu kebiasaan dunia ketika ini?  Aku menggeleng kepala tatkala melihat salah seorang pemandu teksi menyumbatkan lima orang penumpang sekaligus di dalam teksinya.

            Lamunanku tiba-tiba tersekat oleh satu suara yang kuat.

            "Goreng pisang! Goreng pisang panas!"

            Mataku segera tertancap ke arah suara itu. Seorang pemuda dalam lingkungan 20-an penuh semangat "mempromosikan" goreng pisangnya. Aku merenungnya dari jauh. Tingginya sederhana, kulitnya sawo matang, rambutnya hitam kerinting, dan yang paling penting senyumannya manis. Aku tidak tahu kuasa apa yang telah membawa kakiku pantas sahaja ke arah gerai goreng pisangnya. Hujan renyai-renyai yang masih turun tidak kuhiraukan lagi.

            "Saudari mahu beli goreng pisang? 10 biji, seringgit",suara itu menyapaku yang masih khayal.

            "Err...ya,ya. Beri saya RM 1", jawabku teragak-agak

            Dia segera mencapai penyepit lalu mengutip goreng pisang di atas dulang satu-satu. Aku melihat tangannya yang berselirat dengan urat-urat pantas bekerja. Aku yakin tangan itulah yang banyak berbudi kepadanya. Tangan itulah yang bertungkus-lumus mengerah rezeki untuknya.

            Aku kagum. Kagum seketika.

            Kagum dengan lelaki penjual goreng pisang di tepi jalan ini. Lelaki semudanya sudah begitu tekun mencari sesuap nasi. Barangkali, lelaki-lelaki lain yang seusianya masih lagi sibuk menyelak helaian-helaian buku atau tersedak-sedak menyiapkan tugasan-tugasan fakulti. Mungkin, ada juga lelaki-lelaki yang seusianya menjadi pelanggan setia menonton televisyen di skrin besar di warung-warung kopi bersorak bagai si beruk gila apabila pasukan kegemaran mereka berjaya menyumbatkan gol.

             Namun, tidak bagi lelaki penjual goreng pisang ini. Tangannya yang berselirat dengan urat itu tidak digunakan untuk menyelak helaian-helaian buku-buku tebal. Suaranya yang nyaring tidak dibazirkan dengan menjerit "Gol!" yang semestinya tidak akan didengari oleh para pemain bola sepak kegemarannya.

            Tangannya lebih rela mengadun pisang ke dalam tepung. Lebih rela menggoreng pisang ke dalam kuali panas. Lebih rela memuaskan pembelinya dengan goreng pisang yang panas. Suaranya lebih merdu menjerit mempromosikan goreng pisangnya. Lebih merdu menanyakan kehendak pembelinya dengan penuh kesopanan.

            "Ini saudari, goreng pisangnya. RM 1", aku memerhatikan tangannya yang berselirat dengan urat-urat itu menghulurkan sebungkus goreng pisang ke arahku.

            "Terima kasih", jawabku sambil menghulurkan wang kertas RM 1 kepadanya.

            "Sama-sama", jawabnya sambil memberikan senyuman manis.

            Aku hampir terduduk melihat senyumannya itu.

            Ya Tuhanku, dugaan apakah yang Kau berikan kepadaku ini. Makhluk ini benar-benar menguji imanku sebagai seorang perempuan. Senyumannya biasa-biasa sahaja, tetapi cukup membuatkanku terpana seketika. Aku cuba membalas senyumannya tetapi gagal. Aku malu.

            Adakah dia memberikan senyumannya hanya kepadaku? Ah, memang itu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang peniaga kepada pelanggannya. Harus murah dengan senyuman.

 

ii

            Hari-hari berikutnya bagaikan menjadi satu kebahagian buat diriku. Aku tidak lagi memerhati tingkah-laku manusia yang berpusu-pusu di stesen komuter membawa haluan masing-masing. Aku tidak lagi sibuk memerhatikan tabiat pemandu-pemandu teksi yang sering "mendera" penumpangnya seperti sardin dalam tin.

            Mataku hanya tertumpu kepada satu sahaja. Lelaki penjual goreng pisang itu benar-benar menarik perhatianku. Kuasa apakah yang membuatkan gadis naif sepertiku ini khayal melihat tingkah-laku lelaki penjual goreng pisang itu?

            Gayanya serba sederhana. Tidak perlu berkot hitam dan bertali leher biru, atau berkasut hitam berkilat. Cukup sekadar baju T putih, seluar jeans biru lusuh serta selipar coklat. Adakah citarasaku tidak cukup tinggi hanya kerana menaruh perasaan kepada hanya seorang penjual goreng pisang?

            Oh, adakah aku baru memberitahu kalian bahawa aku menaruh perasaan kepadanya? Memang, ya. Aku mengakuinya tetapi tidak usahlah dihebohkan kepada yang lain. Aku tidak mahu lelaki penjual goreng pisang itu sampai tahu aku menaruh perasaan kepadanya. Aku lebih selesa begini.

            Sekali lagi aku ingin bertanya kepada kalian. Adakah citarasaku tidak cukup tinggi hanya kerana menaruh perasaan kepada seorang penjual goreng pisang? Mungkin ada yang mengiyakannya. Aku juga berperasaan begitu. Mana mungkin seorang lelaki yang hanya berjualan di tepi jalan, bermandi minyak dan tepung sesuai untukku yang berkelayakan universiti tempatan. Namun, seperti yang telah kunyatakan tadi lelaki penjual goreng pisang itu seolah-olah mempunyai kuasa yang mampu menarik pandanganku terus ke arahnya.

            Aneh. Memang aneh.

           

iii

            "Mahu goreng pisang, saudari?"

            "Ya. Beri saya 20 biji"

            "Hari ini saudari beli goreng pisang banyak dari kebiasaan. Ada sesiapa mahu dijamukankah?"

            "Tidak, tidak. Saya suka goreng pisang saudara. Rangup di luar, enak di dalam"

            Lelaki penjual goreng pisang itu tersenyum mendengar penjelasanku. Senyumannya sememangnya bagai halilintar membelah hatiku. Senyuman itu ikhlas. Aku tahu.

            Aku berbohong kepadanya. Goreng pisangnya tidaklah serangup seperti goerng pisang ibuku. Goreng pisangnya tidak juga terlalu enak di bahagian dalamnya.

            Hanya ada satu sebab sahaja aku membeli goreng pisang lebih dari kebiasaannya. Hanya kerana aku gemar melihat tangannya yang berselirat dengan urat itu menari-nari memasukkan goreng pisang sebiji demi sebiji ke dalam plastik. Aku pasti kalian akan mengatakan aku ini seorang perempuan naif yang gila.

            Aku tidak gila.

            Aku cuba mengagumi bagaimana seorang lelaki yang masih lagi muda dan mempunyai masa depan yang panjang sanggup berpanas dan berhujan hanya untuk menjual goreng pisang. Apakah sejarah hidupnya yang membawanya terdampar menjadi seorang lelaki penjual goreng pisang?

            "Ini goreng pisangnya, saudari. Dua ringgit semuanya"

            "Terima kasih"

            Lelaki penjual goreng pisang itu mengambil duit kertas dua ringgit dari tanganku dengan sopan. Tanpa menyentuh kulitku. Dia tersenyum lagi kepadaku.

            Saat itu aku merasakan aku perlu berbuat sesuatu agar diriku tidak hanyut dalam senyumannya. Aku perlu bertanyakan namanya tetapi suaraku disekat apabila dia terus sahaja melayan pelanggannya yang lain tanpa menghiraukan aku.

 iv

            Sudah sebulan aku tidak berjumpa dengan lelaki penjual goreng pisang itu. Genap sebulan jugalah aku tidak melihat senyumannya itu. Dimanakah dia ketika ini? Aku cuba-cuba mencarinya di sudut lain di sekitar stesen komuter itu kalau-kalau dia sudah bertukar tempat jualan. Maklum sahajalah, kawasan tempat lelaki penjual goreng pisang itu memang agak sesak dengan orang ramai.

            Namun, yang aku dapat hanyalah kehampaan yang menebal. Aku tidak menemuinya. Aku semakin kaget dan bingung. Apakah cerita disebalik kehilangan lelaki penjual goreng pisang itu?

            Adakah dia menghidapi sejenis penyakit yang kronik?

            Adakah dia mengalami kecelakaan jalan raya?

            Adakah dia sudah berpindah?

            Oh, tidak! Semua alasan-alasan itu tidak mungkin dapat aku terima. Aku kini benar-benar merindui lelaki penjual goreng pisang itu.

            Tiba-tiba langkahku deras menuju ke sebuah gerai yang berhampiran. Entah mengapa laju benar kakiku yang seketika tadi kaku bagai patung menuju ke arah gerai menjual keropok lekor itu. Malah aku tidak tersedar aku berlari-lari anak sehinggalah kaki comelku ini hampir tersadung pada sebuah batu besar. Nasibku baik apabila aku sempat mengawal badanku daripada jatuh terjelepok di hadapan orang ramai.

            Sesampainya di hadapan gerai keropok lekor itu, aku hanya mampu berdiri kaku. Aku bisu seketika tanpa mengetahui apa sebenarnya hajat aku ke gerai menjual keropok lekor itu.

            "Anak mahu beli keropok lekor", tanya Mak Wan lembut.

            Aku hanya mengagak bahawa nama wanita separuh umur itu ialah Mak Wan kerana terpampang besar di gerainya yang bertulis "Keropok Lekor Mak Wan.". Maka, sudah pastilah namanya ialah Mak Wan. Bukan Mak Limah, Mak Leha atau Mak Minah yang menjualnya.

            "Err...tidak. Saya bukan mahu beli keropok lekor", jawabku mula menjelaskan salah faham Mak Wan. Aku terlalu gemuruh sebenarnya. Apakah reaksi Mak Wan apabila aku memberitahu hasrat sebenarku datang ke gerainya? Adakah dia akan mentertawakanku?

            "Jadi, anak ni mahu apa sebenarnya. Mak Wan tidak menjual kuih lain. Hanya keropok lekor", Mak Wan mula kelihatan keliru dengan keadaanku ketika ini.

            "Err...saya cuma mahu bertanya tentang seseorang"

            "Siapa dia seseorang itu"

            "Saya mahu tanya, dimanakah lelaki penjual goreng pisang yang sering berniaga di sebelah gerai Mak Wan?"

            "Oh, lelaki itu. Dia sudah pindah. Dia balik pindah ke kampungnya semula di Perak", jawab Mak Wan separuh tersenyum. Senyuman siniskah atau senyuman kelegaan kerana aku tidak meminta kuih lain selain keropok lekor? Aku tidak pasti.

            "Mengapa dia pindah? Tidak lakukah goreng pisangnya di sini?", aku bertanya lagi untuk mendapat jawapan pasti. Aku dapat merasakan Mak Wan kenal rapat dengan lelaki penjual goreng pisang itu.

            "Dia pindah sebab katanya lebih mudah. Tidak perlu berjauhan"

            "Tidak perlu berjauhan dengan keluarga? Dengan ibu bapa?", tanyaku yang masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mak Wan.

            "Tidak perlu berjauhan dengan isteri. Maklumlah, dia baru sahaja berkahwin. Jadi tidak eloklah tinggalkan isterinya di kampung. Lebih baik dia terus menetap sahaja di sana."

            Jawapan yang keluar dari mulut Mak Wan benar-benar bagai halilintar yang menyambar ke seluruh badanku. Aku hampir duduk terjelepok di hadapan gerai Mak Wan. Mujur, semangatku masih lagi bersisa.     

            Kali ini kalian tidak perlu bersimpati kepadaku. Kalian boleh mengatakan aku ini gila. Aku gila kerana menaruh perasaan kepada seorang penjual goreng pisang yang tidak pernah aku kenali latar belakangnya. Aku melangkah longlai berlalu dari gerai keropok lekor itu sebelum berhenti semula dan menoleh ke arah Mak Wan.

            "Mak Wan, saya mahu tanya satu soalan lagi. Siapa nama lelaki penjual goreng pisang itu?"

            "Shakil!"

            Aku tersenyum. Indah nama itu. Seindah senyuman dan budi pekerti pemiliknya.

            Kini aku sedar, cinta itu tidak perlu berpaksikan sesuatu yang prestij atau hebahan bongkak kepada seantero dunia. Cukup dengan satu keikhlasan. Segalanya akan tampak sempurna. Terima kasih Shakil kerana telah mengajarku.

            Ah! Adakah aku baru sahaja sebut tentang CINTA?

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) ini adalah cubaan pertama saya menghasilkan genre cinta. secara jujurnya saya mmg x pndai m'hasilkan karya dr genre ini kerana sgt jarang membaca novel2 cinta. selamat membaca... :)
  • 2) =) manis. (er..gantikan dengan sweet!). ah,cinta itu memang gila. kalau orang kata cinta itu dari mata lalu turun ke hati.kadangkala tak perlu merenung dalam2 pun kamu sudah boleh merasakan CINTA~~
  • 3) cubaan pertama genre cinta? nice one! :)
    kudos kerana mencuba.
    semua benda pun ada yg pertama. but never stop improving kay :) hehehe.

    dari segi penceritaan kemas je. dialog sedikit skema, but takde lah salahnya. dari aspek realistik je buatkan saya sedikit senyum.

    jalan cerita dan ending juga kemas. :)
  • 4) Betul CINTA memang gila...Kita sanggup berubah & menjadi org lain kerana CINTA pada seseorang...CINTA mmg INDAH..CINTA gak boleh membuatkan kita BUTA...
    CINTA SEJATI AKAN KEKAL SELAMANYA..
    Keep it up...Gud luck...
    8)

  • (Penulis)
    5) syud: cinta mmg gila n sweet! :)
    caha: thanx..sy mmg purposely buat ayat skema. lain dr yg lain skit
    pinkygul: thanx :)
  • 6) alamak... dah kahwin ke??? agak2, kalo die datang balik, beli tak goreng pisang tu lagi??? he3... nway, flow cerita bagus la...!
  • 7) bestnya citer.. :)

  • (Penulis)
    8) nameless: kalau sy jd p'puan tu sy dh x beli lg dh goreng pisang tu...haha!
    nurie: trima kasih :)
  • 9) bestnye..nice one! saya suka cerita ni.. ;)

  • (Penulis)
    10) terima kasih semua...sebenarnya ikut perancangan saya hampir2 nk delete cite ni sbb sy rasa karya sy yg ini mcm cite biasa je. tp sy cuba2 hantar kt kapasitor...
  • 11) eh,jgn delete.. Kalau rasa ada kelemahan sana-sini, member2 kat kapasitor ni ramai je boleh bantu. ;)
  • 12) just to say.. very nice and congrats.... adakah kamalia ni sama di CG? just asking....

  • (Penulis)
    13) jemmy76: CG tu apa ek??
  • 14) sweet gle..ade cket persamaan ngn crite sy.tp dia bkn la penjual goreng pisang eh.hhehe..
  • 15) CG tu forum Carigold... bila nak berkarya lagi??
  • 16) selebiriti << xada org perasan ke? writer pon xperasan? sele-birit-i . :P

    selebriti << is the real one if not mistaken
  • 17) "Err...ya,ya. Beri saya RM 1", jawabku teragak-agak

    hak hak hak.. beri saya RM 1 << bukan nak mintak pisang, mintak duit.
  • 18) yg lain2 nice effort. canteeek.

    ada ayat tak hidup. ada ayat kritik tak patut wujud (saya carik duit dengan selak buku ye, kalau xselak saya xdapat duit).

    tapi, abaikan. nice story BTw~^

  • (Penulis)
    19) jemmy76: oh..bukan sy tu... berkarya? tgh cari idea la ni :)
    zinggof: woops! my mistake! thanx... "beri sy RM 1" (kan org biasa beli kuih guna ayat tu, tp kalau x fhm it's ur mistake la...tp rasa2nye awk fhm kn). terima kasih utk komen2 anda...

  • 20) - Kamalia, saya suka citer awak ni, x payah la delete..
    - Percubaan pertama yer, keep it up, looking forward 4 percubaan kedua awak.
    - Lastly, btw saya pon suke tgk tangan laki yg macho.. hehe.. shhhyy..
    • bee
    • 16 years ago
  • 21) owh.. tergelak sy baca cerita ni... deja vu nih.. bezanya tak tnya pon nama... hahahaha.... oh, penjual pisang goreng....
    cerita ni ok, nice, so-so utk cubaan pertama...
  • 22) err.. kalau bahasa percakapan biasa, memang kita guna goreng pisang. tapi dalam penulisan sebaik mungkin gunakan struktur ayat yang betul... perkara yang diterangkan mesti mendahului penerangnya.. hukum D+M kalau tak silap saya... jadi, pisang goreng yang sepatutnya... bukan goreng pisang...

    (contoh yg selalu cikgu BM gunakan dalam kelas..huhuhu)

  • (Penulis)
    23) shazmiey: setahu sy kalau ikut dbp mmg goreng pisang. cikgu bm sy pn ckp cmtu. x tau la kalau dh tukar. neway, thanks for the info
  • 24) hm sorry kamalia, kalau ikut dbp, sbnrnya pisang goreng. tapi mungkin boleh rujuk pada pakar bahasa kot untuk lebih pasti gitu. :)
  • 25) emm...
    just nk share info..
    pisang goreng<<kata nama
    goreng pisang<<perbuatan
  • 26) erm...baru berpeluang mbacanya...ckup menarikk
    mcm pnah alami jer bnda ni sume...
    tu la kuasa senyuman..
    dpt memikat hati mata yg memndang...=)
  • 27) kebanyakan karya kamu adalah tentang seseorang yang mencari seseorang. Seseprang yang meminati seseorang secara rahsia dan sepertinya. Adakah kamu pun begitu? hu hu!
  • 28) salah eja "seseprang". sepatutnya "seseorang". Tapi, "seseprang" bermaksud sebiji buah dadu yang tiada nombor enam, lima, empat , tiga dan satu. hanya nombor dua daa..(rujuk kamus Balai)

  • (Penulis)
    29) Kurusawa: setiap karya individu tersebut, kalau x semua, ada separuh atau sedikit sebenarnya adalah pengalaman peribadi pengkarya itu sendiri atau apa2 saja yg dekat dgn dirinya.

    "seseprang"- oh baru ku tahu. tq
  • 30) nice story.. ^_^
    nt2 leh la panjangkan
    hehehe
  • 31) wow sweetnya cerita ini
    suke
  • 32) wow best2....bile bace tu bole feel mknanya menjadi la..hemm not bad laa

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia