Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Cerita Sebuah Semalam
Dari papan kekunci penulis – sekopi Entah siapa yang akan membaca karangan sebegini. Aku tak pasti,
kalangan audiens di kapasitor yang menggemari karangan sebegini. Sukar juga
mahu letakkan penjenisan untuk tulisan sebegini. Aku tak berapa pasti. Pada
aku, kalangan audiens kapasitor adalah dari golongan remaja kebanyakannya.
(Atau mungkin ada yang “bawah umur”). Kebanyakan kalangan remaja kurang
menggemari cara penceritaan sebegini yang agak ketuaan (lapuk?) pada aku. Karya
ini adalah sebuah karangan untuk aku cuba menulis dan belajar penulisan gaya
sebegini.Moga kalian menikmatinya. *** Cerita Sebuah Semalam Kenangan.
Dia punya cerita tersendiri. Kadangkala sungguh bermakna. Namun kadangkala juga
amat menyakitkan. Kenangan adalah
sebuah kisah. Pernah kenangan itu manis. Selalu juga kenangan itu pahit. Semua
perlu ada kenangan. Kerana kenangan adalah lumrah. Lumrah yang dicipta untuk
sekelian makhluk bernama manusia. Juga haiwan mungkin punya kenangan. Siapa
manusia yang tahu? Dengan lumrah
itu, manusia belajar dan kenangan adalah sebuah kisah silam yang patut menjadi
guru terbaik kepada makhluk bernama manusia. Walau baru sehari waktu silam yang
melepasi, tetap menjadi kenangan yang tak akan kembali. Kasihan, manusia
terpaksa meninggalkan kenangan itu melepasi jarum waktu yang singkat kalaupun
ia sangat indah. Semalam juga
sebuah kenangan. Kenangan singkat untuk seorang manusia. Banyak perkara berlaku
dalam dua puluh empat jam jarum berdetik. Ada manusia yang tidak sedar, mereka
sudah melepasi sebuah kenangan. Lalu mereka jadikan kenangan itu seperti udara.
Cukup sekadar melaluinya. Walhal, perkara itu cukup penting untuk mereka
ingati. Lalu semalam
jadi sebuah sejarah. Takkan lagi dapat diubah kerana akan kekal begitu. Sehari,
mampu mencorak kisah hidup seorang manusia, untuk hari-hari seterusnya. Jika
semalam itu elok, esok tak pernah siapa tahu apa akan berlaku. Ada manusia
berpegang dengan kata “hidup ini seperti roda, kadangkala kita diatas, dan
kadangkala kita dibawah”. Namun, ramai juga juga mahukan hidup sentiasa diatas
dan dia itu tak pernah mahu berada dibawah. Lalu, semalamlah yang mencorak
putar roda hidupnya. Tak pernah
terfikir, masa akan berhenti. Kalaupun hari-hari terakhir hidup seseorang di
muka bumi, itu bukanlah sebuah masa yang berhenti. Dia sekadar bertukar alam
dan menjalani hidup yang cukup berlainan di alam yang lain. Nasibnya di alam
itu cuma bergantung dengan hidupnya yang semalam. Semalam Iman mendongak
tinggi melihat jarum waktu yang berdetik di dinding. Jarum yang sentiasa
berdetik dengan penuh disiplin. Jam itu sebuah ciptaan manusia. Seperti
penciptanya, akan ada waktu akhir yang akan memberhentikan detik gerak jarum
itu. Iman bertongkat
siku di muka tingkap. Angin lembut terasa dingin membelai alur-alur lekuk di tubuhnya.
Selesa dan udara itu satu nikmat Tuhan kepada makhluknya. Gemalai gerak dedaun
pohon menepis lalunya angin. Ayam peliharaan
Mak Jah, ibunya Iman ralit mengais
tanah. Debu halus yang terkais, mengikut gerak angin lembut. Terbang, entah
hinggap kemana. Ayam-ayam itu masih mengais. Tidak peduli dia akan kemana debu
halus itu pergi. Kadangkala dia mematuk ke tanah memamah rezeki. Rezeki yang
sudah tertulis cara pencariannya. Pandang Iman
kepada sang ayam lantas teralih kepohon jambu. Sang Serindit berdada hijau
tekun mematuk buah jambu yang sudah kemerahan. Rezeki Sang Serindit memang di
situ. Di pohon rimbun hijau yang berbuah manis.Iman kagum, tenggek Sang Serindit
dihujung ranting kecil. Tidak pula ranting kecil halus itu menggugat gerak Sang
Serindit. Ciptaan Tuhan memang kena pada makhluknya. Berat Sang Serindit tak
pernah mengganggu utuhnya ranting halus itu. Indah, lakonan
alam ciptaan Tuhan mengkhayalkan seorang manusia yang sedang berada didalamnya.
Masa tidak lagi dipedulikan kerana peristiwa itu sungguh indah. Seketika
kemudian, warna langit berubah kekuningan. Iman mengarah deria penglihatan ke
penghujung ufuk. Cahaya mentari menyelinap di celah-celah awan. Bebola mentari
yang kian hilang terperosok di celah banjaran titiwangsa. Indah sungguh
serpihan cahaya mentari. Iman kian khayal menonton sebuah cerita alam. -Iman Iman memutar
tubuh. Mak Jah, ibunya sedang tersenyum. Iman turut membalas senyum. -Cantik kan Man? -Ya Mak. Iman kembali
memaling tubuh ke muka tingkap. Dia tidak mahu ketinggalan menonton detik
pengakhiran waktu siang hari itu. Hari yang akan menjadi kenangan untuknya bila
esok tiba. Mak Jah sekadar menggeleng kepala melihat perlakuan anaknya. Setiap
hari, tiba waktu senja Iman akan termenung di muka tingkap melihat matahari
jatuh. Sama, setiap hari. -Man, karang dah habis Man tutup tingkap ya. -Ya, Mak. Iman mengangguk
sesudah berkata. Sekadar untuk memberi penekanan bahawa arahan ibunya tadi akan
dilakukan. Hari kian gelap.
Bebola mentari sudah bersembunyi di balik banjaran memberi cahaya kepada
bahagian mukabumi yang lain. Sinar kekuningan yang tadinya menyelinap di celah
awan kian malap bersama gelapnya hari dan matahari berganti bulan. Iman
menghulur tangan mencapai pemegang daun tingkap papan yang kian uzur dimamah
masa. Engsel yang sudah berkarat membayangkan usianya, berkeriut mengeluarkan
bunyi. Rumah pusaka
bersama sebidang tanah peninggalan arwah ayah menjadi tempat berlindung Iman
dan Ibunya. Semenjak pemergian arwah ayah, kian hari, rumah itu kian hilang
serinya dimamah langkah masa bersama perginya arwah menghadap Ilahi. Iman menyeka air
mata yang tiba-tiba jatuh kepipi. Entah kenapa, hatinya tersentuh tatkala arwah
ayah terlintas dalam fikirannya. Kerap juga fikirannya melayang sampai kesitu.
Namun tidak pula pernah sehingga air matanya menitis kepipi.Lalu, Iman lantas
menyedekahi Suratulfatihah keatas arwah ayahnya. Mak Jah
memerhati perlakuan Iman. Berkerut dahinya memikirkan punca Iman menitiskan air
mata secara tiba-tiba. Hatinya terdetik untuk menegur. -Man, kenapa? Suara Mak Jah
tiba-tiba menerpa ke pangkal telinga Iman, tatkala dia baru menamatkan Surah
Al-Fatihah tadi. Iman memaling wajah bertentang mata dengan ibunya. Lalu, Iman
tersenyum melihat wajah tenang ibunya. Titis air di hujung kening Mak Jah
menandakan ibunya sudah berwudhuk menanti waktu maghrib tiba. -Man dah mandi? Maghrib dah nak masuk ni. -Belum mak, Man
nak mandi la ni. -Tak elok mandi waktu senja Man. -Ya mak. Iman melangkah
berlalu meninggalkan ibunya menuju ke bilik mandi. Mak Jah pula melangkah
menuju ke ruang sembahyang lalu mengenakan telekung dan mahana. Mak Jah
menghulur tangan mencapai naskhah Al-Quran di atas meja berdekatan dengan
tempat menyidai. Merdu mendayu
suara Mak Jah membaca surah, suaranya menjadi hiasan bunyian alam, bercampur
baur dengan bunyi serangga yang makin kuat bersahut di luar. Senja itu makin
berlalu. Bunyi azan Maghrib dari surau berdekatan menembusi dinding papan rumah. Iman yang
bertuala baru selesai mandi bergegas ke biliknya. Memang selalunya, sejak
beberapa hari Mak Jah kurang sihat ini Imanlah yang menjadi Imam solat kepada
Mak Jah. Namun hari ini dia sedikit terlewat. Hari-hari sebelumnya, ketika Mak
Jah sihat, selalunya Iman solat berjemaah di surau. *** Hari ini -Man,
kemana kau seminggu ni tak datang ke
surau? -Mak
tak berapa sihat Pak Imam. -Oh,
aku ingatkan kau dah pulang kebandar. -Saya
dah berhenti kerja Pak Imam. Lagipun mak tak berapa sihat. Risau juga nak
tinggalkan dia sorang-sorang dirumah
tu. -La,
kenapa tak dibagitahu. Habis tu, kamu tak bekerjalah sekarang? -Nampaknya
macam tu lah Pak Imam. Sementara ni, saya menoreh getah arwah ayah yang dihulu tu. -Kalau
dibagitahu awal-awal tak payahlah aku susah-susah. Kamu ni. Jom kita ke rumah
aku, ada benda aku nak bincangkan
dengan kamu ni. -Tak payahlah
Pak Imam, lagipun Mak tinggal seorang dirumah. -Ala,
sekejap je. Jom lah. Iman
menggaru kepala yang tidak gatal. Ibunya baru sahaja kebah dari demam. Menolak
ajakan Pak Imam pula seperti menolak rezeki jatuh keriba. -Jom,
sekejap je Man. Beria benar Pak Imam menjemput. Entah kerja apalah yang mahu di pelawa Pak
Imam itu. Iman mengangguk tanda setuju. Lalu, Iman bersama Pak Imam beriringan
menuju kerumah Pak Imam yang tidak begitu jauh dari surau. -Duduk
Man. Iman
duduk di kerusi berkusyen empuk. Pak Imam juga duduk bertentang dengan Iman. -Yah,
buatkan air. Apak ada tetamu ni. -Baik
pak. Sayup
gemersik suara Safiyah dari dapur. Safiyah anak gadis bongsu Pak Imam yang baru
menamatkan pengajian di Universiti institut Teknologi Mara Shah Alam. Juga sedang mengganggur beberapa bulan di
rumah semenjak menamatkan pengajian. -Siapa
paknya. Suara
Mak Limah, isteri Pak Imam pula nyaring menerjah dari dapur. Pak Imam tersenyum
kelat memandang Iman. -Mak
Limah kamu memang kuat suaranya. Iman
sekadar tersenyum dan mengangguk membalas penerangan Pak Imam berketurunan Jawa
itu. Sememangnya sekeluarga itu bersuara lantang. Dengar sahaja suara Pak Imam
mengimamkan solat. Suaranya jelas boleh didengar hingga ke luar surau walau
tanpa pembesar suara. -Budak
Iman ni ha. Katanya dah berenti kerja di bandar. Ni aku nak berikan dia kerja lah. Iman mengalih
pandang kearah Safiyah yang baru keluar dari muka pintu dapur. Sejak tamat zaman
persekolahan, baru sekali inilah Iman bertemu dengan anak gadis bongsu Pak Imam
ini. Beberapa tahun ini Safiyah sudah membesar menjadi seorang gadis yang
anggun. Safiyah… Fikiran Iman melayang ke tingkatan akhir persekolahan dan
perkenalannya dengan Safiyah. Kisah
kenangan silam Sunyi
suasana dalam perpustakaan, seorang pelajar bernama Iman tekun menyudahkan
kira-kira Matematik Tambahan yang diberi oleh gurunya. Sesekali dia menekan
butang nombor di kalkulator saintifik dan kemudian kembali menulis kira-kira di
kertas. Sunyi, cuma kedengaran bunyi angin dari kipas siling yang menemani pelajar
itu. -Abang
Iman Gemersik
suara gadis yang menegur di hadapanya. Iman yang tekun mengira bangun
mengangkat kepala. Seorang gadis yang masih muda. Mungkin pelajar dari
tingkatan tiga. -Ni
Abang Iman kan? -Ye,
Saya Iman. -Abang
Iman, nama saya Safiyah. Tingkatan tiga cekal. Saya nak minta tolong Abang Iman
ajarkan matematik. Iman
menggaru kepala tak gatal. Mahu ditolak, nanti dikatakan sombong. Dia juga
sedang sibuk menyelesaikan kerjanya sendiri sekarang. Memang dia tidak pernah
menolak jika ada pelajar yang perlukan bantuannya. Iman tersenyum melihat si
gadis ayu bersopan di hadapannya. Safiyah membalas senyum Iman. Di tanganya
memikul sebeban buku. -Abang
sibuk? Kalau sibuk tak pelah. -Takpe-takpe, sinilah, apa yang Safiyah nak Abang ajarkan? Safiyah
menghulur buku teks matematik lalu Iman sambut. Satu demi satu soalan yang
tidak dapat dijawab Safiyah diterangkan oleh Iman. Iman pelajar terbaik sekolah
itu, sejak dari tingkatan satu. Semua pelajar di sekolah kampung itu mengenali
Iman, pelajar terbaik sekolah. Manakan tidak, dia satu-satunya pelajar yang
berjaya mencapai 7A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Satu pencapaian
yang cukup baik untuk sebuah sekolah kampung. Sejak
itu, Iman semakin rapat dengan Safiyah. Safiyah kerap datang belajar bersama
Iman di perpustakaan. Selalunya dia berteman bersama beberapa orang rakan lain.
Iman sentiasa mampu menjawab semua soalan yang tidak difahami Safiyah dan
rakan-rakannya. Iman bagaikan menjadi seorang guru tidak berbayar kepada mereka. Hingga hari
terakhir Iman bertemu Safiyah selepas beberapa minggu keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) keluar. Seminggu sebelum
pemergian Iman ke Australia. Iman pergi tanpa pengetahuan Safiyah, mahupun
penduduk kampung yang lain. Berita pemergian Iman sekadar diketahuinya dari
guru sekolah. Cuma Ibu, Bapa,
dan seorang Bapa saudara Iman yang menghantar Iman. Itupun cuma di rumah salah
seorang Guru Iman yang sudi menghantarnya ke Lapangan Terbang. Pemergian itu
memutuskan hubungan persahabatan Iman dengan Safiyah serta sahabat yang lain. *** Sopan
beradap laksana dayang menghadap maharaja. Geraknya lembut penuh tertib, cukup lengkap
untuk seorang gadis Melayu yang beradat. Safiyah menyusun hidangan diatas meja dari atas talang. Dia menjeling Iman yang tidak putus pandang memerhati gerak
lakunya dari tadi sambil menyimpul senyum yang paling indah buat seorang yang
sudah lama dirinduinya. Iman membalas senyum. Selesai menyusun hidangan Safiyah
berlalu kembali ke dapur. Pak
Imam pula asyik menggulung rokok daun nipah berisi tembakau. Lincah jari-jemari
Pak Imam separuh umur itu menggulung rokok. Iman menanti kata dari Pak Imam. -Man, bila pulak kamu berenti kerja? -Sejak
mak tak berapa sihat ni lah Pak Imam. -Susah
nak dapat kerja sekarang Man. Si Yah tu ha, dah dekat setahun menganggur. -Rezeki
ada di mana-mana Pak Imam. -Ni, kalau kamu betul nak bekerja, kamu bolehlah
tolong jagakan kolam ikan keli aku. -Jaga
macamana Pak Imam? -Nantilah
aku ceritakan. Berkenaannya upahnya, Aku boleh bagi ikut hasil jualan ikan-ikan
tu setiap bulan. Kolam itupun PELADANG yang bagi. Semua, anak-anak ikan keli,
gali kolam, semua PELADANG sediakan. Aku ni
nak menolong budak-budak di kampung ni
aje.Tapi semuanya malas nak kerja
begitu. Iman
mengangguk faham. Air teh O yang sudah suam di dalam cawan di hirup perlahan.
Sekadar membasahkan tekak. Iman mendongak memandang jam di dinding. Jarum jam
dinding menunjukkan jam sepuluh dua belas minit. Sudah agak lewat kalau nak
diikutkan. -Esoklah
saya ke kolam Pak Imam. Hari pun dah malam ni, risau pulak saya dengan orang tua di rumah tu. -Esok
pagi, lebih kurang pukul sepuluh kau terus ke kolam ye Man. Sampaikan salam aku pada mak kau. -Baik
Pak Imam. Saya beransur dulu. Iman
menghulur salam dan Pak Imam menyambut. Dingin telapak tangan Pak Imam. Iman
mengerling ke muka pintu dapur. Safiyah berdiri bersandar di dinding menyimpul
senyum seindah puteri kayangan. Iman membalas senyum bersahaja. Iman
melangkah tenang menuju ke rumahnya. Jarak rumahnya dengan rumah Pak Imam tidaklah
jauh sangat. Tapi, kalau berjalan terasa juga penatnya. Iman berhati-hati
melangkah dalam gelap bersuluhkan cahaya bulan mengambang kelam. Allahuakbar!!! Iman
mengangkat kakinya. Tempat yang terkena gigitan oleh binatang yang tidak dikenali
terus membengkak. Menyeringai Iman menahan sakit. Iman melihat tempat gigitan.
Dari pengalamannya, cara gigitan itu seperti gigitan lipan. Calang-calang lipan,
jika lipan bara yang menyegat, lima minit sudah cukup untuk memitamkan Iman. Iman
membaca potongan ayat Al-Quran yang dipelajari dari arwah ayahnya. Ayat untuk
mengurangkan bisa gigitan serangga. Selesai membaca, Iman menghembus angin
kearah tempat gigitan lalu melurut sehingga ke ibu jari. Itu amalan arwah
ayahnya untuk mengurangkan bisa sengatan serangga. Mak… Tiba-tiba
terlintas ibunya di benak fikiran. Berkali-kali menerpa ke kepala Iman.
Terhencut-hencut dia menahan sakit, sambil melajukan langkah. Namun dikuatkan
juga semangatnya. Iman beristighfar di dalam hati. Dia berharap sesuatu yang
buruk itu cuma perasaannya. Sampai
di muka pintu, Iman mengetuk pintu perlahan. Mungkin ibunya sudah tidur. Dia
tidak mahu mengganggu. Kemudian terdengar suara ibunya menyebut
takbiratulihram. Tanda ibunya sedang bersembahyang. Iman menolak daun pintu. Mak
Jah sedang sujud. Iman bersyukur di dalam hati. Apa yang terlintas tadi cuma
perasaannya. Iman melangkah masuk tenang lalu mengambil Minyak Afiat berwarna
hijau di atas almari buku lama simpanan arwah ayahnya. Iman duduk di kerusi dan
menyapu ubat di tempat yang terkena gigitan. Dia mengurut-ngurut kakinya yang
masih membengkak. Berdenyut-denyut kebas. Iman
mengerling kearah ibunya yang sedang solat. Namun, masih lagi belum bangun dari
sujud. Sudah hampir lima belas minit. Terus sahaja jantung Iman berdegup
kencang. Sesuatu bermain di kotak fikirannya. Namun Iman masih berfikir dengan
baik. Mungkin Ibunya sedang solat sunat. Hilang
sakit di kaki. Iman menanti Ibunya bangun dari sujud. Hampir sepuluh minit
menanti, Iman mengucap dua kalimah syahadah lemah. Perlahan Iman melangkah
menuju kearah Ibunya yang sedang sujud. -Ibu Iman
berbisik perlahan di telinga ibunya. Dia menyentuh telapak tangan ibunya di
atas sejadah. Sejuk. Serta merta, tanpa dapat dikawal, air mata Iman meluncur
laju di pipi. Ibunya sudah pergi menghadap Ilahi, tanpa dia sempat memohon
maaf. Juga tidak dihadapan dia. Namun, pemergian ibunya cukup sempurna. Mak Jah
pergi ketika solat dan dalam keadaan sujud. Jelas sekali anugerah dari Yang
Maha Esa. Iman
membaringkan jasad ibunya di atas sejadah. Wajah jenazah cukup berseri. Air
wudhuk di hujung kening masih belum kering. Iman mencium dahi jenazah ibunya. Kemudian
dia tutupkan jasad kaku tidak bernyawa itu dengan kain batik yang tersidai.
Iman menarik nafas panjang. Ibunya sudah pergi dijemput Ilahi mengikut jejak
arwah ayah. Air mata dipipi Iman masih belum berhenti mengalir. Iman
melangkah lemah terhencut-hencut menahan sakit kakinya. Dia perlu ke rumah Pak
Imam memberitahu pemergian ibunya. Dia mahu menguruskan jenazah Ibunya malam
ini juga. Iman melangkah berhati-hati dengan kaki yang makin besar membengkak. Sampai
di muka pintu rumah Pak Imam. -Assalamualaikum… Pintu
terbuka. Pak Imam yang membuka pintu. Berkerut dahi tua Pak Imam kehairanan.
Kenapa pula Iman kembali kemari. Entah ada barang yang tertinggal. Iman
terhencut-hencut perlahan memanjat tangga rumah Pak Imam. Kemudian dia
menghampiri telinga Pak Imam lalu berbisik. -Mak
dah pergi, dalam sujud solat. Waktu saya balik tadi. -Innalillahiwainnailaihirojiun…
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) sedihnya...
sabar ye iman...(tetiba teringat incik iman ku...isk..isk..sob..sob)- putri_alya
- 16 years ago
-
2) sedihnya..smbg2..
- rObOt
- 16 years ago
-
3) nice one sekopi :)
kadang kala, lain dari yang kebanyakan yang lain tu membawa kesegaran :)
lagipun, bagus juga mencuba satu cabang baru yang belum kita terokai. :)
penceritaan yang kemas, jalan cerita yang baik.
kudos!- cahatomic
- 16 years ago
-
4) Pertama kali aku cuba menulis cerpen dan ubah agar tiada persamaan dengan karya novel aku. Sebenarnye aku cuba mencari style Tamar Jalis - penulis SIRI BERCAKAP DENGAN JIN yang kemudiannya digubah dengan sedikit kemudaan. hehe.
lya, lap air mate tu..
er.. Bot, cite ni da tamat. sedihnye.
bro saha, thanks.. masih tercari-cari identiti.
- Sekopi
- 16 years ago
-
5) NICE STORY
sedap
garapan yg bgs
cita menarik
klu panjang lg pown tentu lg bez
tahniah- niku
- 16 years ago
-
6) sedih nyer..
- rain
- 16 years ago
-
7) saya lebih suka kalau tamat mcm ni. ntah la..sy suka cite yg tergantung.
pd pendapat saya la kn, takyah selit kisah safiyah dgn iman... cukup cite ibu iman,iman dan tok imam je...
nice...- kamalia
- 16 years ago
-
8) besh!besh!
- wf1234
- 16 years ago
-
10) serius terharu nie..
- marea_666
- 16 years ago
-
11) agak tersentak dgn penghabisan cerita mcm tu..
- bluessie_7
- 16 years ago
-
12) sekopi.. salut lah!
- Ancalime
- 15 years ago