Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Papa Jim-Kenangan Terindah-

  • 15
  • adra
  • 15 years ago
  • 4,721
  • FREE

 

'Macam mana aku nak lupa kalau semua yang dia tinggalkan adalah kenangan manis untuk aku…'


Pagi ini, dia tergopoh gapah meluru ke kelas. Apa sahaja jalan pintas untuk sampai dengan cepat ke kolej dia gunakan. Sesekali dia mengerling jam tangan. Ah! Dah lewat 15 minit! Desis hatinya. Mukanya berkerut. Berkeluh kesah dengan kelewatan pada kali ini. Maklumlah hampir dua bulan menghabiskan cuti semester dia tak perlu risau mengenai jadual kelas. Tapi hari ini berbeza, segalanya dah lain. Tak sama macam dulu. Dengan muka sugul, jejaka berwajah serius ini mengetuk pintu kelas. Pensyarah yang telah pun memulakan pembelajaran, memandang dia dari atas ke bawah.

“Bagus, hari pertama dah tunjuk perangai. Adzim Muadz ya?” Dia mengetap bibir sebelum menjawab soalan pensyarah itu. Untuk subjek yang baru semester ini, dia telah mencipta bahana. Habislah! Tentu pensyarah ini akan mula meneliti setiap tingkah lakunya. Pada hemat dia, pensyarah lelaki yang mengajar subjek Struktur Data dan Algoritma ini nampak tegas orangnya.

“Ya saya. Maaf encik. Atas kelewatan yang tak disengajakan ni,” balasnya lalu melilaukan pandangan untuk mencari kerusi kosong untuk duduk. Pensyarah itu hanya tergeleng sebelum menyambung penerangan. Budak ni nampak tak bermaya, kenapalah agaknya? Pensyarah berusia pertengahan 40-an itu hanya meneka dalam hati.

“Jim, kau nak join kitorang lepak tak? Dah lama gila kitorang tak lepak dengan kau,” pelawa Adha sambil mencuit bahu rakan sekelasnya itu.

“Takpelah. Aku nak balik,” jawab jejaka yang lebih akrab disapa Jim itu. Dia menggalas beg dan meninggalkan rakan-rakan yang masih terpinga.

“Ish! Apa kenalah dengan mamat sorang ni? Ada dalam nak dekat setahun dah dia tak lepak dengan kita. Mula masuk kolej je, suka bergaul dengan orang. Lepas nak hujung-hujung sem ni, dia jadi macam kera sumbang. Tak mesra langsung,” rungut Adha yang masih terpaku di tempat duduk kosong Jim.

“Dia ada masalah kot. Bukan kau tak tahu dia tu jenis perahsia,” tokok Izhan yang sekadar menjadi pemerhati dari tadi.

“Jomlah gerak. Aku dah kebulur tak ‘hengat’ ni,” ajak Adha sambil menepuk perutnya. Izhan hanya tergelak.

Sebelum pulang ke rumah, Jim singgah sebentar ke Giant untuk membeli barang keperluan. Dari satu rak ke satu rak dia berjalan. Sambil membaca nama barang yang telah dicatat, satu persatu barang dicapai. Sesekali dia tergeleng-geleng. Dan ada ketikanya tergelak pula.
“Okey! Puting angin, pampers, susu tepung dan minyak bayi Johnson. Emm ada apa lagi yang tak cukup ke?” Seketika dia menggaru dagu sebelum memeriksa sekali lagi senarai barang.  Setelah berpuas hati dengan semua pilihannya, Jim segera menuju ke kaunter bayaran.

“Dik, kira sekali ya,”mencerlung biji mata Jim bila terdengar suara mengada seorang gadis yang sedang menunggu giliran di belakangnya. Dengan wajah tak bersalah, perempuan itu melemparkan senyuman. Jim terkernying. Tayang muka tiada perasaan.

“Emm, maaf. Awak nak suruh saya bayarkan?” Soal Jim musykil. Terangkat keningnya. Gadis itu sekadar mengerdipkan mata. Ada unsur-unsur menggoda. Berderau darah Jim dibuatnya. Dekat kaunter ekspres ni pun nak buat hal ke? Entah-entah orang gila mana yang terlepas kat sini? Gerutu Jim dengan keraguan. Dia mula menilik penampilan gadis ini dari atas ke bawah. Muka memang manis, kulit pun tak terlalu cerah. Rambut berikat elok, pakaian takde pulak compang camping. Diam-diam Jim mula menganalisis.

“Ha ah, tak salah kan?” Selamba gadis itu berkata. Spontan Jim menjegilkan mata. Gadis itu telan liur.

“Apa pulak tak salah? Saya tak kenal awak langsung. Masa bila pulak duit saya jadi duit awak? Dik, kira semua barang yang ada dalam bakul ni je,” tegas nada Jim.

Gadis itu mengetap bibir. Terlukis riak hampa di wajahnya. Dalam hatinya dia berkira-kira. Harus membiarkan sahaja jejaka ini berlalu atau pun menjelaskan perkara sebenar bahawa dia sedang dilanda darurat?

Sebaik sahaja menyelesaikan urusan pembelian, Jim bergegas melangkah keluar. Namun dia terhenti bila menyedari tangannya dipaut dari belakang. Membuntang matanya bila melihat gadis tadi bertindak menghimpit dirinya hingga terduduk di bangku. Kalaulah dia hendak berkasar, tak payah kerahkan segala kudrat yang ada pun dah cukup untuk mengilas gadis itu ke dinding. Orang ramai yang lalu lalang mula berbisik-bisik. Tak kurang juga memandang sinis ke arah mereka walaupun tidak diketahui yang sedang berlaku.

“Wei! Apa kau nak ha? Aku dah cakap, takkan bayar! T.A.K.K.A.N!” Bentak Jim. Naik mendadak nada suaranya. Bengang sungguh dia bila diperlakukan begini. Paling benci kalau ada yang cuba hendak mengambil kesempatan. Nanti ada pula dituduh menyakiti anak dara orang. Padahal gadis ini yang memulakan semuanya. Menempel tak tahu malu.

“Awak, awak kena tolong saya. Sebab saya tengah darurat sangat ni,” lirih sahaja suara si gadis. Wajahnya muram. Lama termenung, kemudian merebahkan punggung di sebelah Jim. Makin musykil jejaka ini jadinya.

“Apahal pulak aku kena tolong? Aku pernah hutang kau ke?” Sinis ayat Jim, sengaja hendak menyindir. Menduga kesabaran si gadis. Terbit keluhan dari seulas bibir nipis itu.

“Bukan, saya sebenarnya…” tanpa diduga, dia mendekatkan bibir ke telinga Jim. Entah mengapa, Jim hanya membiarkan perlakuan gadis itu tanpa sekelumit amarah. Mungkin tersentuh melihat reaksi si gadis. Melopong mulut Jim tatkala gadis itu membisikkan ayat-ayat keramat. Gulp! Dia hanya mampu menelan liur. Seterusnya membuka dompet dan mengeluarkan sehelai not sepuluh ringgit.

“Cukup?” Soal Jim.

“Cukup! Nanti saya pulangkan duit baki,” dengan senyuman memekar di bibir gadis tadi berlalu masuk ke dalam Giant. Tanpa menunggu lebih lama, Jim angkat kaki. Dia tak rela untuk berada di situ walau hanya sesaat lagi. Dan pintanya moga selepas ini dia takkan bertemu dengan perempuan seperti ini. Titik! Tentang duit baki…halal sahajalah.

Kereta Satria GTI berwarna putih miliknya diparkir di tepi rumah. Kediaman di tepi pantai milik keluarganya sengaja dibina luas dan lapang tanpa pagar. Sebaliknya dihiasi rimbunan pokok bunga pelbagai jenis. Paling banyak tentulah bunga kertas kegemaran emak.

“Assalamualaikum,” sopan Jim memberi salam. Terjengul Faris, kelibat adik bongsunya yang menjadi peneman bermula saat ibu bapa mereka pulang ke kampung untuk menjaga nenek. Anak teruna berusia lapan belas tahun itu sedang menunggu jawapan untuk menyambung pengajian ke matrikulasi. Tetapi boleh diharap benar untuk menjaga anak saudara yang baru berusia dua bulan. Jim sendiri, selaku anak sulung telah diberi kepercayaan untuk menjaga adik-adik seawal usia tujuh tahun. Dan kini, dia menurunkan ilmu kepada Faris pula. Bersyukur kerana adiknya ini cepat belajar dan menyesuaikan diri.

“Fifi macam mana dik?”

“Dia budak baik. Tak susah nak jaga. Alah along, tengoklah dia ikut perangai siapa,” seloroh Faris.

“Ha yelah tu. Nak kata ikut perangai Ayis ye?” gurau Jim lantas memaut mesra bahu adiknya.

Tanpa berlengah Jim terus meluru masuk ke biliknya. Menjenguk si kecil yang lena di dalam katil bayi. Diusap rambut lebat milik anak perempuan kesayangannya ini. Satu-satunya, tanda cinta dia dan seseorang. Seseorang yang telah mendahului dirinya kala dia dan Fifi masih memerlukan. Tanpa sedar, matanya terasa hangat. Namun Jim cuba mengawal hiba dari terus mengocak hati. Dia kini bukan Jim yang dulu, bukan lagi menjalani hidup berdua. Dia telah punya amanah yang besar. Tanggungjawab membesarkan Fifi tergalas pada bahunya. Naluri kebapaannya menggunung bila saja menatap wajah polos Fifi.

Faris hanya memerhati tingkah abang sulungnya tanpa bicara. Dia sendiri menjadi saksi betapa hancur hati abangnya saat menerima hakikat isteri yang dicintai telah pergi menyahut seruan Ilahi. Semasa dalam pantang, Nadia kakak iparnya telah mengalami tumpah darah akibat tergelincir. Malangnya saat itu, tiada sesiapa yang menyedari kejadian yang menimpa Nadia. Yang paling kesal adalah Jim, kerana hanya mampu mendakap tubuh kaku isteri tersayang.

***

Dia mendekapkan si kecil yang masih merengek itu rapat ke dada. Dikucup ubun-ubun sambil menepuk-nepuk belakang badan bayi yang masih lembut itu.

“Syhh, diam sayang,” pujuk Jim.

“Sayang anak papa, malam ni biar papa dodoikan. Mama dah takde. Sayang, jangan menangis lagi. Biar papa tidurkan sayang ya. Subhanallah, walhamdulillah, walailahailallah,” berulang kali Jim membisikkan kalimah itu ke telinga puteri kecilnya.

Tanpa jemu walaupun matanya sendiri sudah tak tertahan lagi. Sudahlah esok masih ada kelas pada awal pagi untuk dihadiri. Tidak dinafikan menjadi bapa pada usia yang muda banyak mengajarnya erti bersabar dalam mendahulukan keperluan anak berbanding diri sendiri. Dari seorang Jim yang ego dan dingin, kelahiran Fifi perlahan-lahan menghakis segala sikap negatif itu. Pada Fifi yang masih tak mengerti apa-apa dia meluahkan segalanya.

Jim membiarkan Fifi betul-betul lena sebelum meletakkan si kecil kesayangannya itu ke atas katil. Setelah pasti, anaknya tidur nyenyak dia membaringkan Fifi bersebelahan dengannya. Hanya sewaktu dia tiada di rumah Fifi akan diletakkan di dalam katil bayi. Jika dia ada di rumah, anaknya akan tidur dalam dakapannya. Setiap saat, dia mahu Fifi berada di depan matanya.

“Nad, terima kasih tinggalkan permata berharga untuk abang. Kalau tiada Fifi, entah macam mana abang nak bangkit semula. Sayang, jumpa lagi di sana,” ucap Jim sebak lalu mengucup bingkai gambar yang memuatkan gambar sewaktu hari pernikahan mereka.

***

Alisya menggosok matanya bagai tak percaya dengan apa yang sedang dilihat. Dia mempercepatkan langkah untuk memastikan kesahihan mata. Cukup rapat dia mengekori si jejaka dari belakang. Bila merasakan telah tiba masa untuk bertindak, dia tersengih-sengih macam kerang busuk sebelum menepuk bahu Jim. Sebolehnya, Alisya tidak mahu jejaka itu terkejut dengan kehadirannya. Namun dia tersalah jangka apabila lelaki itu bergegas menjauhkan diri.

“Awak! Tunggulah!” Jerit Alisya tanpa mempedulikan perasaan jejaka itu. Semakin kalut si jejaka mengatur langkah. Tak tahu mana lagi dia boleh menyorok. Alisya hanya tergelak. Naik sakit perutnya.

“Awak! Kenapa panik sangat macam nampak alien? Saya ni menakutkan sangat ke?” Soal Alisya lucu. Jim mengeluh. Apalah malang sangat nasibnya jumpa lagi dengan perempuan ini?

“Tak, aku ada kelas. Nak cepat,” dalih Jim. Dia melilaukan pandangan ke arah lain. Mengelak daripada memandang muka Alisya. Makin dilayan, makin banyak songeh pulak.

“Oh ya, ni duit awak. Kenapa hilang? Saya terpacak macam tiang lampu kat situ tunggu awak,” omel Alisya lalu menghulurkan sehelai not bernilai sepuluh ringgit kepada Jim.

‘Baru nak jadi tiang lampu, belum jadi pun,’ ulas hati kecilnya. Dia sudah rimas melihat gelagat gadis yang tak reti diam itu. 

“Eh tak payah! Aku halalkan,” beritahu Jim sambil mengangkat tangannya. Tanda menolak secara baik.

“Lah! Saya dah pinjam duit awak kenalah bayar balik,” omel gadis itu tak mahu mengalah. Jim gigit bibir. Susah bahasa betul perempuan ni! Orang dah kata tak nak tu tak naklah! Hisy! Bentaknya sendiri.

“Tak payah! Aku ikhlas!” meninggi lagi nada Jim. Kali ini lebih kuat berbanding sewaktu mereka di Giant dulu.

Tetapi Alisya tetap dengan pendiriannya. Hutang perlu dibayar. Lagi pula, dia amat berterima kasih kepada jejaka itu yang sudi membantu di saat dia memerlukan pertolongan kecemasan. Maklumlah, sewaktu dilanda kegawatan tatkala ‘bulan mengambang’, dia tertinggal dompet. Sehingga hendak beli ‘barang’ pun terpaksa tebalkan muka meminjam. Mujurlah ada lelaki perengus ini!

“Kalau tak nak terima takpe, saya tinggalkan aje kat sini. Hutang saya dah selesai,” setelah meletakkan duit ke dalam saku hadapan kemeja Jim, Alisya terkocoh-kocoh meninggalkan jejaka itu. Terkebil-kebil Jim dibuatnya.

“Lepas ni kau jangan ganggu aku! Kita takde kena-mengena!” Laung Jim. Alisya hanya buat tak tahu. Tengoklah kalau rajin dia akan menyepi. Kalau tak, terpaksalah jejaka itu melayani kerenahnya.

“Macam ni rupanya kau nak tinggal duit? Letak dalam kocek baju aku?” Jim hanya menggeleng sambil memegang duit yang hampir keronyok itu. Bertuah punya budak. Degil sangat! Dan tatkala itu, dia hanya mampu terkaku. Membiarkan bayangan wajah Nadia menyentuh penglihatannya. Hati ini terlalu merinduimu, sayang!

***

“Fifi!” Panggil Jim yang baru pulang dari pasar. Bila saja mendengar suara papanya, si kecil yang telah berusia hampir tujuh bulan ini menggerakkan walker menghampiri Jim. Faris yang sedang bercuti, membantu abangnya membawa barang yang telah dibeli ke dapur.

“Alah sayangnya anak papa ni. Tengok tu, nak menggigit pulak. Nak tumbuh gigi lagi ya?” Agah Jim sambil mencium-cium pipi mungil Fifi.

Si kecil itu ketawa mengekek bila papanya menggeletak tapak kakinya. Sungguh manja Fifi dengan Jim. Kepalanya dilentokkan pula ke dada Jim. Sejak berusia dua puluh hari, si kecil ini tak lagi berpeluang merasa belaian penuh kelembutan seorang ibu. Hanya pada papa dia menumpang kasih, berkongsi sayang. Oleh sebab itulah, Jim tak sanggup untuk mengupah sesiapa pun untuk menjaga puteri kecilnya ini. dia lebih percayakan Faris dan emak yang akan pulang ke sini sekiranya Faris kembali menyambung pengajian.

 “Adzim Muadz! Saya betul-betul tak puas hati dengan prestasi tugasan kamu. Saya tahu kamu boleh buat lebih baik,” kata-kata pensyarah di hadapannya bagai menyedarkan Jim dari lamunan. Segala yang berlaku bukan kehendaknya, dia cuma terlalu sibuk. Gundah memikirkan Fifi. Sehingga makan minum tidur dan pembelajarannya diabaikan sama sekali.

 Jim terbangun bila mendengar suara tangisan Fifi. Lain benar cara Fifi menangis kali ini. Terpisat-pisat Jim mengangkat tubuh Fifi dari katil. Dia membelek belek setiap inci tubuh anak kecilnya, bimbang digigit nyamuk ataupun serangga lain tanpa disedari. Namun tiada sebarang tanda. Dia cuba pula memerika lampin pakai buang Fifi. Bersih! Namun tangisan Fifi masih belum reda. Jarang anaknya buat perangai lama begini.

Lalu dalam kepekatan malam, ketika jam menunjukkan pukul dua pagi Jim bergegas memandu ditemani Faris untuk ke klinik berhampiran. Dan kerana itulah, dia terlupa hendak menyempurnakan tugasan. Kesibukan menjaga Fifi yang mengalami demam panas membuatkan sepenuh perhatian Jim tertumpu pada si kecil itu.

“Maafkan saya, encik. Saya janji lain kali saya takkan ulang lagi,” pensyarah itu merenung Jim.

“Awak macam ada masalah. Boleh beritahu saya? Jemputlah duduk dulu,” pelawa pensyarah itu. Dia tak mahu terus terusan melemparkan tuduhan melulu. Sedangkan selama ini dia mengagumi Jim sebagai pelajar yang sangat menumpukan perhatian pada pelajaran. Malah, di dalam kelas dia dengan mudahnya dapat menyelesaikan permasalahan aturcara sedangkan rakan-rakan lain masih terpinga. Namun kebijaksanaan itu seakan terganggu oleh sesuatu.

“Sebenarnya…” dengan berat mulut, Jim menceritakan satu persatu kisah hidupnya.

Alisya tak jadi hendak mengetuk pintu bilik ayahnya. Dia jadi asyik memasang telinga. Mendengar kisah hidup seorang jejaka yang kehilangan isteri tersayang sewaktu anak mereka baru berusia dua puluh hari. Bergenang air matanya mendengar cerita itu. Dari cara jejaka itu bercerita, dapat Alisya simpulkan bahawa sungguh dalam cinta yang terbina dalam hati jejaka itu buat arwah isterinya juga anak mereka. Dia jadi terharu. Namun bila mendengar tombol pintu ditulis dari dalam, dia segera menyembunyikan diri di sebalik dinding. Senyap dia menahan nafas. Air mata yang tumpah diseka perlahan. Tetapi sebagai gadis sensitif dan manja, Alisya tak mampu menipu perasaannya. Dia merasa sungguh bertuah kerana masih mempunyai ibu bapa menemaninya hingga ke hari ini. Terlalu berbeza dengan nasib seorang bayi yang telah kehilangan ibunya.

Jim menghendap apabila telinganya menangkap suara esak tangis. Ternganga mulut bila dilihatnya gadis sepuluh ringgit sedang mengelap mata dengan tisu. Alisya masih melayan perasaan. Tak sedar dirinya sedang diintip.

“Kenapa kau nangis?” Terpempan Alisya mendengar pertanyaan suara garau itu. Segera dia berpaling. Erk? Pucat lesi wajahnya bila terpandangkan jejaka itu. Mamat perengus ni rupanya! Itu kisah dia? Dah bazirkan air mata aku! Getus Alisya sendiri.

“Hobi saya menangis nak buat macam mana,” selamba dia menjawab.

“Tipu,”

“Kenapa mata kau merah?”
 
Jim terdiam.

“Aku…”

Lalu pengakuan itu telah membawa mereka ke wakaf siber. Masing-masing kekok untuk berbual. Alisya dengan rasa tak sangkanya, manakala Jim pula dengan rasa segannya. Namun inilah hakikat yang tak dapat dinafikan, dia bergelar ayah seawal usia dua puluh dua tahun.

“Awak mesti tak dapat lupakan dia kan?” Jim menggeleng. Mengerti persoalan itu menyentuh perihal arwah isterinya.

“Macam mana aku nak lupa, kalau semua yang dia tinggalkan adalah kenangan manis untuk aku,” Jim menghela nafas dalam-dalam. Dia harus mencari kekuatan. Nadia adalah masa lalu dan kenangan terindah. Fifi adalah tanda cinta dia dan Nadia. Masa depan adalah tentang perjuangan antara dirinya dan Fifi.

“Patutlah awak garang sangat dengan saya,” perlahan sahaja suara Alisya. Bimbang menyinggung perasaan Jim.

“Bukan sebab tu. Tapi sebab aku rasa kau masih muda. Macam adik-adik aku. Sebenarnya aku takde adik perempuan. Mungkin sebab tu aku terlebih garang dengan kau,” Alisya mula tergelak mendengar pengakuan jujur Jim.

“Kalaupun macam tu, awak tak boleh garang sangat. Kena hormati saya sebagai manusia jugak. Bukan sebab saya ni perempuan ataupun lelaki,”

“Kau macam arwah isteri aku. Apa kata kau jadi adik aku? Abang yang garang macam aku, perlukan adik banyak mulut macam kau,”

“Hah? Biar betul?”

“Apa tak betulnya?”

“Alah, tak seronoknya ada abang garang,” usik Alisya dengan gelak nakal.

“Ah! Tak kira. Ozom,” balas Jim selamba. Lagaknya bagaikan budak kecil pula.

“Alah!” Rungut Alisya bila kemenangan berpihak kepada Jim. Walaupun berbeza sikap, itulah yang merapatkan hubungan mereka. Meski Alisya merasakan Jim garang namun baginya tak salah menganggap jejaka itu sebagai abang. Bagi Jim pula, perangai Alisya melengkapi dirinya yang telah lama inginkan seorang adik perempuan. Habislah gadis itu nanti, bakal dibuli!

Alisya menggaru-garu kening. Sejak balik dari kelas tadi, dia mula gelisah. Membawa ke malam, matanya tak juga lelap. Macam mana nak tidur, kalau otak masih ligat berfikir. Tak senang duduk bila pensyarah menyuruhnya melaksanakan tugasan berbentuk montaj video. Sempena hari bapa, dan temanya haruslah mengenai jalinan kasih anak dan bapa. Puas dia berfikir, hendak mengambil siapa sebagai model? Kalau nak ambil ayahnya sendiri ada pulak orang yang sibuk mengata. Maklumlah dia anak pensyarah. Satu kolej kenal ayahnya. Hah! Timbul satu idea. Bergegas Alisya mencapai telefon bimbit dan menunggu talian bersambut dengan sabar.

Teraba-raba Jim menekan butang bila telefon bimbitnya berbunyi. Tak sempat nak tengok siapa yang menelefon.

“Helo, ha ada apa?” Kedengaran serak suara Jim. Dia menjawab telefon dengan mata yang terpejam sambil sebelah tangannya memangku Fifi yang nyenyak.

“Abang Jim, tolong Isya. Ada hal penting,” takut-takut dia menyuarakan hasrat. Jim hanya mendengar. Ditadah juga telinganya walaupun mata tertutup.

“Apa dia?”

“Emm, kena janji dulu,”

“Lah! Apa halnya ni? Cepatlah dik, abang Jim ngantuk,” balas Jim dengan suara yang betul-betul serak.

“Janjilah dulu,”

“Emm, okeylah,”

“Jadi model untuk video Isya sempena hari bapa nanti,”

“Hah!” Namun Isya lebih dulu mematikan talian. Yang penting Jim telah berjanji dengannya.

***

Alisya menyiapkan segala tetapan bagi kamera videonya sementara Jim sedang bersedia untuk memandikan Fifi. Sebaik sahaja menekan butang rakam, aksi semulajadi papa muda itu dan anak perempuannya dirakam. Tiada masalah bagi Alisya untuk menjalankan tugasnya kerana Fifi tak banyak ragam. Malah, Jim juga tidak kekok menguruskan si kecilnya.

“Sayang, anak papa. Sekarang masa untuk sapu minyak. Urut sikit, legakan kaki dan badan,” Jim bercakap-cakap dengan Fifi untuk melihat tindak balas anaknya. Si kecil ini tersenyum bila tangan sasa papanya menyapukan minyak bayi Johnson berharuman lavender ke tubuhnya. Mungkin ingin menyampaikan, rasa hati betapa bahagia saat dibelai oleh ayah tersayang.

Alisya terus dengan kerja merakam. Dia tersentuh melihat aksi dua beranak ini. Setelah selesai mengurut anak kesayangannya, Jim menyarungkan pakaian dengan berhati-hati tubuh Fifi. Dia meneruskan tugas sebagai bapa dengan membancuh susu. Berdasarkan sukatan yang tepat dan suhu yang tidak terlalu panas bila diletakkan pada tapak tangan, Jim menyuakan botol susu kepada puterinya yang sudah merengek.

“Okey sayang. Fifi nak tidur lah ni. Dah nak bunyikan siren,” seloroh Jim lalu membawa Fifi ke dalam dakapan. Si kecil itu terus menyusu. Bertambah lentuk bila papanya menepuk-nepuk punggung.

“Dia memang macam ni. Kalau lapar, suka buat bunyi. Lepas tu, dapat susu gerenti tidur,” terang Jim tentang rutin puteri kecilnya sambil memandang kamera video. Alisya menunjukkan tanda bagus.

***

“Abang! Isya ada berita baik,” sapa gadis itu riang bila mereka bertemu untuk makan tengahari bersama. Jim hanya tersenyum meleret.

“Berita apa? Kau nak kahwin ke?” Usik Jim.

“Ish, abang ni! Ke situ pulak. Jomlah ikut Isya!” tanpa berlengah Alisya menarik tangan Jim yang masih terpinga. Dia berkira-kira untuk memberi kejutan buat jejaka ini sempena hari bapa bersama rakan sekelas Jim yang lain. Hasil pakatan dengan Adha, dia hampir berjaya merealisasikan kejutan. Cuma, Jim yang terlalu sibuk mungkin terlupa akan tarikh keramat tersebut.

“Eh? Ni kenapa ada gambar abang dengan Fifi? Bukan video hari tu ke?” Soal Jim kehairanan. Adha hanya menuggu isyarat daripada Alisya. Sebaik sahaja gadis itu mengangkat tangannya, lampu bilik tayangan dibuka.

“Selamat hari bapa untuk Papa Jim!” Terharu dan sebak bila matanya melihat kesemua rakan sekelas berada di dalam bilik ini. Tak mampu berkata apa. Amat berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan. Mereka sedang menonton video sehari bersama Jim dan Fifi, tugasan Alisya.

“Abang Jim, ini hadiah untuk abang sempena hari bapa. Ayah yang bagi idea ni kat kitorang,” jelas Alisya. Jim terus terpaku. Dia hanya mampu memeluk Encik Mufid yang baru tiba di bilik tayangan.

“Terima kasih, encik,” ucap Jim terharu.

“Terima kasih semua!” Laung Jim pada kawan-kawannya.

Adha, dan semua rakan lelaki bergilir memeluknya. Tanpa sedar, genangan air mata mula menuruni pipi. Tiada kata yang mampu mentafsirkan perasaannya kala ini. Kehadiran Fifi, ditambah dengan penghargaan daripada kawan-kawan membuatkan Jim hanya terdaya mengukir senyum. Untuk berbicara, dia kehilangan kata. Dan dia mula sedar, usia bukanlah pengukur untuk seseorang itu bergelar papa. Sesungguhnya menjadi seorang ayah adalah pelengkap hidupnya sebagai seorang lelaki. Syukur alhamdulillah kerana dikurniakan kenangan terindah sebegini untuk terus dikenang.


  p/s: untuk semua lelaki yang bakal ataupun telah bergelar bapa, sayangilah anak-anak anda dan hargailah isteri anda. Dan sebagai anak, saya akan terus menyayangi abah tercinta. Selamat hari bapa!

 

 

 


 
 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wah,
    it's a nice story..
    mesti fifi tu cumil kan?
    hehehehe..
  • 2) wa....ada can la kawen muda...huhuhu
    ceta yg best...
  • 3) so sweet la papa jim..
  • 4) nice story...jrg baca cerita psal jd ayah pd usia muda..^_^
  • 5) ouh tabahnye die
    22 thn dah jadi bapa
    wow
  • 6) tabah sungguh jim tu. kan baik kalau dia boleh berkahwin dengan alisya. hehehe... (gatal betul)

    nice story adra!

  • (Penulis)
    7) ucu>kat dlm citer blh la...hehehe.

    ridh>ewah2... mmg gtl hahaha. cukup la jd adik jek
  • 8) one question..why die kahwin muda sgt? Ada yg akak tak jumpa ke ni..kena baca lagilah jawabnya.

  • (Penulis)
    9) tak dinyatakan kak...
    lupe nak tuliskan sebabnya.

    hehhee....
  • 10) Tak apalah Adra cuma sekadar pemerhatian orang tua kalau nak tahu tu mesti dari A hingga Z nak jelas..kalau tak, ringan mulut je nak bertanya. maaflah ya..dah orang tua, beginilah. Adra sihat? Oh ya..tahniah di atas Novel Adra,akak dapat tahu dari sarah..dari pemerhatian akak di melaka ni , semalam akak tengok di popular belum sampai..Akak pasti beli, dont worry.Tahniah sekali lagi dik.

  • (Penulis)
    11) tak ape kak...
    biase lah.

    terima kasih! owh! sarah yang bagitahu ye..hehehe. lame tak jumpa dia di alam maya nih. alhamdulillah kak, sihat. akk ok? adra dpt info dr kawan2 kat popular ngan MPH dah ade. mungkin lom sampai kat semua tempat.

    terima kasih banyak2 kak.
  • 12) hehehe. saya takleh dah nak jadi ayah muda eceh.
    (eh tapi salu ngaku muda di hati?)

    good one adra.

  • (Penulis)
    13) caha>sempat lg nih...ahahaha.(janji mude dlm hati)

    tengs!
  • 14) suka pesanan yg last tu....

  • (Penulis)
    15) teja>terima kasih.

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra