Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Drama : Bidai Senja

 

Watak

 

Bendahara Tepok

Dang Wati

Awang

Atik

Lamat

Ali

Ah Tong

Tun Hamzah

 

 

BABAK SATU

 

 

            BENDAHARA TEPOK menarik nafas panjang. Di kepalanya bermain pelbagai masalah. Masalah yang istemewa ialah mengapakah dia dilantik memegang pentadbiran Melaka. Bagaimanakah dia, seorang yang tepok, dapat mentadbirkan teluk rantau Melaka yang begitu luas.

 

BENDAHARA TEPOK (membuang pandangan keluar – melewati jendela rumahnya, melewati sawah bendang, dan melewati Selat Melaka).

 

DANG WATI: Mengapa kanda bermenung sendirian? Bukankah kebesaran telah sultan anugerahkan? Mengapa kini bermenung ketika kebesaran dan keagungan Melaka terletak di bawah kaki kanda?

 

BENDAHARA TEPOK (menarik nafas panjang sambil merenung isterinya): Kanda termenung merenung diri. Kanda dilantik Bendahara kerana keturunan Bendahara Seri Maharaja habis dibunuh paduka raja. Kanda dilantik dalam kesalan duli tuanku. Kanda dipakaikan pangkat kebesaran, disolek dengan gelaran Bendahara, macam patung Cina … apa gunanya, Wati?

 

DANG WATI: Ah, mengapa itu kanda risaukan? (membentak)

 

BENDAHARA TEPOK (Diam sebentar. Menggeleng): Kau tak mengerti. Apa gunanya kanda kepada Melaka? Kanda tepok … Kalau Melaka dilanggar, bagaimana kanda akan mengepelai angkatan menentang musuh? Kalau ada orang mengamuk di kampung, bagaimana kanda dapat mempertahankan maruah bangsa dan negara. Ke sungai pun kanda perlu diusung.

 

DANG WATI: Huh! (membentak lalu meninggalkan BENDAHARA TEPOK).

BENDAHARA TEPOK (memerhatikan tingkah laku isterinya sambil tersenyum).

 

SUARA DARI HALAMAN(melaung): Datuk! Datuk!

 

BENDAHARA TEPOK(monolog): Lahabau! Tak beri salam. Memang tak beradab punya orang. (teriak) Wati, cuba awak tengok lahabau mana yang datang tu?

 

DANG WATI(keluar ke serambi lalu menuju ke balai): Baba Ah Tong, kanda(teriak dari balai). Naiklah Baba.

 

            AH TONG naik dengan hormat yang sumbang. Dia duduk di tikar berhadapan dengan Bendahara. Datin Wati bertimpuh di sebelah suaminya. BENDAHARA TEPOK memandang tepat ke muka AH TONG. AH TONG tersipu-sipu).

 

DANG WATI( memecahkan keadaan yang tidak tenang) : Apa hajat Baba datang ni?

 

BENDAHARA TEPOK (berbisik kepada DANG WATI): Awak ni macam tak tahu pula. Anak dipanah petir ni bila datang, ada-ada saja yang dimintanya. (memandang tepat ke arah AH TONG). Apa? Awak nak tanah? Tanah tak ada lagi. Bukit itu diberikan kepada orang-orang Baba. Tanjung pula dah diambil dek orang lain. Yang tinggal hanya durian sebatang … durian tunggal … itu pun durian daun saja.

 

AH TONG: Haiya, Datuk, jangan cakap itu macam(menyembah bersungguh-sungguh). Sekarang Datuk sudah jadi Bendahara. Kita orang Cina, semua suka sama Datuk.

 

BENDAHARA TEPOK (berbisik kepada DANG WATI): Panah petir punya orang. Jangan dinda tak tahu … ini nak membodek namanya ni. (memaling muka ke AH TONG) Takkanlah itu saja hajat awak datang ni.

 

AH TONG: Tadi malam, Datuk …

 

BENDAHARA TEPOK (berbisik kepada DANG WATI): Ha, kan dah mula dah.

 

DANG WATI: Dinda pun dah agak ni. Baik-baik nak mengena.

 

AH TONG (terus bercerita tanpa mempedulikan tingkah laku Bendahara): Tadi malam, Datuk, saya punya ayam … saya punya buah … orang curi.

 

BENDAHARA TEPOK (menahan ketawa. Dang Wati mencubit peha suaminya): Kerja siapa ni, Baba?

 

AH TONG: Datuk punya budak-budak: Ali, Awang Atik, Lamat.

 

BENDAHARA TEPOK (menghela nafas panjang): Buat perangai lagi! Hantu betul budak-budak tu. Mengapa Baba tak pelangkung. Pelangkung dengan kayu pengandar lebih baik. Biar dia orang tu tahu bahana curi buah orang.

 

 

AH TONG: Apa macam mau pukul dia orang, Datuk(mengeluh). Dia orang tu datuk punya budak-budak. Nanti datuk marah sama saya. Ini ada sedikit hadiah mau kasi Datuk.(Setelah memberikan hadiah itu kepada BENDAHARA TEPOK, AH TONG minta diri lantas berlalu dari situ. Apabila AH TONG sudah agak jauh).

 

BENDAHARA TEPOK: Ha, kata dah. Nak tumbuk rusuk pula Si Baba ni. Tapi, kalau dah beri tu nak buat apa pula? Takkanlah nak tolak rezeki.

 

DANG WATI (tertawa kecil): Ini pancing bukan sebarang pancing kanda. Ada kehendaknya lahabau tu.(DANG WATI lalu masuk).

 

            BENDAHARA TEPOK sendirian lagi. Di benaknya bermain bermacam-macam perkara. Direnungnya hadiah yang diberikan kepadanya oleh AH TONG.

 

BENDAHARA TEPOK(monolog dalaman): Berapa ramaikah lagi pembesar Melaka menerima hadiah seperti itu. Apakah hadiah yang “ikhlas” ini tidak menjejaskan tugasan jawatan aku?(sebak).

 

            Teringat dia akan rungutan AH TONG  mengenai juak-juaknya: Ali, Awang, Atik dan lamat. Mereka itu adalah anak tuan-tuan di Melaka, tetapi sebagaimana kebiasaan anak tuan-tuan pada zaman kegemilangan Melaka, perangai mereka Tuhan saja yang tahu. Sejak beliau menjadi bendahara, juak-juaknya itu bukan sekadar mengerjakan ayam itik orang di reban, malahan barang jualan orang di pekan pesara, dan kadangkala lembu kambing orang diheretnya juga. Biasanya, jika mereka yang mengadu kepada Bendahara menuntut ganti rugi, BENDAHARA TEPOK jugalah yang membayar ganti ruginya.

 

BABAK DUA

 

            BENDAHARA TEPOK masih ingat lagi akan telatah juak-juaknya itu. Mereka bukanlah orang lain dengan Bendahara. Juak-juaknya itu adalah suku sakatnya juga. Itulah sebabnya billa BENDAHARA TEPOK dilantik menjadi Bendahara Melaka, lagak mereka pun lebih besar dari lagak Bendahara.

 

AWANG: Sekarang Datuk dah naik pangkat. Jadi Bendahara. Takkanlah Datuk tak dapat tolong kami. Kami nak juga rasa macam mana jadi pegwai.

 

BENDAHARA TEPOK(mengeluh): Ha, nak pangkat pula! Kamu ingat apakah jawatan paling sesuai bagi kamu ni, Awang?

 

AWANG(selamba): Laksamanalah Datuk. Lagipun Laksamana Hang Tuah dah tak ada. Laksamana Khoja Hassan kena murka baginda.

 

BENDAHARA TEPOK(tersenyum): Laksamana!. Kamu pula Atik, apa pula jawatan yang sesuai bagi kamu?

 

ATIK: Datuk, patik ni memang suka laut. Jadi jawatan yang paling layak bagi patik ialah Syahbandar.

 

BENDAHARA TEPOK(senyum lebar): Kamu Lamat, apa pula yang kamu hendak?

 

LAMAT: Datuk. Patik tak nak pangkat yang tinggi-tinggi, Tuk. Kalau boleh jadi Temenggung pun cukuplah!

 

BENDAHARA TEPOK(senyum tambah lebar): Ha, kamu Ali, apa pula jawatan yang agak sesuai dengan kamu?

 

ALI(Diam sebentar. Menggaru-garu kepala): Susah sikit, Tuk.

 

BENDAHARA TEPOK: Mengapa pula susah?

 

ALI: Jawatan Laksamana dah kena ambil. Jawatan Syahbandar dah kena ambil. Jawatan temenggung pun dah kena ambil. Jadi, Tuk, jawatan yang tinggal ialah jawatan Bendahara.

 

            Begitulah permintaan juak-juak Bendahara kepada majikannya. Demikianlah juga mimpi dan khayalan anak orang-orang besar di Melaka, kerana ketika itu jawtan membawa seribu satu macam faedah sampingan. Untuk mendapat jawatan maka mereka berlawanan tarik tali. Ada yang gunakan tali sabut. Ada yang gunakan tali belati. Dan tidak kurang juga yang gunakan tali kapal. Untuk mendapat jawaran bergantung tali siapakah yang paling handal.

 

BABAK TIGA

 

            Ketika anak orang-orang besar, termasuklah juga orang-orang besar sendiri, sibuk bertanding tarik tali, maka tibalah berita kehadiran kapal Feringgi di Selat Melaka. Berita tersebut sampai juga kepada BENDAHARA TEPOK. Berita itu menggemparkannya, kerana beberapa orang Feringgi(Benggali Putih) masih ditahan di pasung Melaka. Berita itu menggemparkan orang Melaka, kerana Melaka sudah lupa seni peperangan. Berita itu menggemparkan pembesar-pembesar Melaka, kerana mereka tidak sempat menyelamatkan harta kekayaannya.

 

BENDAHARA TEPOK: Benar, dinda. Sekarang ni kapal-kapal itu berada di Kuala Kelang. Esok lusa sampailah di Melaka.

 

DANG WATI: Tentulah banyak dagangan yang dibawanya, kanda(terbayang persembahan yang akan dipersembahkan kepada Bendahara). Tentu persembahan itu mengatasi persembahan Tuk-tuk Arab yang bakhil itu(monolog).

 

BENDAHARA TEPOK: Tapi, pada pandangan kanda bukanlah hajatnya nak berniaga(mengeluh). Menurut cakap suluh yang datang, kapal-kapal itu lengkap dengan alat perang.

 

DANG WATI(gugup): Ah, apa yang ditakutkan kanda. Diludah dek orang-orang Melaka kapal-kapal tu boleh karam.

 

BENDAHARA TEPOK: Itulah yang kanda bimbangkan. Orang-orang Melaka ni dah terlalu betah dgn kesenangan dan kekayaan. Sekarang ini nak cari pendekar yang terbilang dah susah. Anak-anak orang bangsawan Nelaka tak mau menuntut ilmu perang lagi. Mereka lebih suka ke gelanggang berlaga ayam.

 

DANG WATI: Kan rakyat Melaka ramai, kanda. Habis peluru Feringgi tu. Melaka tak akan alah olehnya.

 

BENDAHARA TEPOK: Jangan cakap begitu, dinda(nada tenang). Itu cakap orang yang takbur. Sebenarnya rakyat Melaka dah lama tak berperang … dah lupa muslihat perang. Dan kanda ingat ramai yang tak berani lagi memikul tombak dan lembing. Rakyat Melaka, dinda, dah lembik oleh kesenangan dan kemewahan selama ini.

 

            Ketika itu datanglah AH TONG mengadap Bendahara. Dia juga mendengar berita tentang kehadiran armada Feringgi di perairan Melaka. AH TONG bergegas ke rumah Bendahara untuk menentukan berita tersebut.

 

AH TONG: Datuk, benarkah kapal Feringgi berada di perairan Melaka?

BENDAHARA TEPOK: Benar, Baba.

 

AH TONG (hampir-hampir pengsan kerana penyakit gila babi yang diwarisinya. Dia tersandar di dinding serambi): Itu macam banyak susah mau cari makan, Datuk(mengeluh).

 

BENDAHARA TEPOK: Mengapa pula begitu?

 

AH TONG: Masa perang, kedai mesti tutup. Lepas perang mau kutip hutang banyak susah, Datuk. Ada orang mati … ada orang lari. Tapi, Datuk jangan risau, semua orang Cina akan turut berjuang bersama dengan orang-orang Melaka.

 

BENDAHARA TEPOK: Baguslah kalau begitu.(menyambut baik jaminan AH TONG).

 

 

BABAK EMPAT

 

 

            Perang hari pertama dengan Feringgi, Melaka menang. Rakyat Melaka bersorak di pantai. Pembesar-pembesar Melaka tidak keluar berperang kerana sibuk mengemaskan harta kekayaan turut berasa lega. Rakyat Melaka di pantai mengejek-ejek Feringgi, sementara pembesar-pembesar membelek emas dan perak yang dilonggokkan selama itu.

 

            Di balairung suatu persidangan perang diadakan. Pembesar-pembesar Melaka kebanyakkannya sudah berumur lebih dari 60 tahun berbincang mengenai perang dengan Feringgi. TUN HAMZAH yang dulu pernah merempuh angkatan Siam di Kuala Muar juga ada.

 

TUN HAMZAH: Kita langgar kapal Feringgi tu. Ha, mengapa kita mesti bertahan saja?

 

PEMBESAR-PEMBESAR(mengangguk): Setuju! Tapi siapa yang mahu mengepelai angkatan menyerang Feringgi?

 

TUN HAMZAH(tempik): Cis, pengecutnya hulubalang Melayu! Apa akalku kerana aku sudah tua, berdiri pun sudah tidak kuat lagi … kalau tidak, tahulah Benggali Putih tu buah tangan Tun Hamzah.(meninggalkan sidang).

 

            Sidang pun bersurai kerana tidak ada pendapat yang lebih bernas. Kerana tidak ada akal yang lebih bernas itulah juga sultan mengambil keputusan untuk mengepelai angkatan perang Melaka. Pembesar-pembesar yang tua-tua itu pun mengambil keputusan untuk keluar berperang keesokan harinya.

 

 

 

BABAK LIMA

 

            BENDAHARA TEPOK pun keluar berperang bersama-sama rakyat Melaka lainnya. Dari tandunya dia ternampak kumpulan orang-orang Cina yang diketuai oleh AH TONG terkial-kial dalam dusun. Tombak bercangap tiga yang dibawa oleh orang-orang Cina itu tersangkut ke dahan-dahan pokok menyebabkan pembawanya terhenti. Apabila orang hadapan terhenti, orang yang dibelakang pun melanggarnya. Maka orang-orang Cina itu pun jatuh timpa bertimpa di dusun. Pakaian mereka koyak rabak, manakala Feringgi pun belum mendarat lagi.

 

BENDAHARA TEPOK: Lahabau betul Baba Tong ni. Kepala letakkan di lutut. Dah tahu tombak tu panjang dan bercangap pula, mengapa ambil jalan dusun?

 

            Perang hari kedua antara Melaka dengan Feringgi sungguh sengit. Barisan pertahanan Melaka terpaksa berundur kerana ditekan oleh orang-orang Feringgi. Ketika itulah pasukan yang dipimpin oleh Baba AH Tong tiba, tetapi pasukan itu tidak berdepan dengan Feringgi kerana arus orang-orang Melaka berundur itu menarik mereka ke belakang sama. Mereka pun terpaksa mengikut arus pengunduran orang-orang Melaka.

 

            Dari tandunya itu, BENDAHARA TEPOK ternampak TUN HAMZAH dengan keris yang terhunus menantikan Feringgi. Tiba-tiba batuknya sampai. Melengkung TUN HAMZAH menhan batuk itu. Ketika itu arus Feringgi tiba dan terus memburu orang-orang Melaka tanpa mengusik pahlawan tua yang melengkung menahan batuknya.

 

            Tiba-tiba BENDAHARA TEPOK sedar bahawa tandunya kini tidak mara lagi, malahan telah berundur. Lebih kencang.

 

BENDAHARA TEPOK: Hoi, kalian(teriak). Bawakan aku ke depan. Ha, sultan telah ke depan. Tun Hamzah masih bertahan. Takkanlah Bendahara di belakang pula!

 

            Teriakan Bendara tidak dipedulikan oleh juak-juaknya. Tandu terus meluncur ke belakang dengan kencangnya. Terasa oleh Bendahara juak-juaknya kini berlari.

 

BENDAHARA TEPOK: Baculnya anak Melaka ni. Feringgi di sebelah sana tu … mengapa pula aku dibawa lari ke belakang.

 

ALI: Kalau Datuk nak menempah maut, pergilah(menjerit tercungap-cungap).

 

BENDAHARA TEPOK(naik berang): Cis, apakan daya, aku ini tepok. Kalau tidak tahulah Feringgi bekas tanganku. Hoi, kalian, hadapkan aku pada Feringgi tu. Ya, Rabbi … makin kencang larinya budak-budak ni ke belakang.

 

ATIK: Ooi, kawan-kawan, perlahan sedikit, kainku nak tanggal ni.

 

BENDAHARA TEPOK(teriak): Hoi, Lamat. Kamu tak malu ke? Mana kain kamu?

 

AWANG: Pedulikan, Tuk.

 

BENDAHARA TEPOK(berang): Cis, tak malunya anak Melaka ini! Hoi, Lamat, tak malukah kamu orang melihat benda Allah kamu tu? Murah sangatkah? Dua orang teman kamu tertanggal kain, bukan kalian nak berhenti, malahan makin ligat lagi berlari. Hoi, kalian tak malukah pada orang Melaka.

 

AWANG(jerit): Hari dah senja, Tuk. Orang tak boleh nampak lagi.

 

ALI: Malu apa, Tuk. Lepas senja ni entah ada entah tidak lagi negeri Melaka.

 

            Hari itu, perang Melaka sudah pecah. Sultan telah berundur. Feringgi telah mendarat. Orang-orang Melaka yang berundur bersama-sama sultan ramai yang sempat membawa anak isteri mereka.(Tak hairanlah bagaimana Melaka boleh alah). Pembesar-pembesarMelaka ramai yang berundur dengan kereta lembu yang sarat muatannya.

 

            Bangsal sementara telah didirikan. Dalam senja yang kusam itu, Datin Wati sempat bertemu dengan Bendahara Tepok. Juak-juak Bendahara pula berdengkur di tanah kerana kepenatan lari dari Feringgi.

 

DANG WATI:  Kanda. Marilah makan dulu. Bidai senja telah berlabuh di Kuala Melaka.

 

BENDAHARA TEPOK: Ya, dinda. Tapi, biarlah kehendaknya kita tak akan terus menjadi pelarian di bumi sendiri.

 

            Bidai senja berlabuh di Kuala melaka. Dengan itu berakhirlah sejarah kegemilangan sebuah Negara. BENDAHARA TEPOK menyuap nasi dengan air mata yang  berlinang di pipinya. Sekali-sekala dia membuang pandangannya kea rah kota Melaka.

 

BENDAHARA TEPOK(monolog): Kalaulah Bendahara Seri Maharaja tidak mati dibunuh. Feringgi tak akan menjejakkan kakinya di bumi Melaka.(termenung).

 

Skrip diolah dari Cerpen : Bidai Senja, Zakaria M.Z

 0730 170309

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Klasik

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) aik?takde komen lagi?
    hurmm scr jujurnya, sy tak berapa suka bc dlm bentuk skrip..

    kroh3

  • 2) Menarik sekali. Wajar direnungkan sedalam-dalamnya oleh anak-anak muda Melayu untuk tidak mengulangi sejarah hitam bangsa.
  • 3) karya yang penuh teladan...

  • (Penulis)
    4) harap pasni ada byk lg karya yg membina dan memberi tauladan pd anak muda skang..
  • 5) karya yg bagus, ada kualitinya, ada sejarahnya, ada moral of story, lain dari yg lain
  • 6) wah bagus paktam karya begini. hehehe
    satira nya pun ada.

    bagus ya penggunaan bahasa paktam. kagum saya
  • 7) rasanya hari tu dah baca...
    mungkin x sempat komen...
    memang cerita ini terbaik..saya suka olahan cerita dan latarnya!
    cemerlang!

Cerpen-cerpen lain nukilan paktam85

Read all stories by paktam85