Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Berapa Lama Lagi Harus Aku Tunggu?

 

Cerpen ini saya kira lain sedikit daripada cerpen-cerpen saya yang lain. Kononnya mahu lebih "arus perdana" seperti karya-karya saudara Ridhrohzai, tapi taklah sehebat beliau. Saya masih lagi terkial-kial belajar menulis cerpen sebegini.


Sepanjang sebelas tahun aku menghirup nyawa, warna merah memang sudah sebati denganku. Merah yang paling cantik tentulah warna merah darah. Aduhai! Pasti kalian sudah menganggap aku yang bukan-bukan. Aku bukanlah syaitan jadian yang leka meneguk darah tanpa ada sedikit pun sifat kemanusiaan. Mungkin aku sudah pun buta dengan warna-warna Tuhan yang lain akibat terlalu banyaknya darah-darah saudaraku terpercik ke muka sendiri. Aku tenggelam dalam lautan darah yang tidak tahu penghujungnya. Jiranku sudah mati. Sahabatku Zaynab dan Mahmoud sudah dilanggar kereta kebal mereka. Ayahku...hilang entah ke mana. Sudah hampir dua minggu ayah tidak pulang menjenguk kami. Hidupkah lagi?

            Sepanjang ketiadaan ayah, aku tinggal bersama ibu dan seorang adik lelaki. Ibu aku lihat sering termenung. Mungkin sedang menanti kepulangan ayah atau mungkin memikirkan persediaan kehidupan tanpa ayah. Aku pula mengandaikan bahawa jasad ayah sudah lama tiada. Sejak dua minggu yang lalu lagi. Mungkin sudah dimamah ulat, dilenyek kereta kebal atau ditembak sesuka hati dari jarak dekat. Aku cuba mencari pasrah seperti yang pernah ayah katakan kepadaku. Bahawa di bumi Palestin ini jangan diimpikan untuk menatap wajah setiap seorang tiap kali jaga dari tidur. Segalanya di luar dugaan mungkin berlaku. Sukar untuk memastikan bahawa kami akan berjumpa lagi keesokkan harinya walaupun ajal itu segalanya di tangan Tuhan.

            Maka, aku tidak mahu meletakkan sebarang harapan yang tinggi bahawa ayah akan pulang menemui kami. Kerana aku sendiri tidak mahu menambah derita batinku untuk menunggu kepulangan ayah. Adikku juga tidak pernah bertanyakan bila ayah mahu pulang. Mungkin tidak mahu menambah kesedihan ibu yang aku sentiasa kagum dengan ketabahannya. Seeloknya kami bertiga hanya mendiamkan diri meneruskan sisa-sisa hidup di bumi Palestin ini. Walaupun begitu, aku tetap mendoakan kesejahteraan ayah walau di mana dan apa pun keadaannya ketika ini. Benarlah doa itu senjata yang paling ampuh. Mampu menenangkan jiwa-jiwa yang rapuh.

            Suatu hari ketika aku menemani adikku bermain-main pasir dan batu di hadapan rumah kami, tiba-tiba Amra, sahabat yang tua tiga tahun daripadaku berlari ke arahku. Lagaknya seperti dikejar segerombolan tentera Zionis Israel. Tetapi riak wajahnya dapat aku agak seperti dalam kegembiraan. Kemudian, semakin hampir dia ke arahku dapat aku lihat senyum Amra yang lebar menampakkan barisan giginya yang putih.

            “Hasyim! Hasyim! Aku datang bawa berita gembira! Aku datang bawa berita gembira buatmu!”, laung Amra dari jauh. Kakinya masih lagi melangkah laju ke arahku.

            “Apa dia wahai sahabatku? Adakah khabar dari ayahku?”, balasku.

Amra hanya menggeleng laju. Aku dapat lihat riak wajahnya terus berubah walaupun kepenatan akibat berlari masih belum hilang.

Tidak mengapa Amra. Aku pun tidak meletakkan apa-apa harapan ke atas kepulangan ayah.

          “Habis tu, apa dia wahai sahabatku?”

          “Aku terdengar perbualan bapa saudaraku bersama-sama jiran lain bahawa akan datang bantuan untuk kita, Hasyim!. Bantuan! Bukankah itu sesuatu yang mengujakan?”

         “Bantuan? Dari siapa?”, aku bertanya penuh kehairanan. Di saat kami terkurung selama tiga tahun tanpa rasa belas oleh tentera Zionis, perkataan ‘bantuan’ adalah sesuatu yang sudah menjadi asing buatku.

            Tiba-tiba timbul keraguan dalam diriku. Ikhlaskah bantuan itu? Malah, wujudkah bantuan tersebut atau sekadar imaginasi liar penduduk sini.

          “Benar sahabatku. Benar!  Pagi-pagi esok mereka tiba ke bumi Palestin ini. Kapal bantuan akan tiba! Syukur Ya Tuhan!”, jerit Amra lalu meninggalkanku seorang diri memberitahu khabar tersebut kepada penduduk yang lain.

***

           Apabila malam menjelma aku lihat berita tentang kedatangan kapal bantuan kemanusian antarabangsa semakin tersebar luas. Ada yang aku lihat menari-nari kegembiraan. Ada juga yang bersorak-sorak sambil mengalirkan air mata. Aku kira kegembiraan sudah tiba di tanah airku ini. Aku hanya memandang jauh mereka. Namun terselit jua kegembiraan dalam senyap.

           Kami dikhabarkan bahawa bantuan yang tiba berupa keperluan asas seperti makanan, pakaian dan khemah. Tidak lupa juga peralatan-peralatan hospital yang sangat diperlukan ketika ini.  Tidak sanggup lagi aku lihat sahabat-sahabatku yang luka, lumpuh dan tercedera dirawat tanpa peralatan hospital yang secukupnya. Bukan sahaja tidak sanggup melihat, malah mendengar esakan, raungan dan teriakan mereka menahan kesakitan sudah cukup membuatkan aku sendiri yang terasa menanggung kesakitan tersebut.

          Sesudah Subuh aku sudah keluar ke pelabuhan. Aku lihat sudah ramai yang menanti di sana. Menanti dengan harapan yang besar. Kami seolah-olah anak kecil yang kelaparan menanti suapan dari si ibu. Aku lihat Amra bergelak ketawa dengan beberapa kanak-kanak sebaya adikku. Amra yang agak pemalu itu dilihat juga menyapa beberapa orang di situ. Jelas, kegembiraan terpampang di wajahnya. Aku hanya mengukir senyum dalam hati.

          Beberapa jam telah berlalu. Masih lagi kami setia menanti di pelabuhan tersebut. Amra sudah berhenti ketawanya namun senyum manisnya masih bertampal di wajah. Beberapa orang penduduk yang tadinya asyik berdiri mula mencari tempat duduk tetapi wajah teruja mereka masih jelas di muka setiap daripada mereka. Penantian satu penyeksaan, bukan?

         Tiba-tiba seorang lelaki pertengahan umur berlari-lari anak ke arah kami. Dengan suara yang termengah-mengah dia melaungkan sesuatu.

        “Saudara-saudaraku sekalian. Ada berita yang menyedihkan buat kita. Kapal bantuan kemanusian antarabangsa yang menuju ke sini telah ditawan! Ditawan oleh tentera-tentera Zionis laknat itu! Bantuan kita disekat! Harapan kita musnah!”

          Sebaik pengumuman tersebut dibuat, aku lihat para penduduk menjerit kemarahan. Kemarahan yang amat sangat. Amra pula terus sahaja melarikan diri dari pelabuhan tersebut. Dari jauh aku dengar suaran raungannya yang penuh pengharapan itu musnah berkecai.

***

           Aku? Aku pulang semula ke rumah dengan penuh kehampaan. Sebenarnya jauh dalam hati ini aku juga berharapan besar seperti Amra. Penantian sememangnya satu penyeksaan. Aku lihat wajah ibuku yang tidak pernah mati ketabahannya. Lalu aku berjanji pada diri, aku harus teruskan perjuangan ini. Bumi Palestin tidak memerlukan hati-hati yang lemah kepada musuh.

         Malam itu, saat aku pejamkan mata, mimpi datang menjeguk aku. Ayah muncul dalam tidurku. Senyumnya seperti dulu. Wajahnya mempamerkan ketabahan sama seperti ibu.

         Lalu aku bertanya kepada ayah, “ berapa lama lagi harus aku tunggu?”

         Aku mahu melihat warna-warna lain di bumi Palestin ini selain daripada warna darah saudara-saudaraku.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) aku masih belum dapat bayangkan penderitaan saudara kita di sana.
  • 2) with their tanks! and their guns! and their bombs! in your head they are dying! in your head! in your head! zombie! zombie! zombie! ~The Cranberries
  • 3) mereka antara orang yang paling kuat diuji. Ya Allah, moga jannah tempat mereka-mereka yang beriman dan mempertahankan apa yang benar. Moga penderitaan mereka berakhir walaupun entah bila...ameen
  • 4) daripada apa yang aku teliti, secara keseluruhan, kau ada gaya penceritaan yang bagus dan kemas, tidak berbelit-belit dengan permainan kata. latar cerita juga kau juga agak jelas. tinggal lagi aspek saspennya kelihatan mendatar, aku kurang berdebar-debar. tapi mungkin juga kerana sudah tahu pengakhirannya. dan bagi aku kau boleh tambah lagi fiksyen di dalamnya, mungkin dalam masa perjalanan watak ke pelabuhan terserempak oleh sekumpulan zionis ke, then cuba mengikut jalan lain.

    begitulah pendapat aku.. nice try kamalia.
  • 5) Cik Kamalia ini ada-ada sahaja tau. Saya yang perlu banyak belajar dari awak. Karya saya itu pun tidak boleh kata sangat berada di arus perdana. Saya penulis dalam kelompok pop komersial, bukannya orang sastera. Hehehe...

    Terus-terang saya suka idea-idea Kamalia yang segar dan olahan yang jelas, sama seperti kata saudara Rebelliben. Beliau seorang pemerhati yang bagus.

    Cuma untuk cerpen ini, harus tekankan lebih pada perasaan 'aku', harus ada lebih kecewa, lebih derita dan peritnya. Yang lain, garapannya berkesan.

    Saya cadangkan, kemaskan sedikit seperti kata saudara Rebelliben dan hantar ke Berita Harian. Mereka gemar tulisan begini.


  • (Penulis)
    6) dengan ini saya mengucapkan terima kasih banyak2 utk semua komen anda

    Ben: cerita ni memang dijangka utk dijangka. maklumlah ada sesetengahnya aku tulis berdasarkan fakta. jadi aku tak pandai nak membelitkan ceritanya. lainlah kalau cerita dari imaginasi bulan, bintang entah apa2 aku tu (rujuk: deja vu elton john & buta - sekadar 2 cth). tapi pandai la kau bg idea pasal terserempak dgn zionis tu. suka pulak aku! takpe, aku memang akan edit cerita ni sebab yang ni bukan versi asal. mungkin idea kau tu terpaksa aku curi pakai atau mungkin tak. sebab aku tak pandai imaginasikan suasana perang. tq sekali lagi!

    ridh: saya pun rasa 'aku' tak cukup derita. takpe, saya akan edit lagi, insyaAllah. terima kasih ye, ridh
  • 7) mula2 ingat sambungan cerita twillight saga tadi. hirup2 darah. hehe..

    after all, nice! saya sooka... teruskan berkarya ok?
  • 8) penamatnya dapat dijangka,, tapi saya suka penyampaiannya....tak bosan.
  • 9) saya tak pandai nak kritik bab bab penulisan ini. bagi saya jika membaca dan boleh mevisualisekan dalam minda pada setiap babak sudah dikira berjaya. karya yang pelik pelik sampai orang yang sederhana macam saya membaca dan tak faham langsung tetapi dikira tahap intelektual sampai gred A plus adakah dianggap ok. jika ianya berlegar dalam kelompok itu sahaja. karya yang baik seharusnya melangkaui batas intelektual dan minda pembacanya. dan anda berjaya.. terasa macam berada di tempat itu.

Cerpen-cerpen lain nukilan kamalia

Read all stories by kamalia