Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Itrah al-Musthafa (Bahagian 1)

  • 4
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,538
  • FREE

 

“Tatkala aku melihat manusia binasa dengan mazhabnya dalam lautan kedurhakaan dan kejahilan, maka atas nama Allah, aku menumpang bahtera keselamatan, yakni Ahlulbait al-Musthafa, Penghulu para Rasul. Dan aku pegang erat tali Allah, iaitu mencintai mereka, sebagaimana telah diperintahkan berpegang pada tali itu.”

-Imam Syafi’i-

 

Husain khali sejenak. Mengamati gembur merah tanah dipusara ibunya. Langit petang itu mendung menampung muram. Sudah sebulan Ibunya pergi mengadap tuhan. Selama itu juga dia dilanda kewalangan yang menguji iman. Fikirannya menerawang jauh dari jasad. Jauh menerobos ke dalam sisa-sisa kenangan. Saat penghuni kuburan itu masih bernafas. Ketika kerongkongan renta wanita itu masih mampu menghantar kata.

“Jangan kamu menolak orang lain hanya kerana dia melakukan satu, dua atau sepuluh kesalahan lantas kamu kesampingkan segala perbuatan baiknya. Mungkin saja disisi Allah dia mempunyai satu keutamaan yang mengatasi seratus ahli ibadah”.

Terngiang di daun telinga ungkapan sederhana itu saat dia memprotes kecurangan ayahnya yang maherat sejak lama dulu. Nasihat yang menyerlahkan lagi sisi kelembutan seorang ibu yang pada restunya terletak redha Illahi. Dari tangan wanita itulah dia diasuh tanpa susuk seorang ayah. Bukan kerana ayahnya pergi menyahut seruan Illahi, tapi lantur dalam mengejar kenikmatan duniawi. Jerih payah hidup terpaksa digalas sendiri ibunya. Tanpa rungut atau keluh kesah. Dialah ibu dan dia jugalah ayah.

Dia kembali berjejak. Kedua tangannya ditampung sambil bibir birat terkumat-kamit mengapung doa. Tersela sedu yang dalam. Tangis yang tertahan-tahan. Ujian ini telah meluluh lantakkan segenap kekuatannya. Seperti balasan ke atas semua dosa-dosanya. Sebuah musibah yang memuhasabahkan. Introspeksi yang menyingkap segala noda-noda diri. Menjemput rasa bersalah dan penyesalan yang tak sudah. Selama ini dia telah menyembunyikan beberapa guratan hitam daripada pengetahuan ibunya. Sisi gelap dunia metropolitan. Pekung  kehidupannya dikota.

Seusai mengutus doa, dikerahkan kedua tangannya mencabut parasit yang cuba menumpang hidup di batas kubur. Diusap-usapnya debu yang melekat pada batu nisan terukir nama Zainab Binti Maimunah. Bola matanya bersilaturahim dengan tulisan dinisan. Sebuah nama yang menyimpan makna cukup besar buatnya. Simbol pengorbanan dan kasih sayang. Sebuah Azimat kekuatan. Pujangga yang menyimpan seribu hikmah.

“Husain Ingatlah, tiada satu keburukan pun setelah syurga. Dan tiada satu kebaikan pun setelah neraka. Semua nikmat tanpa syurga adalah hina dan setiap cubaan tanpa neraka adalah barakah”.

Husain tewas dengan makna yang terlarut dalam wasiat suci itu. Hanya airmata dosa yang mengelongsor deras ke pipi menjadi saksi bisu kebenarannya. Begitu tajam dan menikam. Lebih menusuk bila kalimat itulah yang terpacul dari bibir ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kalimat yang membuat egonya terpukul. Mengesankan dan kini menghantui hari-harinya.

***

“Ramai daripada generasi hari ini kurang mengenali ahli keluarga nabi. Apatahlagi untuk menyelusuri kisah kehidupan dan perjuangan nasab mulia ini. Sedangkan mencintai ahlulbait adalah kewajipan bagi setiap muslim. Keutamaan mereka sangat jelas seperti yang terangkum di dalam Al-Quran, Allah berfirman : ‘Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan dosa-dosa kamu, wahai ahlul bait, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya…’ surah al-Ahzab 33:33”.

Ia juga bertepatan dengan saranan Rasulullah seperti yang direkodkan oleh Imam At-Tirmidzi di dalam Shahih-nya dari Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah Saw bersabda, ‘Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian apa yang jika kalian berpegang teguh kepadanya, pasti kalian tidak akan sesat sesudahku. Salah satu daripadanya lebih agung daripada yang lain: (Yang pertama) ialah Kitab Allah (al-Qur’an) yang merupakan tali penghubung daripada langit ke bumi dan (yang kedua) ialah ‘Itrahku, iaitu Ahl al-Baitku. (Mereka Ahl al-Baitku) tidak akan berpisah (daripada aku) sehingga berjumpa kembali dengan aku di Telaga Haudh. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya sepeninggalan aku’. Hadith ini telah dinilai sahih oleh al-Albani. Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3788 Kitab Manaqib, Bab Manaqib Ahl al-Bait”.

Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata : “Tidak perlu diragukan wasiat untuk berbuat baik kepada ahlulbait dan pengagungan kepada mereka, kerana mereka dari keturunan yang suci, terlahir dari rumah yang paling mulia di muka bumi ini secara kebanggaan dan nasab. Lebih-lebih lagi apabila mereka mengikuti sunnah nabawiyyah yang shahih lagi jelas, sebagaimana yang terserlah pada pendahulu mereka seperti Al-Abbas dan keturunannya, Ali dan keluarga serta keturunannya, semoga Allah meridhai mereka semua”

Hasan membisu sejenak sambil mengamati suasana. Mata khalayak kuat terpatri ke arahnya seakan menantikan sesuatu. Bundar penuh harapan. Mungkin menunggu ucapan seterusnya.

“Di dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim di dalam shahihnya yang bernombor 2408 ‘Dari Yaziid bin Hayyaan ia berkata, telah berkata Zaid bin Arqam

Pada satu hari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam pernah berdiri dan berkhutbah di sebuah mata air yang disebut Khumm. Beliau memuji Allah, kemudian menyampaikan nasihat dan peringatan kepada kami “Amma ba’du, ketahuilah wahai sekalian manusia, bahwasannya aku hanyalah seorang manusia sama seperti kalian. Sebentar lagi utusan Rabb-ku (yaitu malaikat maut) akan datang dan dia diperkenankan. Aku akan meninggalkan kepada kalian dua hal yang berat, yaitu Al-Qur’an yang berisi petunjuk dan cahaya, karena itu laksanakanlah isi Al-Qur’an itu dan berpegang teguhlah kepadanya – beliau mendorong dan menghimbau pengamalan Al-Qur’an – dan Ahlul-Baitku (keluargaku). Aku ingatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul-Bait-ku (beliau mengucapkan tiga kali)”.

Hushain berkata kepada Zaid “Wahai Zaid, siapakah ahlul-bait Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam ? Bukankah istri-istri beliau adalah ahlul-baitnya ?”. Zaid bin Arqam menjawab “Istri-istri beliau shallallaahu ‘alaihi wa sallam memang ahlul-baitnya. Namun ahlul-bait beliau adalah orang-orang yang diharamkan menerima zakat sepeninggal beliau”. Hushain berkata “Siapakah mereka itu ?”. Zaid menjawab “Mereka adalah keluarga ‘Ali, keluarga ‘Aqil, keluarga Ja’far, dan keluarga ‘Abbas”. Hushain berkata “Apakah mereka semua itu diharamkan menerima zakat ?”. Zaid menjawab “Ya”.

“ Ali, Aqil dan Jaafar merupakan putera-putera Abu Talib Bin Abdul Muthalib yang juga merupakan bapa saudara nabi. Manakala Abbas Bin Abdul Muthalib merupakan bapa saudara dan sahabat nabi yang melalui keturunan beliaulah terbangunnya Dinasti Abbasiyah di mana suatu ketika dahulu pernah memegang tampuk kekuasaan di Baghdad, Irak. Imam Ibnu Hazm rahimahullah berkata : “Telah terlahir Syaibah untuk Hasyim bin Abd Manaf dan dia adalah Abdul Muthalib, pada dirinyalah segala kemuliaan. Tidak tersisa keturunan dari Bani Hasyim kecuali dari Abdul Mutholib saja”.

Keadaan hening seketika. Masing-masing sibuk menconteng sesuatu pada permukaan kertas. Memanfaatkan ruang yang diberikan Hasan. Ini pertama kalinya Hasan mengisi pengajian Syarah Kitab Riyadhus Solihin. Sejak tamat S2 dalam Jurusan Agama dan Filsafat di Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, dia acapkali diundang untuk mengisi pengajian di masjid kampungnya. Namun pada awalnya dia agak keberatan disebabkan ada urusan penting yang lebih perlu diselesaikan. Tetapi setelah dipujuk berkali-kali oleh ahli jawatan kuasa masjid, akhirnya dia terpaksa akur.

 “Dari ketua wanita syurga, Khadijah binti Khuwailid, Rasulullah dikurniakan Allah putera-puteri bernama Al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah. Namun, Al-Qasim dan Abdullah telah lebih dulu mengadap Allah sebelum sempat tumbuh dewasa. Melalui perkahwinan dengan Mariah Al-Qibtiyyah, Baginda dianugerahkan putera bernama Ibrahim yang kemudiannya meninggal ketika masih kecil. Dari puteri-puteri Khadijahlah keturunan mulia ini meluas. Keluarga nabi adalah generasi yang taat meneladani perjuangan dakwah beliau dengan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Merekalah generasi terawal pembela tauhid”.

***

Husain masih lagi berdeku di sejadah. Menikmati bening suasana yang membuat tenang nubarinya. Jarang rasa sesyahdu itu dapat dikecapi. Telah lama dahi luasnya itu tidak mencumbui sejadah. Dia terlalu sibuk mengumpul dunia hingga tak berbaki waktu untuk sujud kepada Sang Pemiliknya. Jika dulu dia lebih nyaman mencari ketenangan di kelab-kelab hiburan. Membunuh masa dengan menonggang  khamr. Menghangatkan malam dengan merangkul pemilik dada-dada subur yang penuh luapan berahi. Berpestalah dia semahunya. Tercabut rasa malunya pada Tuhan. Bergembira seakan dia telah dijanjikan syurga.

Jerit telefon pintarnya mengoyak sunyi. Ketenangannya semacam diragut. Dia bangkit melangkah gontai ke arah datang bunyi lalu mencapainya. Tertera nama pemanggil. Wajahnya tidak menampakkan tanda ceria. Di biarkan telefon tetap menjerit. Tiada tanda-tanda yang dia berminat untuk melayan panggilan tersebut. Akhirnya pemanggil putus asa. Suasana mereda. Dia mematikan terus fungsi telefon lantas meletakkan semula ke tempatnya. Kembali semula ke arah sejadah yang terbentang di dalam bilik utama aparment. Mencapai beg yang berdekatan lalu menyelongkar isi kandungan. Di keluarkan sesuatu dari perut beg sebelum diletak pada hamparan sejadah.

Anak Cucu Nabi, terpampang jelas pada kulit buku tersebut. Diulitinya naskah Syaikh Abdul Mun'im Al-Hasyimi itu penuh minat. Dia tahu arwah ibunya dulu terlalu sering mengisi waktu senggang dengan menelaahnya. Terlalu akrab hubungan buku itu dengan arwah. Atas alasan itu jugalah yang membuat dia terpanggil untuk membawanya pulang ke kota. Dia ingin menggali rahsia yang membuat buku itu mendapat tempat istimewa di sisi arwah. Jika sebelum ini tidak pernah dia ambil peduli. Apalagi untuk bertanya. Namun setelah arwah ibunya tiada, buku itu seakan menjadi projektor yang memunculkan slaid-slaid kenangan seorang wanita agung yang senantiasa hidup dihatinya. Figur yang semakin dirinduinya. Kini baru dia merasakan pahit kebenaran ungkapan yang menyatakan “keberadaan seseorang itu lebih terasa justeru bila dia telah tiada”.

Dia menyelak helaian mukasurat. Berkenalan dengan manusia berperibadi Al-Quran. Masuk ke dalam kehidupan mereka yang sederhana. Meninjau ke taatan Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kulthsum terhadap risalah yang dibawa nabi. Menyaksikan ketegaran Fatimah Al-Zahra yang mengorbankan waktu remajanya menjunjung perjuangan dakwah ayahanda tercinta. Melihat sisi kebijaksanaan dan kelembutan Al-Hassan menangani konflik umat dengan mengutamakan kesatuan di atas jabatan. Dan melihat pengkhianatan serta kezaliman yang terpaksa mereka tempuh akibat onar tangan-tangan derhaka para manusia yang haloba.

Dia sampai ke halaman yang terdapat tanda lipatan. Bab Al-Husain. Kata ibunya itu nama ketua pemuda syurga. Nama cucunda nabi. Setakat itu sahaja yang dia tahu. Tidak lebih. Dia semakin teruja untuk menyingkapi perjalanan hidup penyejuk hati Nabi yang satu ini. Dia ingin menyelongkar pesona yang tersimpan pada Al-Husain sehinggakan arwah ibunya nekad memilih nama itu. Dia mahu menyusur jalur pejuangan Abu Abdillah yang senantiasa dipeluk nabi bersama saudaranya Al-Hasan sehinggakan datuknya yang mulia itu bersabda:

"Kedua anak ini adalah puteraku dan putera dari puteriku. Ya Allah, sungguh aku mencintai keduanya. Kerana itu, cintailah keduanya dan cintailah orang yang mencintai keduanya”.

***

Hasan sibuk mengemaskan barangnya untuk esok. Dia telah memutuskan untuk turun ke ibukota menziarahi teman lama. Sejak berita kematian ibu Husain sampai kepengetahuannya, dia merasa seakan bersalah kerana tidak berada disisi Husain saat dia ditimba musibah. Waktu itu dia sedang berada ditanah suci bersama keluarga melaksanakan ibadah umrah. Simpatinya melangit pada teman sepermainannya itu. Selalu dia memikirkan keadaannya. Bukan dia tidak tahu bahawa Husain sangat rapat dengan ibunya, arwahlah satu-satunya tempat dia berkeluh kesah. Tiang yang menyokongnya berdiri serta induk kekuatannya.

“Kamu jadi pergi esok, San?” soal ibunya minta kepastian.

“InsyaAllah Ummi, jika tiada aral” balas Hasan sopan.

“Berapa lama kamu di sana?” tanya ibunya lagi semacam risau.

“Mungkin dalam dua atau tiga hari” jawab Hasan sambil menyumbat kain pelekat ke dalam beg.

Hasan dapat menghidu nada bimbang dalam pertanyaan itu. Ibunya memang begitu, mudah dihurung risau. Terkadang ibunya seperti terlupa bahawa anak lelakinya itu sudah cukup dewasa. Tambah lagi Hasan itu terkenal soleh dan alim. Rata-rata orang kampung terdedah dengan ketinggian akhlaknya. Dia seorang yang santun serta mudah didampingi. Wajahnya murah dengan senyum. Ringan tulang dan rendah diri. Bila diam diselimuti karisma. Saat berbicara memancar wibawa. Banyak orang-orang tua dikampung yang berkenan untuk ditabal jadi menantu.

“Jam berapa kamu bertolak esok San?” .

Parau suara Hj. Ibrahim merobek sunyi. Hasan pun menoleh kebelakang. Mencari susuk ayahnya. Dia sedikit terkejut dengan kehadiran orang tua itu. Entah bila ayahnya itu melintasi biliknya yang ternganga sebelum menjelma diruang tamu.

“Jam1.30 petang. Bas bergerak jam 2”.

Hasan melihat kelibat ibunya melintasi dengan membawa dulang berisi dua gelas teh o panas. Memang  itu sudah menjadi minuman rasmi ayahnya sebelum masuk tidur. Seperti tidak lengkap harinya tanpa minum malam.

“Atas meja makan ada ummi bungkuskan sedikit ole-ole untuk Husain. Jangan sampai tertinggal. Sudah la tu, mari ke sini minum”.

Perlahan Hasan bangkit berjalan patuh menuju ke ruang tamu sebelum mendaratkan punggung ke sofa. Mengambil posisi disebelah ayahnya. Hjh Aisyah meyeluruhi pelita hatinya itu dari arah sisi. Sempat dia memanjatkan doa memohon keselamatan untuk Hasan. Tanda kasih yang melimpah dari si ibu untuk sang anak.

“Husain dah tahu yang kamu nak datang esok?” Soal ayahnya lagi sebelum menghirup minuman.

“Sudah. Husain akan tunggu di terminal” balas Hasan sambil rona mata bergilir-gilir menyeluruhi wajah kedua orang tuanya.

“Baguslah tu San. Jenguklah Husain tu dia perlukan kamu. Kasihan dia. Mudah-mudahan ziarah kamu dapat mengubat sedikit kesedihan dia. Lagipun kamu dan dia dah lama tak bersua muka. Kalau kamu dah sampai ke sana nanti sampaikan salam abi dan ummi pada dia” pesan ayahnya penuh nasihat.

“InsyaAllah, akan Hasan sampaikan”.

Ucapan Hj. Ibrahim itu ada benarnya. Sudah agak lama Hasan dan Husain tidak bersilaturahim.Terakhir kalinya adalah sewaktu Aidilfitri dua tahun lepas. Waktu itu Hasan masih mengajar di Pasantren. Dan Husien pula bekerja di salah sebuah perusahaan minyak dan gas di ibu kota. Masing-masing pulang beraya di kampung. Setelah dari itu tiada lagi pertemuan.

***

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ok, akan membaca sambungannya pula
  • 2) Saya tergamam membaca tulisannya. Bait-bait diksi kemas dan tersusun. Tulisan yang sangat bermakna.
  • 3) Sangat kemas, telah lama saya baca namun belum ada kesempatan untuk memberi komen.

    Tulisan toti banyak mengembalikan kerinduan pada ahlul-bait

  • (Penulis)
    4) syukran utk bacaan dan komen.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti