Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Cempiang Metropolis (Bahagian Satu)

  • 1
  • toti
  • 12 years ago
  • 4,858
  • FREE

 

Siapa yang tidak kenal dengan Sham? Nyaris semua filem ditangannya menjadi fenomena. Bermula dari KL Hanyut, kemudian 3J (Jangan Jadi Jalang), Tahyul, sebelum khalayak digemparkan dengan Ayahanda dan Aku bukan pengkid. Semalam kerja tangan mutakhirnya, Bohsia Menjerit telah dicanang secara rasmi sebagai filem pecah panggung yang meraih kutipan sebanyak 10 juta  seusai tempoh tayangan. Sekaligus menjadi karya watan yang memperoleh kutipan tertinggi sepanjang sejarah sinema lokal. Dan pencapaian ini secara tidak langsung telah menempa jalan untuk dia muncul sebagai salah seorang sutradara bergengsi  yang menyandang gelar jutawan dalam usia yang masih pucuk.

Tapi dicelah-celah limpah puja-puji itu, terdengar nyaring suara-suara kritik yang berlada. Pada pupil mata sesetengah pengkritik dia terpandang sebagai karyawan safil yang hanya berkiblatkan keuntungan maksima. Dakwa mereka, buktinya lantang terpampang dari semua karyanya yang cenderung mengagungkan  hedonisme dan eksistensialisme. Dia lebih teruja mengekspoitasi realiti mungkar dan kebejatan hanyir  atas alasan realisme. Meskipun ada moral yang cuba disogok secara gabra dihujung cerita bagi mewaraskan segala kegilaan, namun itu masih terlalu dangkal dan gagal untuk mengalahkan kemungkaran yang melata.

Sudahnya yang berbekas dalam minda khalayak hanyalah adegan usap-raba, peluk-cium, gomol-rogol, rempit-merempit, seligi –menyeligi dan jenaka konyol. Menurut kelompok pengkritik ini filem seharusnya berfungsi sebagai medium yang mentarbiyah khalayak. Bukan semata-mata hiburan. Jauh sekali untuk mengisi keinginan hawa nafsu yang terbawah.  Filem seharusnya menghantar wacana yang disulam kemas dengan iman, falsafah dan kreativiti sehingga memungkinkan khalayaknya tercerah. Tambah pengkritik itu lagi, membikin filem bukan sekadar untuk meraih untung di dunia, tetapi juga ganjaran di akhirat kerana bakat itu adalah amanah dan membikin filem juga adalah ibadah.

Namun semua itu dipersetankannya. Bagi dia itu hanyalah suara-suara jaki yang tidak perlu dilayan. Apa yang lebih penting semua karyanya mendapat dukungan. Apa gunanya menghasilkan karya yang tepu wacana dan sarat falsafah tapi tidak dihiraukan langsung oleh khalayak? Lihat nasib filem-filem yang dimenangkan oleh pengkritik, rata-ratanya kalah teruk dipanggung. Sudahnya karyawan terpaksa gulung tikar. Dia tidak mahu jadi seperti itu. Dia akan terus berkarya mengikut selera massa meskipun ada yang melabelkannya sebagai picisan. Yang mustahak khalayak dapat menerima dengan senang hati dan dia pula dapat terus mengaut untung berganda.

Lagi pula generasi sekarang hadir ke panggung bukan untuk mencicip wacana, tetapi untuk berhibur bagi melupakan sebentar segala kerenah hidup.  Jadi mengapa perlu memberat-beratkan mereka dengan sesuatu yang bakal melelahkan? Bukan semua orang mampu untuk mencerap falsafah dan berapa kerat sangat yang benar-benar peduli tentang kemanusiaan? Lihat sahaja filem-filem yang cuba menampung tema ini di sinema tempatan, hampir semuanya gagal memukat minat khalayak. Ini bukan bermaksud massa di sini tidak mahu menjunjung kerja tangan karyawan tempatan, tetapi hidangan yang cuba disuguhkan itu jelas tidak menepati selera semasa.

Biarlah apapun yang dilempar dan ditohmah, dia tidak pernah kisah. Yang penting dia tahu apa yang dia lakukan ini berbaloi. Dia bikin filem bukan untuk memujuk segelintir pengkritik tapi untuk menghibur  segenap khalayak. Dia tidak peduli kalau filemnya dibakulsampahkan oleh pengkritik. Asalkan ianya laku untuk dijual itu sudah lebih dari cukup. Pergi mati dengan kecaman dan celaan yang mengunjing. Semua itu tidak menganggu-gugat sedikit pun kredibilitinya sebagai seorang sutradara tersohor negara yang telah teruji  dengan beberapa buah karyanya yang sering meraih kutipan pecah panggung dalam beberapa tahun berturut-turut.

Kini dia sedang rusuh mengusahakan filem terbarunya, Cempiang Metropolis. Sudah menjadi cap dagang pada setiap karya-karya arahannya, filem ini juga turut mengguna pakai teknik kitar semula yang disalin-tampal dari bollywood itu bagi menjimatkan masa dan kos. Jadi tidak payah merasa pelik jika dalam semua filemnya yang berbilang genre itu akan dibintangi oleh muka-muka yang nyaris sama. Untuk filem kali ini ia berkisar seputar kehidupan klise watak Roy diperan Haron Azizi yang tumbuh tanpa kasih sayang ditengah-tengah hiruk Kuala Lumpur. Seperti selalu takdir terpaksa dikambing hitamkan bagi mewajari kebobrokan yang dilakukan protagonist sehinga dia dilempar ke dalam penjara.

Seusai memboroskan 4 tahun dari usianya di belakang jeriji besi, akhirnya dia beri hak untuk bebas. Ternyata kepayahan hidup sebagai manusia terhukum telah menginsafkan Roy. Lantas dia nekad untuk berubah serta melegukan langsung hubungannya dengan dunia kongsi gelap. (Nah, sekarang siapa bilang filem komersial tidak menyelitkan moral? )Kendatipun begitu, ada satu hal yang tidak disedari oleh Roy. Adiknya yang bernama Farouk di peran Adi Dasuki telah mengikut jejak langkahnya bergelumang dalam lubuk penuh noda. Ini ditonjolkan melalui scene Farouk yang berlenggeng merayau seperti gelandangan bersama konco-konconya sambil memikul besi dan beluti.

Dalam pada itu khabar pembebasan Roy telah hinggap ketelinga Croc, rivalnya dulu. Bagi Croc yang diperan Safuan, pengaruh Roy masih tersisa dan hal ini tidak boleh dipandang remeh. Jadi bagi memastikan empayar kekuasaannya terus mengakar maka Roy perlu lekas dihabisi. Sebagai crook yang tipikal, Croc mula merencana komplot jahat bagi meluluh lantakkan Roy yang dipandangnya sebagai ancaman terbesar. Dalam masa yang sama, Roy giat meluruskan hidupnya yang selama ini simpang perenang. Selain gigih mengintrospeksi diri, dia juga tekun membanting kudrat dipasar demi melangsung sisa-sisa hidup yang tak panjang.

Seperti mana filem hindi, hero dalam filem ini juga tidak akan dibiarkan berkelana sendiri. Pedulikan tentang logik. Bukankah filem adalah ruang untuk memenangkan khayalan dan absurditi? Lalu secara tidak dirancang Lisa yang terkadang membantu ayahnya dipasar jadi tergiur dengan kegantengan Roy. Watak Lisa yang diperan Nabira tampil sebagai perempuan metropolis yang sederhana tapi mengugah. Dengan bibir menyihir, serta dada mengkal memancar, disempurnakan dengan susuk sensual ala jam pasir, pastinya meruntun sukma setiap lelaki. Namun begitu cinta berahinya hanya tertuju buat Roy. Dan sayangnya, Roy bukanlah jantan gersang yang senang mengernyam.

Entah kenapa, tak semena-mena Roy bertukar menjadi Padayappa. Tanpa peleraian yang munasabah dan alasan yang konkrit, Roy yang awalnya dijelmakan sebagai banduan insaf tiba-tiba berubah menjadi seperti perempuan gila meroyan melalui plot yang terlompat-lompat macam hantu cina. Filem ini seterusnya disesakkan dengan aksi kejar-mengejar yang sia-sia,bantai-membantai, belot-membelot yang tak berhujung, tembak sana dan bunuh sini seakan memberi gambaran yang kecekapan dan ketangkasan institusi Polis dalam membasmi jenayah seperti yang selalu disogok oleh drama Gerak Khas itu tidak lebih dari sekadar dongeng rakyat.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Puas! Padat sinikal dan satirikal.
    Dari sudut pengisian sangat ampuh dan mengenyangkan.
    Tapi Melayu hari ini, ah, membaca tahu nak berhibur saja. Hehe.

    Apakah titik ekuilibriumnya? Antara pengisian ilmiah dan budaya tulis pop?

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti