Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Cempiang Metropolis (Bahagian Akhir)
Tidak cukup dengan aksi brutal yang tak memasal, filem ini dibumbui pula dengan dialog basi serta maki hamun dan caci serapah dalam bahasa slanga ala Petaling Street. Ternyata bahasa melayu yang dicanang sebagai bahasa kebangsaan itu bukan sahaja dicurigai kemampuannya dalam menghantar ilmu tetapi juga dianggap sebagai kontang nilai komersial.Dan bukan itu sahaja, seperti mana lazimnya filem-filem picisan, Sham juga tidak mahu terkebelakang dalam mengekploitasi kemungkaran. Jadi tanpa silu diselitnya adegan-adegan badani yang menjadi rukun mazhab realisme, sehingga Kuala Lumpur itu terlihat tidak ubahnya seperti lubuk berhimpun generasi kurang kasih sayang yang hobinya berpesta dan bergumal sebelum terkendang kaku ditubir ranjang.
Begitulah seterusnya Cempiang Metropolis digarap tanpa memperhitung aspek pengisian naratif, perkembangan plot, idealisme serta nilai epistimologi dalam sesebuah karya. Ini kerana khalayak yang rata-ratanya remaja, sukakan makanan ringan yang senang dicerna sekalipun tidak mengandungi sebarang khasiat. Jadi setelah usai melalui proses penyuntigan dan rangka promosi, Cempiang Metropolis mula ditayang keseluruh pawagam tempatan. Dan seperti dijangka ia mendapat sambutan yang lumayan sehingga memaksa syarikat pawagam menyediakan dua tayangan serentak bagi menampung kebanjiran permintaan.
Setelah sekian lama disibukkan dengan tugas mengarah lantas Sham mengambil keputusan untuk berehat dari kerja-kerja filem. Hari itu dia memilih untuk diam dirumah sambil membunuh masa dengan menonton siaran televisyen. Dia menagurkan tubuh langsingnya dia atas sofa empuk sebelum mencapai alat kawalan jauh. Beralih dari satu siaran ke siaran yang lain. Tiada rancangan yang memikat. Akhirnya dia memecal angka 412. Ada wajah Richard Gere dan seorang gadis kecil memeran watak dalam filem yang diadaptasi dari novel Myla Godberg. Dia mula mengekor babak di dalam Bee Season. Perlahan-lahan dia tenggelam dalam wacana yang digarap kemas oleh Scott McGehee dan David Siegel.
Dia dapat merasakan produk Hollywood yang sedang dilumatinya itu benar-benar lain. Tidak seperti tipikal filem barat yang sarat propaganda serta hal-hal klise yang memualkan. Naskah yang menatang tema besar ini ternyata berjaya menghantar wacana spiritual juga falsafah dengan begitu kemas dan tidak menjenuhkan. Meskipun intisari penceritaannya berkisar tentang mistisisme agama yang sorot pandangnya adalah judaisme, namun hubungan manusia dengan tuhan itu yang membekas. Dia juga sempat merasa terpukul bilamana karyawan dari mazhab wilsonisme yang agnostik punya keberanian untuk menghidupkan tuhan di dalam sinema sedang karyawan tempatan seperti dia lebih teruja mengejar untung dengan memperlekehkan tauhid.
Berita kejayaan filem terbarunya yang beroleh 11 juta dalam tempoh 4 minggu tayangan itu merebak ke seluruh negara. Terpalit rasa bangga dihatinya kerana Cempiang Metropolis dapat memecahkah rekod yang diciptanya sendiri melalui filem Bohsia Menjerit. Namun disebalik itu ada gejolak rasa yang memberontak di dalam diri. Rasa yang menuntut suatu perubahan. Dalam masa yang sama terdapat desakan dari audiennya yang mahu dia menyambung filem tersebut. Pada awalnya dia sedikit keberatan tapi setelah menconggak permintaan dan untung yang menggoda, akhirnya dia akur.
Maka digarapnya Cempiang Metropolis 2 yang makin mengarut dan merapu. Tidak mati di situ, audiennya yang rata-rata mandul fikrah itu meminta sesuatu yang lebih merapik lagi. Maka dengan rasa malas dia mensutradarai Cempiang Metropolis 3 dengan bahan-bahan yang cabul dan kotor bolor bagi memenuhi selera bejat mereka. Kemudian ia dipanjangkan pula untuk siri keempat. Meski terdapat sedikit perubahan dari segi bajet pembikinan dan barisan pelakon, namun elemennya masih tetap sama iaitu gaduh,bunuh, caci maki sambil disela konflik cinta murah.
Lama kelamaan Sham mula lelah menghasilkan karya yang menatang kemungkaran dan kebobrokan. Dia juga bosan melayan kerenah dan selera remaja-remaja bebal yang gemarkan hiburan tak bertuhan. Lantas dia mengambil langkah drastik dengan memampuskan semua unsur mungkar dan kembali memenangkan maaruf dalam Cempiang Metropolis 5. Dia tidak tega lagi menanggung dosa dengan menghidang filem-filem bodoh yang tak sudah-sudah merempit, menggangster, membohsia dan memomokkan khalayak. Dia nekad untuk berubah menjadi pengarah yang bermaruah dengan menghasilkan naskah yang bukan sahaja boleh dipertanggungjawabkan tetapi kental diuji masa.
Dia tidak peduli kalau ada yang akan menuduh dia gersang idea atau kehilangan bisa, yang mustahak dia dapat melakukan sesuatu yang jujur dan bermanfaat untuk khalayak. Dia tidak kisah kalau filem-filem garapannya selepas ini tidak mampu menyamai rekod kutipannya yang telah sudah kerana sekarang dia berkarya hanya untuk khalayak yang merasa terlipur dengan ilmu dan tidak culas menggunakan akal. Lagi pula jumlah kutipan bukan ukuran kualiti sesebuah karya. Apa gunanya penonton yang ramai tapi sekadar hadir untuk ketawa dan terkinja-kinja tanpa pengisian yang wajar. Biar jumlah kutipannya sederhana , asalkan yang hadir itu adalah mereka-mereka yang tahu menilai seni dan menghargai wacana.
Pergi jahanam dengan persepsi orang . Sudah cukup lama dia menjadi pak turut sehingga membelakang kan harga diri semata-mata untuk kepuasan materi. Memang dia memiliki segalanya namun semua itu tidak dapat mententeramkan nubari. Biarlah kali ini dia melakukan dengan caranya sendiri. Kalau selama ini dia selalu menghalalkan yang haram dengan tiket realisme, selepas ini dia akan menggembleng seluruh kekuatannya untuk menghasilkan naskah yang dapat menginsankan insan dan sekaligus menjadi medium memperkasakan tauhid demi menggapai redha Illahi.
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen SatiraCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) Semoga mereka yang telah tersasar kepada 'realisme' dan berpaksi hedonisme itu pengakhirannya begini.
Kadang kala, belajar dari kesilapan dan kepedihan itu lebih bermakna.
Kadang yang lain pula, lebih baik jangan tersasar, bimbang takdir dan masa tak menyebelahi.- cahatomic
- 12 years ago