Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kembali

 

“Pukul berapa sekarang?”

 

            Warna merah mentari yang semakin menghampiri ufuk membuatkan aku semakin lalai, tambahan pula dengan tiupan angin utara yang lembut membelai seluruh muka yang lenjan dibasahi peluh. Bersandarkan pada sebuah kerusi panjang yang diperbuat dari kayu napuh, aku semakin hanyut dibuai khayalan sendiri.

 

“Hey!” Terasa telingaku dicubit dan ditarik. Sakit.

 

“Awin tanya ni. Pukul berapa sekarang?”

 

            Wajah yang tadinya aku palingkan ke arah tasik yang melebar kini kuarahkan menghadap ke punca suara tadi bergema. Kelihatan di mata satu wajah yang sering bermain di mata minda setiap kali aku diserang rasa rindu. Wajah lembut yang sering menjadi teman ketika aku memerlukan seseorang untuk melayani rasa cinta yang tidak terbahagi.

 

“Tengok tu. Bukan nak jawab,” mulutnya mengomel lagi. “Nak kena cubit lagi ke?”

 

“Eh eh,” balasku pantas sambil menepis tangan kecilnya yang liar melilau mencari permukaan kulit berlemak milikku yang sedap untuk dicubit. Tangan kanannya terus cuba menembusi pertahanan yang sedang dibina menggunakan dua tanganku. Serentak tangan kanannya aku pegang, tangan kirinya berjaya mencecah bahagian perutku tanpa sempat aku tepis.

 

“Adoii...!” Rasa perit yang tak terhingga bila jemari kecil itu mula mencubit sambil empunya tangan terkekek-kekek ketawa.

           

Sambil menggosok tempat cubitan tadi aku menarik muka, kononnya merajuk. Jam tangan yang terlilit di lengan kiri aku jeling sepintas lalu. Dia seperti biasa cuba memancing minatku dengan senyuman manja sambil melilit-lilit rambut dengan jemari kecilnya.

 

“Pukul 6.30 petang,” balasku dengan bibir yang mencebik. Tangan masih menggosok tempat cubitan tadi.

 

Seraya itu tangan kecil tadi menyentuh tanganku yang sedang sedaya upaya membuang rasa bisa yang menular di perut. Dengan perlahan tangan itu menolak tanganku jatuh ke peha lalu mengambil alih kerja gosokan itu. Dengan lembut badan itu disandarkan ke sisi, dan serta-merta bau wangi lembut menusuk ke dalam hidung. Mendamaikan.

 

“Lain kali jangan asyik nak berangan je,” katanya selepas beberapa ketika. Tangan kecil itu masih bermain di perutku.

 

“Berangan apa. Saya tengah fikir macam mana nak tangkap gambar tasik ni,” balasku perlahan.

 

“Ai, tak cukup lagi ke gambar yang ditangkap tadi?”

 

“Bukan tak cukup. Tapi selagi boleh tangkap, tangkap aje.”

 

Perlahan dirinya bangun lalu bersimpuh di atas rumput bertentangan denganku. Matanya yang bulat bundar bersinar terang membuatkan aku terasa sangat tenang. Bibir yang dicolet dengan sedikit pewarna merah jambu itu terasa amat enak sekali.

 

“Saya nak tengok gambar yang awak tangkap tadi boleh?” tanyanya dengan penuh manja. Dan seperti biasa ego lelaki aku akan cair seperti marjerin yang dicampak ke dalam tong besi tuang yang penuh dengan besi cair yang merah membara.

 

Kamera digital yang disimpan di dalam beg kecil yang disandang di bahu aku ambil lantas aku hidupkan suisnya. Dengan beberapa gerakan, koleksi gambar yang kuambil sejak dari tengahari tadi terpampang di skrin kamera tersebut.

 

“Nah,” kataku sambil menghulur kamera tersebut kepadanya. “Jangan delete pulak nanti tau.”

 

Seperti lagaknya seorang kanak-kanak yang diberikan sebuah permainan yang paling hebat pernah dipegangnya, dia mula membelek satu demi satu gambar yang tertera di skrin tadi dalam kedudukan bersila. Seketika dia senyum, kemudian dia ketawa, dan adakalanya dia menjelirkan sedikit lidah. Lagaknya itu betul-betul membuat aku berasa senang hati sekali. Tanpa disedarinya aku mula menjamah apa yang aku lihat di hadapan ini dengan sepenuh hati.

 

Syarifah Azwin. Panggilannya Awin. Gadis ini aku kenali ketika sedang mengambil gambar di majlis perkahwinan seorang saudara di Kuala Lumpur. Mungkin dia sedar yang aku sering mengambil gambarnya daripada gambar mempelai, dia mendekati aku dan dari situ kami mula berkenalan.

 

Walaupun sudah hampir setahun kini kami menjalinkan hubungan mesra, Awin masih sepertimana gadis yang menjadi mangsa lensa aku di majlis perkahwinan itu. Lagaknya, manjanya,  segalanya tidak pernah berubah.  Dia memang seorang gadis yang sangat istimewa.

 

Gadis Melayu yang tinggi lampai, Awin memiliki segalanya yang aku impikan. Kulit yang cerah kemerahan, mata yang bundar dan galak, rambut panjang paras dada yang sering diikat menyerupai ekor ayam, bibir merah semulajadi yang tidak pernah lokek dengan senyuman; pendek kata, segalanya! Peribadi yang terindah pernah aku miliki, sudah tentu aku akan berfikir dua kali untuk bersama si gadis idaman hati. Lagi baik kalau boleh dijadikan isteri!

 

“Hah, berangan lagi!” Bagai nak bersepai gegendang telinga aku apabila Awin menempik di sisi. Aku tersentak sedikit sebelum menjeling ke arahnya dengan muka bengang.

 

“Senyum sorang-sorang. Dah gila ya?” Gelak tawanya bersambung-sambung membuatkan aku sedikit geram.

 

Dengan sepantas yang mungkin aku bangkit dan cuba menerkam dirinya yang kini sudah berdiri sambil memegang kamera di tangan kiri. Awin menjerit kecil sambil tertawa sebelum mengelak dan berlari menghala ke atas bukit kecil di sebelah tasik terpencil itu sebelum menghilang di sebaliknya. Agak jauh juga dia berlari sambil aku mengejar dengan penuh kepayahan di belakang, menggendong dua buah beg kamera dan sebuah kaki tripod yang beratnya hampir beberapa kilogram.

 

Sesampai sahaja aku di atas bukit kecil yang diliputi rumput menghijau itu, kelihatan Awin sedang berdiri menghadap sebuah pohon kemboja besar yang sedang berbunga lebat. Angin yang sedikit kencang membuatkan kelopak-kelopak bunga itu jatuh menimpa kepala dan tubuh Awin yang kaku di bawahnya. Awin hanya berdiri kaku, melihat ke arah  datangnya kelopak bunga-bunga itu.

 

“Awin,” panggilku sebaik sahaja aku merapatinya sambil cuba menyusun nafas yang masih tunggang langgang. “Kenapa ni?” Tanyaku sebelum mengambil tempat di sebelahnya.

 

“Awin,” balasnya perlahan sambil melihat ke arah bunga kemboja yang lebat merimbun. “Awin rasa kan, Awin pernah datang dekat sini dulu.”

 

Aku tidak membalas sebaliknya memberi reaksi yang pelik terhadap diri Awin yang masih menikmati helaian kelopak bunga kemboja yang jatuh menimpa mukanya. Detik hatiku mengatakan yang mana mungkin pernah dia ke sini. Tempat ini tersorok dari orang ramai, dan ini pun kali pertama aku bawa dirinya ke sini untuk mengambil gambar. Namun kata-kata itu tidak terlafaz, dan aku membiarkan sahaja Awin dalam dunianya sendiri.

 

Setelah beberapa ketika, aku merasakan yang matahari sudah semakin dekat merapati ufuk, dan seraya itu tangan Awin aku tarik perlahan.

 

“Mari sayang, kita pulang. Dah lewat ni,” pujukku perlahan apabila Awin seakan tidak mahu berganjak lagi.

 

“Awak...” balasnya lembut tanpa melihat pun ke arahku. “Sekejap lagi boleh tak?”

 

“Tapi sekarang dah lewat ni. Kejap lagi tempat ni gelap,” balasku lagi, sedikit memaksa. “Mari ya, kita balik.”

 

Tanpa balasan Awin menurut tarikan tanganku dan kami berjalan menyusuri lereng bukit kecil itu tadi menghala ke jalan besar tempat aku memarkirkan kereta. Dari jauh sudah kedengaran bunyi kenderaan yang laju menempuhi laluan antara tersibuk di Kuala Lumpur. Aneh, tempat ini masih tersorok sedangkan ramai orang lalu-lalang di pinggirnya.

 

Apabila aku menoleh ke arahnya, wajah Awin seakan menggambarkan satu kesedihan yang amat. Sesampai sahaja kami di hujung jalan, Awin menoleh ke belakang untuk melihat pokok kemboja tadi yang kini semakin lenyap ditelan kegelapan malam.

 

“Lain kali kita datang sini lagi boleh? Awin nak pergi ke pokok tu,” kata Awin seakan memujuk.

 

“Kenapa dengan pokok tu,” aku mula berasa kurang senang. Tambahan pula kini sudah masuk waktu maghrib dan aku terasa agak janggal dengan rasa pelik ini.

 

“Awin rasa Awin macam pernah pergi situ. Awin nak pegi situ lagi.”

 

“Awin mana pernah datang sini, sayang. Ini kan kali pertama kita datang.”

 

“Awin nak pergi sana lagi...” kini Awin sudah sedikit merengek kecil.

 

“Kita balik dulu sayang,” balasku dengan mendatar. Aku sudah benar-benar terganggu dengan perubahan Awin yang tiba-tiba.

 

“Please awak...bawak Awin datang lagi? Kalau tak Awin boleh pergi sendiri.”

 

Aku menoleh ke arah Awin dengan wajah yang sedikit masam. Apa kena dengan gadis ini? Kalau bukan kerana kereta yang banyak lalu-lalang di pinggir jalan, sudah tentu aku lari dalam ketakutan yang amat sangat. Perangainya memang agak pelik. Apa hebatnya pohon kemboja tadi sehingga mampu mengubah Awin sehingga sebegini rupa?

 

“Tengoklah nanti,” balasku sambil lewa. Aku sudah malas untuk melayan.

 

Awin menarik tangannya dengan perlahan dari genggamanku dan mula mengorak langkah menghala ke keretaku yang terletak dalam tiga puluh meter jauhnya. Kebosanan, aku hanya mengikut di belakang. Lenggok badannya memberitahu yang dirinya sedang merajuk.

 

Entah bagaimana, tiba-tiba terjatuh sebiji bateri bentuk silinder dari kamera yang masih berada di tangan kiri Awin. Akibat hayunan tangannya ketika berjalan, bateri tersebut terlambung sedikit ke udara sebelum terjatuh di atas jalan raya dan mula bergolek ke tengah jalan. Dalam keadaan panik Awin cuba mengejar bateri yang masih bergolek tanpa sempat aku menahan.

 

“Ya Allah! Awin!! Jangaannn!!!”

 

* * * * *

 

“Amin amin ya Rabbal ‘alamin.”

 

Semua hadirin mengaminkan doa yang tamat dibacakan oleh Imam Idris. Dengan perlahan mereka mula beransur pulang akibat matahari yang semakin memerah tandanya senja sudah bermula. Lagipun majlis sudah pun tamat tanpa apa-apa masalah.

 

Satu demi satu tepukan lembut singgah di belakang tubuhku yang dibaluti baju melayu putih meminta agar aku bersabar dan menerima takdir Tuhan dengan redha. Benar, yang pergi tak akan kembali lagi. Tempat yang tadinya ramai dikerumuni orang kini hanya tinggal aku dan dua orang rakan sahaja, itupun mereka sekadar melihat dari jauh , seakan memberikan peluang untuk aku mengucapkan salam terakhir kepada arwah.

 

Setitis dua air mata mengalir di pipi, namun semua itu tak mungkin akan merubah apa-apa. Rasa sebak yang menggila membuatkan aku hampir gila, tambahan lagi apabila bateri yang cuba arwah kejar petang semalam berada di genggaman tangan kiri aku. Bateri yang remuk berkecai akibat digilis kereta yang sama membuatkan Awin melambung hampir lima meter bertentangan dari arah datangnya kereta tersebut. Masih terbayang betapa seksanya arwah bernafas selepas dilanggar, dan betapa payahnya arwah meminta ampun dan maaf dariku sebelum menghembuskan nafas terakhir di pangkuan aku selepas menghulurkan bateri yang  sempat juga dicapainya sebelum dilanggar.

 

“Peritnya hidup selepas ini tanpamu sayang...” Sekukuh dan sekuat mana pun hati lelaki ini, aku akhirnya teresak-esak sendiri di hadapan binaan tanah merah yang dilitupi bunga rampai dan dibasahi air mawar. Aku runtun. Aku melutut di hadapan pusara itu, Aku menangis sepuas-puasnya . Batu nisan berbalut kain putih itu aku belai sepertimana aku membelai kepala arwah dengan penuh kasih sayang dahulu.

 

“Kita balik, Man,” Esakan aku berhenti apabila bahuku disentuh lembut oleh Ajib. Tanpa sebarang bantahan aku akur dan menurut sahaja ajakannya. Air mata masih mengalir laju dan tanganku masih menggenggam bateri yang menjadi punca perpisahan ini terjadi.

 

Tatkala menghampiri kereta, tiba-tiba terasa angin landai bertiup dari belakang menghembus tubuhku dengan lembut. Untuk kali terakhir, aku berpaling menghadap pusara Awin, hanya untuk menyedari kehadiran sebuah pohon kemboja rendang yang tumbuh beberapa kaki sahaja dari pusara itu. Angin yang bertiup membuatkan kelopak bunganya yang lebat jatuh berguguran dengan perlahan menutupi liputan tanah merah yang masih basah.

 

“Please awak...bawak Awin datang lagi?”

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) apsal aku asik post cerita tragedi je ni T_T
  • 2)

    argh~ takut! baru ingat nak try-try amek gambar dua-tiga pokok kemboja yang tengah rimbun lebat kat tepi jalan ulang-alik tu... insaf la camni.

    p/s: good one! *thumbs up* 

  • 3)

    nice one jack :)

    kesegaran idea : 4
    penceritaan : 4
    susunan kata : 4

  • 4)

    orang kate, sblm ajal.. kite selalunye buang tebiat. Ni la kot buang tebiatnye?

    *melarikan diri dprd pokok kemboja 

  • 5)

    love ur story...but...why must she died~~

     salu bacer ur story yg ending die cmni...maybe u can try another ending...=)

    neway thumbs up

Cerpen-cerpen lain nukilan Jacksparrow

Read all stories by Jacksparrow