Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

Aiden Y

Cerpen sebelumnya:
Suite 6019
Cerpen selanjutnya:
Makna Cinta

Si misteri yang emo…

 

Penampilan resminya yang serba hitam itu ditelek agar tiada sebarang cacat cela. Dia meneliti setiap inci tubuh di hadapan cermin. Rambutnya seperti biasa, dirapikan ke tepi sampai menutup sebahagian wajah. Potongan wajib bagi anak muda yang mengikuti aliran emo. Tidak ketinggalan, gelang-gelang hitam dimuatkan pada tangan. Dia melihat kuku yang turut dicalit dengan pewarna hitam. Masih berkilat pewarna itu, tahan lama. Lantas beg sandang berwarna hitam disuakan ke bahu. Dia akan ke kelas seperti biasa. Tiada siapa yang akan menghalangnya menjalani rutin sebagai pelajar itu. Kolejnya adalah kolej swasta, tidak meletakkan garis batasan yang ketat dalam etika berpakaian. Dia hanya dengan dirinya, berbicara dengan kata hati. Tiada siapa yang pernah menjadi temannya, malah teman berbual sekalipun mustahil sekali. Dia hanya emo, namun tetap punya hati dan perasaan. Mereka tak pernah faham dirinya.

 

Dalam kelas dia sama seperti pelajar lain. Menumpukan sepenuh perhatian, dan hanya mendiamkan diri jika tiada sebarang urusan penting. Tempat yang paling mententeramkkan baginya adalah rumah. Tempat berteduh yang dihuni bersama bapa saudaranya sejak mula mengenal dunia. Namun setelah bapa saudaranya meninggal, dia melakukan segalanya sendirian. Hilang tempat bergantung bermakna dia perlu teruskan hidup tanpa perlu mempercayai sesiapa pun. Masih ada duit simpanan yang bapa saudaranya tingggalkan dalam akaunnya. Dia pernah juga bertanya, dari mana lelaki itu mendapat wang yang begitu banyak, namun seringkali tiada jawapan yang diterima. Dia pula bukanlah kategori boros, jauh sekali berbelanja sembarangan. Menu harian yang paling digemari adalah mi segera berlaukkan telur. Lazatnya!

 

Sebaik sahaja tamat kelas untuk hari ini, dia terus mengatur langkah. Ke mana lagi jika tidak pulang ke rumah? Langsung tiada agenda seperti rakan-rakan sekelas yang lain, tengok wayanglah. Main bolinglah. Dia bukan manusia yang punya masa untuk semua itu. Layan PS2 lagi bagus. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan tanggapan orang sekeliling. Ada yang memandangnya penuh curiga. Tak kurang juga yang berbisik-bisik antara satu sama lain tatkala terpandangkan kelibatnya. Bukan dia tak tahu, mereka mengutuk. Tapi lantaklah! Bukan dia boleh paksa mereka diam. Buat apa dia nak ambil kisah. Yang penting dia hanya ingin membeli tiket Putra LRT dan meneruskan perjalanan hingga sampai ke rumah. Selamat adalah matlamat utamanya! Sewaktu menanti LRT berhenti di stesen Vitunia, mindanya menerawang. Sambil berdiri memegang tiang, dia mengelamun. Jenuh melihat ragam manusia yang berkasih tak kena tempat dalam kenderaan awam ini. Ada satu perkara yang menjadi tanda tanya di benaknya. Dia sendiri pun tidak betah merungkaikan persoalan yang kian bercambah hari demi hari.

 

Jejaka bertubuh tegap ini menanggalkan kasut. Dia memulas tombol pintu penuh berhati-hati. Masuk ke bilik, dia menelentang sebentar di atas katil. Menghilangkan keletihan. Beg pun dicampak entah ke mana. Dia bingkas bangun apabila teringatkan sesuatu. Mata bulatnya terkebil-kebil. Kini tubuhnya terpacak betul-betul di hadapan cermin. Dibelek satu tanda yang terdapat pada bahu kirinya. Jika orang yang tidak mengenalinya melihat tanda tersebut, pasti dikatakan tatu. Oh! Dia tidak segila itu. Cukuplah sekadar mewarnakan kuku, bukan sehingga mencacah tatu pada kulitnya yang putih itu ataupun merelakan sebarang tindik pada mana-mana bahagian anggota tubuhnya. Bunyi cerek dari dapur menandakan air yang dijerang seketika tadi telah masak. Dia bergegas memadam api dapur. Mi segera yang telah diletakkan siap-siap dalam mangkuk direndam dengan air menggelegak itu. Dia menanti penuh sabar. Akhrinya mi seegera berperisa tom yam itu sudah sedia untuk dimakan. Sambil makan, dia berfikir lagi. Kali ini lebih mendalam.

 

Sembilan belas tahun yang lalu…

 

Bayi yang masih merah itu dipandang sayu. Dia hanya berpeluang untuk mendakap bayi itu sekali. Hanya sekali… saat si kecil bertubuh kudus itu dilahirkan. Kini, dengan badan yang masih lemah dia terpaksa meninggalkannya. Anak yang terlalu disayangi. Hanya beberapa jam mengenal dunia, terlalu mentah untuk menebak betapa dahsyatnya gelombang kehidupan. Dikucup ubun-ubun si kecil dengan penuh kasih. Dielusnya rambut lebat si kecil dengan jari. Suami memeluk erat bahunya. Wanita berambut separas bahu ini mula teresak. Anak sulung yang baru berusia dua tahun memaut tangan si ayah. Termangu tidak mengerti. Dipandangnya wajah ibu, kemudian adik kecilnya yang diam dalam bedungan. Seorang pemuda memangku bayi itu.

“Biern, tolong jaga anak akak baik-baik. Sayangi dia macam anak kau sendiri. Duit tu abang dan akak dah masukkan dalam akaun kau. Kalau dia tanya, kau jangan beritahu apa-apa. Bila tiba masa yang sesuai dia akan tahu jugak siapa keluarganya yang sebenar. Akak hanya dapat harapkan kau, Biern. Akak dah takde saudara lain. Biar Aiden selamat tanpa gangguan sesiapa pun. Tentang Alna, kami akan jaga dia. Sebab dia tak termasuk dalam senarai buruan. Kau faham kan macam mana kelahiran Aiden ditunggu oleh semua musuh di Gelatis? Akak lakukan semua ni sebab terpaksa, sebab akak sayangkan anak-anak akak,” dia mengucup si kecil semahu-mahunya.

 

Sehingga basah muka Aiden dengan air mata seorang ibu yang terlalu sedih untuk meninggalkannya. Menangis anak kecil itu bagai mengerti dia akan terpisah jauh daripada keluarga tercinta. Ayahnya mengucup anak bongsu lelakinya penuh ketenangan. Dia amat mengharapkan kelahiran anak ini bakal mengubah masa depan Gelatis. Daripada galaksi yang kelam dengan kejahatan kepada destinasi yang selamat dan damai, suci untuk menjadi tempat berlindung.

“Hanya sampaikan pada Aiden, dia seorang anak yang hebat,” kata-kata itu menjadi pegangan buat Biern dalam membesarkan anak saudaranya. Dia berikrar untuk menjaga anak ini bagai menjaga zuriatnya sendiri sebagaimana telah diamanahkan oleh kakak dan abang iparnya. Malah, dia sendiri akur dengan tindakan pasangan Zacs menyerahkan sepenuhnya penjagaan Aiden kepadanya. Terlalu banyak musuh yang ingin memanfaatkan kelebihan bayi ini.

 

Sejak dia belum dilahirkan, musuh meramalkan kelahirannya bakal menjadi ‘anak terulung’ di Gelatis. Bayi ini memiliki panca indera keenam, iaitu mempunyai kekuatan naluri yang tiada tolok bandingnya. Dapat menakluki pemikiran musuh dan meneka dengan mudah setiap perkara yang bakal berlaku. Perspketif tersebut sememangnya menjadi motif utama untuk pihak musuh merampas Aiden. Menjelang detik kelahirannya, ibu dan bapanya nekad untuk bermastautin di zon Selindung sehingga Aiden selamat dilahirkan. Semuanya dilakukan secara senyap-senyap agar pihak musuh gagal mengesan lokasi kelahiran dan kediaman Aiden. Maka membesarlah anak ini dengan asuhan bapa saudaranya, seorang jurutera genius Gelatis yang mengorbankan masa muda untuk memberi sebuah kehidupan buat anak yang dikasihi.

Sungguh, Biern terlalu menyayangi Aiden lebih daripada nyawanya sendiri. Dia mengotakan janji yang telah dimerterai kepada pasangan Zacs. Dan dia bangga, melaksanakan kewajipan itu hingga menutup mata buat selamanya. Tanpa kasih sayangnya, Aiden semakin asing dengan dunia luar. Jejaka itu bagai hidup dalam dunianya sendiri. Terdapat satu perkara yang belum pernah diketahui oleh mereka semua, bila mana Aiden mampu menjadi halimunan jika dirinya cedera.

 

Aiden dan pengintip rahsia…

 

Jejaka ini meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Pergi kelas dan pulang ke rumah. Tetapi hari ini agak berlainan kerana dia ingin singgah ke kedai CD sebentar untuk menambahkan koleksi cakera padat permainan aksi yang digemarinya. Selesai membuat bayaran, Aiden melangkah keluar daripada premis berkenaan.

Derap langkah diatur penuh berhati-hati. Dari tadi, dia rasa bagai ada orang yang mengekori. Mungkin dalam dua tiga orang lelaki. Kelihatannya mereka sungguh licik memasang strategi. Setiap kali dia berpaling ke belakang, tiada kelibat yang kelihatan. Dia berlagak selamba dan cuba untuk bertenang. Macam tak menyedari dirinya sedang diperhatikan. Tentu mereka dihantar oleh pihak tertentu. Tapi apakah hutangnya kepada mereka? Kenapa dia yang perlu dikejar? Bukan orang lain? Tentu tersilap sasaran. Dia akan menjelaskan dengan baik sekiranya diberi peluang.

 

Aiden merasakan ancaman yang semakin kuat terhadap dirinya. Dia perlu melakukan sesuatu untuk mengumpan mereka. Dia ingin mengenali gerangan yang pasti mencarinya sehingga ke lubang cacing sekalipun. Lantas jejaka lampai ini berlari selajunya. Hanya taktik tersebut boleh dia gunakan pada saat genting begini. Berlari untuk melihat siapa yang akan mengejar dari belakang.

“Wei! Tangkap dia! Jangan sampai bolos! Nahas kita nanti!” terdengar satu suara garau. Dia berhenti. Berpaling dan senyum mengejek. Hampir sahaja terkeluar sepasang matanya daripada soket. Hodoh benar makhluk yang memburunya ini. Muka menggerutu macam kulit biawak. Tetapi tetap punya anggota badan menyerupai manusia. Berjalan pun menggunakan dua kaki. Orang suruhan siapa ni? Teramat jelik. Siap jelir lidah lagi. Aiden menekup mulut. Nyaris termuntah.

“Kenapa ikut aku? Siapa kau semua ni?” Dia bersuara tanpa gentar.

“Kami orang suruhan Zuro. Kami digelar Xlave. Ketua aku nakkan engkau. Lagi mudah untuk kau kalau nak beri kerjasama. Kami takkan berkasar,” Aiden mula merasakan sesuatu.

 

Dapat diimbas dalam pemikirannya, mereka datang bukan berlandaskan niat yang baik. Ketiga-tiga makhluk yang mengerikan ini menyembunyikan suatu agenda. Tentu dalam otak mereka, berfikir cara yang paling mudah untuk menumpaskannya. Aiden takkan biarkan dirinya menjadi mangsa penindasan. Seumur hidupnya, dia belum pernah dibuli mahupun membuli. Seorang Aiden hanya hidup dalam dunianya sendiri! Dan mereka yang ingin menceroboh haknya perlu diajar.       

Lantas dia berlari selajunya. Tidak mahu menghadap wajah-wajah menakutkan itu lagi. Kepantasannya berlari tidak mampu menyekat kemaraan Xlave. Sedar-sedar sahaja tiga makhluk itu ada di depannya. Dan pandangannya kelam bila satu hentakan mengenai belakang tengkuknya.

 

Gadis ini mengintip perlakuan tiga makhluk berwajah hodoh itu. Dia kenal benar dengan Xlave, hamba Zuro yang sememangnya bodoh dan sanggup dipergunakan untuk kepentingan ketua mereka. Zuro adalah musuh tradisi keluarga Zacs. Dan gadis ini takkan berdiam diri. Dia akan memunculkan diri di hadapan mereka untuk menyempurnakan satu misi iaitu... Menyelamatkan adik lelakinya daripada tawanan Xlave. Sudah terlalu lama mereka sekeluarga meninggalkan Aiden di zon Selindung. Bahaya semakin menghampiri adik kesayangannya itu kerana pihak musuh telah mencipta Radar Kilat untuk mengesan lokasi satu-satunya waris lelaki keluarga mereka itu berada.

 

Pada muanya, ibu dan ayah berat hati untuk melepaskan Alna namun dia menyakinkan kedua-duanya bahawa semua akan selamat. Dia mahu Aiden terlepas daripada cengkaman Zuro. Melindungi adik adalah tanggungjawabnya sebagai kakak. Dia ingin melakukannya mulai sekarang kerana terlepas peluang itu sejak berbelas tahun yang lalu.

 

“Lepaskan dia!” Aiden yang masih pengsan itu tidak menyedari kehadiran Alna. Tanpa membuang masa, gadis ini mencampakkan bucu bintang, senjata yang menjadi temannya setiap kali ke mana-mana. Dia tergelak apabila Xlave mengaduh kesakitan. Memang sakit apabila bucu bintang terbenam di dalam kulit. Di dalamnya ada racun yang boleh membunuh jika tidak dicabut dengan segera.

“Tak guna punya budak hingusan! Berani betul kau!” Kata-kata Xlave ibarat angin lalu. Alna menendang tubuh Xlave. Penumbuk yang dihalakan oleh makhluk itu berjaya dielak. Dia mengeluarkan sebotol cecair berwarna biru jernih lalu disiram kepada Xlave. Langsung mencair tubuh makhluk-makhluk itu. Dia tersenyum puas. Mudah menumpaskan Xlave yang amat sensitif terhadap Minyak Alkali.

 

Tumpuannya kini teralih pada jejaka yang masih tidak sedarkan diri. Dia merenjiskan Minyak Alkali ke muka Aiden. Terpisat-pisat jejaka itu.

“Kat mana ni?” Soal Aiden sebaik sahaja membuka mata. Dia terkanjal melihat gadis berambut pendek itu. Mukanya ada iras Biern yang telah menjaganya sejak kecil. Siapa gadis ini?

“Kau jangan banyak tanya. Sekarang kita kena keluar dari tempat ni secepat yang mungkin. Kau dalam bahaya!” Lantas Alna menarik tangan adiknya. Jejaka itu terkulat-kulat namun menuruti sahaja tingkah gadis yang langsung tidak dikenalinya.

“Kenapa susah payah selamatkan aku? Aku tak pernah jumpa kau sebelum ni. Lain kali tak payah baik hati sangat nak tolong aku,” gerutu Aiden. Wajahnya tetap selamba. Alna gigit bibir. Ingin sahaja ditumbuk muka budak yang tidak tahu berterima kasih di hadapannya ini. Nasib baik adik sendiri. Tetapi bukan salah adik lelakinya ini, kerana dia tak tahu menahu. Ditinggalkan sejak kecil kerana ibu dan ayah mahu melindunginya daripada ancaman Zuro.

“Aku tak nak kau diapa-apakan. Tak patut mati sia-sia sebab orang jahat. Lebih-lebih lagi, di tangan makhluk hodoh macam Xlave,” tegas nada Alna. Aiden jungkit kening. Perempuan ini memang berani.

 

“Beraninya kau, aku tabik. Tapi aku tak suka habiskan masa dengan orang asing. Selamat tinggal eyh,” Alna menghela nafas. Jejaka itu nampaknya sudah mula membuka langkah. Berjalan macam orang tiada perasaan.

“Tunggu! Aku bukan orang asing. Aku kakak engkau,” Aiden ketawa terbahak-bahak. Sehingga menekan perutnya. Sakit kerana terlalu kuat gelak. Lawak apa yang sedang perempuan ini ciptakan?

“Lawaklah kau ni. Ada hati nak bergurau. Masa bila pulak aku ada kakak? Mak bapak pun aku takde, macam mana pulak nak ada kakak,” Aiden masih menyambung gelaknya. Alna sungguh sakit hati. Ingin sahaja dihadiahkan penampar kepada jejaka emo di depannya ini.

“Kau dibesarkan oleh Biern kan? Pada bahu kiri kau ada tanda Y, betul tak?” Serius muka Alna. Dia jadi garang tiba-tiba. Serta-merta berubah riak wajah Aiden. Gelaknya terhenti.

“Kau tipu! Aku takde kakak! Aku bukan adik engkau!” Bentak Aiden tidak percaya. Dia mengetap bibir. Jika benar dia punya keluarga, mengapa mereka tidak tinggal bersama? Biar dia dapat mengecap kasih sayang dan bermanja selayaknya dengan ibu bapa seperti orang lain. Dia tak percaya dengan kata-kata gadis ini, semuanya dusta belaka.

“Aku takde sebab untuk tipu kau,” penjelasan Alna hanya memburukkan lagi keadaan. Adik lelakinya ini nyata tidak dapat menerima setiap butir bicaranya secara mendadak. Dia hanya mampu menggelengkan kepala bila melihat kelibat Aiden kian menjauh.

 

Jejaka ini menghela nafas dalam-dalam. Mata yang memerah dikerdip beberapa kali. Dia kelihatan bagai orang bingung. Membeli tiket untuk pulang ke rumah namun menunggu di platform berlainan. Terpaksalah dia menaiki tangga semula dan menunggu di platform yang betul. Mindanya menerawang memikirkan kesahihan perkara itu. Tersentuh nalurinya mendengar pengakuan gadis bermata bundar tersebut. Sebetulnya, dia tidak menyangka dirinya masih punya keluarga. Sangkanya dalam seumur hidup ini dia hanya ada Biern. Lelaki itu yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Biern memupukkan sikap agar dia bersederhana dalam setiap perkara. Dan dia belum pernah keluar daripada kepompong kesederhanaan Biern walaupun punya wang simpanan yang banyak.

Terima kasih Biern, kerana mengajar Aiden untuk menghargai segala yang Aiden miliki,’ ungkapnya dalam hati.               

“Tapi kalau dia tipu, macam mana dia tahu kat bahu aku ada tanda y?” Persoalan itu berlegar di benaknya sehingga dia memasuki LRT. Telatah manusia yang pelbagai ragam, tidak langsung mematikan khayalnya. Semakin hiruk suasana, semakin dia tenggelam dalam dunianya sendiri

 

 

 

Kubu Gelatis…

 

Alna menatap wajah kedua-dua ibu bapanya. Wajah teruja ibu membuatkan hatinya tersentuh. Mustahil budak degil itu nak percaya apa yang dia sampaikan dalam sekelip mata sahaja. Bertahun-tahun hidup sebatang kara, hanya bertemankan Biern takkan terlalu mudah untuk Aiden menerima segala dakwaannya.

“Macam mana Alna? Adik kamu tak balik sekali?” Liena menerpa ke arah anak gadisnya. Zron, suaminya menanti dengan tenang. Dia mengingatkan diri sejak dari awal tentang kemungkinan yang bakal mereka hadapi. Tentu sulit anak teruna mereka mengakui bahawa diri masih mempunyai keluarga setelah berbelas tahun ditinggalkan.

“Ibu, maafkan Alna. Aiden lari. Dia masih susah nak terima hakikat. Kita kena beri dia masa,” Liena meraih jemari anak gadisnya.

Diusap lembut rambut anak sulungnya itu. Dia tersenyum. Segaris senyuman yang memberi kelegaan buat si anak.

“Tak mengapa sayang. Ibu yakin, dia akan dapat terima kita juga suatu hari nanti. Ibu akan menanti detik tu dengan penuh sabar,” Alna lantas mendakap ibunya.

“Ayah mahu dia pulang ke sini untuk kita jelaskan segalanya,” Bisik Zron ke telinga anak gadisnya. Sesudah menenangkan si ibu, Alna bergegas menuju ke bilik bacaan ayah tersayang. Ada sesuatu yang harus mereka bincangkan.

 

Jari kelingking dua beranak ini bertaut tanda mereka telah sepakat merencana sesuatu tanpa pengetahuan Liena. Zron tersenyum memandang anak gadisnya. Alna mengenyit nakal.

“Kita kena mintak tolong anak buah ayah yang paling rapat. Siapa agaknya ya?” Gadis ini melintuk manja di bahu ayahnya. Maklumlah, anak gadis kesayangan.

“Rasanya ayah tahu, siapa. Yang bertakhta di hati anak dara ayah ni lah. Mytt. Boleh kan?” Giat Zron.

Manakala Alna tersipu-sipu. Memerah wajahnya. Meskipun hubungan cinta antara dia dan genius Gelatis itu bukan lagi rahsia, namun Alna cukup berhati-hati dengan isu tersebut. Tetapi dia gembira kerana ibu dan ayahnya memberi restu terhadap hubungan yang baru sahaja berputik.

“Boleh,” balasnya malu-malu.

 

Zon Selindung seminggu kemudian….

 

Cuaca yang panas terik membuatkan dia mudah berpeluh. Aiden menyedut ice blended untuk melegakan tekak. Terasa lambat pula waktu berjalan tengahari begini. Dia terus melangkah, seperti biasa tetap tiada masa untuk mengambil tahu perihal manusia di sekelilingnya. Namun jeritan yang nyaring begitu menarik perhatian. Dia rasa tak kena sekiranya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa. Telinganya macam kenal dengan suara itu. Jangan-jangan… dia berlari mengejar suara tersebut. Hanya bertawakal dan meyakini kebolehan panca inderanya.

 

Dia tidak dapat bersabar apabila melihat kelibat gadis tinggi lampai yang mengaku sebagai kakaknya sedang bergelut dengan seorang pemuda. Lelaki itu bagaikan perompak yang ingin menikam mangsa. Gadis itu terbaring di atas jalan. Nyaris sahaja pisau dihunus. Dia menghentak beg sandang mengenai belakang penjenayah itu. Alna mengenyitkan mata sebagai isyarat kepada teman lelakinya. Mytt berlari, tujuannya adalah membawa Aiden ke kenderaan mereka. Alna pula akan memainkan peranan untuk membuat Aiden pengsan. Maka lancarlah rancangan mereka untuk membawa adik lelakinya pulang. Aiden harus mengenali ibu bapanya, mereka sekeluarga harus bersatu menentang bahaya yang mula mengancam adik lelakinya ini.

 

“Wei! Jangan lari! Pengecut!” Garau kedengaran suara jantannya apabila Aiden bertempik. Mytt tercungap-cungap. Namun dia perlu menamatkan larian agar subjek mereka terumpan dengan jayanya.

Alna mengekori dari belakang. Setelah tiba di hadapan dua jejaka yang sedang berlawan itu,  Alna pejam mata. Tidak tergamak untuk memandang. Dia memukul bahagian belakang tengkuk Aiden tanpa teragak-agak. Meski serba salah untuk melakukannya, semua ini untuk ibu. Dia ingin wanita yang paling dikasihi bersua kembali dengan anak lelaki yang terpaksa ditinggalkan demi melindungi bayi itu sejurus beberapa jam setelah melahirkan. Dia hanya mahu Aiden pengsan buat sementara waktu sahaja. Jejaka ini terpaku. Tenaganya menjadi lemah secara drastik. Penumbuk yang dikepal hanya lagi seinci bakal mengenai muka penjenayah rakus ini. Namun tiba-tiba Aiden merasakan pandangannya kelam. Dia tumbang, langsung gagal menyedari apa sebenarnya yang telah berlaku.

 

Suatu hakikat buat Aiden…

 

Satu persatu wajah di hadapannya direnung penuh tanda tanya. Ingin sahaja dia menepis bila wanita berambut sanggul itu mengusap pipinya. Apa pegang-pegang? Ingat dia patung kat kompleks membeli belah itu ke? Tahulah dia salah seorang daripada pengikut aliran emo, janganlah pelik sangat. Matanya yang penuh dengan olesan pembayang mata hitam dikerdipkan beberapa kali. Dia benar-benar kehairanan.

“Aiden…” Bicara wanita itu mati. Dahi Aiden berkerut. Keningnya bertaut.

“Ya,” sahutnya. Tanpa diduga wanita itu menitiskan air mata. Kemudian dibawanya dia ke dalam dakapan. Aiden tersentuh. Perasaan yang mengetuk hatinya ini sungguh mendamaikan. Dia merasa selamat berada dalam dakapan wanita itu. Nalurinya bagai mengakui wanita ini berhak ke atas dirinya. Alna hampir menitiskan air mata. Dia dan Zron berpandangan.

 

“Kenapa ibu dan ayah tinggalkan Aiden dulu? Kenapa tak bawak Aiden sekali?” Akhirnya terluah juga bicara yang tersimpan selama ini. Bicara yang ingin diutarakan kepada ibu dan bapanya andai dia masih mempunyai mereka. Dan hari ini segalanya bakal diketahui. Sejarah hidupnya bakal tersingkap setelah hampir enam bulan mendiami Gelatis.

“Kami terpaksa, sayang. Meninggalkan Aiden adalah jalan terbaik. Masa tu, Aiden adalah bayi lelaki yang dinantikan oleh seluruh pelusuk Gelatis. Kelahiran Aiden diramalkan sebagai anak terunggul yang bakal mempengaruhi pemerintahan di sini. Tetapi malangnya, kamu menjadi rebutan Zuro. Ibu dan ayah tak nak Aiden terlepas ke tangan pihak yang salah sepertinya. Dia tiada hak ke atas kamu,” Ibu meraih jemarinya.

 

Tidak lama selepas itu, ayah yang diam dari tadi menghampirinya. Bahu Aiden dielus lembut. Lelaki itu senyum kepadanya.  

“Lebih-lebih lagi, tanda Y pada bahu kiri Aiden menjadi petanda bahawa kamu adalah waris lelaki yang bakal berkuasa pada masa depan. Sebab tu kami serahkan Aiden dalam jagaan Biern. Kami sentiasa mengawasi Aiden dari sini. Tak pernah melupakan kamu. Dan Alna turut mempunyai tanda lahir seperti Aiden. Dia mempunyai tanda X. Petanda bahawa dirinya adalah waris perempuan yang akan menjadi pembela seluruh warga Gelatis namun kakak kamu tiada dalam senarai buruan Zuro. Kerana mereka nak memanfaatkan kelebihan yang ada dalam diri kamu. Pancaindera keenam kamu adalah kelebihan yang sangat berguna. Yang boleh menakluki pemikiran musuh dengan hanya menggunakan renungan. Malah, Aiden boleh meneka setiap perilaku musuh dengan tepat. Jika kamu dapat mematahkan strategi mereka, bermakna pemerintahan Zuro akan tiba ke penghujung,” Aiden terkesima.

 

Patutlah dia dapat mengagak dengan jelas mengenai Xlave yang memburunya suatu ketika dulu. Segala telahannya benar belaka. Dan dia harus menggunakan setiap kelebihan yang ada untuk membela Gelatis daripada jatuh ke dalam cengkaman musuh yang keji seperti Zuro.

“Kan aku dah cakap, kau adik aku,” ramah Alna mengusik adik kesayangannya. Aiden mengukir senyum. Rasanya sudah lama benar dia tidak bergelak ketawa sebegini. Dan dia bersyukur dikurniakan kakak seberani Alna.

“Aku bangga jadi adik kau,” Balas Aiden. Lalu mereka berpelukan. Erat! Melepaskan rindu yang sekian lama terpendam.

 

Zuro menakluki Gelatis…

 

Aiden memerhati dengan penuh kekaguman. Tekun sungguh Mytt yang sedang ralit mencampur adukkan cecair agar menjadi suatu sebatian berwarna ungu. Kini, minyak alkali dipadatkan molekul dan ditambahkan nilai kealkaliannya. Pati bunga lavender merupakan ramuan terpenting. Untuk menentang Zuro, mereka perlu bijak. Kebijaksanaan akan mengurangkan risiko kecederaan, inilah matlamat mereka.

“Yang warna biru ni, minyak alkali. Fungsinya untuk meleburkan Xlave, gunakan sebanyak mana yang korang nak. Dan yang ungu ni, titis lavender. Untuk buat roh diorang terpisah daripada jasad untuk suatu tempoh. Paling berkesan untuk diberikan kepada Zuro. Untuk matikan rohnya, kita perlu tutup botol ni. Senang kan?” Terang Mytt teliti lalu mengunjukkan botol bersaiz kecil kepada dua beradik itu.

“Saya faham. Yang penting, risiko kecederaan dapat dikurangkan. Kita nak menang tanpa sakit,” sahut Alna. Sempat pula pasangan kekasih ini bermain mata. Tertawa Aiden meyaksikan telatah kedua-duanya.

“Main helah, jalan paling mudah,” sambung Aiden pula. Alna mengusap rambut adiknya. Mytt menunjukkan tanda bagus.

 

Zuro memeriksa barisan tenteranya. Dia mahu mereka semua, yang terdiri daripada Xlave yang diciptakan genetik daripada seekor biawak bersiap sedia. Dia mahu bala tentera kesayangannya itu mendapatkan teraju utama Zacs, iaitu Aiden. Jejaka itu harus dilemahkan.

 

Aiden mengenakan jaket lengkap. Semua persalinannya berwarna hitam. Penampilan emo nya tidak pernah ditinggalkan. Sebanyak mungkin botol minyak alkali dan titis lavender disumbat ke dalam jaketnya yang direka khas untuk misi kali ini. Zron dan Liena akan menunggu di pangkalan utama gagasan Zuro. Aiden dan Alna akan menyerang dari bahagian dalam, manakala ibu bapa mereka pula akan menyerang hendap di luar bersama angkatan tentera mereka.

“Berjuang!” Mereka empat beranak memulakan langkah. Diketuai oleh Aiden, anak muda ini tampak yakin. Segala ilmu dan strategi nyata membantu mempersiapkan dirinya sebagai pejuang Zacs yang disegani. Bergandingan dengan kakaknya, Aiden dapat merasakan keserasian mereka bakal menewaskan Zuro. Iltizam mereka dua beradik mampu mengatasi niat jahat manusia berhati hitam seperti Zuro. Dia yakin!

 

Alna menghalakan langkahnya ke bilik beku dan ruang penyediaan makanan buat seisi warga gagasan Zuro. Dia menitiskan seberapa banyak minyak alkali. Dan tugas utamanya adalah untuk mengawasi adiknya yang sedang menuju ke bilik penginapan Zuro. Malam yang sunyi begini, mereka perlu berhati-hati dengan sebarang kemungkinan. Tidak mustahil bagi musuh yang licik seperti Zuro untuk memasang sebarang jerangkap samar untuk mereka. Tatkala terpandangkan kelibat Xlave, Alna mencampakkan botol minyak alkali. Bila terpijak botol tersebut, seta merta mencair jasad makhluk itu.

 

Aiden mensasarkan bucu bintang kepada beberapa Xlave yang berkawal di dalam kamar tidur Zuro. Dia tahu kelebihan senjata tersebut. Jika tidak dicabut boleh membawa maut. Dalam keghairahannya untuk menitiskan titis lavender ke dalam mulut Zuro yang sedang ternganga luas itu, dia merasakan bahagian belakang badannya ditusuk sesuatu. Sekilas wajah itu bagai dikenali, betul! Tak mungkin dia bermimpi. Biern! Apa yang bapa saudaranya lakukan di sini? Semakin ngilu kesakitan mencengkam, dia merasakan tubuhnya mula meniyrna. Semakin ringan dan terapung. Sudah matikah dia?

“Kamu sedang mengalami halimunisasi,” pendek sahaja bicara bapa saudaranya mendesir di telinga. Aiden termangu.

“Biern tahu rahsia ni, sebab Biern pun macam kamu. Bila cedera, jasad kamu akan hilang daripada pandangan. Dan selama ni Biern tak mati, Biern hanya tercedera. Dan hari ini Biern akan tolong Aiden dan Alna. Mari kita berjuang,” Aiden bagai tersedar dari mimpi. Dia menggenyeh mata. Nyata! Biern sedang berdiri di hadapannya. Ada panah di tangan jejaka itu. Dia semakin bersemangat untuk berjuang.

“Kita kena beritahu Kak Alna dulu,” Biern menyetujui kata-kata anak saudaranya. Dia mengawasi anak muda itu daripada belakang. Memandangkan tubuhnya masih belum mampu terlihat sepenuhnya, dia ingin memanfaatkan kesempatan yang ada untuk menitiskan minyak alkali kepada beberapa Xlaves yang lalu lalang mengawasi kamar tidur Zuro.

        

Alna tersentak. Dia merasakan bahunya ditepuk lembut. Aiden menghampiri telinga kakaknya lantas membisikkan sesuatu. Mujurlah Alna mampu mendengar suaranya.

“Aku jadi halimunan. Sebab aku cedera. Kau jangan bimbang, aku akan menonjolkan diri lepas habis perang ni,” ucap Aiden penuh ketenangan. Hati Alna digigit kebimbangan. Namun pautan jemari adiknya yang langsung tidak berupaya untuk dilihat menyalurkan kekuatan buatnya. Dia akan berjuang habis-habisan!

Aiden masuk semula ke dalam bilik tidur Zuro. Tanpa membuang masa, dia mencurahkan titis lavender ke dalam mulut lelaki berlidah panjang itu. Menggelupur seketika tubuh Zuro. Setelah tubuh itu mula kaku, dia masih teragak-agak untuk menutup botol yang seudah kosong itu.

“Sekarang masanya,” ujar Biern menghilangkan kesangsiannya. Aiden nekad! Dia menutup botol itu seketat mungkin. Biar roh Zuro terperangkap dan mati sebaik sahaja mereka keluar daripada gagasan Zuro yang tersergam.

 

Biern, Aiden dan Zacs…

 

Kemunculan Biern secara tiba-tiba pada malam itu sesungguhnya mengubati kerinduan yang bukan sedikit terhadap dirinya. Liena sangat gembira menyambut kepulangan adik kandung kesayangannya. Bertahun dia bersedih, meratapi pemergian adik lelakinya itu. Dia bagaikan bermimpi apabila berpeluang menemui Biern tanpa sebarang cacat cela. Kebahagiaan mereka sekeluarga semakin berlipat ganda. Aiden menjadi semakin matang. Jiwanya tenang apabila hidupnya tak lagi kosong seperti dulu. Terlalu banyak perkara yang bermakna untuknya di sini. Dia punya keluarga yang akrab, dapat membantu warga Gelatis yang memerlukan khidmatnya tanpa ragu-ragu. Meski dia masih Aiden yang mengikuti aliran emo, pengisian nuraninya telah berubah sama sekali. Dia tidak lagi hidup dalam dunianya sendiri tetapi hidup untuk Gelatis yang tercinta.

Malah, mereka akan menerima ahli keluarga baru tidak lama lagi, iaitu Mytt. Lelaki yang bakal menjadi abang iparnya dalam beberapa bulan sahaja lagi. Cinta yang dibina oleh Alna dan genius bakal diteguhkan dengan ikatan perkahwinan. Bagi Aiden, dia turut gembira apabila Alna bahagia. Cuma masih belum tiba waktu yang sesuai untuk dia melibatkan diri dengan cinta kerana baginya dia mahu berbakti kepada insan yang memerlukan. Dia mahu menyempurnakan semua itu sebelum memberikan komitmen terhadap kekasih yang bakal menjadi teman hidupnya kelak. Buat masa ini biarlah seorang Aiden berjuang demi Gelatis sahaja.    

 

         

   

 

 

   

Cerpen sebelumnya:
Suite 6019
Cerpen selanjutnya:
Makna Cinta

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.3
6 Penilai

Info penulis

cik cerpen

menulis dan menulis..menulis lagi =)
adra | Jadikan adra rakan anda | Hantar Mesej kepada adra

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya adra
Pergi | 2475 bacaan
Sedetik Cinta Selamanya | 6278 bacaan
Berikan Hatimu | 4066 bacaan
Tirai Aidilfitri Semalam... | 3594 bacaan
Tiada Sesalku | 2942 bacaan
Laksana Bulan | 2961 bacaan
Seribu Impian | 3960 bacaan
Tu Amor Sayangku! | 3394 bacaan
Papa Jim-Kenangan Terindah- | 3790 bacaan
Lovebug(Epilog Cinta) | 3475 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

8 Komen dalam karya Aiden Y
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik