MERI KURISUMASU

 

Ichijo Tadashi berlari-lari anak sebelum masuk ke Kedai Sup Kentang Yamada. Kawan baiknya, Sakaki Reno sudah menunggu agak lama.

"Minta maaf lambat!", kata Ichijo Tadashi. Dia segera duduk menghadap Sakaki Reno.

"Tak apa. Kenapa lambat?", tanya Sakaki Reno sambil menuang sake berusia 12 tahun yang diimport dari Fukuoka ke dalam gelas Ichijo Tadashi.

"Aku pergi tengok hadiah untuk Sora.."

"Awalnya? Krismas dua minggu lagi kan?"

"Aku nak pastikan harganya berapa. Takut tidak cukup duit nanti."

"Oh.. Macam mana kau tahu Sora mahu hadiah yang itu?"

"Dari bulan lepas lagi, dia sudah minta aku belikan hadiah itu.."

Sakaki Reno mengangguk. Lalu, mereka teruskan minum sambil bertukar-tukar cerita tentang Krismas. Ichijo Tadashi memanggil pelayan kedai dan memesan dua set sup kentang berserta dua mangkuk nasi dihidangkan.



                                                                           **********


Ichijo Sora leka dengan pensel warna dan kertas lukisannya. Sejak dari petang tadi, dia tidak keluar dari bilik.

"Kamu lukis apa, Sora?", Ichijo Kaori berdiri di pintu bilik Ichijo Sora.

"Tidak ada apa-apa!", kata Ichijo Sora sambil menutup lukisannya dengan tangan.

"Kamu tak mahu makan? Ibu masak Mi Soba kesukaan kamu."

"Saya tak lapar, ibu."

Ichijo Kaori putus asa. Dia cukup kenal perangai anak perempuannya itu. Ichijo Sora tidak akan termakan dengan pujuk rayunya. Dia beredar dari bilik Ichijo Sora, meninggalkan Ichijo Sora dengan lukisannya.

Sebenarnya, Ichijo Kaori tahu apa yang anaknya sedang lukis atau lebih tepat lagi, sedang tulis. Cuma, dia pura-pura tidak tahu. Saja, tidak mahu rosakkan kejutan yang Ichijo Sora inginkan.


                                                                            *********


Dua hari sebelum Krismas. Sepatutnya, Ichijo Tadashi sudah mula bercuti tapi disebabkan majikannya yang autokratik, dia terpaksa akur untuk datang ke pejabat. Bukan untuk menyiapkan kerjanya tapi untuk selesaikan kerja-kerja majikannya yang autokratik itu. Huh! Pemalas sungguh majikannya yang atutokratik itu!

"Papa!! Tunggu!!", jerit Ichijo Sora dari biliknya.

"Ada apa, Sora? Cepat sedikit. Papa sudah lambat.", Ichijo Tadashi memakai kot dan menyarung kasut sekaligus.

Ichijo Sora berlari pantas menuruni anak tangga. Hentak langkahnya sangat kuat dan menggegar. Ichijo Tadashi terpaksa menahan pintu rumahnya yang sudah agak usang itu dengan kedua kakinya. Dia risau pintu rumahnya tercabut. Gaji bulan ini sudah dikhaskan untuk persiapan menyambut Krismas. Tiada peruntukkan untuk belanja yang lain-lain.

"Ini..", Ichijo Sora hulur sekeping surat yang sudah bersampul cantik warna merah hati.

"Apa ini?", Ichijo Tadashi pura-pura bertanya.

"Minta papa tolong poskannya pada Santa. Sora tidak tahu alamatnya apa. Minta papa tolong tulis alamatnya juga, ya?"

"Baiklah, Sora. Papa pergi dulu, ya..", kata Ichijo Tadashi. Dahi Ichijo Sora dikucup penuh kasih. Surat yang Ichijo Sora minta poskan tadi dimasukkan dalam beg galasnya.

Semasa menunggu bas nombor 751 di perhentian bas untuk ke pejabat milik majikannnya yang autokratik, Ichijo Tadashi capai beg galasnya dan ambil surat Ichijo Sora.

"Hmm.. bila agaknya Sora akan berhenti percaya pada Santa?", Ichijo Tadashi mengeluh. Selagi anaknya percaya pada kewujudan Santa Claus, maka terpaksalah dia habiskan beribu-ribu yen untuk belikan hadiah yang diminta Ichijo Sora dalam suratnya untuk Santa Claus. Dan selagi itulah, dia terpaksa mengenakan sut merah menyala, rambut dan janggut palsu warna putih pada setiap malam sebelum Krismas.

Surat itu Ichijo Tadashi buka. Tiap perkataan dibaca penuh hati-hati. Tiba-tiba, mata Ichijo Tadashi terbeliak, mulutnya terlopong. Bas nombor 751 yang sudah sampai tidak dia endah. Jelas, dia akan dimarahi majikannya yang autokratik itu kerana lambat ke pejabat. Bas nombor 751 itu bergerak laju semula, menyambung perjalanan. Tapi, Ichijo Tadashi masih di perhentian bas itu. Memegang kuat surat Ichijo Sora untuk Santa Claus.


                                                                                   *********


Seperti biasa, selepas habis kerja, Ichijo Tadashi dan Sakaki Reno tidak terus pulang ke rumah masing-masing. Sebaliknya, mereka akan singgah ke Kedai Sup Kentang Yamada untuk minum sake dan makan nasi bersama sup kentang.

"Kau sudah beli hadiah untuk Sora?", tanya Sakaki Reno.

"Belum lagi..", jawab Ichijo Sora lemah.

"Kenapa?"

Ichijo tadashi diam. Lalu, dia buka beg galasnya. Surat untuk Santa Claus yang Ichijo Sora minta poskan pagi tadi, dia keluarkan dan hulur pada Sakaki Reno.

"Baca..", suruh Ichijo Tadashi pada Sakaki Reno.

Sakaki Reno ambil surat itu dari tangan Ichijo Tadashi. Alangkah terkejutnya dia apabila membaca surat yang kandungannya adalah seperti berikut:

" Kehadapan Pak Cik Santa Claus yang saya sayangi. Tahun ini saya tidak mahu patung Barbie dan anak kucing seperti tahun lepas. Tahun ini saya cuma mahu seorang ayah yang baru. Seorang ayah yang akan terus pulang ke rumah selepas hsbis kerja dan tidak makan malam di Kedai Sup Kentang Yamada. Ibu sangat sedih setiap hari kerana ayah sering pulang lewat dan tidak mahu makan malam bersama kami. Ingat ya Pak Cik Santa Claus, saya cuma mahu seorang ayah yang baru. Yang benar, Ichijo Sora. "

Sakaki Reno terdiam. Tidak tahu hendak berkata apa. Selepas hampir lima minit, dengan muka tidak bersalah dan naif, dia bersuara;

"Jadi, sup kentang hari ini akulah yang kena habiskan semuanya?"

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) alamak,kenapa rse mcm cte ni tergantung?
    hehe..
    suke cte ini..
  • 2) cerita yang punyai makna yang tersirat. seorang anak yang rindukan kasih ayahnya. sy agak tersentuh. cuma, sy kurang faham maksud tajuk cerita ini. seperkara lagi, sy mengesan ada beberapa kesilapan ejaan yang tidak biasa hulubalang lakukan.

    secara keseluruhan, cerita yang baik.
  • 3) oh, saya dah faham maksudnya. "merry krismas" tak perasan mulanya. baca dua tiga kali baru nampak. rabun saya ni. hehehe...
  • 4) -Ceritanya segar dan mempunyai mesej kekeluargaan.
    -saya mencadangkan agar cerpen ini di 'eram' dahulu sehingga cukup masak, kerana terlihat ketergesaan yang menurunkan kualiti cerpen sedangkan ini bukan standard hulubalang yang biasa kita kenali. Sekian.
  • 5) best. msg nyer cukup jelas.
  • 6) heheh.. seperti biasa.. ada peringatan dari hulubalang.. dan saya juga dapat mengesan typo error .. harap dapat di edit..

    nais one hulubalang!
  • 7) ehm... cerita di luar musim.. kalo sy, susah ni mau dapat mood.. ke memang da lama buat tp baru post? nice one!
  • 8) still nice...
  • 9) peh
    hehehe
    sempoi

    melihat pada luasnya bidang dan latar yang dipilih hulubalang dalam penulisannya. saya tertanya. berapa karung pengalaman yang sudah dikutip sepanjang kehidupan ni.

    sama ada banyak membaca, atau banyak merasa.

    kagum.

    perspekif juga ada-ada je idea yg diolah.
  • 10) haha..
    kelakar bila si ayah perlu menahan pintu bila si anak turun tangga dengan kuat..

    )
  • 11) Susah saya nak nyatakan kat sini, tapi karya ni rasa saya seolah karya terjemahan. Sikap saya yang rajin membaca apa saja di internet menyatakan bahawa saya pernah baca cerita yang hampir sama seperti ini.Tapi saya mungkin silap.
  • 12) best!

    bapak dia ni degil kan?

  • (Penulis)
    13) mizz_aszni - terima kasih.cerita ini tidak tergantung. kesudahannya pembaca boleh fikirkan sendiri. di situlah akan kamu jumpa moral valuenya.

    ridrohzai - terima kasih. tajuknya adalah dalam bahasa jepun. mengenai ejaan, ada sesetengahnya yang ejaannya berlainan. memang saya sengajakan. saja mahu bereksperimen.

    mr_kajiwa - untuk kali ini, saya ingin tone it down sedikit. mahu cerita yang mudah sedikit. mahu bereksperimen.

    robot - terima kasih ya.

    cahatomic - terima kasih. pengalaman tidak pun sampai sekarung. cuma mungkin sebab saya kuat berangan. itu agaknya yang membantu.

    nurcahaya - terima kasih. masyarakat jepun adalah masyarakat nombor dua yang paling kelakar yang pernah saya jumpa. masyarakat yang pertama adalah orang-orang johor.

    upenyu - mungkin ada persamaannya sedikit. mungkin juga sama dengan apa yang kamu baca.

    babymilo - terima kasih. bukan degil tapi ego + mid-life crisis.

  • 14) terharu dalam kelakar
  • 15) best ler....
    huhuu..
  • 16) latarbelakang cerita (jepun) yg ada kelainan. tetapi mesej dan plot cerita pernah saya baca n juga lihat di kaca tv. walaubagaimanapun jelas drpd komen2 positif di atas ramai yg tidak lagi terserempak jadi baguslah kerana mesejnya smpi jugak pada audience baru. Dan siapa bole kata cerita yg saya baca atau lihat di kaca tv itu juga adalah karya yg original atau terdahalu kerana mungkin ada lagi yg lebih awal.
  • 17) ayh oh ayh!!

  • (Penulis)
    18) kamalia - terima kasih.

    ceq_zue77 - terima kasih.

    mosh - well, wise people thinks alike.

    wf1234 - terima kasih kerana membaca.

Cerpen-cerpen lain nukilan hulubalang

Read all stories by hulubalang