Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Diagnosis: Tudung, Cinta dan Tuhan
- 6
- azimtyping
- 13 years ago
- 4,597
- FREE
Maria
“ Saya tetap tak mahu pakai tudung,” tegas gadis yang berada di hadapan kami itu. Aku dan Fatihah hanya tersenyum mendengarnya. Fatihah memandang tepat ke dalam mata gadis itu sambil tersenyum.
“ Eh, kenapa awak berdua tak menggelabah? Biasanya orang-orang macam awak berdua ni akan keluarkan dalil Quran, ayat itu dan ini untuk paksa saya tutup aurat. Awak tak kisah dengan pendirian saya?”
“ Teha,” aku tersenyum kepada adik perempuanku sambil mengangkat kening. Fatihah seolah-olah sudah memahami apa yang dimaksudkan olehku bila aku mengangkat keningku kepadanya.
“ OK abang Azri, Teha faham,” balasnya. Fatihah kemudiannya kembali memandang gadis itu. Kemudian terus menyambung bicara,” Maria, boleh saya tanya beberapa perkara berkenaan keluarga awak?”
“ Hmm? Boleh sahaja. Apa yang awak nak tahu? Saya tak kisah pun. Saya boleh ceritakan apa sahaja yang awak nak tahu.” Begitu balasnya. Maria seolah-olah tidak kisah untuk menceritakan segalanya berkenaan keluarganya. Mungkin padanya tidak ada apa-apa yang dianggap rahsia.
Fatihah pun memulakan sesi perkenalannya dengan gadis itu. Bermula dengan keluarga, asal-usul, pekerjaan ibu bapa, hobi, cita-cita, minat dan sebagainya. Kami bertiga masing-masing bertukar-tukar cerita tentang diri sendiri. Fatihah pandai menyelitkan beberapa jenaka di tengah-tengah perbincangan sehingga Maria tidak lagi bersikap defensif dengan kami.
“ Kejap, kejap… Fatihah, awak datang sebab mak saya yang panggil awak kan?” tiba-tiba Maria bertanya.
“ Ya… kenapa?”
“ Awak tak nak jalankan tugas awak ke? Ye lah, awak berdua ni bukannya orang suci pertama yang mak bawak balik rumah untuk “menyucikan” saya. Dah dua kali dah mak bawa orang suci macam awak berdua ni jumpa saya. Kali pertama ustaz, kali kedua pula ustazah. Dua-dua pun dah penat bagi ceramah kepada saya. Saya rasa awak pun sama kan?” Maria menjelaskan sangkaannya terhadap kami. Aku ketawa kecil mendengarkan gelaran ‘orang suci’ yang diberikannya kepada kami itu.
“ Kenapa ketawa? Kamu bukan orang suci?” Maria menegur aksi ketawaku dan kemudian ketawa sama.
“ Saya rasa memang mak awak panggil kami untuk sebab itu. Untuk “sucikan” awak, Maria. Tapi saya rasa kami takkan mampu “menyucikan” awak. Kami datang untuk berkongsi. Mudah-mudahan awak, saya dan abang saya dapat manfaat daripada perkongsian kita hari ini.
Begitu perbincangan kami pada petang itu. Kami berdua tidak sedikitpun berbincang mengenai aurat dan akhlak sebagaimana diamanahkan oleh ibu Maria. Tetapi bukan bermaksud kami mengabaikan tanggungjawab. Kami berpendapat bahawa Maria tidak patut disajikan dengan dalil Quran dan hadis pada pertemuan pertama kami. Lagipun, semua itu telahpun dijamahnya ketika dua pertemuan dengan ‘orang suci’ yang datang sebelum kami. Pada kami, penyucian itu adalah urusan peribadi antara hamba dan Tuhannya, tanpa perantara, yang mungkin ada mungkin cuma pembantu, pemudah cara, dan asbab untuk membuka pintu hati.
_
Azlan
“ Lama betul kita tak jumpa kan Lan?”
“ Betul tu. Memang lama. Dah tujuh tahun rasanya. Kau dah simpan janggut sekarang Ayie! Ha ha ha.”
Azlan kawan yang agak rapat denganku ketika di sekolah menengah. Dia dibesarkan dengan asuhan agama yang baik dan agak ketat. Bapanya mengimpikan Azlan untuk membesar sebagai ilmuan agama, menjadi tokoh pembela Islam yang hebat dan berguna kepada masyarakat. Aku memandang tinggi kepada ilmu dan kemahirannya ketika kami bersama-sama di bangku sekolah dahulu. Dia sudah ada keyakinan untuk mengimamkan solat jemaah ketika di tingkatan satu. Perbualan kami pada petang itu aku rancakkan dengan mengimbau kenangan silam, dan pastinya, kenangan-kenangan yang aku imbau itu merupakan kenangan-kenangan yang menggamit rasa rindu dan menguatkan semangat persahabatan kami yang telah sekian lama tidak bertemu.
“ Oh ya Ayie, tentang perkara yang kau nak bincangkan itu, aku rasa kita boleh teruskan tanpa buang masa.” Azlan mengajakku terus ke perbincangan utama. Memang itu yang aku tunggu-tunggu.
Sebulan sebelum ini, Azlan berjaya aku jejaki melalui rangkaian laman Facebook. Kemudian aku terus melawat laman blognya dan membaca perkembangan dirinya serba sedikit. Melalui blog itulah aku mendapat tahu bahawa sahabatku itu merupakan salah seorang daripada mangsa yang dilanda badai kecelaruan ilmu yang semakin memuncak selari dengan perkembangan zaman globalisasi masa kini.
“ Kau bilang kau suka Bible dan Quran?” tanyaku.
“ Ya.”
“ Dan kau katakan bahawa nyanyian dan lagu-lagu cinta itu adalah bisikan malaikat yang diterjemahkan ke dalam bahasa manusia?”
“ Persis!” jawabnya sambil tersengih.
“ Wah, ngomong bahasa Indonesia kita hari ini ya?” Aku berseloroh sambil ketawa dengan gelagat Azlan. Dia kini berjinak-jinak dalam bidang seni persembahan. Dia memang berbakat dan dia sering terbawa-bawa dengan bakatnya itu dalam kehidupan seharian.
“ Ha ha ha…” aku ketawa. “ Jadinya, apa falsafah hidup kamu sekarang ini kawan?” soalku sambil mengukir senyuman.
“ Sudah pasti aku muslim. Cumanya, aku dipandang dengan penuh kehairanan oleh masyarakat sekitarku. Mungkin pada mereka, aku sudah sesat, sudah jauh dalam arena hedonisma dan makin terpesong akidah kerana terlalu banyak membaca Bible?” jawab Azlan.
“ Adakah pendapat mereka terhadap kau itu benar?”
“ Tidak. Mereka salah faham terhadapku. Hanya kerana cara aku mengekspresikan pegangan hidup berbeza dari lazimnya, berbeza daripada mereka, maka aku dipandang sedemikian rupa. Seolah aku ini makhluk perosak, dan tiada syurga bagiku dan orang yang mengikut langkahku,” jelas Azlan.
“ Alhamdulillah…” ucapku sambil memejam mata.
“ Ayie, apa yang kau syukurkan itu?”
“ Aku bersyukur kerana sangkaan baikku terhadap kau tidak meleset.”
“ Alhamdulillah…” Azlan pula mengucapkan pujian kepada Allah.
“ Lan, kau pula syukurkan apa?”
“ Allah masih mentakdirkan aku bertemu orang seperti kamu, yang tidak melayan aku sebagai makhluk asing dari Marikh! Ha ha ha!”
“ Marikh… “Men are from Mars, Women are from Venus”. Pernah baca buku ni?”
“ Hah? Tak… Kenapa?”
“ Aku pun tak pernah baca. Tak kisahlah, apapun, aku nak tanya pendapat kau tentang cinta.”
“ Cinta? Hehe… Banyak yang aku boleh jawab. Sanggup ke kau dengar?”
“ Insya Allah.”
“ Oh. Ayuh bermula!” Azlan memulakan dengan penuh semangat. “ Cinta itu adalah kebaikan, cinta itu adalah kesabaran. Cinta tidak mementingkan diri sendiri dan cinta tidak menyimpan dendam. Cinta tidak hadir untuk kejahatan, tetapi subur bersama kebenaran.
Cinta akan melindungi, cinta sentiasa mempercayai dan akan sentiasa mempertahankan. Cinta tidak pernah menggagalkan. Cinta amat penting untuk kehidupan manusia dan aku berpendapat bahawa tanpa cinta, manusia takkan dapat memenuhi potensi dirinya untuk mencapai kehidupan terbaik. Kadang kala cinta dibuat bahan jenaka, tetapi kadang-kala ia tidak sepatutnya dilayan sebegitu rupa.
Jangan sesekali merasakan bahawa cinta akan sentiasa ada untuk kita kerana kadang kala kita akan kehilangannya hanya kerana kesilapan kecil. Ramai manusia yang gagal mencari cinta setelah mencarinya di merata tempat, tetapi aku percaya yang kita boleh mendapat cinta daripada Tuhan kerana realitinya, Dialah yang ada di sana untukku apabila semua yang lain tiada di sisi aku…”
Aku terpegun mendengarnya. “Huh, puitis. Dengan lancar sahaja kau bisa definisikan perkataan sesukar cinta. Pasti kau kini dilamun cinta bukan?”
“ Ya, puitis. Aku mahu beri keadilan kepada yang berhak. Hakikat yang indah harus diungkap dengan cara yang indah,” jawab Azlan sambil tersenyum. Kagum aku pada kecerdasannya berfalsafah. Sememangnya orang seni punya jiwa yang sensitif, jiwa yang rindu untuk mengungkap segala yang mereka hargai di sekeliling mereka.
Namun Azlan, sekadar memerah akal dengan kebolehan berfikir belum cukup untuk menjamin hidup yang tepat pada maknanya, belum cukup untuk mengecap cinta hakiki yang datang dengan pencerahan wahyu ilahi. Aku amat mengharapkan agar orang-orang seperti kamu yang menghargai cinta dan kehidupan supaya dapat memahami apa itu cinta dan apa itu kehidupan dengan falsafah yang benar dan sahih. Aku ada banyak yang ingin diperkatakan kepada kamu. Cuma, biarlah kita tunggu masanya masak supaya buah perbincangan itu nanti ranum dan sedap dijamah bersama dan berkhasiat untuk kehidupan kita.
_
Kamarul
“ Kau tak faham Ayie, aku dah tak rasa apa-apa dah sekarang,” kata Kamarul. Kami selalu berbual melalui internet. Kamarul berada nun jauh di seberang laut, di negara matahari terbit.
“ Tak mungkin kau tak ada sedikit pun rasa bertuhan?” aku mempersoalkan kesungguhan pernyataan Kamarul.
“ Aku minta maaf. Mungkin ada. Ruang untuk Tuhan masih ada dalam hati aku. Tapi ada syaratnya.” jawab Kamarul.
Lega aku mendengar bahawa masih ada ruang untuk Tuhan dalam dirinya. Tetapi aku masih musykil dengan syarat yang diletakkan Kamarul. “ Apa syaratnya Kamarul?”
“ Macam ni Ayie, yang pertama, Tuhan mestilah menyayangi semua makhluknya. Yang kedua, Tuhan mestilah menerima semua manusia tanpa memurkai satu orang pun daripada mereka.” Kamarul memberikan syarat-syaratnya.
Aliran pemikiran Kamarul sudah dapat aku hidu. Ia busuk dan ia makin lama makin tersebar ke serata pelusuk dunia. Aku yakin, Kamarul kini dalam dilema: antara menjadi Atheis dengan menolak terus kewujudan Tuhan; atau menganut fahaman pluralisme dengan menerima Tuhan tetapi dengan syarat, Tuhan menerima semua manusia tanpa mengira agama mereka.
Kamarul punya rekod yang kurang baik dengan Islam. Dia membesar dengan persekitaran manusia yang memaksakan Islam ke atasnya tanpa rasional. Keluarganya tidak punya tasawwur (pandangan alam) yang menyeluruh tentang Islam. Seolah-olahnya, Islam hanya merupakan budaya turun temurun keturunannya. Dia pergi ke sekolah, belajar tentang Islam, namun pelajarannya hanya lekat sebagai ilmu tetapi tidak pernah terbina sebagai iman.
Amalan solat dan puasanya tidak pernah dilakukannya sebagai ibadat, tetapi sebagai adat. Sebenar-benarnya, Kamarul tidak pernah meyakini 100% peratus bahawa Allah itu ada. Padanya, wujud Allah hanyalah satu kebarangkalian, bukan satu kepastian. Oleh sebab itu, keseluruhan kehidupannya selama ini hanyalah satu perjudian, bukan perjuangan pasti menuju redha ilahi.
Seterusnya, bila meningkat remaja, Kamarul membesar sebagai anak muda yang suka mempersoalkan syariat Tuhan. Sebagai contoh, meninggalkan solat, terlibat dengan aktiviti syirik Spirit of the Coin, berpacaran sehingga ke tahap mukaddimah zina dan mencuri. Oleh kerana kenakalannya itu, dia sering dipulau oleh rakan-rakan dan dikenakan berbagai-bagai hukuman. Semua layanan itu menyebabkan dia lebih jauh memberontak membenci agama. Semua nasib malang yang diterimanya itu dipersalahkan kepada Tuhan, dan dia terus berputus asa mengatakan bahawa Tuhan tidak menyayanginya lantas perlahan-lahan memadam kepercayaannya kepada kewujudan Tuhan. Pemberontakannya terhadap agama sudah bermula sejak dahulu lagi.
“ Macamana dengan Yura? Dia juga seperti kau?” tiba-tiba aku melontarkan soalan berkenaan kekasih Jepunnya.
“ Yura lebih percaya bahawa Tuhan itu ada. Dia lebih berminat tentang agama. Sekarang ini, dia mengkaji tiga agama samawi Yahudi, Kristian dan Islam,” jelas Kamarul kepadaku.
Aku ternampak sedikit jalan untuk Kamarul. Biasanya manusia yang kehilangan Tuhan akan mencari penyandar yang lain dan biasanya sandaran mereka adalah kepada kekasih. Jiwa yang kosong dan dahaga daripada mencari cinta dan redha ilahi akan meminta untuk diisi, untuk dibasahkan dengan cinta dan kasih dari sumber yang lain.
Aku percaya Yura adalah jalannya. Lantas aku dan Fatihah merancang pelan serampang dua mata; menyampaikan permata kebenaran Islam kepada yang sedang mencari, dan berharap supaya dia menjadi jalan untuk Kamarul mengutip kembali permata yang sudah sekian lama dibuangnya.
_
Peluru Sesat
“ Muka-muka kamu ni tak pernah nampak pun kat surau!” kata seorang pensyarah di dalam kelasnya. Kisah ini diceritakan oleh Fatihah kepadaku. Pensyarah tersebut sering ke surau kolej.
Fatihah hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata pensyarah tersebut. Begitu juga rakan-rakan sekelasnya yang lain.
“ Ha, kamu Razif, dah sebulan saya tak nampak kamu. Lima orang budak lelaki ini lagi saya tak pernah nampak langsung!” pensyarah itu menyambung lagi. Semua pelajar di dalam kelas tersebut diam. Ada yang memandang ke bawah. Ada yang memandang ke tepi dan mencebikkan muka. Beberapa pelajar bukan Islam mula berasa hairan. Walaupun kata-kata itu bukan ditujukan kepada mereka, namun mereka tetap tidak selesa dengan atmosfera kelas yang semakin tegang itu.
“ Yang perempuan pula jangan cakap la, seorang pun saya tak pernah nampak ke surau. Apa nak jadi dengan kamu semua ni? Saya dah agak, memang pelajar-pelajar kursus pengajian Jepun berperangai macam ni. Kamu ni dah terikut-ikut dengan budaya mereka. Ini baru persediaan, kalau sudah terbang ke sana saya tak tahu la apa nak jadi dengan kamu. Mungkin kamu nanti akan balik Malaysia dengan mata biru pula?” Kata-katanya semakin pedas. Pensyarah itu kemudiannya menghabiskan keseluruhan masa kelasnya untuk mem’basuh’ para pelajar dalam kelas itu.
“ Kita orang kena tembak tadi,” kata Chong, rakan Fatihah kepada pensyarah yang masuk kemudian.
“ Kena tembak?”tanya beliau yang masih kabur dengan apa yang dimaksudkan oleh Chong dengan ‘tembak’.
“ Tak ada apa-apa lah puan. Biasalah,” Fatihah mencelah untuk mengelakkan perkara itu terbocor ke pengetahuan pensyarah tersebut. Dia tidak mahu peristiwa itu diperpanjangkan dan dijadikan isu besar di kalangan pelajar pengajian Jepun yang sering dipandang serong di kolejnya itu.
Selepas kelas, beberapa rakan sekelas Fatihah berbual berkenaan hal tersebut. “Saya kasihan tengok kamu la. Tak fasal-fasal saja semua kena. Padahal sedikit saja pelajar yang berperangai macam tu,” kata Kashwini.
“ Dia main tembak je tu. Padahal aku ada je kot pergi surau dua tiga hari ni,” kata Razif. “ Tak apa lah. Sabar sahajalah. Mungkin dia dah fed up tengok beberapa pelajar pengajian Jepun yang buat perangai, terus dia sapu rata dan tembak kita semua serupa,” sambungnya lagi.
“ Itulah, kadang-kadang manusia ni ada ilmu, tapi tak ada adab,” Chong pula menyampuk. Fatihah tersentak. Dia berasa malu amat dengan sikap yang ditunjukkan pensyarah itu. Lebih memalukan dia, adalah pensyarah itu beragama Islam, rajin ke surau, boleh dikatakan cekap dalam selok belok agama tetapi gagal menunjukkan adab yang baik ketika mahu berdakwah sehinggakan menimbulkan salah faham kepada rakan-rakannya yang bukan muslim.
Fatihah menceritakan kisah ini kepadaku. Aku kenal dengan pensyarah itu. Walaupun dia dari jabatan lain, dia juga ada mengajar di fakultiku. Semester lepas aku di dalam kuliahnya. Aku tidak menafikan niatnya baik. Mungkin dia sudah jemu melihat kehidupan para pelajar yang jauh dari menjiwai Islam, dan telah lama menahan kemarahannya kepada segelintir pelajar. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatannya menembak tanpa usul periksa. Apatah lagi, kebanyakan tembakannya adalah peluru sesat yang tidak mengenai sasaran.
Alhamdulillah, Fatihah dan rakan-rakannya yang lain tidak melatah. Tidak terus mengumpat, membawa cerita dan mengadu domba kepada pelajar-pelajar lain. Setelah berbincang dengan Fatihah, kekaguman kami kepada teknik dakwah Nabi Muhammad SAW bertambah. Penuh hikmah. Kata-kata Baginda tidak menyakitkan hati. Kadang-kala Baginda berdakwah tanpa perlu berkata-kata. Baginda tidak menembak, dan tidak pula cuba mempertahankan diri secara berlebihan apabila berdepan dengan golongan yang kasar bahasanya.
Fatihah menitiskan air mata. Aku sangka dia sedih akan peristiwa yang berlaku di kelasnya. Tetapi bukan. Fatihah tiba-tiba berasa rindu kepada Rasulullah SAW. Katanya, rindu itu muncul seolah-olah dia memang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW. Aku hanya mampu mengagumi hatinya. Aku tidak pernah mendidik hati sehingga mampu merindui Rasul junjungan sebagaimana adikku.
Dia rajin membelek kitab hadis. Katanya, melalui hadis-hadis, kita dapat merasai suasana hidup pada zaman Baginda. Lagi-lagi jika kita turut membaca matannya kerana menurut Fatihah, kata-kata Rasulullah dalam bahasa asalnya akan meresap ke dalam jiwa kerana keindahan bahasa dan budi bicaranya. Apalagi bagi orang yang memahami bahasa arab sepertinya. Aku mula berasa cemburu dengan kefasihannya menguasai pelbagai bahasa dan kelebihan-kelebihan yang dinikmatinya daripada kefasihannya itu.
Oh, betapa jauhnya hati aku darimu ya Rasulullah. Betapa banyak sunnahmu yang aku tidak amalkan. Betapa banyak dari bahagian hidupku yang tidak aku sempurnakan sebagaimana dianjurkan olehmu. Aku tidak mahu terus begini. Aku bimbang kau tidak mengakui aku sebagai umatmu di akhirat nanti wahai Rasulullah. Huh, untuk jiwa selemah aku ini, apa yang boleh aku lakukan untuk meraih sekilas jelingan darimu wahai kekasih Allah? Ya, ada yang aku masih bisa lakukan sementara aku masih punya masa dan upaya, sebelum nikmat yang telah lama aku ada ini ditarik semula.
_
Diagnosis Jasad
“ Kau ada tumor di bahagian C5 dan C6,” kata Syazwan, kata sahabatku yang melakukan diagnosis terhadapku. Dia baru sahaja memulakan kerja di Hospital Ampang. “ Kes macam kau ni memang sangat jarang terjadi. Kami pun bincang beberapa kali dengan doktor pakar untuk kes kau ni. Aku harap kau sabar ya,” sambungnya lagi.
“ Alhamdulillah. Masih boleh bergerak. Masih sempat aku langsaikan beberapa hutang tanggungjawab aku. He he. Terima kasih kawan, aku akan ikut nasihat yang kau bagi,” kataku sambil bangun dan bersalaman dengannya.
Sakit yang aku alami ini boleh membawa kepada kelumpuhan. Terutama di bahagian bahu dan otot lengan. Menurut Syazwan, aku juga berkemungkinan akan kehilangan kawalan pergelangan tangan dan jari jemari. Bergantung kepada tumor yang ada, mereka berpendapat aku mungkin akan kehilangan banyak fungsi pergerakan dalam masa dua bulan.
Itu hasil diagnosis mereka dan mereka ada memberitahuku tentang cara mengurangkan kesan, memberi ubat tahan sakit dan langkah-langkah yang patut aku ambil sekiranya aku berhajat untuk mengubati sakit itu.
_
Diagnosis Jiwa
Lama dahulu, aku sering tertanya-tanya mengapa Fatihah kelihatannya terlampau tenang menghadapi karenah manusia. Terlalu sabar. Aku, jika ikutkan hati dan emosi, mahu sahaja bertindak sebagaimana pensyarah itu bertindak, sebagaimana ustaz dan ustazah menjamukan Maria dengan dalil-dalil, sebagaimana manusia memandang Azlan manusia asing. Lama dahulu, aku sangka dakwah ini hanya tertegak dengan ilmu, tanpa akhlak dan tanpa sunnah. Aku sangkakan semua manusia akan memeluk Islam jika mereka mengenal Allah, akan menjaga halal dan haram jika mereka tahu hukum hakam, akan berakhlak mulia jika mereka mencontohi akhlak Nabi SAW. Aku salah. Dakwah adalah lebih daripada itu.
Ya, dakwah memerlukan kepada penyampaian ilmu. Tetapi ia tidak sesekali boleh dipisahkan dengan adab. Pendakwah bukanlah penghukum yang memulaukan manusia. Pendakwah bukanlah orang yang melepaskan geram dengan tembakan peluru sesat. Pendakwah bukan juga petani yang bercucuk tanam dan mengharapkan buah dakwah terus masak dan ranum. Sunnah alam, apa yang diciptakan di dalam ruang-masa, memerlukan masa untuk mengalami perubahan.
Sebagaimana Islam yang sahih itu diajar dari guru ke guru sehinggalah kepada kita, seperti itulah juga manusia disesatkan oleh syaitan demi syaitan sepanjang sejarah dunia. Tidak hairanlah, cabaran dakwah ada yang sama dan ada yang berbeza. Kepelbagaian cabaran ini menuntut para pendakwah untuk menyiasat hujung pangkal sesuatu perkara sebelum membuat tindakan. Di sinilah perlunya kita kepada diagnosis.
Diagnosis jiwa adalah penyiasatan terhadap hati, jiwa rohani manusia dan permasalahan sebenar diri kita. Setiap masalah ada puncanya dan setiap kesakitan ada ubatnya kecuali maut. Memang hakikatnya, jika penyakit hati dan jiwa tidak diubat sebelum mati, maka tiada lagi jalan untuk berpatah balik bila nyawa sudah ditarik.
Di sinilah kebijaksanaan pendakwah teruji, bagaimana dia membuat penilaian dan tidak melakukan kesilapan dalam tindakan. Di sinilah juga pendakwah diuji, sejauh mana kebergantungannya kepada Allah. Sejauh mana doanya dipanjatkan kepada Allah, tawakkalnya dan sebanyak mana taubatnya dipohon kerana di dalam usaha dakwah sekalipun manusia mungkin membuat kesilapan.
_
Sisa Hidup yang Berbaki: Rawatan untuk Diri dan Semua.
Suatu pagi, Fatihah mengajakku ke rumah kakak sulungku. Katanya dia mahu membentangkan pelannya untuk membantu Maria, Azlan dan Kamarul. Aku pun mengambilnya di kolejnya dengan keretaku dan terus menuju ke rumah kakak yang kami panggil Kak Long itu. Dia tinggal seorang diri di rumah yang baru dibelinya itu buat masa ini. Dua bulan lagi, dia akan melangsungkan perkahwinan dan selepas itu dia akan tinggal di situ bertemankan lelaki yang akan berkongsi hidup dengannya.
Fatihah pun membentangkan pelannya. Kak Long mendengar sama dan menambah pendapatnya yang berharga itu. Dia lebih berpengalaman. Kak Long kini sedang membuat tesis berkenaan kesan zaman pencerahan, asal-usul sekularisma, kaitannya dengan penjajahan barat ke atas dunia Islam dan kesan-kesannya ke atas kehidupan seluruh manusia moden dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Pandangan Kak Long lebih menyeluruh dan komprehensif.
Aku pula, memang mengharapkan mereka membantuku untuk membantu kawan-kawanku. Alhamdulillah, aku tidak punya banyak masalah melainkan masalah kesihatanku ketika ini. Sekurang-kurangnya akidahku masih sejahtera, aku masih berkeinginan untuk melihat dunia ini dipenuhi rahmat dan kebaikan sebagaimana yang dimaksudkan dengan pengutusan Rasulullah sebagai pembawa risalahNya. Selagi aku masih bernafas, aku mahu hidup mulia, berniaga dengan Tuhan yang membeli jiwa, harta dan nyawaku untuk balasan yang lebih bermakna bila aku bertemu denganNya nanti. Aku tenang dengan nikmat Islam dan imanku dan aku harap aku akan menikmati lebih dari yang aku sedang nikmati ketika ini.
Oleh kerana nikmat-nikmat ini harus aku syukuri, dan oleh kerana aku tidak dibebankan dengan masalah-masalah, maka aku harus membantu orang-orang yang aku sayangi yang sedang mengalami masalah. Aku tidak mahu mereka terlepas rahmat Allah yang tidak ternilai ini. Selagi aku masih mampu, aku akan habiskan sisa-sisa kemampuan yang masih berbaki ini untuk membantu mereka. Alhamdulillah, terima kasih Kak Long, terima kasih Fatihah kerana membantu aku dan kami.
_
Maria dan Siapa yang Diperlukannya
Kami bertemu Maria buat kali kedua. Fatihah mengendalikan semua perbualan dengannya.
“ Maria, hari ni kita berkongsi tentang alam dan Penciptanya. Nak?” kata Fatihah.
“ Boleh je. Tapi kenapa pula? Kenapa awak masih tak nak suruh saya pakai tudung? Kan lebih senang macam tu?” balas Maria.
“ OK. Macam ni. Lepas saya suruh awak pakai tudung, tugas saya dah selesai. Maka saya tak perlu datang lagi. Kita tak akan bertemu lagi kecuali jika ada jodoh dalam perkara yang lain. Lepas tu kita masing-masing akan teruskan hidup dan mak awak akan panggil orang suci keempat pula untuk sucikan awak. Kemudian benda yang sama berulang lagi dan lagi sampailah mak awak puas hati, kan?” kata Fatihah.
“ Ya, dan saya jamin saya tetap takkan pakai tudung.”
“ Sebab tu lah saya tak mahu suruh. Kalau betul awak nak pakai, tak perlu saya suruh pun awak mesti akan pakai.”
“ Hmm. Betul juga tu,” Maria tersenyum. Gadis semudanya memang nakal. Tetapi kenakalan itu tidak boleh dibiarkan sehingga melarat. Tidak mahu menutup aurat merupakan satu isu yang serius. Syariat yang diturunkan dalam surah An-Nur ayat 30 itu bukan main-main. Itu kata-kata Tuhan. Aku teringat kata-kata Fatihah ketika di rumah Kak Long.
“ Abang Azri, Teha rasa, untuk Maria ni kita tak perlu lagi nak terangkan satu persatu tentang syariat dan hukum fiqah. Teha rasa baik kita fokuskan untuk mantapkan asas dia. Akidah dia kita kena kuatkan. Buatkan dia rasa bertuhan dan perlu kepada Allah. Buatkan dia rasa betapa Allah telah mengasihi dan menjaga dia. Lagipun, memang ini sunnah Rasulullah SAW berdakwah. Ingat lagi tak zaman awal dakwah Nabi SAW? Apa yang Nabi tekankan adalah akidah, siapa Allah dan apa sifat-sifatNya. Bila para sahabat tahu betapa agungnya Allah dan betapa murninya ajaran Islam, mereka jadi setia dengan Islam. Kemudian bila ayat-ayat hukum diturunkan, para sahabat langsung tak melawan sebab iman mereka sangat teguh. Kita tidak boleh melangkah aturan. Kita kena pergi kepada asas, kemudian barulah diikuti dengan cabang-cabangnya.”
Itulah pelan yang dibentangkan Fatihah. Pertemuan kami dengan Maria pada petang itu sarat dengan perbincangan tentang alam semesta dan penciptaannya. Alhamdulillah, gabungan ilmu Fatihah berkenaan ayat-ayat penciptaan dan ilmuku dalam bidang pengajian Fizik, kami bertiga berjaya mengagungkan kehebatan dan kebijaksanaan Allah dalam proses penciptaan langit dan bumi. Mujur, Maria juga bukanlah tin kosong. Dia juga banyak menonton dokumentari National Geographic maka perbincangan kami jadi lancar.
“ Jadi, kuasa Allah itu ada pada semua perkara? Semua atom, zarah dan molekul itu pergerakannya diketahui dan diizinkan Allah? Allah menetapkan kadar pergerakan Bumi dan seluruh objek cakerawala, dan Allah tetapkan juga kadar perkembangan zuriat semua haiwan untuk melengkapkan rantai makanan dan ekologi seimbang? Allah mengawal semua, termasuk darah yang mengalir dan jantung yang berdegup dalam diri manusia?” Maria bertanya untuk mendapatkan kepastian setelah beberapa lama kami berbincang.
“ Ya. Pasti. Dan semua yang diperintah dan dilarang oleh Allah ada sebabnya. Contohnya, kita tidak boleh dengan sewenang-wenang mencabut atau memotong pokok dan tumbuh-tumbuhan melainkan dengan sebab yang baik. Apabila manusia dengan sewenang-wenangnya menebang pokok untuk tujuan industri kertas atau pembinaan, ia masih dikira baik. Tetapi apabila mereka mula tamak dan menebang tanpa had, kesannya kini kita rasai dengan tanah runtuh dan pemanasan global.
Kita lihat pula apabila Allah mengajar manusia teknik penyembelihan, Allah mahukan kita mendapat zat-zat terbaik. Sebenarnya, teknik memotong urat mari’ dan urat halkum adalah bagi memastikan semua darah keluar dari tubuh haiwan yang kita sembelih,” kata Fatihah.
“ Bagaimana pula? Kalau darah tak keluar habis pun apa salahnya?” tanya Maria mencelah.
“ Apabila dua urat itu dipotong, aktiviti saraf haiwan masih berjalan kerana saraf tunjangnya tidak terjejas. Otak masih mengarahkan jantung untuk mengepam darah dan hasilnya, darah akan habis dikeluarkan melalui urat yang kita potong tadi. Sekiranya darah tidak keluar, semua darah yang terperap di dalam tubuh haiwan tadi akan membeku dan memudahkan proses pembiakan bakteria, selain menjadikan daging itu cepat busuk dan kurang khasiatnya,” aku pula mencelah memberikan penjelasan.
“ Oh, saya pernah lihat haiwan yang tidak disembelih di TV. Mereka gunakan renjatan elektrik. Ada yang pukul kepala sehingga mati dan ada juga yang terus humbankan haiwan itu hidup-hidup ke dalam pengisar daging. Saya yakin, semua teknik itu tidak sebaik teknik penyembelihan Islam. Ya Allah, baru sekarang saya tahu bahawa Allah bukan bermain-main!” kata Maria yang seolah-olah mendapat pencerahan.
Kemudian kami tinggalkan Maria tanpa sepatah perkataan pun menyuruhnya menutup aurat. Fatihah bercadang bertemunya lagi dan mungkin dalam pertemuan seterusnya dia ingin membawa Maria bersiar-siar untuk menghayati kehebatan Allah menyusun kehidupan alam dan manusia, atau bersama-sama melakukan qiyamullail untuk memberi peluang Maria berdialog dengan Allah dalam suasana yang kondusif untuk iman. Fatihah yakin bahawa Allah mendengar doanya untuk Maria. Insya Allah, dengan kesedaran Maria terhadap kekuasaan Allah, dia akan komited dengan Islam kerana dia berasa beruntung malah istimewa menjadi seorang muslimah yang taat kepada Allah, termasuklah dalam syariat menutup aurat.
_
Azlan dan Hakikat Hidup Bercinta
“ Aku rasa tahun ini aku ingin fokuskan pengajian agamaku ke arah mengenal Allah,” kataku.
“ Mengapa? Pendidikan di sekolah kerajaan dan sekolah agama tidak cukupkah? Itu kan perkara asas dalam agama. Takkanlah engkau masih tak faham?” Azlan hairan dengan kata-kataku.
“ Bukan begitu. Sebelum ini aku selalu bersikap take for granted. Aku beranggapan bahawa aku sudah cukup mengenal Allah. Tapi sebenarnya belum. Belum mendalam. Sifat-sifat Allah belum aku fahami dengan baik. Bahkan, pelajaran tauhid sifat 20 dan tiga serangkai yang aku pelajari dahulu pun banyak yang aku sudah terlupa,” jawabku.
“ Benar. Aku akui, sikap take for granted itu juga ada pada aku. Sebenarnya memang banyak yang kita belum faham. Tetapi selalu sahaja kita berasa bahawa diri sudah cukup tahu, lalu berhenti belajar. Padahal banyak lagi yang kita jahil, dan perbuatan berhenti belajar itu menutup terus pintu kepada pemahaman. Huh, aku rasa, aku pun nak belajar sama. Bila-bila kau ada pengajian, panggil aku sama ya?” Azlan berminat untuk turut serta.
“ Kau pun nak kenal Tuhan?”
“ Mestilah. Tak kenal maka tak cinta!” jawan Azlan.
“ He he he. Satu lagi, tak kenal maka taaruf!” aku berseloroh. “ Kalau macam tu, nanti bila ada masa aku akan bawak kau sama,” tambahku.
Harapan aku pada Azlan besar. Pertama, aku mahu supaya aku dan dia sama-sama makin mengenal Allah. Kedua, bergerak dari pengenalan itu, aku harap bibit cinta kami kepada Allah akan berputik dan mekar. Ketiga, dari kecintaan itu, aku harap kami akan lebih ingin menggapai redha Allah yang kami cintai itu, seterusnya melakukan segala suruhan yang akan menambahkan redha Allah kepada kami, dan menjauhi larangan Allah.
Aku juga berharap supaya Azlan akan kembali menjernihkan akidahnya, supaya dia tidak lagi mencampur aduk kepercayaan yang bercampur baur. Hanya Islam agama yang diredhai di sisi Allah. Mencampurkan kepercayaan Islam dan amalannya dengan kepercayaan dan amalan agama lain bukanlah cara yang betul untuk membuktikan kecintaan kepada Allah. Akidah perlu sahih sebagaimana diwahyukan, amalan perlu selari dengan apa yang menjadi sunnah Rasulullah SAW.
Oh ya, aku juga berharap apabila akidah Azlan sudah kuat, amalannya sudah benar, cintanya kepada manusia hanyalah didasarkan kepada cintanya kepada Allah. Jika dia ingin mencintai wanita dan menjadikannya sebagai teman hidup, aku berharap supaya cintanya kepada wanita bertuah itu adalah kerana Allah, dan dia tidak terperangkap dengan panahan syaitan sebagaimana ramai anak muda masa kini terperangkap dengan cinta haram yang mengasyikkan. Couple, keluar dan makan berdua-duaan, berbalas mesej dan mengucapkan cinta sayang, itu semua, walaupun dilakukan ketika kepala sedang berkopiah dan tudung dilabuhkan, tetap haram selagi belum sah kau dinikahkan!
Gunakan cara yang halal, gapai cintamu dengan cara yang tidak akan membuatkan kau kehilangan cinta teragungmu kepada Allah wahai Azlan. Sesungguhnya, tidak ada yang lebih bermakna selain dari keredhaanNya dan ganjaranNya kepadamu. Jika isteri bisa menunjukkan rasa cinta kepada suaminya dengan layanan penuh kasih sayang, bayangkan Allah menunjukkan rasa cinta kepada kita di akhirat dengan balasan syurga dan peluang bertentang mata denganNya! Buktikan cintamu kepada Allah wahai Azlan, walau perlu menggenggam bara dan menjadi asing di tengah manusia!
_
Kamarul, Yura dan Tuhan Pilihan
Aku berbual melalui Yahoo Messenger dengan Kamarul. Manakala Fatihah pula berbual dengan Yura. Aku dan Kamarul dihubungkan dengan memori bersahabat, manakala Fatihah dan Yura dihubungkan dengan kursus Jepun Fatihah dan kebolehan kedua-dua mereka bertutur dalam bahasa Jepun.
“ Maafkan aku jika aku kurang berlapik denganmu kali ini ya Kamarul. Aku rasa, kau pun memang sedang jujur dengan aku, maka aku akan berbicara dengan kau dengan bahasa yang jelas. Yang benar akan kukatakan benar, yang salah akan aku tidakkan,”
“ Bagus. Mungkin memang itu yang terbaik untuk sesi ini. Lagipun memang aku mencari kebenaran. Walaupun aku sedang kecewa dengan Tuhan, aku masih rasa bahawa aku patut memberi peluang kepadaNya,” kata Kamarul.
“Oh Kamarul, bukan Allah yang perlukan peluang. Tetapi kaulah patut bersyukur kerana Allah masih memberi kau peluang dan menunjuk jalan untuk kembali kepadaNya!” kataku di dalam hati. Aku tidak akan menzahirkan kata-kata tadi kerana aku masih ingat pesan Fatihah.
“ Bila berdakwah, kita berkata-kata dengan manusia, bukan dengan najis atau sampah. Manusia punya harga diri dan kehormatan. Kita perlu menghormati dan melayan mereka sebagai makhluk berkehormatan. Kesilapan yang mereka lakukan harus ditegur kerana kita ingin mengembalikan semula mereka ke taraf khalifah Allah yang mulia, kepada taraf makhluk berkehormatan. Gunakan bahasa yang baik dan dengan penuh hormat. Jangan menghukum kerana kesilapan, tetapi pimpinlah mereka ke atas, ke arah kemuliaan manusia bertakwa dengan cara yang baik. Jika tidak,mereka akan melepaskan tangan kita dan terus jatuh lebih dalam ke dalam jurang kehinaan .” Begitu kata Fatihah.
“ Baik Kamarul, apa keuntungannya manusia atheis?” tanyaku kepada Kamarul.
“ Dapat lakukan apa sahaja kami suka tanpa halangan.”
“ Maksud kau, tanpa halangan moral? Undang-undang manusia tetap ada untuk menghalang manusia dari melakukan sewenang-wenang. Kita tidak pernah bebas seratus peratus,” kataku.
“ Ya, secara moral. Kau tahu, aku rasa bebas dan suka hati bila aku bisa buat apa sahaja tanpa ingat kepada larangan Tuhan?”
“ Suka hati. Aku faham. Tapi adakah kau tenang?” soalku.
Kamarul diam seketika. Hampir seminit dia tidak membalas. Kemudian menyambung semula, ” Aku… Sama ada terlupa apa itu ketenangan, atau aku memang tidak pernah kenal apa itu ketenangan.”
Aku tidak memberi maklumbalas dengan jawapan Kamarul itu. Sebaliknya aku terus dengan soalanku. “ Kau ingin tahu apa keuntungannya orang bertuhan?” soalku.
“ Silakan dengan penerangan kau. Aku sangat ingin tahu.”
“ Katakanlah kau ambil pendirian atheis. Kau tolak Tuhan, kufur, kau ingkar terhadap kewujudan Tuhan walaupun kau pernah belajar tentangNya. Lalu kau pun hidup sesuka hati, tanpa panduan akhlak dan moral yang konkrit dan kukuh sehingga kematian menjemput.
Kalaulah benar Tuhan tiada, neraka dan syurga itu dusta, maka kau mati dan terus hilang dari kewujudan. Tiada untung ruginya perbuatan kau dan pegangan kau walau apapun yang kau lakukan.
Tetapi jika benar Tuhan wujud, neraka dan syurga itu benar, kau mati dan akan diseksa kerana kekufuran kau. Kau akan rugi, terseksa jasad dengan neraka dan terseksa jiwa dengan penyesalan.” Aku berhenti seketika sebelum menyambung semula.
“ Katakanlah kau ambil pendirian bertuhan, kau percaya dan bertakwa kepada Allah setelah kau mengenaliNya. Lalu kau pun hidup dengan panduan yang Allah berikan sehinggalah maut menjemput kau.
Kalaulah benar Allah itu tiada, kau tetap beruntung hidup di dunia dengan cara yang mulia dan penuh kehormatan. Kau hidup dengan nilai kemuliaan dan akhlak terpuji, jauh dari kejahilan dan kerosakan. Bila kau mati, kau tidak rugi dan tidak untung kerana neraka dan syurga itu tidak wujud.
Tetapi jika benar Allah itu ada, kau tetap mendapat keuntungan, malah lebih lagi. Kau hidup mulia, jauh dari kehinaan. Kemudian kau mati dan bakal dimasukkan ke syurga. Kau beruntung kerana beriman. Untung di dunia dan untung di akhirat. Mulia di dunia dan mulia di akhirat,” begitu sambungku, sambil hatiku berdoa kepada Allah supaya setiap huruf dan piksel yang ditatapnya menjadi penyebab untuk Allah membukakan hatinya kembali.
Pada masa yang sama, Fatihah rancak berbual dengan Yura. “ Awak dah banyak mengkaji agama bukan? Apa pandangan kau terhadap Tuhan?” tanya Fatihah kepada Yura.
“ Sekarang saya sudah memahami konsep ketuhanan Shinto, Buddha, Hindu, Yahudi, Kristian dan Islam. Saya ada pendapat sendiri tentang Tuhan,” kata Yura.
“ Apa pendapat awak?” Fatihah menyoal lanjut.
“ Shintoism dan Buddhism yang diamalkan di negara saya tidak menepati citarasa saya untuk satu Tuhan yang ideal untuk alam yang kompleks ini. Jika dewa-dewi ada tugas masing-masing menguruskan alam, siapa pula pencipta alam ini dan dewa-dewi itu? Saya tidak boleh meletakkan harapan saya kepada dewa-dewi yang terhad kuasanya,” kata Yura. Kemudian dia menyambung.
“ Dalam Hinduism, kemuncak kepercayaan mereka adalah kepada Tuhan yang satu, tetapi mereka percaya bahawa Tuhan mempunyai banyak wajah. Namun, sifat-sifat wajah-wajah itu berbeza-beza dan saya sukar mencari kesatuan kepada sifat Tuhan yang satu yang mereka percayai itu. Wajah-wajah itu turut menjadikan kuasa Tuhan semakin terhad dan seolah-olah tidak mempunyai kuasa penuh untuk menguasai alam yang sangat kompleks ini. Mereka juga suka menyamakan sifat Tuhan dengan sifat manusia sehingga saya merasakan bahawa Tuhan itu tidaklah seistimewa mana.
Tuhan dalam Yahudi, Kristian dan Islam hampir sama dan memang hakikatnya mereka dari satu akar yang sama, dan percaya kepada nabi-nabi yang sama. Tetapi terdapat beberapa perbezaan besar dalam perkara-perkara asas kepercayaan dalam agama-agama ini.
Orang Kristian percaya kepada konsep trinity. Dalam kisah asal-usul Adam dan Hawa dan sebab turunnya mereka ke Bumi, ada beberapa insiden yang membuatkan saya berpendapat bahawa Tuhan tidak bijaksana dan tidak mengetahui. Mereka juga suka memberikan imej dan gambaran kepada Tuhan seolah-olah Tuhan berbentuk dan bersifat seperti sifat manusia. Saya tidak rasa Tuhan seperti itu cukup bijak untuk boleh mencipta alam sekompleks ini. Tambahan pula, dalam Genesis sendiri, konsep penciptaan amat bertentangan dengan hukum fizik dan biologi. Pegangan gereja sudah lama dijadikan bahan ketawa para saintis,” kata Yura lagi.
“ Allah pula bagaimana?”
“ Saya merujuk kepada sifat 20 Allah bila mengkaji Allah. Saya mahu tahu setakat mana kemampuan Tuhan Islam. Saya juga merujuk kepada surah al-Ikhlas untuk mengetahui bagaimana imej Tuhan dalam pandangan orang Islam,” kata yura.
“ Jadi, bagaimana kami memandang Allah?” Fatihah cuba menduga.
“ Allah itu satu, Dia menjadi tempat memohon segala hajat, Dia tidak beranak dan Dia tidak dilahirkan dari sesiapa, dan tiada sesiapa pun yang setara denganNya. Inilah yang saya faham dari surah itu. Kamu orang Islam tidak menyamakan Allah dengan makhluk berjisim fizikal dan makhluk yang beranak-pinak. Kepercayaan Kristian tidak selari dengan Islam dalam hal ini. Allah tidak bisa dilihat di dunia adalah kerana dzatnya yang istimewa itu tidak mampu dicerap oleh deria manusia di dunia. Dia tidak sama seperti ciptaanNya. Kamu juga percaya bahawa Allah hanya mampu dilihat oleh orang yang masuk ke syurga sebagai nikmat paling tinggi. Di syurga, hukum fiziknya berlainan bukan? Ahli syurga akan diberi keizinan dan kebolehan untuk melihat Allah” kata Yura.
“ Jadi, adakah Allah menepati citarasa kamu untuk satu Tuhan yang ideal untuk mentadbir alam?”
“ Allah Tuhan yang paling hampir kepada citarasa saya. Tetapi saya masih lagi mempelajari konsep dosa dan pahala, konsep pengampunan dan asal-usul tujuan penciptaan alam semesta dan manusia. Ini merupakan falsafah paling tinggi. Saya perlu berhati-hati dan bersungguh-sungguh kerana inilah perkara paling penting dalam seluruh kewujudan alam semesta ini,” kata Yura lagi.
_
Aku
Alhamdulillah. Aku dan Fatihah mencuba sehabis baik untuk membantu saudara-saudara seagama kami. Bukan kerana apa, tetapi kerana Allah. Kami mahu memenuhi tanggungjawab kami sebagai hambaNya, sebagai penyampai risalahNya, dan kami tahu kami akan dipertanggungjawabkan untuk segala kebolehan, kelebihan dan keistimewaan yang Dia anugerahkan kepada kami. Semua itu bukan untuk kami berbangga diri, berasa hebat dengan ilmu dan bahasa yang kami kuasai, bukan untuk membuat kami berasa hebat dan lebih mulia berbanding orang lain. Semua itu hanya ujian. Sihat, sakit, berilmu, berharta, miskin dan kaya, semuanya ujian. Ujian sama ada kita masih tetap bergantung hati kepada Allah atau berpaling menyembah kehebatan diri yang pada hakikatnya hanya dipunyai dengan izin Allah.
Aku semakin kehilangan kawalan ke atas panca indera yang telah lama aku nikmati ini. Jari jemariku semakin lemah dan semakin hilang deria sentuhan. Tidak lama lagi, aku takkan bisa menaip dan berkomunikasi melalui komputer. Aku mungkin akan berhenti mengecap nikmat berada di tempat pengajian, akan kehilangan nikmat kebolehan memandu. Selagi Engkau masih mengizinkan, aku akan terus menyumbang, akan terus hidup dalam jalanMu. Kerehatan mutlak hanya akan kita kecapi bila bertemu dengan Allah.
Segala usahaku, solatku, hidupku, matiku hanya untukMu Tuhan sekalian alam
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) Macam pernah ku baca.. karya lama azim kan?
- Huda Engku
- 13 years ago
-
2) itulah, kita harus gunakan kesempatan ini utk membuat amal
ini pandai menulis, buat cerita lagha.
pandai bercakap, cakap yang sia-sia.
huks!- cahatomic
- 13 years ago
-
3) bagus. memang bagus cerita ini. bahasanya mudah tetapi mesejnya cukup jelas.
cuma saya ada satu pertanyaan, rasanya Trinity tidak apply pada semua penganut Kristian kan? hanya sesetengah yang mengakui Trinity seperti Katolik.
kalau saya silap, maafkan saya.- uculer
- 13 years ago
-
4) Kak Huda, betul.Post kat sini, kot2 ada manfaatnya.
cahatomic, setuju!
uculer, betul. Diorang pun ada banyak je mazhab2 kecik and school of thought dalam katolik dan protestan sendiri.- azimtyping
- 13 years ago
-
5) inilah yang saya cari! cerita begini lah yang saya suka! macam kata ucu, bahasa mudah namun mesejnya cukup jelas dan terang benderang! tahniah azim!
- shazmiey
- 13 years ago
-
6) Bagus! Mesejnya jelas.
- ridhrohzai
- 13 years ago