Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Inspirasi

Cerpen sebelumnya:
Cinta Yang Terlewat
Cerpen selanjutnya:
Sudah hampir jam 12:00

' Wah! Satu lagi cerpen? Eh ke novel?' Adli bertanya pada Mus waktu pulang dari membeli sarapan. Mus sedang mengadap komputer di dalam bilik yang dihias seperti pejabat. Dia kelihatan sibuk menaip. Adli tahu benar akan kegemaran temannya cuma akhir-akhir ini, semakin rancak Mus menulis.

Mus cuma tersenyum.

' Bila jiwa bergolak, idea datang mencurah-curah,' ujar Mus. Adli cuma tersenyum sambil berlalu ke dapur. Mahu bancuh air bujang. Seolah-olah terlupakan sesuatu, Adli berpatah semula.

' Air, Mus?' Adli berdiri di depan bilik yang dijadikan pejabat di rumah mereka.

Mus berpaling ke arah Adli. ' Untung aku hari ini dapat rasa kopi kau. Dah rindu ni.' Mus sengih.

' Iyalah,' Adli malas hendak layan sangat. Sudah biasa dengan tabiat Mus yang suka bergurau.

Hari masih awal. Keadaan senyap-sunyi, barangkali masih ramai jiran-jiran mereka yang belum bangun. Adli pula baru sahaja pulang dari kedai membeli suratkhabar dan roti canai. Mudah sedikit kalau memberi sarapan tanpa perlu berebut seperti hari bekerja.

Kopi yang masih berwap diletakkan di atas meja. Bungkusan roti canai dibuka, semerbak aroma mengisi segenap ruang dapur. Adli cuma menyiapkan meja makan serba ringkas, cukuplah untuk mereka berdua. Malah, roti canai dibiarkan di dalam plastik dan hanya dibuka sedikit.

' Terima kasihlah, Adli.' Tiba-tiba sahaja Mus sudah sampai di pintu dapur.

' Ish! Tak perlulah mengada-ngada. Mari duduk,' Adli pantas menarik kerusi sambil tangan rancak mengalihkan roti ke dalam pinggan.

Mus tersenyum lebar. Siapa yang tidak gembira kalau makan pagi sudah siap sedia.

Sambil makan, Adli curi-curi pandang wajah Mus. Segan. Bukannya biasa tenung muka orang sebegitu rupa, lebih-lebih lagi lelaki. Takut pula dituduh yang bukan-bukan. Lingkaran hitam di bawah mata Mus nampak jelas.

' Kau bangun pukul berapa tadi?' Adli bertanya sebaik sahaja roti canai ditelan.

Mus diam.

' Hurm?' Adli malas mahu ulang soalan.

' Aku tak boleh tidur,' perlahan suara Mus.

Adli kembali menelaah roti canai di dalam pinggan. Teringat kembali perbualan antara dia dan Julia lebih kurang dua bulan lepas.

' Kenapa Julia? Apa yang kurang pada Mus?' tanya Adli pada Julia yang waktu itu, masih tunang Mus. Gadis di depannya hanya memintal hujung tudung sambil bibir yang dicalit gincu digigit-gigit. Iman Adli goyang juga sedikit melihatkan aksi Julia.

Melihatkan Julia diam membisu, Adli sambung lagi.

'Mus sudah sedia untuk jadi suami, Julia,' memang janggal rasanya bila Adli berkata demikian. Apatah lagi Adli sebenarnya tidak pasti akan kesahihan kenyataan tersebut kerana Mus tidak pernah mengaku bahawa dia bersedia menambah tanggungjawab menjadi suami. Adli cuma berkata begitu berdasarkan pemerhatian sahaja dan untuk menyelamatkan perhubungan Mus dan Julia.

Nampak bibir Julia terketar-ketar, seolah-olah mahu menangis. Adli paling tidak gemar kalau ini terjadi. Sudahlah mereka di tempat awam, berbincang berdua dengan wajah serius. Adli tidak suka kalau ada mata-mata yang memandang serong.

' Saya yang belum sedia,' Julia bersuara dengan mata yang berkaca-kaca.

Kenangan yang terakhir itu membawa Adli kembali ke meja makan.

' Kau tulis apa?' tanya Adli, sekadar ingin memulakan perbualan. Seeloknya, Adli tidak mahu terlibat dengan masalah emosi Mus. Bukan mahu mementingkan diri sendiri tetapi dia takut kalau tersalah cakap. Adli bukannya pandai tentang soal-soal perasaan dan emosi.

' Macam biasalah,' Mus tersengih.

' Macam biasa itu yang macam mana? Kalau ikut kebiasaan kerja kau, aku andaikan kau sedang isi borang insurans untuk pelanggan-pelanggan kau.'

Mus ketawa. Besar ketawa teman serumahnya itu.

' Puisi cinta, patah hati. Tetapi, tiba-tiba pula hari ini aku tulis cerita seram,' Mus bercerita dengan bersemangat.

' Eh macam mana pula sampai ke situ?' Adli menolak pinggan yang sudah kosong ke tepi.

' Entahlah, aku pun tak pasti. Tetapi memang selalunya aku begini. Kalau ada apa-apa yang menganggu jiwa, memang banyaklah idea. Macam kekecewaan itu jadi sumber inspirasi,' Mus hirup kopi sebagai penutup untuk sarapan.

' Bila jiwa kacau, aku rasa macam tulisan aku ada jiwa.' Mus diam tiba-tiba. ' Maaflah Adli, terpaksa masuk lif tekan sendiri. Siapa lagi nak puji diri sendiri, kan?'

Mus tersenyum. Adli tersenyum sama. Kalau Mus sudah boleh bergurau, ini petanda baik.

' Kau elok jadi penulislah aku rasa. Silaplah jual insurans ni,' Adli cuba pancing Mus.

' Merepeklah kau ni. Aku perlukan tragedi untuk hidupkan suis 'sasterawan' aku,' Mus mengangkat kedua-dua jari telunjuk ke udara semasa menyebut 'sasterawan'.

' Tanpa tragedi, aku tak pandai bercerita. Kau nak aku hidup dalam tragedi, eh?'

' Err...' Adli gagap sekejap.

' Kau tanya aku ni, kau macam mana?'

Adli juga suka menulis tetapi tidak seperti Mus.

' Aku menulis di blog sahaja. Bukan macam kau masuk pertandingan, suratkhabar semua.'

' Menulis juga namanya. Kalau tak, takkanlah sampai ada peminat menagih tulisan-tulisan kau. Mari pinggan kau,' Mus memanjangkan tangan untuk mengambil pinggan Adli untuk dibasuh.

' Kau cubalah hantar karya kau ke mana-mana. Tulisan kau bukan tak bagus.'

Adli tahu ada perkataan 'tetapi' tergantung di udara.

' Tetapi...?' Adli membantu Mus mengangkat cawan ke sinki.

' Mungkin kau perlu gali inspirasi kau ke dalam sedikit,' Mus memutar kepala pili.

' Macam mana?'

' Selalunya, sesuatu yang beri kesan pada kita boleh memberi kita inspirasi. Dalam kes aku, pertunangan yang terputus.'

Adli garu dagu.

' Ermm...si budak Diana itu mungkin?' Mus memberi cadangan, keningnya diangkat.

Diana. Bab cinta yang Adli sudah tutup sebenarnya. Sebuah bab yang sudah habis hampir setengah tahun.

Adli mengeluh. ' Maaflah, Adli. Aku terlanjur cakap.' Mus kelihatan bersalah.

' Tak adalah, Mus,' Adli pandang kaki. Ada sesuatu yang difikirkan.

Sudah habis berkemas di dapur, kedua-dua Adli dan Mus kembali dengan aktiviti masing-masing. Adli memanjat tangga ke biliknya di bilik tidur utama. Dia melangkah ke almari pakaian yang mempunyai empat pintu. Saiz almari itu memang besar untuk seorang lelaki. Maklumlah, lelaki selalunya tidak mempunyai banyak baju.

Dikuaknya pintu almari yang terakhir. Suis khas di dalam almari dipetik. Masih ada lagi. Takut juga Adli kalau Mus dapat tahu apa yang dia sudah lakukan.

' Hai Diana,' Adli menyapa tulang-temulang di dalam almari. Rangka manusia di dalam almari itu milik bekas kekasihnya.

Pertanyaan Mus tentang Diana sebentar tadi sebenarnya tidak menganggu perasaan Adli langsung. Yang dirisaukan Adli adalah cara bagaima untuk terus menyembunyikan kegiatan ini.

' Memang kau inspirasi aku,'' Adli memang rangka Diana secara sinis. Rangka itu disusun dalam keadaan berdiri.

Mujur Adli tuan rumah rumah. Mujur juga dia seorang pensyarah di institut pengajian tinggi mengajar bakal doktor. Mudah untuk Adli membuang bahan bukti selepas habis 'kerja'.

Adli menghidupkan komputer riba yang ada di sudut bilik dengan pintu almari dibiarkan terbuka. Ini eksperimen Adli yang terbaru untuk sebuah novel bercorak jenayah. Tentang dendam seorang lelaki terhadap bekas kekasih yang hanya mahukan harta.

Pantas sahaja jari Adli mengisi baris-baris kosong untuk ceritanya yang bertajuk " Bagaimana Aku Bunuh Ziana". Sekejap-sekejap diselak fail yang berisi butiran terperinci bagaimana dia membunuh Diana.

Cerpen sebelumnya:
Cinta Yang Terlewat
Cerpen selanjutnya:
Sudah hampir jam 12:00

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
4 Penilai

Info penulis

Siti Aishah Abdul Aziz

the one who loses her rose-tinted glasses, with the tendency to borrow others thinking caps. 
uculer | Jadikan uculer rakan anda | Hantar Mesej kepada uculer

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya uculer
Janji | 32613 bacaan
Ukur | 2646 bacaan
'Weih, tak mau lunch ke?' | 2410 bacaan
Satu nyamuk dalam kelambu | 2942 bacaan
Nama | 2500 bacaan
Sebuah buku, sekeping hati | 2677 bacaan
Dia: Di Tepi Lif | 2506 bacaan
Battered | 1117 bacaan
Periuk Belanga | 2850 bacaan
Hati | 480 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya Inspirasi
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik