Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Andai Kamu Tidak Menjaga Dakwah, Dakwah Tidak Akan Menjagamu

Cerpen sebelumnya:
sibodoh dan sibangang 3
Cerpen selanjutnya:
Trauma

“Serabut?” tanya Muhammad. Md Noor hanya mendiamkan diri. Muhammad melabuhkan punggungnya di sisi Md Noor. Sahabat baiknya itu dipeluk erat dari tepi.

“ Sampai bila kau nak lari?” Muhammad bertanya lagi. Sambil tersenyum, pertanyaannya itu diajukan dengan lembut.
Md Noor menjawab, “ Tapi aku rasa berat. Berat sangat. Aku tak rasa semua tu aku mampu buat…”

“ Tapi mesti ada sebab kenapa Allah letakkan kau di sini. Mesti ada sebab Allah pisahkan kau, aku dan Zain. Ujian tetap ujian. Yang berbeza cuma bentuknya. Dulu kita bersama. Belajar bersama, buat kerja sama-sama, susah sama-sama, senang sama-sama. Dulu lain ujiannya. Sekarang lain ujiannya. Asasnya, kita tetap diuji juga walaubagaimanapun, walau di manapun,” kata Muhammad.

“Senanglah untuk kau cakap. Kau tak terikat macam aku ni.” kata Md Noor.

“ Betul juga tu. Aku tak rasa apa yang kau rasa. Alhamdulillah, ruang untuk aku memilih lebih luas berbanding kau. Nampak macam hidup aku lebih tenang dan sejahtera berbanding kau. Tapi tak bermakna amal aku lebih baik dari kau Md Noor. Mungkin kesusahan yang kau rasa ni akan besar ganjarannya kalau dilalui dengan sabar. Ganjaran kan berkadar terus dengan kesabaran atas ujian?” kata Muhammad pula.

“ Maksud kau macam rasul-rasul ulul azmi?” kata Md Noor.

“ Ya. Sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Hujurat ayat 13, nilai manusia diukur dengan taqwanya, bukan bangsa dan keturunannya. Peranan manusia sebagai hamba diukur melalui apa yang diberinya, bukan apa yang diterimanya. Kalaulah nilai manusia diukur melalui apa yang diterimanya, sudah pasti yang sepatutnya menjadi rasul ulul azmi adalah Nabi Sulaiman alaihissalam kerana dialah rasul paling kaya dan mempunyai kerajaan paling hebat.” kata Muhammad.

Md Noor diam mendengar. Muhammad kemudian menyambung bicaranya. “ Nilai kita bukan diukur dengan apa yang kita terima, apa nikmat yang kita ada, tetapi diukur pada bagaimana kita memanfaatkan nikmat yang kita ada. Kalau kaya tapi tak beramal, tak berguna juga. Kalau berpengaruh tetapi tak bertaqwa, tak berguna juga. Namun, kalau kita miskin, susah tetapi masih berjaya mengekalkan taqwa dan amal soleh, nilai kita lebih tinggi di sisi Allah.”

“ Alhamdulillah aku ada sahabat yang kaya dan bertaqwa macam kau, Muhammad” kata Md Noor. Muhammad tersenyum sambil tertunduk malu.

“ Akhirnya, apa yang menjadi ukuran adalah bagaimana modal-modal yang Allah berikan kepada kita diniagakan ke jalanNya, bagaimana nikmat-nikmat yang diberikan kepada kita disyukuri dengan cara beramal dan membina taqwa, dan bagaimana kita sebagai hamba ‘memberi’ semula atas pemberian-pemberian itu,” kata Muhammad lagi.

Md Noor pula berkata. “ Hmm… Pemberian seorang hamba kepada Tuannya adalah dalam bentuk ketaatan, rasa kehambaan dan taqwa. Selain daripada ketaatan, kita tak mampu memberi apa-apa manfaat, apatah lagi mudarat kepada Allah. Allah adalah pemilik segala perbendaharaan. Dia tidak memerlukan apa-apa daripada kita. Tiada kerugian pada Allah andai kita ingin taat atau tidak. Sebaliknya kitalah yang rugi kalau ingkar.”

Muhammad tersenyum mendengarnya. Kemudian dia menepuk bahu kanan Md Noor dan berkata,” Maka dagangkanlah jiwa dan harta kita untuk Allah dan nantikan kemenangan besar yang dijanjikan Allah.”

Wajah ceria Muhammad membuatkan hati Md Noor terasa sejuk. Ketenangan meresap masuk ke dalam hatinya yang telah berserabut sejak sekian lama. Sebenarnya Md Noor sentiasa memendam kerinduannya kepada sahabat-sahabatnya yang mempunyai hati-hati yang hidup seperti Muhammad dan Zain. Hati-hati mereka dihidupkan dengan zikrullah, ingatan terhadap Allah dan ingatan itulah yang mengikat hati-hati orang seperti mereka untuk saling menyayangi kerana Allah.

Md Noor tidak pernah merasa jalinan persahabatan dan ukhuwah yang tulen dan kukuh sebagaimana yang dirasakannya ketika bersama Muhammad dan Zain. Mereka saling memahami misi hidup masing-masing dan sentiasa merasakan seolah-seolah mereka adalah anggota-anggota dalam satu tubuh yang sama. Satu bahagian sakit, bahagian lain terasa pedihnya. Seorang sahabat berduka, yang lain turut sama merasakannya.

“ Md Noor, cukup-cukuplah berlari tu…” tiba-tiba Muhammad bersuara, memecah lamunan Md Noor.

“ Jagalah dakwah. Dakwah akan menjagamu,” sambung Muhammad lagi.

“ Tapi aku tak sanggup jadi orang penting. Aku tak yakin,” kata Md Noor.

“ Kau sendiri dah nampak kesannya apabila kau lari dari dakwah bukan?”

“ Ya. Tapi…”

Md Noor dan Muhammad diam sejenak. Pada asalnya, Md Noor adalah seorang pemuda yang bersemangat. Sebelum memasuki IPT, dia telah merangka banyak pelan tindakan dan rancangan untuk menghidupkan dakwah di pusat pengajiannya. Muhammad pernah memuji buku nota hijau Md Noor yang mengandungi pelan dakwahnya yang disusun dengan sangat sistematik.

Md Noor berniat untuk memasuki IPT dengan niat mempelajari ilmu baru dan menemui kebijaksanaan dan hikmah-hikmah, sebagaimana yang dirasainya sepanjang dia dan Muhammad tinggal dan belajar di sekolah pondok suatu ketika dahulu.

Namun sangkaannya terhadap IPT meleset. Terlalu banyak kekecewaan yang Md Noor rasakan terutamanya kepada kegagalan melahirkan pemuda Islam yang jelas matlamat dan hala tuju hidupnya.

Md Noor kecewa kerana IPT seolah-olah mahu memesinkan manusia, membentuk manusia yang berpandangan materialistik yang fungsinya hanyalah mencari wang dan keseronokan. Md Noor kecewa kerana tiada usaha melahirkan mujahid dan mujahidah di tempat pengajiannya.

Pemikiran-pemikiran para pemikir dan pembaharu hebat Islam langsung tidak nampak seperti dibumikan di tempatnya. Tambahan pula terdapat ramai pensyarah yang turut keliru dan bercelaru ilmunya.

Benarlah sebagaimana yang ditulis oleh Prof Dr Syed Muhammad Naqib Al-Attas berkenaan ‘lingkaran ganas’.Kecelaruan ilmu membawa kepada kehilangan adab dan seterusnya lahirlah pemimpin-pemimpin palsu yang meneruskan kecelaruan ilmu dan kehilangan adab.

Harapan Md Noor untuk mempelajari hikmah dan kebijaksanaan seolah-olah terkubur dalam suasana tersebut. Lebih menyukarkan, usaha membawa pemikiran Islam sering dipandang sebagai ‘berlebihan’ dan ‘ekstrim’.

Kecelaruan ilmu jelas terbukti dalam kebanjiran intelek di IPT tersebut. Bukan kerana tiadanya ilmu, namun kerana hilangnya adab. Bukan kerana ketiadaan ilmu, namun kerana ilmu yang ada tidak memandaikan mereka untuk hidup, sebaliknya hanya membolehkan mereka melepasi peperiksaan demi segulung ijazah.

Md Noor semakin menyampah melihat pemegang-pemegang ijazah yang masih tidak dibijaksanakan dengan ilmu yang mereka ada. Jelas, segulung ijazah mungkin boleh menjamin ilmu, namun tidak sesekali secara pasti boleh menjamin hikmah dan kebijaksanaan. Md Noor kecewa dan patah hati.

Semenjak itu, dia tekadkan dalam diri untuk mengurangkan keberadaannya dalam suasana yang tidak membijaksanakan itu. Md Noor sering meninggalkan suasana yang memesinkan manusia itu untuk meluangkan masa menimba ilmu di luar dan aktif dengan aktiviti-aktiviti yang memanusiakan manusia.

Namun oleh sebab keaktifannya di luar, maka segala pelan dakwahnya yang telah dirancang untuk IPTnya tidak berjalan. Dia tidak kelihatan di surau sendiri sebaliknya sibuk mencari kebaikan di luar. Pada masa yang sama, dia takut sekiranya dia terpaksa menjadi ‘orang penting’ di surau akibat kurangnya pelajar yang boleh diharap. Nampak seperti dia telah meninggalkan dakwah.

Setelah lama mendiam, Md Noor bersuara semula. “ Aku faham, sepatutnya aku membantu dakwah di sini. Di sini kurang penghayatan Islam. Ramai yang masih tidak jelas dan ramai juga yang masih mempunyai persepsi Islam sebagai agama keturunan, mengamalkan Islam sebagai adat dan bukan ibadat. Tapi…”

“ Kau rasa lemah, rasa keseorangan, rasa terasing?” celah Muhammad.

“ Ya. Dan aku mula rasa ingin beredar dari IPT ini.”

“ Kenapa pula? Tak mahu dapatkan ijazah?”

“ Kau tak tahu aku di sini bagaimana Muhammad… Aku dapat rasakan iman aku semakin berkarat, taqwa aku semakin hilang. Suasana di sini tidak subur untuk iman Muhammad.

Bukan mudah mempertahankan prinsip dan nilai kerana pada masa yang sama kita kena bertoleransi dengan orang-orang yang tidak memahami Islam. Daripada aku biarkan ke’rijal’an aku mati, lebih baik aku keluar dan mempertahankan kehidupan jiwa aku,” kata Md Noor.

“ Kau kena bertahan Md Noor. Kawan-kawan kau perlukan bantuan kau untuk dapatkan pencerahan. Kau pun mesti masih ingat bagaimana abang-abang di pondok dahulu beriya-iya membantu kita memahami Islam.

Kalau bukan kerana usaha mereka, mungkin kita tidak merasa nikmat hidayah dan kefahaman kita sekarang. Kini giliran kau pula untuk membantu orang lain. Dakwah perlukan penggeraknya Md Noor. Kalau kau tarik diri, kuranglah kekuatan dakwah,” kata Muhammad.

“ Dah dua tahun aku cuba Muhammad. Dua tahun. Aku tahu sejauh mana aku boleh pergi. Memang aku kasihan juga kepada kawan-kawan di sini. Tapi aku lebih sayangkan survival iman aku Muhammad. Aku rindukan ketenangan jiwa aku yang dulu. Buat apa aku masih tinggal di sini kalau aku tahu iman aku semakin terhakis?”

“ Baiklah Md Noor. Pilihan tetap di tangan kau. Kau faham risiko untuk meninggalkan pengajian bukan? Kalau kau tetap dengan keputusan kau, aku doakan Allah membantu kau, termasuklah dalam hal pembayaran semula biasiswa itu. Bukan senang mendapatkan tempat di IPT dan bukan semua orang dapat peluang membumikan dakwah macam kau,” kata Muhammad.

Md Noor terdiam. Kemudian Muhammad menyambung bicara, “ Tetapi kalau kau mahu terus dengan pengajian dan keberadaan kau di sini, aku nasihatkan satu perkara sahaja. Jangan tinggalkan dakwah. Andai kau tidak menjaga dakwah, dakwah tidak akan menjagamu. Renungkanlah maksud surah Muhammad ayat ke-7. Allah akan teguhkan tapak, teguhkan pendirian dan teguhkan kedudukan kita kalau kita mahu menolong agamaNya.”

Muhammad menyambung lagi,” Formulanya mudah sahaja, kalau kita tolong Allah, Allah tolong kita untuk tolong agamaNya. Kalau kita tinggalkan dakwah, dakwah akan tinggalkan kita. Kalau kita lari dari dakwah, dakwah akan menjauh dari kita. Kalau kita tidak mahu dikaitkan dengan dakwah, maka dakwah takkan dikaitkan dengan kita. Sedangkan, apakah pekerjaan yang lebih mulia daripada menyebarkan cahaya kebenaran Islam? Fikir-fikirkan dan selamat beramal ya. Hehe.”

Md Noor memandang sahabat baiknya itu. Tiba-tiba dia terasa cemburu dengan sikap optimis Muhammad terhadap kehidupan. Dia faham bahawa Muhammad adalah seorang pemuda yang sentiasa merasakan Allah dekat dengannya, sentiasa bersamanya.

Begitulah pemuda acuan Allah, Md Noor mula menyematkan tekad dalam dirinya, untuk membentuk diri seperti sahabat yang dikasihinya itu. InsyaAllah.

Surah Muhammad, Ayat 7

Ya ayyuhallazina aamanu intansurullaha yansurkum wayuthabbit aqdaamakum.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

O you who believe! If you will aid (the cause of Allah), He will aid you, and plant your feet firmly.

Cerpen sebelumnya:
sibodoh dan sibangang 3
Cerpen selanjutnya:
Trauma

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
Penilai

Info penulis
Kapasitor rocks!
azimtyping | Jadikan azimtyping rakan anda | Hantar Mesej kepada azimtyping

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya azimtyping
Satu Jam Sahaja | 3054 bacaan
Diagnosis: Tudung, Cinta dan Tuhan | 3280 bacaan
Aku Hanya Seorang Dustbin Bieber | 5932 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

0 Komen dalam karya Andai Kamu Tidak Menjaga Dakwah, Dakwah Tidak Akan Menjagamu
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik