Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Gadis genit tingkat 14

Cerpen sebelumnya:
Surat Terakhir Seorang Sahabat....
Cerpen selanjutnya:
Refleksi Diri

"Cantik. Kecil molek."

Itu bicara hati Redza, ditujukan pada gadis berambut ikal yang berdiri di sebelah. Sudahlah cantik dan genit, berbau wangi pula.

Seperti pagi-pagi yang biasa, lobi pejabat penuh dengan pekerja kolar biru, berdiri dengan mata terbuka separuh (ada juga yang suku). Masing-masing bekerumun di hadapan lif dengan wajah diserang rusuh. Mungkin rusuh berasal daripada perut yang lapar, siapa tahu.

Pedulikan itu semua. Yang penting Redza sekali lagi berdiri di sebelah gadis genit yang semakin sering dilihat.

' Tingkat 14?' Redza bertanya soalan yang jelas dia sendiri tahu jawapannya apa. Sengaja mahu menunjukkan sifat budiman di dalam diri, Redza bantu gadis manis tekan butang lif. Baru sahaja gadis genit mahu buka mulut, dia terpaksa bergerak lebih jauh ke dalam bagi membenarkan seorang wanita separuh usia masuk.

Tiada pilihan lain, Redza turut bertanya pada wanita tersebut, ' tingkat berapa kak?'

 ' Tujuh. Terima kasih,' wanita tersebut senyum sambil membetulkan tali beg yang tersangkut di bahu.

 Lif yang penuh tidak membenarkan Redza berbual dengan gadis genit. Bukan senang mengumpul kekuatan untuk membuka mulut. Terasa

Seperti jantung Redza tersengkang di kerongkong setiap kali ternampak gadis genit.

 Redza cuba berpaling ke belakang. Nampak si gadis genit tersepit di antara penumpang lif. Tas tangan dipegang erat sambil gadis genit cuba sedaya upaya mengecilkan badan. Kasihan.

 Namun, Redza puas kerana sebelum dia keluar daripada lif, gadis genit sempat tersenyum padanya. Itulah peniup semangat.

 Keesokan harinya, Redza cuba untuk sampai pada waktu yang sama. Malangnya, keadaan lalu-lintas yang tidak diduga membuatkan Redza terlewat sedikit. Hampa, hanya kelihatan kelibat gadis genit masuk ke dalam lif.

 Dan malam itu, Redza tidur awal untuk mengelakkan tragedi berulang kembali.

 Keesokan pagi, Redza datang awal jam 7 pagi dia sudah berjuang di tengah-tengah kesesakan lalulintas. Setelah untuk berapa lama, Redza sarapan pagi di tingkat bawah bangunan untuk membuang masa. Biarlah baju melekat bau masakan, asalkan tidak terlepas untuk bertembung dengan gadis genit.

 Tepat jam 8.15 pagi, Redza sudah sedia menanti di lobi. Nasibnya baik kerana waktu itu juga gadis genit tiba. Sebaik ternampak Redza, gadis genit tersenyum sedikit. Namun, senyum itu jadi makin lebar bila Redza turut tersenyum.

 ' Pagi,' Redza menyapa lembut.

 ' Pagi,' balas gadis genit dengan kepala sedikit mendongak. Sebaik mendengar suara itu, Redza membuat keputusan bahawa dia ingin disapa suara itu setiap pagi.

 Seperti biasa, akan ada sahaja yang menganggu kelancaran cerita mereka. Lif tiba dan kedua-duanya kembali terpisah di celah-celah orang ramai. Kesal sungguh Redza kerana tidak merebut peluang bertanya soalan pada gadis genit. Meronta-ronta rasanya mahu tahu siapa nama gadis genit.

 Sekali lagi, gadis genit terpaksa ditinggalkan untuk ke tingkat paling tinggi bila Redza tiba di aras sembilan. Kalau tidak kerana ego, mungkin Redza akan meneman gadis genit sampai ke atas.

 Setiap apa yang dilakukan hari itu terasa tidak kena. Lidah Redza seperti hilang rasa malah sepanjang mesyuarat pendek, tumpuannya hilang entah ke mana. Bingung memikirkan gadis genit menyebabkan Redza lupa untuk makan tengahari. Jam 1.30 tengahari baru Redza melangkah keluar pejabat.

 Tiba di depan lif, Redza memandang keluar tingkap. Itu sahaja aktiviti yang ada. Selain daripada merehatkan mata yang asyik mengadap skrin, aktiviti itu tidak membawa makna yang begitu signifikan.

 Bila sahaja terdengar bunyi 'ting', dengan tenang Redza berpaling menari lif yang terbuka. Pastinya tiada apa yang menarik untuk dilihat kerana waktu sudah menginjak jam 2 petang. Jarang ada gadis-gadis comel yang ingin keluar makan tengahari waktu ini. Yang ada pun pekerja-pekerja yang sudah layak dipanggil makcik atau pakcik.

 Mengenangkan hujah-hujah berkenaan (yang semestinya tidak disokong penemuan sains), Redza melangkah ke dalam ruang lif sambil memandang lantai. Yang menyambutnya adalah sepasang kasut merah yang comel. Segar mata Redza, naik semangatnya.

 ' Hai,' suara lembut menyapa Redza. Pantas sahaja Redza mengalih pandnagan ke wajah pemilik suara itu. Gadis genit.

 ' Eh, awak!' lupa langsung Redza pada perihal menjaga ego beliau mkerana terlalu seronok berjumpa dengan gadis genit. Seorang lagi lelaki di dalam lif itu hanya memandang Redza dengan pelik. Itu semua sudah tidak diendahkan.

 Dan daripada sapaan tiga huruf itu sahaja, mereka berkenalan. Gadis genit itu bernama Elena dan seorang pembantu pengurus jualan. Suka membaca dan juga melancong (serupa dengan Redza). Anak bongsu daripada empat beradik.

 Sejam untuk makan tengahari cepat benar berlalu. Leka benar mereka berdua berbual sambil makan (di mana Redza dengan gaya seorang budiman, pilih dan bayarkan bagi pihak Elena). Sekali dua, peraasan juga Redza pekerja di kafetaria itu memandang beliau dengan pelik. Mungkin tidak menyangka akan ada gadis secomel Elena yang sudi makan dengan dia.

 Sesi hisap rokok di tepi tangga dikorbankan demi Elena. Redza sanggup menggunakan masa yang ada untuk menghantar Elena ke tingkat 14.

 ' Kelakarlah awak, Redza. Saya selamat sahaja nanti,' ujar Elena dengan senyuman.

 ' Tak mengapa. Ini kali pertama saya naik ke tingkat ini,' jawab Redza, pura-pura tenang sedangkan tangan dia asyik memikirkan tentang rokok.

 ' Terima kasih. Jumpa esok pagi,' Elena sekali lagi tersenyum manis.

 ' Baik. Saya tunggu.'

 'Yes!' jerit Redza sebaik sahaja pintu lif tertutup.

 Seawal jam 5.30 pagi Redza sudah tidak boleh melelapkan mata. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa dengan Elena. Banyak lagi yang ingin ditanyakan hari ini.

 Redza mula mundar-mandir di lobi pejabat pada jam 8.15 pagi. Sebenarnya, waktu pejabat bermula jam 9 pagi cuma Redza tidak mahu melepaskan peluang bertemu Elena.

 Lima minit berlalu dan Elena masih lagi tidak sampai. Redza cuba menenangkan diri, mengulangi alsan yang mungkin Elena terlewat sedikit. Suratkhabar yang terletak di meja penyambut tetamu lobi dibelek. Sekali-sekala, mata Redza mencari kelibat Elena.

 Kelibat itu tidak tiba lima belas minit kemudian, hinggalah minit-minit terakhir bila Redza terpaksa menuju ke pejabat sendiri. Dalam hati, pemuda berusia 28 tahun itu sibuk memaki diri sendiri kerana tidak meminta nombor telefon Elena. Kononnya mahu semuanya jadi misteri.

 ' Entah-entah dia sengaja kenakan aku. Semalam dia hanya main-main. Entah-entah...' dan bila sahaja sampai di depan pintu pejabat, sudah lebih sepuluh ayat yang dimulakan dengan 'entah-entah' telah direka.

 Sepanjang pagi Redza gelisah. Jarum jam lambat benar menginjak ke jam 12.30 tengahari. Dia sudah tidak peduli, perkara pertama yang ingin dilakukan adalah pergi ke pejabat Elena. Redza mahu tahu apa yang terjadi.

 Sebaik sahaja jam 12.30 tengahari, Redza separuh berlari ke pintu lif. Tapa banyak berfikir, terus sahaja jarinya menekan butang paling atas untuk ke pejabat Elena.

 ' Sabar, sabar,' pujuk Redza pada diri sendiri yang sebenarnya sudah tidak sabar. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, lelaki itu meluru keluar hingga hampir melanggar seorang tukang cuci.

 ' Kak, maaf kak,' Redza meminta maaf separa tidak ikhlas kerana mahu cepat.

 Redza membelok ke kiri untuk ke bahagian pejabat tetapi langkahnya jadi ragu-ragu. Ruang bangunan itu malap, seolah-olah lampu kalimantang telah ditanggalkan. Namun, mengenangkan Elena, langkah Redza laju semula.

 Semakin jauh Redza berjalan, semakin dia jadi bingung. Hanya ada dua buah pejabat yang tiada notis 'Untuk Disewa' di depan pintu. Kesudahannya, Redza terus berjalan menuju ke sebuah pejabat yang merupakan bahagian pengurusan bangunan. Loceng di depan pintu ditekan beberapa kali. Lelaki yang sedang duduk di meja berdepan dengan pintu mengangkat muka dan memandang Redza dengan pelik.

 ' Encik, pejabat pengurusan di bawah sebenarnya. Ini hanya stor,' lelaki itu berkata tanpa ditanya.

 ' Bukan, saya datang nak bertanya,' Redza bersuara dengan ragu-ragu.

 ' Ye?' lelaki di meja mula bangun.

 ' Pejabat IT Sync di tingkat ini kan? Tingkat 14?' Redza bertanya, mengharapkan dia tidak tersilap bertanyakan nama syarikat.

 ' 14? Bangunan ini tiada tingkat 14.'

 ' Eh, tapi ini tingkat 14 kan,' Redza mula keliru.

 ' 13A. Pemilik bangunan ini takut akan nombor empat. Kepercayaan kaum Cina.'

 Tidak puas hati, Redza melangkah keluar pejabat untuk melihat nombor yang dilekat pada plat di dinding. 13A-5. 

Baru sahaja Redza mahu melangkah ke dalam pejabat pengurusan, seorang lagi lelaki melangkah masuk.

' Jadi, tiada pejabat ITSync di sini?' Redza mula berasa serba tidak kena. Kalau tiada tingkat 14...

' Info Sys?' lelaki yang baru masuk sebentar tadi menyampuk. rredza hanya mampu menggangguk. Lelaki itu berpaling pada rakan di sebelah.

' Kau kena dengan Elena rasanya. Dia tu entah roh sesat dari mana datang jadi hantu residen di sini. Sudahlah, dia tak wujud,' lelaki itu bersuara dengan selamba. ' Ouh aku lupa beritahu kau, Hamdan,' ditepuk pula bahu rakannya di sebelah.

' Tapi....' Redza cuba bersuara.

' Kau pergi ke lif. Tengok betul-betul ada atau tidak tingkat 14.'

Seperti orang bodoh, Redza berpaling ke arah lif. Tiada ucapan maaf atau terima kasih. Bingung.

Melangkah sahaja ke dalam lif, Redza periksa deretan butang lif di kedua-dua panel. Memang tiada tingkat 14.

Bulu tengkuk Redza meremang. Serentak itu juga terasa seperti ada tangan memaut lengan. Bila dipandang, tiada apa-apa.

' Maaf, Redza. Saya cuma mahu berkawan. Saya sunyi,' bisik suara seorang perempuan tanpa tubuh. Dari ekor mata, Redza dapat melihat sepasang kasut merah di lantai, kaki tanpa tubuh.

Dan pandangan Redza terus gelap.

Cerpen sebelumnya:
Surat Terakhir Seorang Sahabat....
Cerpen selanjutnya:
Refleksi Diri

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

Siti Aishah Abdul Aziz

the one who loses her rose-tinted glasses, with the tendency to borrow others thinking caps. 
uculer | Jadikan uculer rakan anda | Hantar Mesej kepada uculer

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya uculer
Janji | 32613 bacaan
Ukur | 2646 bacaan
'Weih, tak mau lunch ke?' | 2410 bacaan
Satu nyamuk dalam kelambu | 2943 bacaan
Nama | 2501 bacaan
Sebuah buku, sekeping hati | 2677 bacaan
Dia: Di Tepi Lif | 2507 bacaan
Battered | 1117 bacaan
Periuk Belanga | 2850 bacaan
Hati | 480 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

9 Komen dalam karya Gadis genit tingkat 14
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik