Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Kepulangan

Cerpen sebelumnya:
Cik Kia
Cerpen selanjutnya:
Dinding tandas Bidan Lijah bocor

Aku duduk di tepi parit di hadapan rumahku memerhati anak-anak ikan puyu berenang-renang. Ingin rasanya aku ambil batu untuk dilempar ke air melihat mereka bertempiaran lari bila air berkocak. Di rumahku hari ini ada keramaian. Ramai orang yang datang, termasuk saudara mara yang jarang pulang ke kampung. Aku masih ragu-ragu untuk masuk. Kata-kata ayah tiriku satu masa dahulu masih terngiang-ngiang hingga kini.

 “Syafiq, kau dengar sini baik-baik. Jangan kau jejak kaki kau lagi balik rumah ni semasa kau masih hidup. Aku menyampah tengok muka kau” kata-kata ayah tiriku dengan mata yang merah tersembul, macam hendak terkeluar dari soket tengkoraknya.

 Satu masa dahulu aku ada ayah. Tapi aku tidak merasa untuk melihat ayahku semenjak kecil. Apatah lagi merasa kasih sayang seorang ayah. Ayahku telah pergi meninggalkan aku dan ibu semenjak kecil lagi. Bukan pergi meninggalkan dunia ini. Tapi hilang entah ke mana. Mujurlah ibuku bekerja di sebuah syarikat swasta, sekurang-kurangnya makan minum dan sara hidup kami berdua terjaga. Kerana aku anak tunggal, aku dimanjakan oleh ibu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.

 Kemudian ibu telah bertemu dengan seorang lelaki di tempat dia bekerja dan mereka saling jatuh cinta. Setelah lama berkenalan, mereka akhirnya berkahwin. Mereka dikurniakan beberapa orang cahaya mata, yang merupakan adik-adik tiriku. Ayah tiriku pun ada beberapa orang anak hasil dari perkahwinan dengan isterinya yang pertama. Ada yang sudah remaja dan ada yang masih kecil. Ibu yang dahulunya cuma menanggung kami berdua, kini terpaksa berkongsi beban untuk menanggung semua anak-anaknya sendiri dan anak-anak tirinya. Kash sayang yang tidak berbelah bagi kepadaku seorang, kini terpaksa aku kongsi bersama adik-beradik yang ramai.

 Aku merasa susah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru ini. Dahulu aku dimanjakan dengan kemewahan, kini aku terpaksa berkongsi masalah ibu yang menanggung anak yang ramai. Ibu terpaksa berniaga sambilan, menjual kuih untuk menyara hidup keluarga kami. Tambahan pula gaji ibu dan gaji bapa tiriku kalau digabungkan bukanlah seberapa dengan tanggungan yang begitu ramai.

 Akhirnya naluriku memberontak dan aku jadi makin liar.Aku sudah mula pandai merokok. Aku telah mula berani mencuri duit dalam beg tangan ibuku kerana tiada wang untuk membeli rokok. Apabila tembelangku pecah, aku ditempeleng oleh bapa tiriku hingga mulutku berdarah. Sikap liarku makin menjadi-jadi. Aku mula berkawan dengan budak-budak kampung yang suka merempit. Malam hari kami habiskan di tepi jalan di bawah samar cahaya lampu jalan, berembun hingga ke pagi.

 Aku telah dapat tawaran belajar ke sebuah sekolah berasrama vokasional. Ibuku adalah orang yang paling gembira kerana melihat nasibku sudah mula terbela. Sekurang-kurangnya aku boleh berdikari hidup di asrama dan tidak perlu bertekak selalu dengan ayah tiriku. Malangnya tabiat liarku sudah sukar untuk dibendung. Sikapku yang suka berpoya-poya dengan kemewahan sukar dikawal, sehingga aku tergamak mencuri laptop dan telefon bimbit kawan seasramaku untuk dijual bagi mendapat wang saku tambahan. Akibatnya aku telah dibuang sekolah bila pihak sekolah dapat mengesan perbuatanku.

 Apabila ayah tiriku tahu, dia mengharamkan aku balik ke rumah. Aku rasa terhimpit. Ibuku pun tidak boleh berbuat apa-apa. Akhirnya aku mengharapkan belas ihsan pakcik dan makcikku untuk tinggal di rumah mereka berganti-ganti. Tapi aku sedar aku membebankan pakcik dan makcik ku juga. Sebab itulah kadang-kadang aku tidur di rumah kawan. Adakalanya aku ketawa sinis melihat diriku sendiri, masih ada ibu dan bapa, tapi hidup merempat mengharap belas ihsan saudara mara dan rakan-rakan.

 Kenapa hidup aku begitu malang? Semasa kecil aku tidak merasa kasih sayang seorang ayah. Tapi bila aku mendapat seorang ayah, aku tidak dapat merasa kasih sayang dan didikan yang sempurna seperti yang aku harapkan. Oh Tuhan, aku masih mencari-cari hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian yang menimpa hidupku ini.

 Hari ini aku telah berada di hadapan rumahku. Apa akan jadi kalau aku masuk ke rumah nanti? Adakah ayah tiriku akan mengamuk di hadapan ramai tamu yang berada di rumah? Atau ibuku akan membela nasibku seperti sepatutnya, daripada membiarkan ayah tiriku berbuat sesuka hatinya? Atau pakcik dan makcikku akan menasihatkan bapa tiriku supaya mendidikku dan memberi kasih sayang yang sepatutnya supaya aku berubah menjadi manusia yang berguna? Atau orang ramai akan melihat apa yang telah aku lalui selama ini? Segala sengsara dan derita yang tidak aku minta menimpa hidup aku ini? Apa agaknya yang akan berlaku nanti?

 Aku mengumpulkan sisa-sisa keberanianku yang ada untuk masuk ke rumah. Aku berjalan di celah-celah orang ramai yang berpusu-pusu di laman dan anjung rumahku. Apabila aku masuk ke rumah ku lihat ibuku menangis. Adik-beradikku juga menangis. Ayah tiriku duduk bersandar di dinding sudut rumah termenung dan membisu. Pakcik-pakcikku kelihatan sugul. Makcik-makcikku pun ada dan mereka juga menangis. Di ruang tamu terkujur satu jasad berbalut kain putih.

 Hari ini aku telah pulang ke rumah, tapi bapa tiriku tidak boleh marah kepadaku lagi. Dia tidak boleh marah kerana aku pulang bukan semasa aku masih hidup. Jasad yang terbujur itu adalah jasad aku. Pagi tadi semasa keluar dari rumah kawan, motorsikal yang aku tunggang telah merempuh sebuah lori pasir. Motorsikal yang aku tunggang habis berkecai. Dadaku telah remuk terhentak di hadapan lori. Kedua-dua kakiku patah dihentak bumper lori. Aku dan kawanku yang membonceng telah mati serta-merta di tempat kejadian.

 Hari ini aku telah pulang ke rumah, tetapi roh dan jasadku tidak lagi bersatu.

Cerpen sebelumnya:
Cik Kia
Cerpen selanjutnya:
Dinding tandas Bidan Lijah bocor

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.0
2 Penilai

Info penulis

Salleh Kausari

Blog penulisan saya:  http://skausari.blogspot.com/
skausari | Jadikan skausari rakan anda | Hantar Mesej kepada skausari

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU


komen dari Facebook

3 Komen dalam karya Kepulangan
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik