Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

Amin, Sengkenit dan Sengkatik

Cerpen sebelumnya:
Pagi Itu
Cerpen selanjutnya:
KERETA

AMIN mengesat air mata dengan belakang tangan. Sakit dipukul ibu tadi masih terasa. Dia menyapu siku yang sedikit luka kerana cuba lari dari ibu yang marahkannya tadi. Ditiup berkali-kali bagi menghilangkan rasa pedih. Dia pandang sekeliling.  Entah bila dia sampai di situ, dia sendiri tidak tahu. Dia pandang lagi. Suasana sunyi dengan bunyi unggas jelas menusuk ke telinganya yang kecil. Dia dongak pula ke arah pokok besar yang menjadi tempat sandaran belakangnya. Terkebil-kebil dia melihat sayup puncak pokok yang mempunyai daun yang merimbun.

Digosok lagi sikunya yang sakit. Ditiup lagi. Kalau tadi dia dapat mendengar suara ibu memanggilnya sayup-sayup tetapi kini suara ibu lama kelamaan tenggelam. Hanya suara unggas sahaja yang kedengaran.

Air mata disapu lagi. Saat itu dia mula teringat betapa ibunya naik angin bila habis semua tepung dan beras dalam bekas di dapur tumpah kerana dia bermain kejar-mengejar dengan adik-adiknya tadi. Dia tahu setiap kali dia buat salah, ibu akan menghukumnya seorang. Amar dan Aqil hanya dimarahi sahaja. Dan dia juga tahu kerana sikap degil dan malasnya juga menyebabkan ibu selalu menyebelahi Amar dan Aqil.

Amin duduk sambil memeluk kedua lututnya. Dia lihat kiri kanan. Akar besar dari pokok itu cukup memuatkan badannya yang agak kecil menyelit di situ. Biarlah dia sembunyi di situ. Biarlah ibunya mencari. Kali ini Amin nekad. Apa jadi sekali pun dia tidak akan berganjak dari situ. Rajuknya sudah tepu. Dia pandang lagi sekitar. Hari sudah menganjak malam. Bunyi unggas semakin kuat memecah keheningan hutan kecil itu. Menciut-ciut suara burung ciak pulang ke sarang. Amin pandang ke dahan pokok di hadapannya. Begitu gembira anak-anak burung itu menanti kepulangan ibu mereka. Betapa sayangnya ibu burung itu terhadap anak-anaknya yang masih kecil.

 Kepalanya ditundukkan sehingga menyentuh kepala lutut. Di benaknya masih memikirkan ibunya yang tidak pernah sayangkan dirinya. Memang dia nakal tetapi itu semua nakal seorang budak lelaki berumur sepuluh tahun. Usia yang padanya hanya seronok untuk bermain. Amar dan Aqil pula hanya tahu menurut sahaja tingkahnya. Bermakna ibu menyalahkan dirinya atas apa yang dilakukan jika adik-adiknya mula meniru dan membuat lagak aksi. Pernah dia dimarahi ibu kerana mengajar Aqil yang berusia tiga tahun membuat terjunan ala Superman. Akibatnya, Aqil jatuh berdarah tersondol bucu meja di ruang tamu. Amin dihukum kena buat kerja rumah satu hari suntuk.  

Hari semakin gelap. Degil Amin masih kukuh. Dia masih membatu di perdu pokok besar itu. Dia pandang lagi sekitar. Cahaya matahari sudah mula hilang sedikit demi sedikit. Dia dongak lagi. Hijau daun pokok sudah semakin kelam. Burung-burung juga sudah mula bertenggek atas dahan. Udara sejuk mula membaluti tubuhnya. Dia menggigil kesejukan. Sesekali dia menampar nyamuk yang mula menggigit. Tentu nyamuk itu bersuka ria hari itu kerana dapat menghisap darah manusia. Amin menepis unggas kecil yang berterbangan di mukanya. Lama dia menunggu ibunya datang mencarinya di situ. Namun tiada tanda-tanda kelibat ibunya melalui jalan itu apatah lagi meredah hutan kecil di belakang rumahnya yang semakin tebal. Amin mula menguap. Matanya terasa begitu berat untuk dibuka. Puas dia luaskan mata dengan menahan dengan jari tapi akhirnya dia lelap juga di situ.

*****

“Ada gergasi  la!”

“Mana?”

“Tu!”

“Tu bukan gergasi. Kalau gergasi telinganya besar dan lonjong!”

Sengkenit dan Sengkatik mula menguis kaki Amin. Tidak bergerak. Dia kuis lagi kaki Amin dengan hujung ranting kayu. Juga tidak bergerak. Lalu Sengkenit kuis pula telinga Amin setelah bersusah payah memanjat akar pokok dan mula bertenggek atas bahu Amin.

“Jangan kacau akulah! Aku nak tidur!” Amin mula menepis bila menyedari ada sesuatu mengganggu tidurnya.

Sengkenit dan Sengkatik masih menguis telinga Amin. Amin sekali lagi menepis. Kali ini hidung Amin pula ditunjal-tunjal dengan ranting kayu.

“Hoi!” Amin mula berang. Ditepis ranting kayu dengan kuat sehingga terpelanting ke tanah semula.

Amin mula buka mata. Dia pandang sekeliling. Tiada sesiapa. Dia lihat ranting kayu yang tercampak ke tanah tadi. Mukanya mula berkerut.

“Siapa pulak yang tonyoh telinga dan hidung aku ni?” Amin ambil ranting kayu kecil. Dia pandang lagi sekitar. Masih tiada sesiapa.

Amin pandang ke kiri bila terasa cuping telinganya dipegang. Tiada sesiapa. Dia raba cuping telinganya sendiri.

“Wahai gergasi! Kamu buat apa di sini?”

Amin terkejut. Melilau dia mencari arah suara kecil yang nyaring menerjah cuping telinganya. Dia pandang sekeliling. Siapa yang tegur aku ni? Dia mula takut.

“Hoi! Aku di sini la!”

Amin pandang pula ke arah kakinya. Dia hampir-hampir melompat. Dilihatnya dua orang kerdil setinggi  sejengkal jarinya tercegat di depannya sambil memandangnya tidak berkelip. Seorang berkepala botak dan seorang lagi berperut buncit. Apa yang sama, keduanya mempunyai ekor seakan ekor tikus.

“Kau..kau siapa?” Suara Amin mula tersangkut-sangkut. Itulah pertama kali dalam hidupnya melihat makhluk kecil seperti itu.

“Aku Sengkenit. Panggil aku Kenit!” Sengkenit senyum menampakkan sebaris gigi yang sedikit rongak dan menggosok kepalanya yang botak.

“Aku pula Sengkatik. Panggil aku Katik!” Sengkatik turut senyum sambil mengusap perutnya yang buncit.

“Kau..kau toyol ke apa?” Amin masih pucat. Dia jarakkan sedikit dari makhluk kecil itu.

“Toyol?” Sengkenit pandang Sengkatik dengan muka berkerut.  Tidak pernah mendengar apa itu toyol.

“Toyol pun tak tahu ke? Hantu kecil, botak dan perut buncit macam korang ni!” Amin tunjuk ke arah Sengkenit dan Sengkatik.

“Hantu?? Kalau kami hantu  sudah tentu kami cekik darah kau wahai manusia!” Sengkenit mula berang bila dituduh sebagai hantu, musuhnya di dalam hutan. Ayam hutan  yang ditangkap habis dirembat hantu kelapa. Ikan dalam bubu pula habis diratah Badang.

Amin pandang lagi sekeliling. Mana tahu dia sudah berada di alam lain. Diperhatikan betul-betul suasana di sekelilingnya walaupun gelap. Sah, dia masih berada di tempat yang sama. Dia kembali menoleh ke arah makhluk kecil itu. Matanya terkebil-kebil melihat makhluk kecil itu tersenyum kepadanya tanpa rasa takut sedikit pun.

“Aku tahu kenapa kau berada di sini! Kau merajuk dengan ibu kaukan?”

Amin terperanjat. Dia lihat orang kenit itu yang tersenyum-senyum kepadanya dari tadi. Macam mana si kenit ni tahu aku lari dari rumah? Bomoh ke si kenit ni…

“Kalau kau lapar, aku boleh tolong kau tapi dengan syarat!” Sengkenit dongak melihat Amin yang padanya sama seperti makhluk besar.

“Syarat apa?” Amin mengangguk sambil menggaru kepala. Dia pegang beg sandang yang sempat dibawa bersama. Dalamnya sempat diisi dengan baju dan seluar serta telefon bimbit hadiah dari ayahnya kerana lulus dalam ujian matematik dulu.

“Kau kena ikut aku ke kampung aku! Kat sana nanti banyak makanan yang kau boleh makan!” Sengkenit memberi cadangan.

Amin yang mula merasa lapar segera setuju. Dari balik sekolah tadi dia tidak menjamah makanan. Sebaik habis sekolah, dia bermain kejar-kejar dengan Amar dan Aqil. Sehinggalah dia tersepak bekas beras dan tepung di dapur. Ibunya yang sedang memasak di dapur terus mengamuk dan memukulnya. 

Dia pandang makhluk kecil itu lagi. Rupanya seperti manusia, lengkap berpakaian. Sama seperti budak-budak lain. Hanya satu yang berbeza. Saiz! Amin mula senyum. Perangai nakalnya mula mengusik minda. Dia mula ingin membuli sengkenit yang terkedek-kedek berjalan di depannya.

“Sekali aku sepak, melayang kau atas puncak pokok tu!” Amin berkata dalam hati. Dia senyum sendiri.

Sengkenit turut senyum. “Jaga kau manusia, kau ingat aku tak tahu apa yang kau fikir? Oh..kau nak sepak aku ya! Sekali aku jentik kaki kau, rebah tak bangun-bangun!”

Amin mengekori Sengkenit ke sebuah gua yang sederhana besar. Sepanjang perjalanan tadi, dia merasa bagaikan satu perjalanan yang singkat dengan kiri kanannya hanya pokok-pokok kecil yang menyusuri ke gua itu.

“Dah sampai kampung aku! Masuklah!” Sengkenit sengih sambil menunjukkan jalan ke arah kampungnya. Dia jeling ke arah Sengkatik yang suka mengusap perut buncitnya.

Amin terpinga-pinga mencari arah pintu masuk ke gua itu. Dia pandang Sengkenit dan Sengkatik yang sudah berdiri di muka pintu gua.

“Mana pintunya?”

“Tu!” Serentak Sengkenit dan Sengkatik menjawab sambil menuding ke arah sebuah lubang kecil.

Amin pandang sebuah lubang sebesar lubang biawak seperti yang ditunjukkan oleh makhluk kecil tadi. Dia menggaru kepala berkali-kali. Biar betul??

“Err…lubang tu ke?”

Sengkenit dan Sengkatik serentak angguk.

“Hoi Kenit! Katik! Korang muatlah! Macam aku ni mana muat! Kaki aku je dah tersangkut tau tak?” Amin renung kedua makhluk kecil itu dengan perasaan cuak. Lawak bodoh betul! Amin merengus sendiri.

“Kau masuk je lah! Kau lapar  tak?” Sengkenit mula berbicara soal makanan kepada Amin.

Amin mengangguk. Diraba perutnya yang mula berbunyi. Dia melangkah perlahan ke arah lubang yang dimaksudkan oleh Sengkenit dan Sengkatik tadi. Kini kakinya sudah rapat dengan lubang itu. Dia cuba hulur sebelah kaki. Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu menolaknya dari belakang.

“Tolong!!!!!!”

Sengkenit  ketawa terbahak-bahak. Dia segera masuk ke dalam lubang itu setelah melihat Amin sudah tidak kelihatan. Sengkatik juga turut berbuat demikian.

 

 

AMIN genyeh mata. Dia lihat sekeliling. Penuh dengan pokok bunga ros dan bunga melur. Di sebelah kiri pula ada sebuah tasik yang begitu tenang. Di sebelah kanan, ada beberapa buah rumah yang kecil yang dibuat daripada kayu pokok renek.

Dia bingung seketika. Sekelip mata dia berada di suatu tempat yang jauh berbeza dari tadi. Beg sandangnya dikelek sebelah bahu kiri. Dia kagum melihat penghuni di situ begitu seronok berbual sambil mengupas buah-buahan.

Sengkenit turut senyum melihat Amin yang terpinga-pinga begitu. “Nilah kampung aku!”

“Kampung kau? Tapi..ma..macam mana aku boleh ada kat sini? Tadi aku rasa aku berdiri di tepi lubang kecil..” Amin semakin bingung.

Sengkenit terus menarik tangan Amin ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tasik. Amin yang kebingungan hanya menurut langkah Sengkenit.

“Eh nanti! Bukan ke kau kenit? Macam mana pula kau sama tinggi dengan aku?” Amin mula sedar bila terasa tangannya ditarik kuat oleh Sengkenit.

“Kau dah masuk kampung aku! Jadi kau sebenarnya yang telah menjadi kecil macam aku!” Sengkenit ketawa gelihati melihat tingkah Amin yang masih kebingungan.

“Hah????!!!”

Amin meraba-raba dirinya sendiri. Dia raba pula Sengkenit di sebelah dan cuba berdiri di sebelah Sengkenit sambil melihat ketinggian masing-masing. Sah! Dia sekarang sudah sama tinggi dengan Sengkenit!

Sengkenit ketawa lagi. Dia segera mengajak Amin berjumpa ibu dan ayahnya. Malam itu Amin dijamu dengan pelbagai jenis makanan dan buah-buahan. Amin bersandar di dinding kekenyangan. Sengkenit mula menunjukkan bilik tidur kepada Amin setelah melihat Amin menguap beberapa kali.

***********

AMIN menggeliat malas. Dia buka mata bila terasa bahang cahaya matahari mula menerjah masuk ke biliknya.

“Mak! Mana baju sekolah Amin?” Amin mula bertanya sambil melangkah perlahan dari tilam.

Amin pandang sekitar bilik. “Eh! Ni bilik siapa?”

Dia perhati sekeliling. Hiasan dalam bilik itu berlainan sekali dari biliknya yang penuh dengan poster motosikal berkuasa besar. Bilik itu dihias indah dengan bunga melur dan bunga ros. Perlahan ingatannya kembali kepada bunga ros dan bunga melur yang pernah dilihat. Dia jenguk keluar tingkap, memang dia tidak bermimpi. Laman rumah itu dihiasi bunga melur dan bunga ros yang begitu wangi sehingga menusuk ke hidung.

“Dah bangun? Jom kita main!”

Amin menoleh ke pintu bilik. Kelihatan Sengkenit sudah sengih di situ. Dia genyeh mata berkali-kali. Masih memikirkan apa yang sebenarnya telah terjadi. Fikirannya menerawang mengingati dia sembunyi di bawah pokok besar dengan akar yang besar dan panjang. Dan kini tiba-tiba dia berada di sebuah perkampungan yang amat cantik.

“Err..nak main apa?” Amin garu kepala lagi.

“Kita main lari-lari atau main baling ranting!” Sengkenit mula tarik tangan Amin.

Amin dan Sengkenit mula bermain di tepi tasik bersama Sengkatik yang turut diajak Sengkenit. Amin mula seronok.  Segala ingatannya kini tidak lagi pada keluarganya. Apa yang bermain di otaknya kini hanya bermain. Tiada lagi bebelan ibunya yang suka berleter setiap hari. Dia mula seronok.  Dia keluarkan telefon bimbitnya dan mula mengambil beberapa keping gambar di sekitar kampung itu. Gambar Sengkenit sedang leka bermain dengan Sengkatik juga turut diambil.

“Eh, apa tu?” Sengkenit cepat-cepat menyorok belakang pokok bila melihat cahaya dari telefon bimbit menerangi sekejap tadi.

“Ni? Ni namanya telefon! Nak tengok gambar kau tak” Amin mula buka semula gambar yang telah ditangkap tadi dan menunjukkannya  kepada Sengkenit dan Sengkatik.

Sengkenit senyum. “Wah! Aku ada dalam tu la! Macam mana aku boleh masuk dalam tu?” Sengkenit pandang Amin dengan wajah keliru. Sengkatik juga turut keliru. Terpinga-pinga.

Amin ketawa terbahak-bahak. Bodoh bengap betul si kenit ni! Dia ketawa lagi.

“Kenapa kau ketawa?” Sengkenit goncang bahu Amin yang ketawa terbahak-bahak.

“Kat kampung aku, benda ni boleh guna untuk tangkap gambar dan bercakap dengan orang jauh.” Amin berkata bangga. Dia sengih melihat Sengkenit masih keliru. Dia hulurkan telefon bimbitnya kepada Sengkenit.

Sengkenit terkial-kial membelek telefon bimbit Amin. Makhluk apa pulak ni? Macam mana aku boleh ada dalam tu?Dunia apa pula ni?

Amin senyum. Dia ambil semula telefon bimbitnya dan meneruskan bermain ranting yang dilontar jauh ke tengah tasik. Sengkenit dan Sengkeatik masih kebingungan.

“Tengok tu!” Sengkenit senyum melihat sekumpulan monyet sedang mandi di hujung tasik.

Amin turut memandang ke arah tasik. Memang benar ada sekumpulan monyet sedang leka bermain sesama sendiri. Tiba-tiba Sengkenit berlari ke arah sekumpulan monyet tadi. Sengkatik juga turut berbuat demikian. Amin pula hanya mengikut ke mana Sengkenit dan Sengkatik pergi.

Sampai di situ, Sengkenit dan Sengkatik mula bermain dengan monyet-monyet yang leka bermain sesama sendiri. Amin hanya pandang gelagat makhluk kecil itu meluru ke dalam tasik dengan telanjang bulat. Mereka seolah faham bahasa monyet bila melihat mereka tersengih-sengih sambil mengocak air tasik ke arah monyet. Monyet pula membalas semula ke arah Sengkenit dan Sengkatik.

Amin pula terpaksa mengikut apa yang Sengkenit dan Sengkatik buat. Kalau tidak dia tidak akan dapat merasa makanan di situ lagi. Dengan malu-malu Amin mula masuk ke dalam tasik tanpa pakaian.

Tiba-tiba Sengkenit dan Sengkatik ketawa terbahak-bahak. Mereka pandang Amin yang masih berdiri dalam air dengan tangannya menutup sesuatu. Monyet –monyet itu turut ketawa sambil melompat-lompat dalam air.

Amin geram. Dia berjalan ke arah Sengkenit dan Sengkatik yang sedang terbahak-bahak begitu. Dia goncang bahu Sengkenit. Tiada yang lucu baginya.

“Apa yang lucu Kenit? Katik?”

“Tadi monyet cakap…kenapa ekor kau kat depan? Ekor kita orang semua kat belakang!” Sengkenit masih ketawa.

Amin masih keliru. Tidak faham maksud Sengkenit tadi. Dia pandang apa yang ada di bahagian hadapannya. Mana ada ekor?? Amin garu kepala.

“Tu!!!” Sengkenit tunjuk sesuatu di badan Amin.

Amin mula perasan. Dia terus tutup dengan tangan. Laju kakinya melangkah ke tebing tasik dan cepat-cepat memakai baju dan seluar semula. Dia mula merajuk. Dia terus berlari sekuat hati. Beg sandangnya yang sentiasa dibawa bersama turut digenggam kuat. Dia merasa sangat malu. Ibunya juga tidak menghinanya begitu. Dia segera campak ranting kayu ke arah Sengkenit dan Sengkatik. Ranting kayu itu terkena kepala botak Sengkenit.

"Hoi! Patutlah ibu kau suka pukul kau! Begini perangai kau ya!! Kawan-kawan! Kita kena ajar budak ini! Ayuh! Kita kejar dan ikat dia!!" Sengkenit mula marah. Dia pantang jika ada orang membaling sesuatu terkena kepala botaknya.

Amin mula takut. Perlahan dia undur ke belakang dan mula berlari. Termengah-mengah dia menahan nafas bila berlari tadi. Sesekali dia berhenti. Tercungap-cungap keletihan. Dia pandang sekeliling. Rupanya dia telah jauh dari kampung makhluk kecil itu. Suasana di sekitar nyata berlainan sekali. Tiada lagi pokok bunga melur dan ros atau tasik yang tenang.  Rumah-rumah dari kayu pokok renek makhluk kecil itu juga sudah tiada. Tiba-tiba dia tersepak sesuatu. Kakinya terjerumus dalam lubang. Terasa seperti dia telah masuk ke dalam lubang itu.

"Tolong!!!"

Amin terdampar di sebatang pokok besar. Sebaik tersedar, dia melihat suasana sudah berubah. Ada sebatang pokok besar di tepinya. Penat berlari tadi, dia berehat di situ. Oleh kerana terlalu penat, Amin mula terlena di situ. Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu menyentuh bahunya. Benda itu menggoncang-goncang bahu dan badannya dengan kuat. Amin mula marah bila benda itu mengganggu tidurnya. Dia mula menepis. Bahunya masih digoncang kuat.

“Hoi! Jangan ganggu aku!”

“Amin! Mak ni! Alhamdulillah, Amin selamat!”

Amin terpinga melihat ibunya mula memeluknya dengan erat sambil menangis teresak-esak. Dia pandang pula sekeliling. Kelihatan orang ramai mula menghampirinya. Ada yang bawa lampu, ada yang bawa pelita dan ada yang bawa obor. Amin mula bingung. Apa yang telah berlaku sebenarnya.

“Dah..bawa Amin balik. Tempat ni keras.” Kata salah seorang lelaki yang memegang obor.

Amin dibawa pulang ke rumah. Di rumah Amin masih terpinga-pinga. Rumahnya dipenuhi dengan penduduk kampung. Kawan sekolah dan cikgu turut datang melawat. Masing-masing merenungnya seolah dia telah lama menghilangkan diri.

“Mak…mengapa ramai sangat orang kat rumah kita ni? Amin tak sakit apa pun..mengapa dia orang tengok Amin macam tu?” Amin mula panik.

“Amin..Amin telah hilang seminggu kat hutan belakang rumah ni. Puas mak cari. Tu..ustaz tu yang tolong. Kalau tak, kami takkan jumpa Amin lagi.” Ibu Amin masih menangis.

“Tapi mak..Amin pergi kampung tu sehari je…lepas tidur kat situ, Amin main dengan budak-budak kampung tu, lepas tu Amin nampak satu cahaya masa Amin lari…” Amin mula bercerita.

“Puan…anak puan ni telah masuk ke dalam dunia orang halus. Nasib baik Amin lari..kalau tak Amin akan kekal di situ selamanya..” Ustaz itu mula bersuara.

“Apa? Orang halus? Tapi Amin jumpa orang kenit. Namanya Sengkenit dan Sengkatik. Mereka baik mak!” Amin mula teringat makhluk kecil itu.

Amin mula diberi air minum yang dibaca ayat Quran. Seketika kemudian, Amin mula tidur lena.

************

AMIN semakin sihat. Dia tidak lagi nakal seperti dulu. Takut kejadian dulu berulang lagi. Di sekolah Amin semakin rajin belajar. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran di kelas.

“Min..jom rehat!”

Amin pandang  Adam, kawan sekelasnya yang sangat rajin belajar. Dulu dia suka menyakat Adam, mengusik Adam dan membuli Adam. Sekarang ini dia telah insaf. Adam tidak pernah membalas semua itu. Amin malu sendiri. Malah semasa dia hilang dulu pun, Adam turut mencari sama. Itu yang ibu cerita padanya.

Di kantin sekolah, Amin mula termenung di meja panjang di kantin sekolah. Selesai makan nasi lemak tadi, dia meminta diri untuk kembali ke kelas meninggalkan Adam yang masih mengadap makanan.

Untuk ke kelas, dia perlu melalui pokok-pokok bunga melur yang ditanam berderet di tepi kelas. Amin pandang pokok bunga melur itu. Dia melihat ada satu lubang kecil di tepi pokok bunga melur yang menghadap pintu kelas budak darjah satu.

Amin mula mencangkung sambil mengamati lubang sebesar lubang mengkarung. Dia tenung lubang itu lama.

Tiba-tiba…

Plup! Plup! Plup!

Amin terkejut. Dia tenung lagi. Di depannya kini ada tujuh orang kenit sama seperti Sengkenit dan Sengkatik yang dijumpainya dulu.

Orang-orang kenit itu begitu seronok bermain di situ. Amin mula bersila. Dia pandang sekeliling mana tahu ada orang di situ. Nasib baik tiada orang lain.

“Kenit! Katik! Ni aku la! Amin!” Amin mula bersuara sambil memandang ketujuh orang kenit itu. Muka mereka semua sama.

Belum sempat mereka menjawab, Adam sudah memanggil namanya dari jauh. Amin berpaling ke arah Adam. Dia kemudian berpaling semula ke arah orang kenit tadi.  Mereka sudah mula masuk ke lubang itu.

Plup! Plup! Plup!

Amin garu kepala.

“Kau tengok apa Min?” Adam mula pelik melihat Amin yang menjulur tangannya ke dalam lubang kecil itu.

“Aku jumpa kawan aku tadi..mereka dah pergi sebab kau datang tadi…” Amin mula sugul.

Adam tercengang. Kawan????

Amin bangun dan melangkah longlai ke kelas semula. Sengkenit dan Sengkatik telah menjadi kenangan buat dirinya. Sejak itu, dia mula memerhati lubang itu dengan harapan dapat berjumpa dengan Kenit dan Katik lagi namun lubang itu telah dikambus oleh tukang kebun sekolah.

Sengkenit dan Sengkatik tidak lagi muncul sejak itu. Amin pula mula lupa sedikit demi sedikit. Dan Amin telah menjadi seorang pelajar yang bijak dan rajin.

Cerpen sebelumnya:
Pagi Itu
Cerpen selanjutnya:
KERETA

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
1 Penilai

Info penulis

ciksal

Hidup biarlah berlandasan..
ciksal | Jadikan ciksal rakan anda | Hantar Mesej kepada ciksal

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ciksal
Suku Suku | 9020 bacaan
Aku Tak Nak Mati Lagi! | 9442 bacaan
Dan Ku Cari Kamu | 2553 bacaan
Sebuah Harapan | 2778 bacaan
Kau Jodohku | 4588 bacaan
Mencari Jalan Pulang | 3754 bacaan
Kerana Biji Gajus | 3370 bacaan
Begitukah? | 2649 bacaan
Dendam Hani | 10029 bacaan
It\\\'s Too Late To Apologise | 2843 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

6 Komen dalam karya Amin, Sengkenit dan Sengkatik
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik