Suara dari Hutan

 

Sekumpulan budak perempuan lengkap berpakaian seragam sekolah membentuk satu bulatan. Di tengah-tengah mereka bersila seorang lagi budak perempuan lengkap berpakaian seragam sekolah. Petang itu, angin tiup agak kuat seperti biasa. Daun-daun kering berterbangan dan berlanggaran. Dengan pantas, budak perempuan di tengah-tengah menangkap segenggam daun-daun kering yang galak lalu di depan wajahnya. Daun-daun di dalam genggamannya itu dibau sekali.

\"Ketakutan,\" katanya.

Budak-budak yang lain mengerut wajah sambil memandang ke arah rakan-rakan yang lain.

\"Siapa yang takut?\" tanya budak perempuan berambut pendek berbelah tengah.

Budak perempuan di tengah-tengah memandangnya sekilas sebelum melambung daun-daun kering dalam genggamannya sebentar tadi ke udara. \"Daun-daun ni ketakutan.\"

Wajah rakan-rakannya bertambah kerut. Susah mahu percaya. Daun punya perasaan?

Budak perempuan di tengah-tengah mengangguk sebelum menuding ke arah hutan di belakangnya. \"Ada sesuatu dalam sana.\"

Semua wajah berpaling ke arah yang ditunjuk. Serta-merta, bulu roma masing-masing berdiri tegak. Selang beberapa minit berdiam diri, masing-masing pulang ke dorm. Hanya tinggal budak perempuan berambut pendek berbelah tengah dan budak perempuan yang berada di tengah bulatan sebentar tadi. Mereka saling berpandangan.

\"Apa yang ada dalam sana?\" tanya budak perempuan berambut pendek berbelah tengah.

\"Waktu malam, kau akan dengar bunyi.\"

\"Bunyi yang macam mana?\"

Budak perempuan yang berada di tengah-tengah bulatan tadi tersenyum... \"Macam-macam,\" ... sebelum berlalu pergi.

 

* * *

 

Jarum jam minit berdetik sekali sebelum bakal berdetik semula selepas 60 detik jarum jam saat berdetik. Budak perempuan berambut pendek berbelah tengah membuka mata. Silau masuk ke dalam mata. Kelopak mata dipejam celik beberapa kali. Selepas mendapat visi yang lebih jelas, budak perempuan berambut pendek berbelah tengah turun dari katilnya dan berjalan perlahan-lahan keluar dari dorm. Ruang koridor sunyi. Hanya bunyi sayap serangga yang sedang galak berterbangan mengelilingi mentol yang menerangi koridor dapat kedengaran dengan begitu jelas.

Budak perempuan berambut pendek berbelah tengah mengeluh kuat. Ternyata, dia takut. Tetapi dia perlu tahu apa sebenarnya ada dalam hutan sana. Dengan tiba-tiba, dia sudah berdiri di depan hutan. Tiada bunyi. Sunyi. Tidak seperti yang diceritakan oleh budak perempuan di tengah-tengah bulatan petang tadi.

Sebelum sempat dia berpatah balik, sepasang telinganya menangkap satu bunyi. Bunyi jeritan. Jeritan ketakutan. Dia berpusing dengan pantas dan menjenguk ke dalam hutan tebal yang gelap itu.

\"Helo?\" Dia memberanikan diri dan membuka selangkah ke dalam hutan.

Bunyi jeritan semakin kuat dan semakin galak. Dia berhenti melangkah; tidak pasti untuk berpatah balik atau terus masuk ke dalam hutan. Bagaimana jika ada seseorang dalam hutan sana memerlukan pertolongannya? Tetapi bagaimana pula jika memang benar ada \'sesuatu\' dalam hutan sana yang mungkin akan mencederakan dirinya?

Dia tersentak. Bunyi jeritan tadi bertukar menjadi ketawa. Ketawa mengilai-ilai. Dan pada saat ini, perempuan berambut pendek berambut tengah tahu memang ada \'sesuatu\' yang tidak kena dalam hutan sana. Sebelum sempat pelbagai bunyi lain yang bakal dia dengar bergema, dia terus berlari masuk semula ke dorm.

 

* * *

 

\"Jeritan kau tadi hodoh betul. Kau ingat kalau kau jerit macam tu boleh ambil watak utama dalam filem?\" marah gadis berkaca mata.

Suasana kelakar sebentar tadi bertukar genting. \"Hodoh?! Dah tiga tahun aku berlatih menjerit, perkataan yang kau boleh gambarkan tentang jeritan aku ialah hodoh?!\"

Gadis belasan tahun itu menangis teresak-esak. Tangisannya bergema ke seluruh hutan. Gadis berkaca mata sedar dia telah melukakan hati rakannya itu.

Sebelum sempat gadis belasan tahun ditenangkan, dia mengelap air matanya dan mula berlalu. \"Dah! Aku dah tak nak jadi pelakon. Mungkin aku memang tak ada bakat jadi pelakon. Mungkin takdir aku untuk buat kerja lain. Mungkin aku boleh jadi usahawan. Dahlah. Aku nak pergi uli karipap dan jual kat pasar. Tak perlu aku berlatih menjerit tiap-tiap hari kat sini macam orang gila!\"

Comments
  • 1) amboi bkn main gigih lagi nak berlakon ya?

  • 2) Saya sangat menyukai cerita ini sehinggalah dispoilkan oleh ending dia. But hey, mungkin kerana saya sudah tua

  • 3) uculer: ambil feel.

    En_Kerani: hehe. saya sebenarnya sangat suka membaca genre seram & misteri. mungkin lain kali saya boleh tulis genre yang lebih serius tanpa ending yang spoil untuk En_Kerani.