Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

M01S05 - Tanah Hanyut

 

Projek Cerpen Bersiri Musim 01


Siri 01 - Urusan Seri Paduka Baginda
Siri 02 - Menyusuri Sungai Nil
Siri 03 - Misteri Surat Kulit Kambing
Siri 04 - Dua Dunia



"Surat kelima dari enam belas rantaian ini adalah yang paling rahsia. Kerna ia datang dari kalam seorang hamba tukang tari diraja. Apakan kalau ada kesempatan hayat kita-kita merasakan lagenda kedaulatan diraja tanah hanyut itu, nescaya tidak tergambarkanlah bagaimana lancangnya hamba ini berperi sehinggakan lupa darjatnya.

Dengan kuasa ketuanan diraja, si tukang tari dibuang ke sebuah gunung terbiar dengan seribu sakti pukauan sehinggakan hilanglah rupa paras asalnya. Lantas terus bersembunyi hamba itu dari lembar-lembar sejarah ini kecuali terkadang munculnya. Demikian datangnya pun selalu dengan sebuah nama jolokan, Nenek Kebayan."


*****

Matahari belum lagi penuh labuhnya senja itu. Demikian juga dengan si buta yang masih lagi di sisi tempayannya, masih belum habis menghirup nikmat tempias air dingin yang membelai hujung jemari kakinya. Genap bilasan ketiga pada hujung kaki tua itu, langsung dia disergah dengan satu bunyi yang berat dari sisi kanan. Mujur si tua ini buta kejadiannya. Jika tiadalah dia melainkan buta, mungkin sudah bertempiaran larilah dia melihatkan lelaki yang jatuh tersembam di sisi kanannya.

Tidak. Si buta itu mungkin saja berkacauan bukan kerana seorang saudagar entah dari mana sujud pengsan di kaki rumahnya. Bukan juga kerana muncul buih-buih putih dari sudut bibir bawah lelaki itu. Tetapi kekacauan yang bakal diraih oleh si tua buta semuanya dirajakan dengan sebuah plat empat segi kecil yang elok tersemat di sisip tali pinggang kain saudagar itu.

Arakian segenap penghuni tanah hanyut itu pun tahu akan kuasa plat empat segi kecil itu. Itu lah satu-satunya tanda bahawa si pembawanya adalah ahli istana. Malangnya si tua yang buta tidak sedikit pun berkehendak untuk meraba-raba pinggang lelaki itu malahan tangannya terus saja menghala ke muka saudagar misteri itu. Hampir sahaja tangannya mencecah buih-buih halus yang kini hampir kering di bibir bawah lelaki itu, terdengar beberapa butir bicara dibisik lemah.

"Kami sudah ketemu."

"Bicara semula anakku, gerangan apa yang ingin dikhabarkan?"

"Kami sudah ketemu."

"Ketemu apa, wahai pemuda?" serentak dengan pertanyaan itu, tangan si buta yang tua dirangkul dan diarahkan kepada plat kecil empat segi yang masih di pinggang saudagar itu. Terkejutlah si buta tua apabila menyedari bahawa saudagar itu seorang ahli istana. Lalu terundurlah dia beberapa tapak ke belakang sebelum langkahnya dibuka panjang-panjang, mencari *semboyan melaungkan perkhabaran.

Mujur si tua itu buta kejadiannya. Jika tiadalah dia melainkan buta, nescaya sudah tunduklah dia menyembah. Kerna segenap penghuni tanah hanyut itu pun tahu akan kuasa plat empat segi kecil itu. Itu lah satu-satunya tanda bahawa si pembawanya adalah ahli istana, daripada panglima, hulubalang sehinggalah sekecil-kecil dayang. Tapi lain pula hukumnya jika plat empat segi kecil itu bersalut emas seperti yang tersisip di tali pinggang kain saudagar itu. Kerna segenap penghuni tanah hanyut itu pun tahu bahawa plat empat segi bersalut emas menandakan bahawa si pembawanya adalah ahli keluarga diraja.

*****

"Siapakah gerangan dirimu, wahai rupawan?" tegur Daeng Fauzol lantas terus dia berlagu.

Pening kepala bagai *dibaji
Sakit hati bagai digunting
Gerangan apa adinda ke mari
Memanggil kami datang seiring


Mendengarkan pantun itu terus mencebiklah Daeng Sentol seraya *bermukah di dalam hati, "Adinda konon!"

Diya bertambah *terlongo mendengarkan gurindam itu. Dia mengerling ke kiri dan ke kanan seraya berkira-kira sendiri di dalam hati, "Siapa lelaki-lelaki ni semua? Kenapa seronok benar mereka berpantun di tengah-tengah padang pasir ni? Bagaimana aku boleh ke sini? Ini mesti mimpi!"

"Saya Diya. Pembantu Kurator Arkeologi, Jabatan Muzium dan Antikuiti," sahut Diya sambil menghulurkan tangan kanannya, minta bersalaman. Tetapi huluran tangan itu disambut kosong oleh saudara berlima yang berpandangan sesama sendiri. Sejurus kemudian Daeng Fathol selaku yang sulung ditolak ke hadapan, disuruh berbicara. Belum sempat yang sulung, Daeng Fathol membuka mulut, satu anak panah tirus jatuh tertancap ke dalam pasir tidak jauh dari tempat mereka semua berdiri.

Keenam-enam pasang mata itu terus terkalih mencari arah datangnya anak panah itu. Dari kejauhan, sayup-sayup ternampak lembaga-lembaga berbidang besar, berserban hitam. Melihatkan pahlawan-pahlawan itu, langsung terus Daeng Fauzol berperi,

Tegang busur berpegangkan jantan
Tegak semboyan tersisip di dada
Datang membengis menghunus *jogan
Datang mahu mencari kita


Maka terketar-ketarlah keempat-empat Daeng yang lainnya kerana mereka maklum benar, pahlawan-pahlawan itu tidak lain dan tidak bukan adalah kumpulan panglima elit Firaun Remeses II. Tanpa melengahkan barang seketika pun lagi, sepakatlah mereka semua berlari pergi dari tempat itu. Dalam kegawatan mereka menyelamatkan punggung masing-masing dari dibedil dengan segala panah-panah diraja itu, sempat juga Daeng Mentol menarik lengan Diya yang masih lagi mamai-mamai ayam akan kawasan persekitarannya. Bercicit larilah kesemua mereka.

#Selelah burung terbang
Selejang kuda berlari


*****

"Wahai kekanda, kejutkanlah *budak-budak kundang itu. Dinda *galau menunggu *warita. Ke mana menghilang putera kita," rayu baginda permaisuri dari *peterana keemasan itu.

Baginda sultan yang dari tadinya mundar ke hulu dan mandir ke hilir terus berhenti di sisi ratunya. Dengan berat kemudiannya, paduka tuanku bertitah, "Mamanda menteri, kejutkan lelaki itu. Tidak tertanggung rasanya kesabaran beta ini."

Maka mamanda menteri pun membolak-balikkan tubuh lelaki yang lesu itu seraya mempercikkan setitis dua air mantera ke mukanya. Sebelum percikan yang ketiga lagi, sudah terkebil-kebil si kundang itu membuka matanya. Demi ternampak sahaja dia akan baginda sultan dan permaisurinya, teruslah dia bersembah,

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, jikalau ada mudah-mudahan ampun kurnia kelimpahan kebesaran tuanku, hukumlah patik dengan sekeras-keras hukuman tuanku."

"Simpan saja kudratmu wahai kundang," titah baginda sultan seraya bersemayamlah kembali tuanku di atas peterana keemasannya, "Tetapi khabarkan kepada beta, ke manakah gerangan menghilangnya putera beta."

"Maka hukumlah patik wahai tuanku," sembah hamba diraja itu lagi, "patik telah dititahkan oleh tuanku putera untuk meninggalkan baginda di medan perang, berlanggar dengan pahlawan-pahlawan elit Firaun Remeses II. Ditinggalkan plat mohor diraja ini bersama patik, titahnya, 'Sembahkanlah mohor ini pada ayahanda beta dan canangkan kembara kita!'"

Mendengarkan sembah hamba itu terus naik beranglah baginda sultan lantas diraih keris dari pinggangnya dan dihunuskan ke leher hamba itu sehingga terhiris sedikit kulit hamba itu lalu tertumpahlah darahnya menitis-nitis, "Apa mahumu hamba yang *pacal lagi hina sehingga dihantar anakanda beta bertemu dengan mautnya?"

Terketar-ketarlah hamba diraja itu menahan nafasnya di hujung keris, "Tiadalah ada keinginan lain pada patik kecuali berlindung di bawah duli kedaulatan tuanku. Patik diutus untuk membawa khabar kepada tanah tuanku ini bahawa kami telah ketemu."

"Ketemu apa??!" tempelak baginda sultan seakan halilintar sehingga bergegarlah serata alam.

"Kami bertemukan perawan seperti yang dikhabarkan oleh Mak Tua dalam ramalan Jula Juli Bintang Tiganya, tuanku. Dalam kembara kami pada senja itu, dada langit tiba-tiba terbuka dan turunlah perawan itu sambil beradu, tuanku. Jika bukan kerana beratnya perkhabaran ini, tiadalah berani patik pulang tanpa baginda putera, tuanku."

Terkuncilah bicara baginda sultan mendengarkan warita keramat itu. Tergugurlah keris di tangannya. Namun si hamba kundang masih belum berani menarik nafas lega, pandangannya masih lagi tertancap di lantai. Seketika kemudian terdengarkan baginda sultan bertitah, "Hai mamanda menteri, pergilah engkau memukul tabuh larangan, harapan kita dari Mak Tua hampir nyata."

Maka mamanda menteri pun menyembah lalu turun mengerjakan seperti titah itu. Maka berhimpunlah sekalian rakyat tanah hanyut itu, tiada *terpermanai banyaknya.

#Yang *capik datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya
Yang kecil *terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek tinjau-meninjau
Yang kurap mengekor angin


*****

"Mereka sudah semakin hampir. Kita mesti berpecah," laung Daeng Khairol yang mengepalai mereka semua. Diya menarik tangannya yang masih diheret Daeng Sentol lalu berkata, "Jangan jadi bodoh! Mereka cukup ramai untuk mengikut kita satu-persatu. Kita lebih kuat di dalam kumpulan berbanding sendirian."

Dalam hujanan anak panah yang membontoti mereka, sempat lagi Daeng berlima berpandangan sesama sendiri. Fikiran mereka sama, "Siapalah gerangan perempuan ini? Sudahlah pakaian serta pertuturannya aneh-aneh belaka, otaknya geliga pula." Fikiran mereka berlima dipotong oleh suara Diya lagi yang memuncung menunjuk kepada sebuah bukit pasir, "Kalau kita boleh sampai di balik bukit itu sebelum ternampak oleh mana-mana pahlawan itu, kita boleh bersembunyi."

Tanpa soal, kelima-lima saudara itu hanya mengikut langkah Diya yang sudah pun terarah ke arah timbunan pasir itu. Sebaik sahaja hilang kelibat Daeng Sentol, yang jelas sekali terkebelakang hasil dari keberadaan badannya, di balik bukit pasir itu, tunduklah keenam-enam mereka lantas berpimpin tangan, berdoa tidak ditemui. Setelah beberapa ketika, Daeng Fathol yang dikatakan handal berburu itu menjengah dari balik-balik pasir sambil menarik tegang busur miliknya. Terlihatlah dia akan gerombolan pahlawan itu yang bermuka lebih bengis dari tadi kerana hilang hasil buruan mereka. Pahlawan yang paling besar gagah dan paling bengis di antara mereka dilihat memberikan arahan supaya kumpulan itu berpecah dan meneruskan pencarian.

Daeng Fathol berkira-kira sendiri di dalam hati, "Mahu ditunggu sampai ditemukan pahlawan-pahlawan itu atau mahu dibidik sahaja?" Baru sahaja si abang sulung mengambil keputusan dan mahu melepaskan panahnya, satu anak panah lain meluncur laju di depan matanya lalu tertembus ke dalam betis salah seorang pahlawan itu. Belum sempat pahlawan itu tertunduk mengerang, satu anak panah lain datang lagi, kali ini mengenai betis pahlawan di sebelahnya pula. Sejurus selepas itu, bertubi-tubi asakan panah menghujani kumpulan elit Firaun Remeses II itu tapi semuanya hanya lekat di betis sahaja. Dan satu-persatu pahlawan-pahlawan itu gugur tersungkur.

Daeng Fathol berpusing ke arah saudara-saudaranya yang lain, mahu memperihalkan kejadian aneh itu tetapi dilihat yang lainnya sudah pun ternganga sambil menghadap ke arah belakang bukit pasir itu. Dari celah-celah cahaya matahari yang tersisa, kelihatan seorang pendekar bertanjak tingi sedang menarik busur panah dan menghalakannya pada pahlawan elit Firaun Remeses II.

Dan yang mempegunkan saudara berlima serta seorang perawan itu adapun bukanlah ketangkasan pendekar tersebut *menunjal panahnya malahan bukan juga dari tubuhnya yang *kekar perkasa. Yang menjadi hairan mereka berenam adalah haiwan tunggangan pendekar itu. Pendekar itu nyata sekali bersemayam di atas *pundak seekor binatang yang layaknya hanya di dongengan.

Berwarnakan emas singa
Bersayapkan lebar helang
Bertubuhkan jinjang kuda
Berparuhkan muncung buaya
Bertempikkan suara naga


"Garuda!" ujar kelima bersaudara itu dalam kengerian dan kekaguman sedang perawan di sebelah mereka masih lagi terkesima. Setelah habis rasa kekaguman pada para pelarian itu, barulah datang rasa pelik pada mereka semua. Mengapa pula tidak berputus-putus busur pendekar itu menarik panah sedangkan sebelumnya hanya tinggal seorang dua sahaja pahlawan yang masih berdiri. Demi berpusing sahaja mereka, menjengah dari balik pasir, ternampaklah pahlawan elit yang paling gagah dan paling bengis tadi mengelakkan setiap satu panah yang ditujukan padanya dengan hikmat sepakannya.

"Itu tentu sekali Hossam Hussein atau jolokannya Panglima Mido," ujar Daeng Khairol.

"Benar sekali, kanda. Hikmat sepakannya memang tidak pernah terkalah oleh sesiapa," sahut Daeng Mentol.

"Kalau begitu, bagaimana perihal kita-kita semua?" soal Daeng Sentol.

Daeng Fauzol membuka mulut, mahu menenangkan kekacauan adinda-adindanya itu tetapi apa yang dibicarakan tidaklah terdengar oleh sesiapa kerana serentak dengan itu datanglah sang Garuda tadi berterbangan. Bunyi sayapnya sahaja sudah seperti sangkakala beliung zaman Nabi Nuh. Demikian tertunduklah pendekar itu mendepangkan tangan kanannya seraya bersabda, "Marilah perawan, mari bersama beta. Beta dan sekalian rakyat beta memerlukan jasamu, tubuhmu, fikirmu dan keringatmu."

Terbelalak mata Diya mendengarkan pendekar misteri itu berperi sebegitu sekali. Jikalau pada hari lain, zaman lain, ada seorang asing yang menginginkan dirinya sebegitu, sudah tentu sahaja terlebih dahulu dia membuka langkah seribu. Tetapi pada senja ini, zaman asalnya itu terasa seperti mimpi pula dan cahaya gilang-gemilang yang datang dari pendekar ini terus memujuknya menyambut huluran tangan itu. Mujur sahaja keenam-enam mereka berpimpinan tangan. Demi disambutnya sahaja tangan pendekar itu, terus terbanglah sang Garuda menongkah angkasa. Dan terangkatlah juga kelima-lima bersaudara daripada tanah bumi berpasir itu.

*****

Maka sampailah sekalian rakyat masing-masing ke laman balairung hendak mendengarkan titah baginda sultan. Bersembahlah kesemua mereka, "Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Harap memohonkan titah,

#Musuh mana akan datang?
Mana tebing akan runtuh?
Angkatan mana yang akan tiba?


Bertitahlah baginda paduka sultan seraya titahnya, "Ayuhai sekalian rakyat tanah hanyut, tidaklah musuh akan melanggar melainkan rezeki yang akan tiba. Marilah ke hadapan, Mak Tua dari kalangan rakyat hina-dina ini dan khabarkanlah kepada mereka."

Arakian tibalah gerangan yang digelar Mak Tua itu terbongkok-bongkok berpakukan kayu meranti di tangan kirinya. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera. Telah tibanya dia di sisi baginda Sultan, terus sahaja dia bersabda,

Jauh lembah pulau seberang
Tidak tercapai dalam titian
Bintang kita sudah pun terang
Telah turun sakti impian


Mendengarkan senandung Mak Tua itu, terus bertempik bersorakanlah sekalian rakyat kepulauan itu. Bergegak gempitalah kota diraja itu dengan segala macam bunyi-bunyian. Yang *nafiri bernafiri, yang *rebana berebana dan yang *gong bergong.

Dalam keriangan itu seorang anak kecil menarik tangan ayahandanya lantas berujar, "Duhai ayahanda. Untuk hutang yang manakah keramaian ini?"

Si ayahnya hanya tunduk tersenyum lalu menyentuh ubun-ubun anak kecil itu, "Keramaian ini amat penting anakku. Keramaian ini untuk menyambut seorang perawan sakti yang khabarnya dapat menyelamatkan tanah hanyut ini dan kita semua."

"Menyelamatkan kita dari malapetaka yang mana satu, ayahanda?"

"Menyelamatkan kita dari sumpahan kehanyutan ini. Supaya kita boleh berpasak semula pada dunia nyata. Supaya kita boleh pulang, anakanda. Kita boleh pulang kepada bondamu di sana."

*****

"Maka kamu semua dikejar kerana membunuh Utusan Darat diRaja Mesir (UDRM), Sang Otaku Durjana?" tanya pendekar itu lagi, mahu mempastikan cuping telinganya. Si Daeng berlima hanya tunduk tersipu malu, mengaku nista mereka di dalam diam, "Pada firasat beta, memang wajarlah Firaun Remeses II itu begitu berang pada tuan hamba sekalian. Seharusnya beta tinggalkan saja tuan hamba semua biar dibaham panglima mesir yang bengis itu," sambung pendekar itu lagi seraya membetulkan duduknya pada gumpalan-gumpalan putih itu, "Ditakutkan nanti, kerajaan beta yang jadi tanggungannya."

Saudara Daeng berlima hanya berpandangan sesama sendiri, masih mengunci mulut mereka. Hendak diterima pahit, hendak *dipangkas nanti musibah pula bagi keberadaan mereka sekalian. Saat itu Daeng Khairol mengerling titik-titik pasir yang sudah hanya tinggal warnanya sahaja, di kejauhan di bawah mereka. Dia terbayangkan lengan perkasa pendekar itu menolak kelima-lima mereka ke bawah. Serentak itu terus sahaja air liurnya ditelan. Penasaran.

Sudah barang tentu sunyi angkasaraya pada awal labuh malam itu tiba-tiba ternodalah apabila Diya, si perawan sakti dalam duduknya tiba-tiba sahaja bertamparan, "Ini tak mungkin!" tempiknya berulang kali, "Kamu semua saudara Daeng berlima?" soalnya mengunjur pada saudara Daeng sekalian. Mereka hanya mengangguk-angguk, "Dan kamu pula siapa?" soalnya pada si pendekar itu.

Sang pendekar hanya tersenyum sedikit mendengarkan soalan itu, "Ayuhai perawan, kamilah Tunku Mahmud Seri Ibni Tuanku Gombang Mahmud Dewa, pewaris pada takhta kerajaan Tanah Melayu di Nusantara."

Mendengarkan perkhabaran itu, bertambah bertempiklah Diya meronta-ronta, "Ini tak mungkin! Ini semua mesti mimpi!" ratibnya berulang kali. Keenam-enam lelaki lain di sekelilingnya hanya duduk memerhati sehinggalah turun Daeng Fauzol berlagu.

Hilang disaput awan yang putih
Muncul bulan menjadi terang
Hilang penat hilanglah jerih
Melihat lagi deritanya orang

Apa diharap pada angin
Kadang muncul berlumba-lumba
Apa diharap pada yang lain
Marilah cerita kepada kita


Disahut pula oleh Tunku Mahmud Seri, "Benarlah bagai digurindam. Jangan kelak menyimpan dendam. Kita-kita ini rela berkongsi cerita."

Diya merenung raup wajah lelaki berenam seraya melepaskan nafasnya yang memberat, "Saya rasa saya datang dari masa depan."

"Apakah gerangan yang dimaksudkan pada masa depan?" soal Daeng Mentol seraya mengerut-ngerutkan mukanya seribu wajah.

"Saya datang dari masa lain, zaman lain. Zaman yang ratusan, malahan ribuan tahun dari sekarang."

"Aduhai.. Sungguh handal kesaktianmu," keluh saudara sulung, Daeng Fathol.

"Ini bukan sakti. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya ke sini."

"Nah!" seru Tunku Mahmud Seri seraya menepuk gumpalan-gumpalan putih di silaan kakinya. Lalu berkepul-kepullah awan lepas naik ke udara. Daeng Sentol menjeling tajam lewat perlakuan itu, "Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Sekalipun girang rasanya hati, berpesanlah. Kita-kita ini jauh tinggi dari tanah, duduk di awanan pun hanya bersinggah. Jangan berlaku yang bukan-bukan."

Maka sekali lagi Daeng Khairol mengerling titik-titik pasir yang sudah hanya tinggal warnanya sahaja, di kejauhan di bawah mereka. Penasaran. Baginda putera Tunku Mahmud pula langsung mengacuhkan lalu menyambung bicaranya, "Memang ajaib datangmu perawan dan nescaya bertambah ajaiblah lagi takdir yang menanti kamu di zaman ini. Telah beta wartakan tadi, keramatmu adalah nafsu bagi sekalian rakyat beta."

Terketar-ketarlah Diya mendengarkan baginda putera bertitah. Sudahlah dia bersembah lantas bicaranya, "Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harapnya diampun. Izinkan patik bertanya, gerangan apakah yang dihajati dari patik yang dagang lagi hina ini?"

Persoalan itu disambut baginda putera Tunku Mahmud Seri seraya memperbetulkan silaan kakinya dan berdehem dia tiga kali. Teruslah dia berhikayat dalam gurindam. Dilantun-lantunkan suaranya supaya bergema membawa maksud cerita.

*****

Tersebutlah oleh kami satu kisah
Dari sekelumit bangsa nusantara
Terjumpakan ilmu membawa tuah
Menjadikan tanah seperti bahtera

Disangkakan ilmu membawa girang
Rupanya dilaknat duli pemerintah
Katanya ilmu bukan santapan orang
Hanya ilmu nafsu syaitan serakah

Berlayarlah kami dalam kembara
Membawakan hati yang lagi derita
Berlayarlah kami selama-lamanya
Dek termakan sumpah daulat diraja

Adapun datang seorang Mak Tua
Membawa bersama tempayan ramalan
Katanya masih ada harapan bahagia
Di dalam bentuk seorang perawan

Perawan sakti berhemat tinggi
Turunnya dari langit di senja hari
Perawan membawa ilmu pelangi
Agar yang hanyut akan kembali


*****

"Patik perlu bebaskan tanah tuanku dari sumpahan hanyut itu?" soal Diya, tidak percaya. Belum pernah lagi dalam lingkaran hidupnya, dia mendengarkan lagenda tentang kepulauan yang hanyut dek sumpahan.

"Malahan perawan, tuan hambalah yang bakal menjadi paduka ratu di tanah itu dan memeliharakan dari sekalian ancaman lainnya."

Diya menggeleng-gelengkan kepala tanda membingkas gurindam yang seperti meresap lalu ke akar umbi jantungnya, "Tetapi ini semua dongengan. Ini semua tidak termaktub di dalam sejarah di zaman patik."

Baginda putera melangkah merapat barang sehasta kepada Diya lantas meletakkan jemarinya lembut di bahu kanan perempuan itu, "Sejarah tuan hamba adalah perkara yang belum dilalui lagi pada zaman beta ini. Sekalipun sakti hanyalah pada isi dada, makanan akal. Kalau ada yang belum bertempa, masih belum terlambat untuk diluruskan."

Belum sempat Diya mentaupkan bibirnya yang sudah sedia berselubung dengan ratusan alasan berlamparan, terhidu olehnya darah merah pekat yang tercalit di pipi bila satu jogan besar memintas dan terbenam ke dasar kepulan-kepulan awan itu. Mujur saja purnama mengambang penuh malam ini, maka tidaklah kisah kita ini kekurangan lapis-lapis cahaya walau sedikit pun. Hatta, ternampaklah kalian mereka akan seekor lagi Garuda yang tidak kalah gemilangnya, mengibaskan sayap ke atas dan ke bawah. Di balik pundaknya, duduklah Panglima Mido, ketua pasukan pahlawan Firaun Remeses II.

Tanpa timbul barang satu pun butir bicara, berlarilah ketujuh-tujuhnya mencapai Garuda yang pertama. Seorang Daeng di kaki kanan, seorang Daeng di kaki kiri, seorang Daeng di sayap kanan, seorang Daeng di sayap kiri, baginda putera Tunku Mahmud Seri di lehernya dan Daeng Sulung bersama Perawan Diya di belakang Garuda itu.

Maka terbanglah mereka meluncur menjunam ke bawah, cuba-cuba untuk menyisihkan Panglima Mido bersama Garudanya. Adapun tidaklah bertambah barang sejengkal pun jauhnya kedua-dua Garuda itu malahan makin sedikit lah jadinya. Seperti batang mancis, harapan kesemua mereka pun berhabisan bagaikan dibakar. Sehinggalah pada satu ketika yang pentingnya, muncullah baginda Tunku Mahmud Seri dengan sebuah akal.

"Jikalau mengikut perkiraan beta, baiklah kita semua berangkat ke arah tanah hanyut supaya selamatlah kita di situ."

"Mengapa pula bicara tuanku sebegitu?" soal Daeng Sentol.

"Kerna di sebalik sumpahan kedaulatan yang menghanyutkan kami, bersembunyilah kuasa lain yang seakan perisai. Sesungguhnya tidak akanlah kita semua melainkan selamat saja di sana."

Baginda putera pun membisikkan bahasa Garuda pada haiwan tunggangan mereka lantas semakin pantas dan tegaplah ia berterbang lari. Hampir dalam sekelip mata muncul kembali perlabuhan yang ditinggalkan Daeng berlima sementelahan didengarkan ratib si Diya. Namun perlabuhan itu hanya diterbang lalu oleh Garuda itu menuju ke lautan lepas. Dan dalam sekelip mata lagi, dari sayup ternampaklah bayang-bayang yang dikatakan tanah hanyut itu.

Hatta, mendekatnya mereka pada apungan kepulauan itu, terloponglah Diya melihatkan manusia dan kota di atasnya.

"Ampun tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Pada firasat patik, tidaklah tanah hanyut itu dipanggil tanah Nusantara, tuanku. Pada zaman patik berdagang nasib, tanah itu kami panggil sebagai..."

"ATLANTIS"





Nota Kaki :

Yang bertanda ‘#' adalah petikan dari buku Hikayat Malim Deman yang menjadi bahan rujukan Val selama tempoh menghasilkan ceritera ini.

Yang bertanda ‘*' sila rujuk pada glossari di bawah (berdasarkan konteks ayat).


Glossari :

1. semboyan - alamat untuk memberitahu, tanda, isyarat
2. dibaji - dipukul dengan kayu
3. bermukah - mengutuk, mengumpat, melakukan yang tidak senonoh
4. terlongo - terbuka mulut, tercengang
5. jogan - tombak
6. selelah burung terbang - sejauh burung dapat terbang, tanpa memaksa dirinya
7. selejang kuda berlari - sejauh kuda berlari terus-menerus
8. budak-budak kundang - hamba diraja
9. galau - kacau, kusut
10. warita - berita, khabar
11. peterana - singgahsana
12. pacal - hamba diraja
13. terpermanai - tiada terkira banyaknya
14. capik - tempang
15. terambin lintang - digendong melintang di dalam kain pengikat
16. menunjal - menumpukan atau menekankan
17. kekar - tegap dan kuat
18. pundak - bahu, belakang
19. nafiri, rebana, gong - alat gamelan
20. pangkas - potong, bantah

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Klasik

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Val kata:

    1. sudah tiba masanya saya tukarkan sejarah menjadi dongengan

    2. saya tak pernah dan tak pandai menulis klasik, tetapi
    Disuruh berperi, kami berperi
    Disuruh menyanyi, kami tak tahu

    3. andai ada perkataan yang tidak difahami, saya boleh tambahkan di glossari

    =)
  • 2) ko memang lailahanna!
    urgh, kena bertapa depan comp lagi nak baca ni
  • 3) Val...best n complex..siap wat rjkn ag~
    cmne sy nk smbg nie??huhu...idea pliss!!!!
  • 4) saya menyesal meletak maksimum 5 pada rating untuk karya kreatif. Kalo bole sy mengubah sistem, pasti sy letak 10 utk cerita ini.

    Bagus Laila. Jangan cepat mengalah pada cabaran. Dalam pada kata tak tahu dan tak reti tulis, terus jadi satu masterpiece yg hebat.

    Sy harap orang lain juga boleh belajar. Seperti Reason pada awalnya konon tak tau nak tulis bahasa melayu.. tau2 hasilnye tuhan je yg tau. Seperti Cahatomic yg asalnya "aku tak retila tulis klasik ni jo", terus elok lancar tanpa sebarang masalah.

    Plis. Yang seterus-seterusnya mesti yakin dan berani terima cabaran. Jangan ada sebarang alasan utk tidak berjaya. Cuba dulu, jangan mental kita awal2 bgtau "tak boleh" padahal tak cuba lg.


  • (Penulis)
    5) zing:
    memanglah nama saya laila hanna! alamak, val tulis berterabur ke sampai kena bertapa untuk fahamkan. sorri!

    miszmextor:
    ala... sambung je! ceritalah pasal atlantis. hehe

    jojo:
    dengan ini saya mengaku bahawa saya suka tulisan klasik! yeay! huhu.
  • 6) valium gadis pantang dicabar,
    bila diminta sentiasa tegar,
    biar klasik tak khatam dibelajar,
    nah hasilnya - Tanah Hanyut digarap kekar.

    tahniah!

    lepas ni miszmextor eh? silalah berbincang2 dgn valium, mungkin dia boleh beri idea bagaimana mahu menulis, bagaimana mahu menyambung cerita?

    hanya usul.
  • 7) aha..i lykeeeeeeeeee~~~~

    kudos to you lailahanna!!!
  • 8) mak ai......x abis skolah ke aku....tginye bahasa...
    mmg mantap la laila....bertuahnye diri~~~
  • 9) T_T....huuuu..sedey2...
    terlalu best smpai sedey diri ini..
    huhuhu..
    besto!!
  • 10) patutla mcm pernah baca ayat2 kat atas ni.. Hikayat Malim Deman. Dulu masa kecik2 pernah baca banyak buku cerita hikayat before tdo. Paling suka Hikayat 1001 malam.

    and still..ada yg masih segar dlm ingatan especially ayat

    #Yang *capik datang bertongkat
    Yang buta datang berpimpin
    Yang pekak leka bertanya...

    and garuda..

    sangat klasik.
    ter flash back memori zaman kanak2 dulu2..


  • (Penulis)
    11) joni... apa maksudnya tu?

    eme... jangan la sedey2

    pinky... best kan baca hikayat! sangat masyuk!
  • 12) val.. ape maksudnya tu ape?? x paham..
  • 13) val// best sangat.. i like =p
  • 14) ala sorry baru nak komen. this is cool, val. gud! ;)

  • (Penulis)
    15) joni... maksudnya, apa maksud bertuahnya diri?
    dayya... terima kasih sangat!
    kak zu... thanks tp saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan =)
  • 16) benci val! benci sebb val buat citer best! huhuhuu...
    saya sgt suka baca klasik tapi sy tak pandai buat citer klasik.. jadi diharap apabila sampai giliran saya.. sudah tidak seklasik ini lagi *sket2 bleh la, k*
    good job val!
  • 17) tiba2 teringat subjek bm sem lepas... berita asalnya warita... bulan asalnya bulan.. huhuhuhu... mesti banyak val wat research untuk citer ni kan coz ada penggunaan bahasa melayu klasik n bahasa melayu kuno siap! =p hehhehe
  • 18) val... oh...maksud nye bertuah nye diri awak dikurniakan ke'tere'an mcm ni...sy kagum~~~
  • 19) resolusi terbaik utk mengaitkan hasil kerja zu dengan jojo..huhuhu..hebat gile nih...x sabar aku nak smbung.
  • 20) erk!! btul fai.. hebat giler... huhuhuhu......
  • 21) tabikness...besnyer val..macam terasa sekali naik garuda...ahhaa
  • 22) tidaklah jauh rasa di hati, melainkan gembira tak berperi.
    Tidaklah dapat hamba mencari, gerangan cerita begini jadi.
    Tidaklah mampu lagi diberi, terima kasih hanya diganti.

Cerpen-cerpen lain nukilan valium

Read all stories by valium