Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Wahyu

 

Dingin embun yang bersisa mengacah-acah kulitnya. Dia mendongak sekilas, memerhatikan matahari yang membiru ditelan awan. Hairan. Sinar matahari yang makin gemilang itu langsung tidak terkesan padanya hari ini. Mungkinkah hari ini terlalu istimewa sehinggakan dia pun turut dilindung bawah naungan itu? Kalau pun itu mungkin, ada lagi yang lebih berhak dilindung daripada dia. Bukankah sudah hampir enam tahun dia meninggalkan bukan sahaja perayaan ini malah semua yang ada di kampung.

 

            Memang sudah lama Ratna tidak pulang ke lembah kecil itu. Yang dikirimkan hanya khabar berita. Perjalanan pulang ke kampung terlalu sering ditangguhkan saban hari ke bulan sehingga menjelang bertahun lamanya. Semakin terasa kepergiannya bila ada jurang lutsinar di antara dia dan keluarga. Jurang itu tak ternampak dengan mata kasar tapi kehadirannya sangat jelas. Lebih menyentuh hati lagi, panggilan ’kakak’ yang sepatutnya ditujukan kepada dia sebagai kakak yang pertama tidak lagi digunapakai untuknya tetapi digunakan untuk merujuk Kencana, adik perempuannya yang pertama. Dia sendiri dipanggil sebagai Kak Ratna. Terasa jauh dan terpinggir. Gosip kawasan dan cerita rumahtangga yang tidak difahami pun jadi lumrah apabila perempuan itu telah meninggalkan mereka selama ini.

 

            Tapi itu semua tidak terbanding dengan perubahan paling besar yang terpaksa dihadapi seeloknya pulang ke rumah. Rupa-rupanya sepanjang tempoh pemergian Ratna, ibu dan ayahnya memutuskan untuk mengambil anak angkat. Menurut kata Kencana, setiap kali musim perayaan ini berakhir, ibu dan ayah mereka akan menjemput seorang lagi anak kecil yang usianya tidak lebih dari dua tahun ke rumah mereka. Pada perayaaan kali ini pun, ibu dan bapanya merancang untuk mengambil lagi seorang anak angkat. Ratna menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan keluhan yang berat. Dia memandang budak perempuan kecil dalam dakapannya.

 

            ”Kenapa kamu sangat gemuk?” soalnya sambil mencuit hidung anak kecil itu. Ini adiknya yang paling baru, Rania. Rania hanya berumur sebulan bila dibawa pulang ke rumah. Dia lagi gemuk dari Kejora, yang diambil sebelumnya. Oh tidak, ini bukan lahir dari perasaan yang menjauh. Ratna tidak langsung terasa hati dari kehadiran anak kecil itu. Bayi itu sahaja yang memang sihat-sihat belaka. Umurnya belum pun lagi mencecah dua tahun tapi Ratna sudah terputus-putus nafas mendukungnya.

 

Ibu berkeras mahukan Ratna juga yang mendukungnya. Kata ibu, ”Kamu jarang di rumah. Ini peluang kamu bermesra dengannya. Takut nanti dia tidak kenal pada kamu,” Ratna setuju saja, ada benar kata ibunya itu. Nasib saja bayi itu tidak banyak meragam, tidak banyak menangis dengannya. Tapi perlukah dia sendiri mengendong bayi itu di sepanjang jalan perayaan? Bukan calang-calang jalan ke kuil utama kampung mereka. Kuil itu terletak jauh di puncak Bukit Tamatha, kerana katanya semua ahli-ahli agama di situ perlukan kesunyian dan masa sendiri. Ratna hanya mengankat bahu dan menurut saja. Sisa-sisa embun menolak kakinya memulakan langkah, meninggalkan keluarganya di belakang.

 

*****

 

”Ratna?” sapa satu suara dari celah orang ramai di kiri kanannya. Ratna perlu beberapa saat untuk mengecam wanita berambut pendek yang datang menghampirinya. Wanita itu seakan-akan tersenyum daripada jauh tapi sebaik sahaja jarak di antara mereka berkurangan, Ratna terperasankan air mata yang masih bersisa di kedua mata wanita itu yang lebam membengkak.

 

”Kak Awani?” Ratna terus sahaja merangkul bahu perempuan itu dan perlakuannya itu membuatkan Rania terumbang-ambing dalam dakapannya, ”Kenapa dengan kakak ni?”

 

”Akak tak apa-apa. Bila kamu balik? Tak jenguk kakak pun!” Awani menyoal dan menuduh serentak. Ratna membetulkan letak duduk Rania di dalam dakapannya sebelum menjawab semula. Bayi itu sudah mula mencebik muka menunjukkan tanda-tanda mahu meragam.

 

”Saya baru balik semalam. Balik pun sebab ibu ngan ayah dah mula bising. Mereka paksa juga balik untuk perayaan ni. Padahal saya sibuk sedikit di kota. Kakak macam mana? Abang Dani macam mana?”

 

Belum lagi sempat Awani membalas pertanyaan yang bertalu-talu itu, Ratna terdengar orang ramai di bahagian kirinya mengaduh kecil. Dia menoleh dan sempat melihat Dani merentas lautan manusia itu dan menolak sesiapa sahaja yang menghalangnya. Urat mukanya semua tegang-tegang belaka seperti menahan marah dan tidak syak lagi dia berjalan terus ke arah Ratna. Ratna kaget. Tidak pernah dia melihatkan abang Daninya begitu marah.

 

”Kamu pegang dia,” arah Dani kepada Awani lalu menghulurkan seorang anak perempuan kecil yang dikendongnya. Ratna menumpukan perhatiannya pada anak perempuan itu. Rupanya saling tidak tumpah seperti Awani. Mungkin sekali anak mereka berdua. Katanya mereka bernikah lewat tahun lalu.

 

”Jangan kau dekat pada keluarga aku, Ratna! Jangan kau tunjuk malaikat di sini!” bentak Dani lalu terus mengalihkan perhatian Ratna kepadanya. Hampir tersembul kedua bola matanya.

 

”Kenapa ni, abang? Saya baru balik sehari. Apa yang saya buat?”

 

Dalam sekelip mata tangan Dani singgah di pipi kanan Ratna. Serentak dengan itu terdengar tangisan Rania membelah keheningan pagi. Ratna meraba-raba pipinya yang terasa perit. Belum sempat dia membuka mulut, Awani mencelah, ”Dani betul Ratna. Kalau bukan kerana kita membesar bersama, akak pun dah meludah muka kamu sekarang. Pergilah!” Awani merenung Rania dengan mimik muka yang hanya boleh ditafsirkan sebagai jelik dan jijik. Langsung mereka sekeluarga berlalu.

 

*****

 

 Ratna mendongak, cuba memandang titik tertinggi kuil itu. Pandangannya dipangkas oleh cahaya matahari yang sekarang menggila teriknya. Dia menghirup nafas dalam-dalam, cuba mencari kesan-kesan nostalgia yang hanya hadir setiap kali perayaan ini tiba. Dia masih ingat bau rebus rempah-rempahan yang biasanya mengharumi segenap kuil. Kali ini, tidak ada. Telinga Ratna dipasang lebar-lebar untuk menangkap sebarang irama loceng yang akan dialunkan sebelum upacara bacaan mantera. Tiada. Tidak mungkin pula masa yang dihabiskannya dikota terlalu lama sehingga menghilangkan tradisi agama. Bolehkah upacara agama dikompromi? Salah dia sendiri atau salah mereka?

 

Seorang sami muda yang berbalut kain hitam di badannya memberikan isyarat kepada Ratna supaya masuk ke ruang sembahyang. Ratna tersenyum lalu mengangguk sedikit dan sami itu kembali menundukkan kepalanya yang tiada seurat rambut pun. Namun sedikit pun dia tidak bergerak malahan Ratna hanya melemparkan pandangannya ke kaki bukit Tamatha itu. Kosong. Nampaknya hanya dia sendiri yang masih belum melangkah masuk ke dalam kuil itu. Entah kenapa hati dan kakinya berat betul untuk melewati Gerbang Emas kebanggaan kampung mereka.

 

Sami muda itu berdehem-dehem pula langsung memaksa Ratna bergerak juga memasuki kawasan kuil. Lagi pun, Rania dalam dakapannya sudah seperti mahu terlucut. Sudah terlalu lama dikendong bayi gemuk itu. Bayi itu pula seakan-akan faham kegundahan yang beraja di benak Ratna ketika itu. Dia pun turut sama resah dan berpusing ke kiri dan kanan, “Kenapa dengan kamu, sayang?” soal Ratna kepada Rania seraya melepaskan keluhan yang berat. Dia hanya mahu duduk dan terus memanjatkan doa pada Tuhannya. Ratna kira-kira, sudah hampir enam tahun berlalu tanpa pasak agama sehingga dia sudah tidak ingat lagi tentang Tuhannya. Apapun caranya, moga Tuhan sendiri tak pula lupa tentang dia.

 

*****

 

 “Sami Tua!” Ratna melontarkan suaranya sedikit untuk menangkap perhatian perempuan tua itu. Sambil itu kakinya cepat-cepat melawan arus orang ramai yang sedang beredar keluar dari ruang sembahyang. Seraya sampainya dia di sisi perempuan tua itu, tangannya disambut kemas. Ratna sendiri terkejut pada kekuatan perempuan yang sudah mahu seabad umurnya itu.

 

“Balik juga kamu, Ratna. Kenapa seperti susah hati saja ni?” soal perempuan yang berkelubung dalam kain hitam itu.

 

Ratna membiarkan ombak dadanya surut dahulu sebelum menjawab, “Saya punya banyak soalan sebab saya keliru benar dengan upacara bacaan mentera kita tadi. Sami Tua punya waktu?”

 

Sami Tua merenung mata Ratna dalam-dalam. Mata coklatnya susah betul ditafsirkan. Setelah selang lama berdiam barulah dia membuka mulut, “Tiada sesiapa beritahu pada kamu?”

 

Ratna menggeleng.

 

“Orang tua kamu pun tidak beritahu apa-apa?”

 

Ratna menggeleng-geleng lagi. Mungkin kalau dia tidak terlalu melayan karenah dan ruangnya sendiri semalam, dia sudah lebih mengerti. Tapi sejak dulu lagi, berbual dan bertanyakan pada orang kampung lebih senang berbanding berbicara dengan ibu bapanya sendiri.

 

“Saya cuma rasa janggal. Mungkin sebab saya dah lama tak balik. Tapi kenapa ayat manteranya semua berubah? Kenapa pujaannya lain? Kenapa Sami Tua dan sami-sami lain berkelubung hitam sedangkan dulu tema warnanya kuning?” Ratna mendesak lagi.

 

“Kita tunggu hujung hari ini dan kamu boleh tanyakan semuanya pada ibu bapa kamu, ya! Sekarang aku kena pergi. Salam.”

 

Sami Tua terus berlalu memasuki kamar utama yang didiami oleh semua sami-sami di situ. Pantas pula langkahnya untuk seorang wanita yang berusia. Dia tahu sahaja kamar utama itu kawasan terlarang dan tak mungkin Ratna akan mengejarnya. Ratna terpisat-pisat sendiri dan makin bertambah persoalannya. Baru sahaja dia mahu berlalu dan meninggalkan perkarangan kuil itu, matanya tertancap pada satu kumpulan yang berjalan ke arah kamar utama. Kelihatan Dani dan Awani diiringi oleh dua orang lagi sami berkelubung hitam. Wajah mereka kelihatan sugul dan tidak bermaya.

 

Ratna mematikan hasratnya untuk keluar dari kuil itu dan terus menukar arah langkahnya secepat mungkin. Namun begitu, dia masih tidak sempat menahan kumpulan sami yang mengiring Dani dan Awani tadi. Mereka lebih dahulu tiba di gerbang kamar utama dan hilang melewatinya. Apabila Ratna pula tiba di situ, gerbang kamar utama itu sudah tertutup rapat dan sami yang berkawal di situ hanya diam dan bermuka bengis.

 

“Boleh saya jumpa Awani?” soalnya pada sami pengawal itu walaupun dia sudah tahu yang sami tersebut hanya akan menggeleng sekali dan terus berdiam diri. Ratna mengerutkan dahi sambil memikirkan alasan untuk mencuba lagi apabila kedengaran suara ayahnya melaung dari Gerbang Emas kuil mereka.

 

“Ratna! Pulang!”

 

Mahu saja dia memprotes besar-besaran apatah lagi dengan nada authoriti ayahnya yang sudah sekian lama dibenci itu tapi kiranya pemberontakan dia tidak akan membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi, Dani sudah lama dibenci ayah.

 

*****

 

“Ratna, ini adik baru kamu, Damia,” ibu menginjakkan anak kecil itu kepadanya dengan harapan mereka bersalaman. Ratna senang saja menerima salam perkenalan itu tetapi sebaik sahaja dia mengecam wajah anak kecil itu dengan lebih dekat, terus jantungnya seperti terlonjak di dada.

 

“Bukankah ini anak kepada Kak Awani dan Abang Dani, bu?”

 

Ibu dan ayahnya saling berpandangan penuh makna sebelum ibu mengarahkan Kencana membawa anak kecil itu ke ruangan atas, untuk bersalin pakaian mungkin.

 

“Abang Dani dan Kak Awani kamu dijumpai di telaga di belakang kuil selepas upacara tadi,” ayah membuka mulut sebaik sahaja Kencana dan Damia hilang dari pandangan kami.

 

“Mereka dipercayai membunuh diri,” sambut ibu pula.

 

Terlongo Ratna mendengarkan perkhabaran itu langsung dia terus tergelak kecil memikirkan mungkin sekali kedua ibu bapanya sudah tahu berjenaka. Tetapi tawanya itu hilang dibawa angin apabila wajah serius ibu bapanya tiada tanda-tanda mahu kendur.

 

“Tak mungkin, ibu! Ratna nampak mereka selepas perayaan tadi. Kedua-duanya selamat. Mungkinlah mereka nampak seperti punya masalah, tapi Abang Dani dan Kak Awani selamat, bukan?”

 

“Esok kita akan hadiri upacara pengkebumian mereka. Kamu harus bersedia.”

 

Mungkin perkhabaran kematian terlalu berat untuk diterimanya begitu atau mungkin juga ketenangan luar biasa ayahnya yang menyebabkan Ratna tiba-tiba seperti hilang akal. Tanpa sedar dia terus bingkas bangun dan menjerit sekuat hati kepada Penghulu Kampung itu.

 

“Ayah ni tak punya perasaan, ya? Ratna tahu dari dulu lagi ayah memang benci pada Abang Dani, bukan?”

 

“Ratna... sudahlah tu,” ibunya cuba memujuk tetapi suara itu terdengar hanya sayup-sayup. Ratna terus mencapai baju sejuk dan mengenakannya dengan tangan yang terketar-ketar menahan perasaan. Dia masih tidak percaya bahawa dua orang sahabat sepermainan dari kecil itu sudah tiada.

 

*****

 

“Saya mahu jumpa Dani dan Awani!” jerit Ratna dengan suara yang terketar-ketar. Riuh angin dan titis air hujan yang menimpa atap besi kuil itu langsung tidak membantu semangatnya.

 

“Maaf. Mayat mereka telah disiapkan untuk upacara esok,”sambut sami pengawal siang tadi.

 

“Tak mungkin. Siang tadi mereka elok-elok saja,” jerit Ratna lagi. Pagar emas itu digoncang-goncangnya sekuat hati, “Buka pagar ni, biar saya tengok mayat mereka!”

 

Dalam kegelapan malam dan lencun air hujan itu tiba-tiba Ratna merasakan mulutnya ditekup. Serentak dengan itu pandangannya terus kabur. Dia sedar saja tubuhnya ditarik ke belakang dan kedua-dua kakinya yang terus longlai habis sakit dihentak sepanjang seratus anak tangga turun dari kuil besar bukit Tamatha itu.

 

*****

 

“Kak Ratna! Bangun!” Ratna tersentak dan terus terduduk apabila pipinya ditampar-tampar begitu. Dalam kekaburan pandangannya dia melihat tubuh Kencana yang sibuk ke sana sini.

 

“Kenapa ni Kencana? Kita kat mana ni?”

 

“Kita kat rumah, dalam bilik akak. Kencana tengah kemas barang-barang akak. Akak kena pergi dari sini malam ni jugak!”

 

“Tapi kenapa? Bukan ke akak dekat kuil tadi?”

 

Kencana berhenti bergegas dan merenung kakaknya yang kebingungan. Dia melepaskan nafas berat dan langsung duduk di sebelah kakak sulungnya itu.

 

“Kakak dah tak selamat dalam kampung ini lagi. Orang-orang kuil itu mahu jadikan kakak korban yang seterusnya. Sejak kakak pergi enam tahun lalu, ibu dan ayah serta sami-sami kuil itu semua memperkenalkan satu ajaran baru. Kencana pun tak berapa faham asas ajaran itu tapi yang pasti, setiap kali tiba perayaan ini, satu pasangan lelaki perempuan akan dijadikan korban.”

 

Kencana menelan air liur dan melarikan bola matanya dari Ratna, “Abang Dani dan Kak Awani jadi pasangan terpilih tahun ini.”

 

“Apa? Maknanya mereka tak bunuh diri? Dibunuh?”

 

Kencana bingkas bangun semula dan menarik lagi beberapa barang untuk dimasukkan ke dalam beg.

 

“Tak mungkinlah tak ada satu pun orang yang tidak setuju dengan ajaran ni, Kencana! Tak ada seorang pun orang kampung berani melawan ayah?”

 

“Ayah tu Penghulu, kakak. Mana ada orang kampung yang berani melawan dia. Kencana pun tak tahu dari mana ayah dapat ajaran ini tapi selama enam tahun kehilangan kakak, kampung kita aman damai. Tak ada perang, tak ada wabak, tak ada yang tak cukup makan pun. Semuanya baik-baik belaka.”

 

Kepala Ratna terasa pusing dengan semua yang didengarnya. Entah apa sudah jadi pada tanah halaman itu. Dia cuba memikirkan semula cerita Kencana. Kalau betullah apa yang diberitahu adiknya, maka jelaslah semua yang berlaku sekitar perayaan ini. Namun, rasanya seperti ada lagi yang tidak kena. Ratna memejam matanya rapat-rapat dan meletakkan telapak tangannya ke dahi. Selang seminit kemudian lututnya digerak-gerakkan Kencana.

 

“Nah kakak. Semua barang kakak Kencana dah letak dalam beg ni. Kakak harus pergi sekarang!”

 

“Eh?” sesuatu yang tidak kena itu kini muncul jelas di depan mata Ratna, “Kalau Abang Dani dan Kak Awani sudah jadi korban, kenapa akak pula nak dikorbankan?”

 

Kencana merangkul kakak sulungnya itu kemas-kemas dan berbisik ke telinganya, “Sebab waktu kakak pergi, kampung kita teruk diserang. Perang, wabak dan ribut taufan semua datang serentak. Semua orang kampung percaya kakak yang mulakan semuanya.”

 

“Bila kakak tinggalkan Abang Adam di malam perkahwinan kamu berdua, dia terus bunuh diri malam itu juga. Sami Tua kata, malang yang melanda kampung kita bertimpa-timpa adalah disebabkan Laknat Pengantin yang diturunkan Abang Adam. Ayah mahu jaga air muka keluarga kita, sebab tulah dia perkenalkan ajaran baru ini.”

 

“Iyalah. Tapi kenapa mahu korbankan kakak pula?” Ratna meronta rimas dalam pelukan adiknya itu.

 

“Siang tadi saya terdengar perbualan ayah dan Sami Tua. Mereka percaya punca Laknat Pengantin perlu dijadikan korban sebelum kampung kita ditimpa malang semula.”

 

*****

 

“Kencana! Mana kakak kamu?” suara Penghulu memecahkan kesunyian pagi dan menjalar sehingga ke pelusuk rumah itu.

 

“Kakak sudah pergi! Dan dia bawa Damia bersama.”

 

Hampir tersembul keluar mata Penghulu mendengarkan berita itu. Rambut Kencana yang penjang mengurai ditariknya, “Kenapa kamu biarkan dia pergi?”

 

“Aduh! Ayah! Kencana dah cuba tahan dia. Kencana dah cuba yakinkan dia tapi dia berkeras juga!”

 

“Yang awak degil sangat mahukan Ratna juga tu, kenapa?” terdengar suara isteri Penghulu pula mencelah, “Kencana boleh ganti tempat dia, bukan?”

 

“Kita perlukan anak pertama untuk dijadikan tubuh Dewi! Bukan sebarangan perempuan. Itu peraturan!”

 

“Ah! Tradisi dan peraturan boleh diubah-ubah. Awak sepatutnya tahu itu,” isteri Penghulu mengalihkan perhatiannya kepada Kencana, “Kencana! Pergi salin pakaian. Kamu akan dimahkotakan sebagai Dewi malam ini.” Mahu tidak mahu Penghulu terpaksa juga melepaskan genggamannya pada rambut Kencana. Sebaik sahaja dilepaskan, Kencana terus berlalu pergi. Tapi dalam sekilas dia melintas ibunya, sempat juga dia melirikkan senyuman. Ibunya pun tersenyum kembali.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) err...
    saya pun tak paham sangat motip cerita ni

    sowi,
    dah lama tak menulis
    dah berkarat
    kena prektis balik!

    hee
  • 2) wowowo valium. sekali dia menulis, itu dia~ masterpiece!

    tapi ending... hmmmm.. open-ended sangat? ahh banyak persoalan yg tergantung.
  • 3) hoho...camtu abisnya?? nice tp nak lagi la...
  • 4) ni sorang rasa nk cucuk2 otak dia.. dlm tak tahu tu menulisnya bukan main lagi. adeh!... tahniah val.
  • 5) datang membaca val
  • 6) owh, owh... saya datang dengan senyuman dan pergi dengan tanda tanya...

    (kenapa sejak kebelakangan ini saya asyik pending sahaja?)

    walau apa pun, cerita yang menarik. saya memang suka baca cerpen-cerpen anda. dari cerpen 'racun' sampai yang ni. saya dah habis baca semua. hehehe...

  • (Penulis)
    7) thanks korang
    nanti val prektis and perbaiki lagi
    sori dah lama hilang

    hee
  • 8) err,ni kne bace lg sekali baru paham abes nih..
    hehehe..
    welkam bek val!
  • 9) nice story val
  • 10) oke,mmg tergantung. lagi2 part dewi ape? n ape cite dani dan awani? betul ke diorg kene korban or mmg bunuh diri? so konpius!!

    apepon,great job val!
  • 11) hehehe
    nice one val
    endingnya pun adalah seperti val.

    ha ha.
  • 12) cerita ni ader sambungan ker?nape kencana tersenyum plak?die pon terpengaruh ngn ajaran baru tu ker?n die suh ratna lari sebab die nk title dewi tuh ker?ish2..x phm.tp cube wt kesimpulan sendiri.boleh terangkan x?

Cerpen-cerpen lain nukilan valium

Read all stories by valium