Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Laksana Bulan

  • 10
  • adra
  • 14 years ago
  • 3,925
  • FREE

 


             Langkah diatur lemah. Suasana riuh rendah membangkitkan rimas. Dia tahu, mulai saat ini tiada sesiapa pun dapat menghulurkan bantuan. Mustahil dia dapat meloloskan diri lagi! Hakikat hidup harus dihadapi. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Dan sekarang di sinilah dia, hanya menanti saat diadili dan dijatuhkan hukuman.

“Pengawal! Bawa masuk anakanda beta!” Laungan ayahanda membuatkan deru nafasnya berterabur. Keras dia tak mahu berganjak, hingga terpaksa diheret oleh pengawal tadi.

“Patik mohon maaf, tuanku.”

“Hari ni kau berhutang dengan beta.” Bisiknya dengan mata yang sengaja dibulatkan.
Pengawal itu hanya tersenyum. Masak dengan kerenah tuan putera tersebut.
Isyarat tangan Tuanku Pertama cukup untuk membuatkan semua pengawal beredar dari kamar peribadinya. Hanya seorang sahaja masih setia di situ. Anakandanya yang degil menanti bicara dari bibir sang ayahanda.

“Wahai anakanda tersayang. Ingin ayahanda memberi kata dua kepadamu. Mahukah dituruti ataupun segala milikmu akan disita?” Terbuntang matanya. Adakah terlalu besar kesalahan yang telah dia lakukan hingga diberi amaran sebegitu rupa?

“Anakanda mohon ampun ayahanda. Sesungguhnya, anakanda tiada tahu bahawa kamar itu kamar larangan.”

“Tidak mengapa wahai anakanda. Usahlah diulangi lagi kesalahan itu. Jangan diturutkan kehendak nalurimu. Ayahanda tahu, apa yang sedang anakanda pelajari dari Pendeta Gerimis. Manfaatkanlah akal bestarimu. Sedang belajar itu suatu tuntutan, namun anakanda harus jua berwaspada. Sana bukan tempatmu.”

“Baiklah ayahanda. Terima kasih atas pesananmu. Andai tiada titah lagi, izinkan anakanda bermohon diri.” Kedua belah tangan diangkat sebelum berundur beberapa tapak.

Meski dia berdiam diri, terlalu banyak soalan menerpa benaknya. Kenapa ayahanda tak pernah faham? Sejak kemangkatan bonda, dia sunyi. Segala yang dilakukan sekadar untuk menghiburkan hati. Sebagai seorang putera yang bakal mewarisi takhta benua Tepak Sejunjung, dia cukup beruntung kerana dikurniakan kebijaksanaan. Kebolehannya mengenali dan membaca buruj sungguh mengagumkan.
Tambahan pula, tunjuk ajar daripada Pendeta Gerimis menyerlahkan kemahirannya dari hari ke hari. Akan tetapi, tanpa disangka sikap ingin tahunya telah membawa penerokaan ke tempat yang salah. Jelujur Rahsia? Mengapa tempat tersebut dinamakan sedemikian? Usah ikutkan kemahuan hati! Dia berpesan pada diri sendiri. Perintah ayahanda harus dipatuhi. Jika tidak semua barang kesayangannya akan terbuang sia-sia sedangkan bukan sedikit usaha yang dicurahkan untuk memperolehi semua itu.

Masuk hari kesepuluh dalam tahanan di kamar peribadi. Sang putera masih bermenung. Sesekali dia ada juga berbual dengan Pendeta Gerimis. Namun kerana kesibukan pendeta itu, dia hanya dapat bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa. Andainya dia seorang puteri, tentu sahaja akan ditemani dayang-dayang cantik jelita seperti adindanya, Puteri Chempaka. Tetapi dia putera yang berjiwa lasak dan tak kenal erti berdiam diri. Dari terbit hingga terbenamnya matahari, dia masih termangu di tepi jendela. Mata beningnya terhala pada dada langit yang gelita. Bias cahaya rembulan separuh purnama begitu indah menyinari malam.

Dia tercari-cari gugusan bintang yang membentuk corak tertentu atau lebih dikenali sebagai buruj. Terangkat-angkat jarinya cuba merungkai kalau-kalau ada buruj yang tersembunyi di balik taburan bintang.

“Akhirnya muncul juga kau sang pemburu.” Putera ini sudah dapat melihat dengan jelas buruj belantik yang menyerupai seorang pemburu dengan bintang di kepala menunjuk ke arah utara.

Sejenak dia menanti. Kalau-kalau ada pengawal yang masih berbual sesama mereka. Kealpaan itu seharusnya dimanfaatkan sebaiknya. Suasana sepi bagai memberi laluan kepadanya untuk bertindak. Siapa tahu, malam ini mungkin menjadi malam bertuah buatnya?

Putera ini tiada pilihan lain apabila tindak-tanduknya terus-terusan diawasi. Seorang demi seorang pengawal dihampiri lalu ditekup hidung mereka. Sehelai sapu tangan yang bertitis minyak semambu mampu merangsang khayalan. Maka rebahlah pengawal-pengawal itu dibuai khayal sedang dia mengatur langkah cermat menuju ke Jelujur Rahsia. Segala yang tersembunyi di dalamnya membarakan rasa ingin tahu sang putera.

Saat tangan menolak pintu kayu usang, matanya terbuka luas. Betapa kamar rahsia itu menyimpan khazanah yang sungguh mengujakan! Satu persatu objek yang menarik perhatian didekati. Namun objek yang dilitupi kain perca berjahit jelujur bagai memanggil-manggil dia untuk membuka uncang tersebut.

“Apa yang tuanku lakukan?” suara cemas Pendeta Gerimis gagal memeranjatkannya.

Laju tangan sang putera merentap jahitan jelujur. Lalu terjatuh kompas berwarna perak yang berhabuk dari uncang itu. Matanya tidak berkelip. Terpegun kekaguman! Lantas penutup kompas itu dibuka dan…. Bersama kilau keemasan yang terbit bila penutup terbuka, jasad tegap milik putera itu turut menghilang. Pendeta Gerimis terpaku di situ, kehilangan kata-kata.

***

Burrr! Bunyi deburan menyentak perhatian. Tiga sekawan itu terpinga-pinga. Aktiviti renang mereka tergendala. Pandangan mereka tertumpu pada aksi seorang lelaki yang terkuak-kuak. Perlahan-lahan, mereka berenang menghampirinya. Sepintas lalu melihat kedatangan tiga manusia itu membuatkan sang putera kian berdebar. Adakah kelompok manusia ini mahu mengancamnya?

‘Kenapa beta boleh berada di tempat yang sebegini aneh? Orang-orangnya amat menakutkan. Tiada baju tersarung di badan. Rambut pula pelbagai warna, ada yang perang persis sabut kelapa.’ Kata-kata itu terhambur dalam hatinya. Dengan dirinya yang tenggelam timbul, sang putera kehilangan punca.

“Ni makhluk tuhan yang paling seksi mana pulak ni?” Mencerun pandangan Nashriq.
“Masalah! Memang masalah.” Gerutu Aidit.

“Tu je yang kau tahu cakap. Masalah, masalah. Dia ni bukan masalah. Dia orang.” Pintas Fazril hendak menyakat.

“Tahulah! Tapi masalahnya, siapa dia? Cuba kau orang tengok betul-betul apa yang tak kena? Aku rasa orang zaman sekarang mustahil nak pakai baju macam ni.”

“Alah! Kedai kostum kan banyak. Apa susah, sewa je lah. Mungkin dia baru balik dari parti pakaian beragam! Macam sekolah kita pernah buat dulu? Tema kisah dongeng. Dah lupa ke?”

“Tapi parti tu kan dah lama sangat. Aku musykil betullah. Cubalah kau orang teliti betul-betul. Bukak mata tu luas-luas. Perasan tak yang stail rambut dia tak moden langsung. Sanggup pulak pakai baju tidur yang bersulam, berlapis-lapis macam ni. Memang pelik.” Panjang lebar pula andaian mereka.

Masing-masing garu kepala bila gagal menemukan jawapan. Tetamu asing yang keletihan itu tenggelam tanpa disedari.

“Eh! Mana dia?” Hampir terjerit Nashriq bila lelaki yang dari tadi terkapai hilang dari pandangan mata.

“Ya Allah! Tenggelamlah wei!” Pantas Fazril menyelam ke dasar kolam. Tak mahu membiarkan musibah menimpa ‘tetamu’ mereka meskipun kehadirannya tidak diundang.

Nashriq menggaru kepala. Wajahnya diraup berulang kali. Sekujur tubuh yang sedang lena pulas dipandang penuh tanda tanya. Dia duduk di bilik sementara menunggu Fazril dan Aidit pulang dari membeli makanan. Awal-awal budak berdua itu menyuruhnya mengawasi tetamu tak bernama itu. Suasana asrama yang sunyi menimbulkan kebosanan.

Maklumlah, tengah cuti seminggu. Asrama di Sekolah Menengah Bintang Tujuh ini tidak mewajibkan para pelajar yang kesemuanya lelaki pulang ke rumah apabila tiba cuti sekolah. Bagi tiga sahabat ini pula, mereka mahu memanfaatkan tujuh hari yang aman tanpa gangguan sesiapa dengan menumpukan perhatian kepada latihan renang. Tahu-tahu, ada pula manusia yang tersesat dalam kolam. Macam-macamlah.

“Hoi! Termenung jauh.” Tepukan di bahu membuatkan Nashriq terkanjal.

“Dia tu tak bangun-bangun pun lagi. Aku bimbang kojol je.” Segera Fazril meletakkan jari ke hidung lelaki yang masih lena.

“Ada nafas lagi ni. Panjang umur.”

“Wuargh!” Suara garau itu membulatkan mata mereka. Serentak Fazril, Nashriq dan Aidit berpaling.

Lelaki yang berselimut itu terpacak langsung berdiri di atas katil. Tindakannya nyata mengejutkan tiga sahabat berkenaan. Tangannya mendepang ke depan. Lagilah terbeliak mata mereka.

“Jangan hampiri beta! Kalau kalian berniat hendak mengapa-apakan, beta tak teragak untuk menyerang!” Lantang suaranya.

“Rilekslah. Cuba bertenang.” Tegur Nashriq. Aidit berselindung di belakang sahabatnya.

“Argh! Pantang beta dicabuli hak. Mana persalinan beradu beta? Adakah kalian yang mencurinya?” Nashriq memandang Fazril, Fazril memandang Aidit.

Mereka tergeleng-geleng. Menggigil lutut. Biar betul lelaki ni? Nak mengamuk nampaknya. Sudahlah datang ke tempat orang.

“Hei! Dengar sini! Sudahlah bertandang tidak diundang. Kenapa buat kecoh? Ingat aku takut ke?” Tengking Fazril.

 Dia dah habis fikir. Kalau ada senjata di tangan lelaki itu, takutlah juga. Tapi dia hanya bertempik sampai nak terkeluar anak tekak.
Mencerlung putera itu memandang mereka bertiga. Perkataan bertandang bagai menyedarkannya. Sepatutnya dia berada di istana, tetapi mengapa berada di sini? Sini itu di mana? Dia sendiri tak tahu.

“Di manakah tempat ini? Mengapa beta berada di sini?” Nadanya berubah lembut. Tiga remaja itu mula mengurut dada, namun tetap berhati-hati untuk mendekati ‘tetamu’ mereka.

***

“Macam mana ni? Baju aku dah nak habis dia pinjam. Belum sempat hantar dobi lagi. Itu satu hal. Aku pening pulak fikir pasal katil. Bukannya nak berkira. Tapi, lagi tiga hari sekolah nak bukak. Mesti lusa Pali nak balik asrama. Aku kan sebilik dengan dia. Mana nak campak budak tu? Kita kena pujuk dia balik. Aku harap apa yang dia cakap tu semuanya tak betul.”

“Jangan risaulah Nash. Aku rasa tak lama lagi dia balik. Kita kena tolong dia. Aku tak nampak dia macam tengah berlakon atau hafal skrip. Apa kata balik ni kita tanya dia elok-elok? Bawak dia buat pemeriksaan doktor?”

“Nama beta Laksana Bulan…” katanya tiba-tiba sewaktu mereka sedang melapangkan fikiran. 

“Hah? Apa ke lawak benar nama kau? Kalau aku cakap jangan terasa hati ya. Dah macam lagu pulak bunyinya. Engkau laksana bulan, tinggi di atas kayangan.” Berdekah ketawa tiga remaja itu. Sakit perut dan meleleh ait mata mereka sedang sang putera kehairanan.

“Lagu? Apakah gerangan lagu itu? Siapakah tuan empunya suara yang mendendangkannya?”

“P. Ramlee. Kejap aku pasang.” Selaku peminat seniman agung P.Ramlee, Aidit segera menghidupkan laptop dan memainkan lagu Engkau Laksana Bulan yang terdapat dalam koleksinya. Begitu asyik Putera Laksana Bulan menghayati lirik bait lirik itu. Indah dah menyentuh hati.

“Tapi boleh kita orang tahu kenapa nama kau macam tu?” Nashriq dan Aidit menyiku lengan Fazril.

“Beta diberi nama sedemikian kerana beta lahir sewaktu bulan purnama. Beta adalah putera yang lahir setelah berapa waktu negeri kami ketiadaan pewaris takhta lelaki. Dan kelahiran beta laksana bulan yang dicemburui bintang. Kekanda saudara iri pada beta kerana mereka tidak dapat mewarisi pemerintahan Tepak Sejunjung.”
Begitulah kisahnya. Mereka masih tidak mampu mempercayai setiap apa yang Laksana Bulan katakan. Pengenalan lelaki itu sebagai putera masih boleh disangkal. Jika benar dirinya adalah putera, di manakah mohor yang menjadi kebanggaan kerabat diraja zaman silam? Tiga sahabat ini cuba menafikan sedapat mungkin.

***
“Beta tak peduli! Pendeta Gerimis, tolonglah beta. Hantarkan beta kepada kekanda Laksana Bulan.” Permintaan tuan puteri itu terlalu berat untuk dilaksanakan.

Namun mengenangkan rayuan puteri yang baik budi dan sememangnya akrab dengan kekandanya, Pendeta Gerimis jadi tak sampai hati. Sejak mengetahui berita kehilangan kekandanya, Puteri Chempaka jadi penasaran. Mandinya tak lena, tidurnya tak basah. Dia mahu menemukan kekanda Laksana bulan dan memastikannya selamat.

“Baiklah tuanku. Patik cuba. Pergilah bertemu dengan ayahanda tuanku buat seketika sebelum berlepas sebentar lagi.” Puteri berparas anggun itu bergegas menuju ke kamar ayahanda tersayang. Dia ingin bermanja dan pergi tanpa pengetahuan ayahanda selepas itu.

“Jaga diri tuanku. Janji dengan patik, bawa pulang Putera Laksana Bulan hari ini juga. Mengikut bola kristal patik, putera Laksana Bulan sedang berada di salah sebuah bilik asrama Sekolah Menengah Bintang Tujuh. Menggunakan kompas masa ini, tuanku akan patik hantarkan ke sana.

“Bukankah berkali-kali beta katakan kepada kalian, beta tidak pernah berbohong. Pernahkah mendengar pantun ini? Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.” Penuh perasaan Putera Laksana Bulan mengungkapkan pantun itu.

“Pernah. Masa kelas komsas cikgu ajar.” Pendek jawapan Fazril. Naik geli hati pun ada mendengar bunga-bunga bahasa lelaki yang mendakwa dirinya putera. Segala sangkaan dan tekaan mereka terhadapnya silap sama sekali. Setelah membawa rakan baru mereka menjalani pemeriksaan doktor, dia didapati waras. Mentalnya sihat dan tubuh badannya cergas. Takkanlah dia benar-benar putera zaman silam seperti yang didakwa?

“Ish! Lama sangatlah si Aidit ni mandi.” Rungut Nahsriq. Badannya berlengas setelah seharian menghabiskan masa di luar. Pening pun tak hilang lagi melayan kerenah sang putera yang bertanya itu dan ini.

“Apa yang sedang mereka makan? Beta juga mahu cuba.” Tanpa teragak-agak Nashriq singgah sebentar ke Baskin and Robbins untuk membeli aiskrim perisa karamel kepada putera itu. Namun bila sahaja makanan itu mencecah lidah, tak semena-mena ais krim yang berharga hampir lapan ringgit itu tercampak dari tangannya. Geram sungguh Nashriq jadinya. Buat membazir aje!

“Sejuknya! Air hujankah? Teruknya manusia zaman maju ini. Tiada makanan lain sehingga menjadikan air hujan sebagai santapan.” Masa itu, mereka bertiga tepuk dahi.

“Tolong! Hantu!” Jeritan nyaring Aidit membuatkan mereka bertiga berkejar ke bilik air.

“Kau jaga-jaga! Aku nak tendang pintu!”

“Jangan!” Sekuat hati Aidit bertempik.

“Iyaah!” Aidit terlentang dalam keadaan berseluar pendek bila tendangan padu Fazril yang menghala ke pintu tandas tersasar ke arahnya. Dia menjadi mangsa keadaan kerana hendak membuka pintu.

“Kanda!” Lembut suaranya menyapa gegendang telinga mereka bertiga. Membulat mata Laksana Bulan bila terpandangkan kelibat adinda kesayangannya.

“Dindaku Chempaka!” Dua bersaudara ini berpelukan. Erat! Sehingga dua sahabat itu terpaku melihat jelitanya rupa puteri nan anggun. Bila teringatkan perihal Aidit, mereka bergegas membangunkan sahabat yang masih pengsan.

“Apa khabar wahai kekanda? Dinda terlalu merinduimu.” Rambut dan pipi abangnya diusap berkali-kali.

“Kanda sihat sejahtera dinda. Iya, kanda jua rindu padamu. Terlalu rindu. Ayahanda pula bagaimana? Pendeta Gerimis? Bagaimana dinda boleh tiba di sini?”

“Semuanya atas bantuan Pendeta Gerimis. Dinda datang ke sini dengan hikmat kompas masa. Kompas yang menghantar kanda ke dunia ini tanpa sengaja. Alat yang masih diuji oleh Pendeta Gerimis sebelum ayahanda menggunakannya untuk manfaat bala tentera kita. Ayahanda sihat sahaja kanda. Dinda datang ke sini tanpa pengetahuan ayahanda.”

Terpegun Nashriq, Fazril dan Fazril mendengar perbualan dua beradik itu. Benarlah, putera Laksana Bulan tidak pernah menipu. Hanya mereka yang cuba menidakkan. Kawan baru mereka ini sememangnya sungguh istimewa.

“Kanda, sudikah kiranya andai kita pulang sekarang?”

“Tunggu sebentar dinda. Kanda mahu berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang terlalu banyak mencurahkan jasa. Mereka membantu kanda dengan ikhlas. Ke mari, kanda kenalkan. Nashriq, Fazril dan Aidit. Oh ya, puteri ini adalah adinda beta. Puteri Chempaka.”

Saat bersalaman, sekali lagi mereka bagai terpukau dek kejelitaan sang puteri. Jika dahulu, mereka mengagumi ketampanan wajah Melayu tulen milik Putera Laksana Bulan, nyata adindanya tak kurang manis.

“Terima kasih sahabat-sahabatku. Andai ada usia, kita ketemu lagi. Selamat tinggal.” Bergilir-gilir tiga sahabat ini memeluknya. Ada sendu dalam perpisahan. Meski pertemuan dan persahabatan yang terbina hanya bersifat sementara namun kenangan yang tercipta kekal selamanya dalam ingatan.

“Macam baca kisah dongeng je rasanya. Jumpa pasangan adik beradik putera yang tampan dan puteri yang cantik. Aku rasa macam mimpi.” Luah Nahsriq.

“Kita bertuah sebab ada pengalaman tentang hal yang biasanya dianggap mengarut. Sekurang-kurangnya kita tahu, wujud jugak putera zaman silam.” Tambah Fazril dalam senyuman.

“Sebabkan puteri cantik tulah, kepala aku ni bengang lagi. Nasib baik tak koma.” Seloroh Aidit. Tawa mereka meletus lagi. Namun nama Laksana Bulan dan Chempaka takkan lekang dari sanubari tiga remaja ini. 

p/s: patuhilah setiap larangan. nescaya terselit akibat di sebalik setiap larangan tersebut jika kita melanggarnya. 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wah...asyik sungguh sy membacanya..termasuk sekejap dlm khayalan ni..hohoho..sy bg 5..
  • 2) menarikk.. heeheh
  • 3) hehehe~
    best best
  • 4) best..
  • 5) hehehe nice. kemas je.
    dah lama adra tak berfantasi2 gini. hiii.
  • 6) cerpen genre begini saya kira satu kelebihan pada Adra. anda mahir menyampaikan suasana dan menerapkan elemen fantasi itu. untuk cerpen yang ini, kemas dan ringkas dengan pengolahan yang bersahaja.

  • (Penulis)
    7) terima kasih pada semua yang sudi membaca. ini dibuat masa tengah bengang tapi tetap nak menulis hehehe.
  • 8) akak terlewat komen karya ni...

    lama tak dengar berita... adra sihatkan kan?

    latar cerita yang baik... plot pun bagus...
    penulisan adra pun dah tampak matang... nice

    congrat

  • (Penulis)
    9) adra sihat kak...hehehe.
    terima kasih kak.

    terima kasih sudi singgah baca =)
  • 10) pilih2..

Cerpen-cerpen lain nukilan adra

Read all stories by adra