Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Hikayat Puteri
Tersebutlah kisah seorang puteri yang sangat rupawan. Diceriterakan dari mulut ke mulut akan kisah ini, sehinggalah sampai ke pendengaran beta tika warkah ini ditulis. Buat sekalian rakyat jelata yang beta kasihi, ambillah ikhtibar darinya. Jangan sesekali kamu alpa dan leka kerana kelak akan membinasakan kalian. Belajarlah dari setiap sesuatu kerana sesungguhnya tidaklah sesuatu kejadian itu berlaku tanpa tuju. Pasti, meski lambat mahupun cepat akan terlihat juga oleh sekalian kamu akan firasat bentuknya. Sehinggakan waktu itu, maka percayalah wahai kalian rakyat jelata. Tetapkanlah qiammu dan turutilah pesanku ini seperti pesan-pesan cendikiawan terdahulu. Dan sesungguhnya telah Allah si Tuhan yang menciptakan sekalian langit dan bumi ini telahpun berfirman di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim, "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani." Dan kerana itulah, percayalah wahai sekalian rakyat jelata akan pesanku ini. Berbuat baiklah kamu dengan pesan berpesan, sesungguhnya inilah jalan yang diredhai.
Seorang puteri telah dilahirkan di istana kayangan. Dikhabarkan, puteri itu sangat cantik rupanya. Rambutnya lurus panjang, lembut terbelai. Alisnya tebal dan matanya galak memandang tajam. Keras lakunya berselingan manja, tahu menjaga diri malah santun juga tidak terabai. Baik budi dan bersifat mulia membuatkan sang puteri menjadi igauan seluruh yang memandang. Malah kerana perinya itu, Puteri disayangi sekalian jelata-tua dan muda, miskin dan kaya. Dan berlimpahanlah sang puteri itu dengan senyuman dek kerana bahagia.
Wahai sekalian rakyatku,
Aku ini bukan seperti puteri itu. Kadangkala aku mungkin berlaku zalim kepada kalian. Kadangkala aku kurang fasih terhadap masalah semua darimu. Namun ketahuilah wahai jelataku, ikhlasku memimpin kalian kerana Allah Taala. Sebaik-baik urusan telah aku serahkan kepadaNya. Maka hendaklah kalian bersabar, jika cara fikirku tidak seperti kehendak kalian kerana sebenar-benar ajaran, telah aku timbang-tara sebaik-baik keputusan sebelum berbuat sesuatu. Selaku pemerintah, aku bermohon agar percaya kalian masih teguh setia atas pundakku.
Maka kerana itu sekalian rakyatku, perihal puteri itu mahu aku teruskan. Dengarlah dengar sabar setiap patah bicaraku.
Dan pada suatu hari, telah datanglah fitnah kepada sang Puteri bahawa hidupnya telah disumpah semenjak dilahirkan. Maka dengan linang tangis, sang Puteri di hantar ke dunia untuk mencari penawar. Syahadan maka bersyaratlah jejak langkahnya ke bumi. Akan syarat yang pertama, sang puteri perlulah berhidup dengan aman dan damai tanpa suara. Seterusnya syarat kedua, sang Puteri perlulah mencari sebenar-benar maksud cinta. Sesudah itu akan datanglah cahaya dekat kepadanya, membawa pulang ke kerabatnya di kayangan.
Arakian, maka diwaktu lainnya ada pula seorang jejaka yang sangat kuat tenaganya. Susuknya sangat gagah dan pejar. Suaranya lantang menentang salah. Katanya sangat berbisa namun penawar bagi hati sekalian manusia yang berduka. Jejaka ini namanya Inderawan. Wajahnya sangat kacak. Kulitnya meski tidak halus, namun manis air wajahnya terserlah. Inderawanlah seorang manusia yang telah dikurniakan makrifat semenjak lahirnya. Tahunya akan firasat dan penakkulan. Dan kerana kelebihannya itulah hidupnya menjadi tumpu sekalian umat. Namun, dia langsung tidak pernah lupa akan tingi rendah duduknya. Dia bukanlah sezuhud mana, tapi dia menjaga pendangannya. Dia merendahkan dabik dadanya kerana rasa takut kepada sang Pencipta.
Maka setelah berada di bumi, Puteri itu sejenak itu juga terus menjadi bisu. Maka tanpa ada hala tuju mahu bertanya, sang Puteri mengikut saja langkah kaki sehingga akhirnya terjumpa dengan seorang nenek. Nenek ini namanya Nek Yan. Nenek ini sudah tua, sudah bertongkat dan bongkok enam. Namun seperti ada kuasa, nenek ini masih mampu menyusun langkah meski perlahan. Maka bertangisanlah sang Puteri kerana lapar dan dahaga yang terlalu amat.
Malangnya tidaklah diketahui oleh si nenek ini akan kehendak puteri tersebut. Oleh kerana itu maka segeralah si nenek ini mencari Inderawan. Pada kala bertemu pandang, Inderawan sudah dapat membaca firasatnya secara terang. Maka disembunyikanlah segala kekagumannya di dalam hati sahaja, takut-takut kalau mendatangkan curiga pada sekalian yang tidak memahami kuasa penciptaan langit dan bumi. Tugasnya sangat berat mahu memikul agar Agama Islam tidak disalah tafsirkan.