Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

SI PEMAIN ULAR; NOO LAATONG

 

Noo Laatong tersenyum di muka pintu. Beberapa orang anak kecil lari berkejaran. Ada yang hanya memakai seluar dan ada yang berbogel. Suara mereka riuh. Ada gelak ketawa dan ada suara menjerit-jerit. Kegembiraan.

Angin membuai perlahan-lahan. Liuk lintuk daun pokok kelapa turun naik. Melambai-lambai setiap anak jati Kok Sanga. Dari celahan muka pintu yang berdindingkan daun bertam dan bertiangkan buluh Noo Laatong menghempaskan kepalanya ke dinding itu.

            Ada kedengaran bunyi lembu mengemboo. Tidak lama, cuma seketika. Dia tahu itu tentunya lembu-lembu jagaan Kwat. Anak lelaki tunggalnya.

            “Sudah makan rebusan akar kayu tu,”

            Noo Laatong tidak mengendahkan pertanyaan daripada suara itu. Dia tidak mengangguk juga tidak menggeleng. Dia diam sahaja.

            “Macam mana sakit kau mahu lega. Kau sendiri tidak mahu ikut cakap Tabib Con,”

            Noo Laatong memaling wajahnya. Merenung orang berkata kepadanya.

Wanita itu sedang memberi makan kepada ayam-ayam di halaman rumah mereka. Wanita itu isterinya, Wulan.

            Bukan dia tidak mahu minum air rebusan akar Tabib Con, tapi rasanya kunyahan dari daun Pokok Kapal Terbang yang ditampal-tampal ditempat patukan Xi-xi sudah memadai. Malah dia sudah minum air perahan daun Pokok Setawar Ular. Rasa-rasanya bisa Xi-xi sudah tidak menjalar lagi dalam badannya.

            Beberapa ekor ayam lekas berkejar ke arah Wulan apabila dia mula menaburkan nasi-nasi. ayam-ayam itu berebut-rebut. Sesekali Wulan menyepak ayam yang tiba-tiba sahaja mematuk kakinya.

            Noo Laatong memandang Wulan. Perempuan itu bersanggul. Walaupun sudah dimamah usia, namun Noo Laatong masih dapat melihat sisa kecantikan di wajah isterinya itu.

            Bukan senang dia mahu mendapatkan Wulan. Anak ketua kampung Kok Sanga itu menjadi rebutan di zaman mudanya. Siapa yang tidak kenal Wulan? Perempuan berkulit putih dengan rambut panjang itu sering membuatkan lelaki yang melihatnya berangan-angankannya. Termasuk juga Noo Laatong. Tapi ramai yang menyimpannya sebagai angan. Siapakah lelaki yang bersedia menghadap bapa Wulan, Nang Kronk yang begitu garang?

            Xi-xi yang membuatkan angan-angannya menjadi kenyataan. Nang Kronk kagum dengan kehebatannya bermain dengan Xi-xi. Dia mencium Xi-xi, mengusap-usap Xi-xi dan menari-nari dengan Xi-xi. Sesungguhnya bapa Wulan terpegun dengan ‘kejantanannya’ menjinakkan sang betina itu.

            Mungkin kerana itulah apabila lamarannya terhadap Wulan diterima dengan sebulat hati Nang Kronk. Tambahan pula namanya sudah semakin popular. Bukan sahaja di Kok Sanga tapi sudah melewati jauh sehingga ke Bangkok dan negara-negara jiran.

            Itu semua kerana Xi-xi. Sang Betina yang makan telur ayam kampung dua biji sekali makan itu.

            Kini, kenapakah Xi-xi menyakitinya? Adakah Xi-xi tidak lagi menyukainya? Sudah lama Noo Laatong membela Xi-xi. Belum pernah Xi-xi mematuknya. Seingatnya sudah 15 kali dia dipatuk ular semasa bermain dengan mereka. Tapi semua itu bukan patukan daripada Xi-xi, si ular tedung selar itu.

Itu ular-ular peliharaannya yang lain.

            Ketika itu pesta Songkran.

            Dia sudah melihat ketidakmesraan Xi-xi. Ular itu tidak mahu makan ketika diberikan telur. Xi-xi berlainan sikapnya. dia tidak lagi mesra dengan Noo Laatong. Pada mula Noo Laatong mahu bermain dengan Xi-xi dia sudah perasan yang bebola mata Xi-xi meliar. Mood Xi-xi lain daripada biasa. Xi-xi marah-marah.

            Namun Noo Laatong mahu membawa Xi-xi untuk pertunjukan itu. Dia sudah berjanji dengan ketua kampung untuk membawa Xi-xi semasa pertunjukkan semasa Pesta Sangkron. Semua orang mahu melihatnya bermain-main dengan xi-xi. Dan dia berharap kehadiran Xi-xi berupaya membanyakkan lagi kantung derma untuk pembinaan Dewan Kampung Kok Sanga.

            Maklumlah Xi-xi pandai menari. Pandai bergelek-gelek mengikut irama serunai. Gerak tari Xi-xi seumpama gerak gaya senaman Tai-Chi. Malah Xi-xi bisa dicumbui Noo Laatong sesuka hatinya.

            “Ini ubatnya...minumlah. Wajah kau pucat benar,” Wulan menghampiri Noo Laatong yang termenung sedari tadi. Buat pertama kalinya, Noo Laatong akur kehendak isterinya untuk minum ubat akar kayu Tabib Con. Bukan kerana sakit tapi mahu menjaga perasaan isterinya yang begitu setia menyuruh.

            “Puihh... pahit,” Noo Laatong meludah membuang ubat yang cuba ditelannya itu.

            Wulan tersengih melihat gelagat suaminya. Lelaki yang tidak pernah gentar dengan binatang berbisa takut dengan segelas air yang pahit.

            “Ubat mestilah pahit,” balas Wulan.

            “Sudah... aku tak mahu minum lagi. Bisa sudah aku keluarkan. Cuma sedikit sahaja sakitnya. Kau pun tahu yang badan aku sudah kebal dengan bisa ular. Esok-esok aku sembuhla,” Noo Laatong menolak gelas ubat itu kepada isterinya. Mujur Wulan sempat menyambutnya daripada tumpah.

            “Kau sudah sepatutnya bersara. Kau sudah tua,” Wulan agak marah dengan perangai Noo Laatong. Kerana itulah kata-kata tersebut keluar daripada mulutnya. Wulan berlalu. Malas melayan ego Noo Laatong yang kadang kala menjelikkan.

            “Aku sudah tua? Bersara?”

            Noo Laatong tersengih sendiri mendengar sindiran isterinya itu. Dia tahu isterinya marah. Juga dia tahu yang isterinya tidak tahu yang hubungannya dengan ular bukanlah satu pekerjaan. Yang boleh berhenti bila tidak berminat untuk bekerja.

            Dia dan ular adalah satu keabdian. Dia mengabdikan seluruh hidupnya bermain ular. Bukan hanya dia. Juga seluruh keluarganya.

            “Hei Wulan, kau dengar ini.”

            “Seluruh keluarga Noo Laatong adalah pemain ular. Seperti yang aku ceritakan semasa malam pertama kita dahulu.”

            Itu yang diberitahu oleh ayahnya. Menurut salasilah keluarga Noo Laatong adalah seorang pembuka asal tanah Kok Sanga. satu ketika ketika moyangnya sedang bertapa untuk memohon kemakmuran kampung yang baru dibukanya dia didatangi oleh seekor ular yang besar. Ular itu luka.

            Mulanya Moyangnya agak takut. Tetapi tiba-tiba sahaja moyangnya diserapi semangat baru. Dia mengambil keputusan untuk merawat ular yang luka itu. Sebagai balasannya ular itu telah menghadiahkan bakat menjinakkan ular kepada moyang dan seluruh keturunannya.

            Itulah yang diceritakan moyangnya.

            “Wulan... bukankan seluruh keturunan Noo Laatong pemain ular yang hebat”. Noo Laatong hanya menjerit dari dalam hati sahaja. Dia tahu dalam situasi sekarang, kebanggaannya terhadap salasilah keluarga akan senang sahaja dipatahkan oleh Wulan. Dan tambahan pula disebabkan oleh Kwat...

            Kwat anak kesayangan Wulan itu tidak menjejak sifatnya. Kwat tidak pandai bermain atau menjinakkan ular. Pernah suatu ketika dahulu dia memaksa Kwat bermain ular. Natijahnya Kwat dipatuk ular. Lama juga Kwat terlantar sakit. dan lama juga dia terpaksa mendengar leteran daripada Wulan. Sejak daripada itu Kwat tidak lagi menyentuh ular-ular peliharaannya.

            Adakah salasilah yang dibanggakannya akan berakhir? adakah patukan daripada Xi-xi membawa petanda kegagalannya mewariskan kemahirannya itu kepada Kwat. Barangkali juga moyang-moyangnya marah?

            Semua pertanyaan-pertanyaan itu melingkari fikiran Noo Laatong.

            Noo Laatong mengusap-usap pahanya yang semakin membengkak. Dia melihat dua tompokan lubang di situ.

            Dashyat juga penangan Xi-xi!

            “Aduh,” Sakit juga apabila bengkak itu disentuh. Noo Laatong mengaduh.

            “Ayah...Xi-xi tiada dalam kotaknya,” suara Kwat dari bawah rumah memberitahunya.

            “Xi-xi hilang?” Noo Laatong cemas. Ular kesayangannya sudah lepas.

            Semalam ketika dia terkejut akibat dipatuk Xi-xi dia menyimpan ular itu didalam kotaknya dengan cermat. Noo Laatong memang marahkan Xi-xi kerana mematuknya. Tapi tiadalah sampai mahu membuang atau membunuhnya. Noo Laatong tahu Xi-xi bukan sekadar sumber rezekinya. Xi-xi adalah warisan kehebatan keturunannya.

            Cepat-cepat Noo Laatong turun ke bawah.

            “Mana kau tahu?” soal Noo Laatong kepada Kwat.

            “Aku tengok tadi,” balas anaknya itu.

            Cepat-cepat Noo Laatong pergi ke belakang rumah. Dia pantas membuka kotak kayu yang menjadi tempat tinggal Xi-xi.

            Memang betul! Xi-xi tiada di dalam kotaknya.

            Noo Laatong melihat anaknya dengan wajah cemas. Hilangnya Xi-xi menandakan dia hilang segala-galanya.

            “Ayah tak apa-apa?” tanya Kwat apabila melihat ayahnya memegang kepala dan terhuyung-hayang.

            “Aduh! Peningnya,” Noo Laatong terasa bisa Xi-xi semakin menyentap setiap uratnya. Seluruh tubuhnya terasa kebas.Rasa menyesalnya kerana tidak minum ubat yang diberikan oleh Wulan mula terasa.

            Noo Laatong dipimpin Kwat ke sebuah pangkin di bawah sepohon pokok rendang. Matanya mula berpinar.

            “Ayah...tunggu sini. Kwat panggil emak. Bawa ubat,” Hanya itu yang dapat didengar Noo Laatong dalam keadaan yang seperti bumi mahu terbalik. Berpusing-pusing. Berpinar-pinar.

            Apakah daun Kapal Terbang dan Setawar Ular  yang dijadikan ubat selama ini tidak bisa membuatkan bisa Xi-xi tawar? Begitu kuat penangan Xi-xi!

            Telinganya hanya mendengar bunyi Kwat berlari-lari sambil memanggil nama Wulan, isterinya.

            Dalam keadaannya bertarung dengan kesakitan, Noo Laatong terpegang satu benda lembut. Kemudian dia terdengar bunyi desiran.

            “Xi-xi.. Xi-xi,” Noo Laatong tahu itu bunyi desiran ular kesayangannya. Walaupun  dalam kekaburan dan kesakitan yang amat sangat dia dapat merasakan yang itu adalah Xi-xi.

            Satu semburan singgah di wajahnya. Disusuli dengan patukan. Atas sedikit daripada tempat patukan Xi-xi dahulu. Serentak dengan itu dia mendengar Wulan menjerit. Ada suara Kwat juga menjerit.

            Dunia semakin kelam. Gelap. Sejurus kemudian dia merasakan badannya seolah-olah diserap sesuatu. Kemudian kembali hitam dan hitam.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) baguih dok ada. Cuma part watak bapa mendengar anaknya memanggil nama Wulan iaitu nama isterinya agak janggal. Yang lain, best!!
  • 2) ermm..kisah penjinak ular (?) yang akhirnya dipatuk oleh haiwan peliharaannya..

    "Beberapa ekor ayam lekas berkejar ke arah Wulan apabila dia mula menaburkan nasi-nasi. ayam-ayam itu berebut-rebut."
    rasa pelik sikit lah..boleh bikin macam
    "Mereka berebut-rebut"

    atau saya mungkin salah

    /4
  • 3) ha ha. nama watak tabib con adalah nais!
    sukalah tulisan khairulr. kelainan.

  • 4) Xi-Xi mahu cari hidup baru...
  • 5) Harapkan pagar, pagar makan padi. (Eh, ada kena-mengena dengan cerita inikah?) Hehehe...

    Kemas tulisannya.

Cerpen-cerpen lain nukilan khairulr

Read all stories by khairulr