Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

PCB#6 Bahagia Si Cilik Ecah

 

   “Mama, kat sini dapat tak duit raya?” tanya Ecah. Ketika itu di dalam benak si cilik 5 tahun itu terbayang-bayang sampul kecil pelbagai warna berisi wang yang pernah diberi oleh Mama dan Papa. Ada juga orang lain yang beri. Paling banyak Ecah pernah dapat wang RM50 sekeping daripada Pak Ucu.


   Ecah masih ingat lagi sampul yang diberikan oleh Pak Ucu, warna hijau pucuk pisang berhiaskan gambar ketupat. Pak Ucu memang suka beri Ecah banyak duit, dia kata simpan buat belanja belajar apabila Ecah sudah besar nanti, tapi duit yang diberi oleh Pak Ucu tidak pernah disimpan Ecah. Pak Ucu tak pernah tahu. Lagipun Pak Ucu tidak pernah tanya apa Ecah buat dengan wang yang diberinya.


   Mama senyum. Faham benar dia mengapa Ecah bertanyakan duit raya, tetapi siapalah yang punya banyak wang di sini untuk beri duit raya? Kebanyakkan sahabat-handai mereka di sini perantau, datang semata-mata hendak menuntut ilmu. Datang pula ditaja. Wang yang ada pun harus diguna cermat.


   “Ecah sayang, sini bukan seperti di Malaysia. Di sini orang tak bagi duit raya,” jawab Mama sambil mengusap lembut rambut Ecah. Ecah senang diperlakukan begitu. Adiknya Iman yang berusia dua tahun sedang lena di atas sofa empuk bercorak abstrak. Biru berlainan tona warnanya memberikan rasa damai kepada yang melihatnya, apa lagi kepada yang duduk atau berbaring di atasnya. Ecah pun suka tidur di situ. Seringkali Ecah bergaduh dengan Iman dek berebut hendak baring-baring di atas sofa tersebut, tetapi kali ini, Ecah lebih senang berada di pangkuan Mama, dibelai manja.


   Mata Mama tenung Ecah. Ecah buah hati pertama Mama. Sejak mengandungkan Ecah lagi Mama sering memperdengarkan ayat-ayat al-Quran kepada Ecah. Mama suka dengar bacaan al-Quran melalui pemain CD, kemudian Mama letak earphone di perut apabila Ecah menendang perut Mama.


   Ketika di Malaysia, Ecah antara kanak-kanak pintar, juzu’ Amma sudah dihafal semuanya ketika dia berumur 4 tahun. Mama tidak putus-putus doakan Ecah menjadi seorang hafizah. Doa itu bukan setahun dua terbit dari mulut Mama. Doa itu sering disebut sejak Mama berkahwin dengan Papa sehingga kini.


   “Ala Ma, tak seronoklah kalau tak dapat duit raya!”


   Raut wajah Ecah bertukar muram. Ecah berharap sangat dapat duit raya tahun itu seperti tahun-tahun sebelumnya. Ecah sudah punya plan. Kalau tidak dapat duit raya, tentu plan Ecah tidak menjadi.


   Ecah terus diam. Jari-jemari runcing Mama masih membelai rambut Ecah sehingga akhirnya Ecah lena dipangkuan Mama.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


   Pukul 3 pagi. Ecah dikejut Mama untuk bersahur. Pada awal Ramadhan tahun ini, agak sukar untuk Ecah bangun. Ecah selalu kata sejuk dan mengantuk. Pernah Ecah minta untuk tidak bersahur dek malas bangun sahur. Jika Ecah bangun pun, selera makannya kurang, membuatkan Mama risau. Ikut perasaan Mama, hendak sahaja Mama tidurkan Ecah semula tetapi ditahan Papa. Kata Papa, biar Ecah rasa susah sedikit. Lagipun lepas solat Subuh Ecah boleh tidur semula kerana sekolah hanya bermula pada pukul 9 pagi.


   Mama ikutkan sahaja kata Papa. Sebagai alternatif, Mama beli bijirin sarapan yang paling Ecah suka, dimakan dengan susu segar yang Mr. Robinson hantar setiap pagi di depan pintu rumah mereka, biar naik selera Ecah untuk bersahur. Sekurang-kurangnya selepas itu Ecah sudah berselera makan walaupun kadang-kadang Ecah tersengguk menunggu Mama tuang bijiran sarapan untuk Ecah. Setiap kali melihat si puteri cilik tersengguk di meja makan, setiap kali itu juga Mama dan Papa tergelak kecil. Papa tidak melepaskan peluang merakamkan gambar Ecah tersengguk di meja makan. Apabila besar nanti semoga Ecah dapat hargai setiap yang berlaku di dalam hidupnya melalui gambar-gambar yang dirakam Papa.


   Sudah seminggu mereka berpuasa di perantauan, dalam tempoh itu juga Ecah sudah biasa bangun sahur. Ecah minta tolong Mama siapkan pakaian untuknya ke sekolah esok hari supaya Ecah boleh tidur awal. Dia tidak mahu tersengguk lagi di meja makan. Ecah mahu bersahur dengan gembira sambil menikmati hidangan sahur yang Mama siapkan untuk mereka sekeluarga. Tambahan lagi, Mama beritahu Ecah, orang yang bersahur itu pahalanya lebih. Jika melewatkan sahur, itu yang terbaik.


   Dalam tempoh seminggu itu juga, Ecah berjaya berpuasa penuh selama dua hari, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari persekolahan, Ecah berpuasa sehingga waktu rehat kerana semua pelajar Year One wajib makan makanan yang disediakan atau membawa bekal dari rumah.


   Guru Besar sekolah Ecah sudah menggariskan peraturan bahawa hanya pelajar-pelajar Year Four sehingga Year Six sahaja dibenarkan berpuasa. Itu pun cuma dua kali seminggu. Kata Ms. Wilde, di dalam Islam, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa. Katanya lagi, dia sudah merujuk terjemahan al-Quran yang disimpannya di dalam pejabat. Mama sentiasa mendoakan Ms. Wilde mendapat hidayah daripada Allah, tambahan beliau sudah pernah membaca terjemahan al-Quran. Mama kata semoga apa yang dibaca oleh Ms. Wilde membuka pintu hatinya menerima Islam sebagai agama dan cara hidup. Ecah aminkan doa Mama sebab jika Ms. Wilde seorang Islam, sudah tentu Ecah lebih mudah berpuasa di sekolah.


   Di sekolah, Ecah ada ramai kawan. Sikap Ecah yang mudah mesra walaupun masih kecil membuatkan ramai orang ingin berkawan dengannya. Ecah pula tidak kekok berada di tengah-tengah kelompok anak-anak orang yang belainan bangsa dan agama dengannya.


   Di antara ramai-ramai kawan Ecah, Michelle adalah yang paling rapat dengan Ecah. Michelle tinggal selang tiga pintu daripada rumah Ecah jadi setiap kali dihantar Mama ke sekolah, Ecah akan mengetuk pintu rumah Michelle dan mengajak Michelle berjalan bersama ke sekolah. Sambil berjalan, Ecah dan Michelle sering bertukar cerita.


   Ecah pernah memberitahu Michelle yang setiap pagi Ecah berpuasa tetapi cuma sehingga tengah hari. Mama dan Papa pula berpuasa sehingga siang sudah menganjak malam. Ecah juga beritahu yang dia sedih kerana kemungkinan dia tidak akan mendapat duit raya seperti di Malaysia. Michelle yang simpati menceritakan bahawa di dalam keluarga mereka, mereka memberi hadiah setiap kali Krismas. Ecah teruja mendengar cerita Michelle, lebih-lebih lagi apabila Michelle menceritakan bahawa hadiah yang diberi Mummy dan Daddy Michelle biasanya hadiah yang Michelle suka tetapi tidak mampu untuk membelinya sendiri.


   Sepanjang hari Ecah terfikirkan cerita Michelle tentang hadiah yang diterima pada hari Krismas. Tentu Mummy dan Daddy Michelle orang yang baik. Papa kata orang yang memberi itu adalah orang yang baik. Jika kita suka memberi, pasti Allah sayang kepadanya. Untungnya Mummy dan Daddy Michelle berpeluang memberi hadiah kepada Michelle!


   Wajah Ecah sugul setiap kali dia teringin menjadi seperti Mummy dan Daddy Michelle – berpeluang memberi hadiah yang disukai orang lain. Ecah kecil lagi, apa yang Ecah mampu beri? Jika Ecah tidak memberi, adakah Allah sayang kepada Ecah? Ecah buntu.


   Ecah mahu Allah sayang Ecah.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


   Hari itu hari minggu. Daun-daun kering menari-nari di sekitar taman permainan. Tidak ramai kanak-kanak yang keluar bermain. Jika mereka mahu bermain di luar, pasti berlapis-lapis pakaian perlu dipakai. Terdapat dua pasangan warga emas berjalan beriringan di sepanjang laluan pejalan kaki. Seorang ibu mendukung anaknya di sebelah kanan dan memimpin seorang lagi anaknya di sebelah kiri. Anak yang didukungnya kelihatan seperti hendak menangis. Ecah cuma perhatikan suasana di taman tersebut sambil berjalan menuruti langkah Mama. Kalau Iman atau Michelle ada, tentu Ecah sudah tarik mereka menaiki buaian bersamanya.


   “Ecah sayang, nampak tak pakcik yang sedang tidur di atas kerusi batu tu?” tanya Mama tiba-tiba. Ecah angguk. Pakaian pakcik tersebut compang-camping. Dia memakai topi hijau yang sudah lusuh, seperti juga bajunya. Ecah beritahu Mama, tentu pakcik tersebut kesejukan. Kasihan pakcik itu, mungkin juga dia belum makan lagi, fikir Ecah, namun tidak dinyatakan kepada Mamanya.


   Mama dan Ecah menuju ke arah pakcik tersebut. Zip beg Mama dibuka, sehelai selimut sederhana tebal dikeluarkan daripada beg merah jambu bersaiz besar lantas menyelimutkan pakcik tersebut. Sejurus selepas itu, Mama mengeluarkan sedikit wang, dimasukkan wang tu ke dalam kocek pakcik itu.


   Ecah cuma perhatikan Mama. Ada raut sedih terpampang. Mama berpeluang memberi sedikit wang dan sehelai selimut kepada pakcik di taman. Seronoknya Mama! Tentu Allah makin sayangkan Mama. Ecah pun mahu Allah sayang Ecah sebab Ecah beri sesuatu kepada orang lain tapi apa yang Ecah boleh beri?


   Buntu.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


   Dulu di Malaysia, Ecah suka beli pensil. Bukan sebatang. Bukan dua batang. Ecah beli berkotak-kotak. Pensil berkotak-kotak itu Ecah berikan kepada kawan-kawanya di tadika. Ecah bukan minta duit daripada Mama untuk beli pensil. Ecah guna duit yang Pak Ucu beri pada hari raya. Waktu itu Ecah rasa seronok kerana dia mempunyai duit sendiri untuk beli pensil dan pensil tersebut kawan-kawannya guna untuk menulis ‘A, B, C’. Kadang-kadang kawan-kawan Ecah lukis gambar rumah dan pemandangan menggunakan pensil yang diberi oleh Ecah, kemudian dengan gembira, Ecah akan mewarnakan gambar yang dilukis kawan-kawan Ecah.

 

   Di sini, tiada siapa yang akan beri duit raya buat Ecah. Jadi, Ecah sudah tidak boleh beli pensil berkotak-kotak. Kawan-kawan Ecah tidak boleh menulis ‘A, B, C’ atau melukis gambar rumah dan pemandangan menggunakan pensil yang diberi Ecah.

 

   ‘Tak bestnya!’ rungut Ecah dalam hati.

 

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


   “Mama, orang yang tak beri duit atau hadiah kat orang lain tak dapat pahala ke?”


   Tangan Mama yang sedang menjahit baju kurung Ecah terhenti mendengar soalan Ecah. Sekarang Mama sangat pasti apa yang merusuh dalam hati anaknya.


   Mama letak baju yang sedang dijahitnya di meja bulat di sisi sofa tempat Mama duduk dan Mama pandang Ecah sambil tersenyum. Tangan Mama menyentuh lembut tangan anaknya.


   “Sayang, kita cuma perlu memberi sekadar yang termampu,” kata Mama.


   “Apa yang Ecah mampu?”


   Mama beritahu Ecah bahawa banyak yang Ecah boleh beri kepada orang lain walaupun masih kecil. Terpancar perasaan teruja dari mata bulat Ecah – satu perasaan yang lahir ikhlas dari hati bersih seorang kanak-kanak.


   Senyum Mama makin lebar melihat Ecah begitu. Kemudian Mama terangkan satu-persatu perkara yang Ecah mampu beri kepada orang lain. Semakin banyak penerangan Mama, semakin bulat mata Ecah.


   “Haaa… sekarang Ecah boleh mula memberi seberapa banyak pun yang Ecah mahu. Bulan Ramadhan ni tentu berganda-ganda pahala Ecah bertambah!” ujar Mama yang turut kelihatan teruja, mungkin terbawa-bawa dengan emosi Ecah.


   Ecah senyum lebar.


   “Terima kasih Mama!”


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


   ‘Ding dong!’


   Pintu dicat warna birch dibuka dari dalam rumah. Sesusuk tubuh tinggi lampai berambut blonde keluar diiringi Michelle.


   “Good morning Mrs. Stephenson! Good morning Michelle!


   Ecah senyum.


   “We have to go Mom. Bye!” dalam kekalutan, Michelle mengucap selamat tinggal kepada Mummynya dan menarik tangan Ecah. Michelle tidak sabar hendak berborak bersama Ecah kerana kata Ecah, dia ada perkara menarik untuk dikongsikan. Muka Ecah yang berseri-seri membuatkan Michelle makin tidak sabar.


   “I pray that you would have a nice day today Mrs. Stephenson!” ujar Ecah laju dek bimbang tidak terucap apa yang ingin diucapkan apabila tangannya ditarik Michelle.


   Ecah gembira. Baru pukul 8:45 pagi, sudah dua kali Ecah memberi kepada Mrs. Stephenson.


   Ecah senyum lagi. Dia bahagia.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) aaaaah...sweeeet sangat.
    inspiring story.

    banyak nilai-nilai murni yang disisip. memang khalifah institutelah hihi.

    sengit juga nak pilih pemenang edisi ni! huhuhuhu
  • 2) Cerita ini sangat bagus! ahli Khalifah Institute sudah menunjukkan belang dan menampakkan taring! alhamdulilah
  • 3) Sweetnye. Oke rasa macam ada air bergenang di kelopak mata. Ini sangat bagus, Huda!

  • (Penulis)
    4) Alhamdulillah. Terima kasih. Ni first time Huda siapkan cerpen, segan juga nak pos bagi orang baca~
  • 5) karya yang dieram lah bgs. x teburu-buru hantar separuh ranum....
    tahniah utk karya yg indah.
  • 6) abang_jo: terima kasih
  • 7) sebuah cerita baik untuk orang yang nak jadi baik.

  • (Penulis)
    8) Kuru: manusia fitrahnya hendakkan yang baik
  • 9) bahagia tu letaknya di hati
  • 10) Kamalia: True
  • 11) Oh, ini cerpen pertama Huda yang dihantar ke Kapasitor? Kronologi dan olahannya kemas. Sebuah cerpen yang kaya dengan nilai moral. Mudah untuk difahami teladannya. Kanak-kanak wajar baca cerpen ini.
  • 12) Sekadar mencuba. Alhamdulillah, yang pertama siap sepenuhnya maka yang pertama juga dihantar ke Kapasitor. Biasanya Huda tulis separuh kemudian tinggal tak sambung-sambung.
  • 13) dua benda ecah bagi?

    1 doa. 1 lagi apa ye huda? senyum?

    suka!

    #padahal syud lambat baca. haha

  • (Penulis)
    14) kuang2. Huda pun lambat baca komen Syud.

    jawapan: mungkin.

Cerpen-cerpen lain nukilan Choco

Read all stories by Choco