Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Umum

Suara Itu Suara Bidadari

Cerpen sebelumnya:
KEMBALIKAN CINTA SARA
Cerpen selanjutnya:
Wahyu

1 kali

2 kali

3 kali

.

.

.

198, 199, 200 kali.

 

Ah., masih seperti dulu! Tidak berubah dan tidak akan berubah. Aku pasti. Seratus peratus pasti! Suaranya masih tetap sama. Sejak kali yang pertama aku mendengarnya hinggalah kini, kali yang ke-200. Masih begitulah suaranya. Sopan.  Nadanya juga tetap yang itu juga. Ceria dan lembut. Tetapi yang paling utama, suaranya tetap asli.

 

Tidak pernah aku bertemu dengannya. Apatah lagi cuba-cuba mengintai wajahnya. Bukan tidak mahu menatap si empunya wajah, tetapi aku rasa itu sesuatu yang musatahil. Mustahil kerana suara itu kepunyaan makhluk yang tidak setara dengan darjatku ini. Perbezaan kami ibarat langit dengan bumi. Benar, tidak sepadan langsung!

 

Biar aku gelarkannya dengan nama bidadari. Seindah suaranya begitu jugalah dengan gelarannya. Berbalik dengan kisah pertemuanku dengannya yang masih tidak dizahirkan lagi. Aku sememangnya agak malu dan segan untuk berjumpa dengannya. Maklumlah, dari apa yang aku dengar-dengar, bidadari ini datangnya dari golongan bangsawan. Aku hanya tukang paip yang serba kekurangan. Apa yang ada pada seorang tukang paip? Hah! Pasti kau juga sedang mentertawakan aku, bukan? Sudahlah. Jangan kau cuba-cuba mentertawakanku sedangkan kau sendiri belum pun pernah mendengar suaranya.

 

Hari ini aku menelefonnya lagi. Ya! Aku hanya mampu menelefonnya sahaja. Aku menelefonnya buat kali ke-201.  Dia tetap bernada sopan ketika menjawab panggilanku. Biarpun aku tidak pernah membuka mulut berbicara walau sepatah huruf dengannya, dia tidak pernah meninggikan suaranya.

 

Kadang-kala ada satu perasaan aneh setiap kali aku ingin menelefonnya. Tanganku pasti menggeletar saat aku mendail nombornya. Gementar dalam diriku tidak usah diceritakan. Namun, bila terdengar sahaja suaranya segalanya kembali seperti biasa. Itu cerita dulu. Sekarang, lain pula yang berlaku. Aku tidak lagi berasa gementar, sebaliknya seronok apabila tiba saat mendail nombornya. Bila terdengar suaranya bertambah seronok aku. Malah, ada semacam perasaan ghairah bila suaranya menari-nari di corong telingaku. Apakah yang berlaku kepadaku? Cinta atau nafsu semata?

 

Telah berlaku satu peristiwa yang memeranjatkanku. Mungkin juga memeranjatkanmu jua. Aku bertemu dengan dia, si bidadari. Dia menyapaku. Bila aku terdengar sahaja suaranya aku sudah dapat mengagak pastinya dialah itu. Dia mengatakan bahawa dia telah lama mencariku. Katanya dia mengetahui bahawa akulah orang yang sering membuat panggilan misteri itu. Bagaimana dia mengetahuinya jangan ditanya. Aku sendiri tidak menemui jawapannya.
  

Sepanjang pertemuan itu kami berbual dengan rancaknya. Tidak kusangka pertemuan kali pertama ini sungguh menyeronokkan. Sememangnya dia sangat cantik umpama bidadari yang turun dari langit. Tidak silap aku menggelarkannya si bidadari.  Lama kami berbual, kemudian dia beralih kepada satu soalan.

 

“Kenapa kau selalu menelefonku?”

“Aku suka mendengar suaramu”

“Kenapa kau tidak pernah sekali pun menuturkan apa-apa semasa di talian”

“Aku tidak mahu berbicara. Aku hanya mahu mendengar suaramu”

“Itu tidak adil!”

“Kenapa?

“Kau saja yang mendengar suaraku. Aku tidak pernah sekali pun mendengar kau berbicara di talian”

“Selama ini kau tak pernah pun mengatakan ianya tidak adil”

“Itu dulu. Tapi sekarang aku merasakan kau seorang yang tidak adil! Kau jahat!”

“Kenapa kau marah-marah?”

“Kerana kau tidak pernah membalas kata-kataku di talian. Pergi kau dari sini! Pergi! Ini kali pertama dan terakhir kita akan bertemu!”

 

Bukan kau sahaja yang berasa hairan. Aku juga hairan dengan tingkah laku bidadari itu.  Kami yang pada mulanya sangat mesra di awal perkenalan menjadi musuh dalam sekelip mata. Semuanya gara-gara aku tidak pernah berbicara dengannya di hujung talian. Tidak pernah aku terfikir pertemuanku dengan bidadari akan menjadi sebegini rupa. Sememangnya ia sangat menyedihkan aku.

 

Selama seminggu aku tidak menelefonnya. Selama seminggu itu jugalah fikiranku berserabut. Adakah dia masih memarahiku lagi? Apa yang perlu aku buat? Ah, semuanya serba tidak kena! Aku mesti menelefonnya juga. Kali ini aku tidak peduli.

 

Jari-jemariku menggigil saat mendail nombornya. Aku menunggu dengan penuh harapan.

 

1 saat

2 saat

3 saat

4 saat

5 saat

 

Suara bidadari muncul di hujung talian. Sama! Tidak berubah. Sopan dan lembut tutur katanya dan yang paling penting suaranya tetap asli! Tidakkah dia berasa marah kepadaku lagi?

 

Barangkali dia telah memaafkanku.

 

Aku masih seperti dulu, tidak berbicara walau sepatah perkataan pun. Hanya mendengar suaranya menari-nari di corong telingaku. Semacam ada satu perasaan tatkala mendengar suaranya. Perasaan itu mengujakanku. Apakah yang berlaku kepadaku? Cinta atau nafsu semata?

 

 Namun yang pasti suara ini menenangkanku.

 

300 kali

400 kali

500 kali aku menelefon bidadari. Aku rindu pada suaranya setiap masa dan aku akan sentiasa menelefonnya.

 

KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Seorang tukang paip ditahan pihak berkuasa kerana menelefon talian bebas tol lebih dari 500 kali bagi membolehkan dia mendengar rakaman suara wanita. Awang Yunos, 40, yang menetap di Kuala Lumpur ditahan kerana berkelakuan mencurigakan sehingga mengganggu perniagaan sebuah syarikat makanan yang beroperasi di Cheras. Syarikat berkenaan menggunakan rakaman suara seorang wanita untuk mengambil pesanan pelanggan.

 

Barangkali juga si bidadari itu tidak pernah pun muncul di dalam hidupku, namun dia tetap dan kekal wujud di dalam jiwaku.

 

Cerpen sebelumnya:
KEMBALIKAN CINTA SARA
Cerpen selanjutnya:
Wahyu

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.5
8 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni) | 15120 bacaan
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 4871 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 7783 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 4562 bacaan
Stesen Ajaib | 3344 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 5528 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 4744 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 3252 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 3316 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 4243 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

24 Komen dalam karya Suara Itu Suara Bidadari
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik