Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mereka yang Dilupakan Manifesto

 

Saya Alfonso. Maaf, saya bukannya orang Portugis. Saya juga tiada kaitan dengan alfonso d’ albuquerque. Bahkan saya tidak pernah belayar untuk menjajah. Saya Melayu jati. Sebenarnya saya juga malu dengan nama itu. Kata bapa, saya dinamakan begitu untuk membuang rasa rendah diri. Agar saya setaraf. Oh....sebenarnya selepas merdeka saya begitu malu.

          Agaknya bapa saya tidak pernah membaca Putera Gunung Tahan. Bukankah Pak Sako pernah merendah-rendahkan Inggeris melalui Tuan Robert dan perempuan sakai? Kita jangan terlalu menyanjung mereka. Saya maafkan bapa saya. Dia hanya penoreh getah tak berladang.

          Biarkan saya bercerita. Ia cerita rekaan semata-mata (?). Ia cerita tentang mereka yang dilupakan dalam manifesto. Atau kalian boleh tafsirkannya sebagai sebuah pengalaman ketika saya menjadi penyelidik. Maaf, saya sebenarnya tidak punya keabsahan ketika bertugas dengan parti nyamuk itu.

 

Cerita Satu

Jun sebenarnya diupah untuk bercerita. Upahnya besar maka Jun kira tidak adil sekiranya Jun berbohong. Tapi memang sejak daripada dahulu lagi Jun tidak pernah berbohong. Jun diajar begitu.

          Buat apa malu-malu? Disini bukannya tempat untuk bermalu-maluan. Usah terlalu santun. Di sini bukan tempatnya.

          Maaf, Jun agak penat. Semalam Jun bekerja lebih masa. Tubuh Jun lunyai dikerjakan. Apa nak buat. Ini rezeki anak-anak.

          Semalam pelanggan Jun seorang lelaki berbangsa Inggeris. Tubuhnya sederhana besar dan berjambang (agak jarang mat salleh berjambang). Katanya dia mahu menghenyak sebuah bangsa..

          Ahh... tak usah kasar-kasar, Jun akan rela menyerah. Bukankah Jun manifestasi bangsa yang menyerah bulat kepada barat?

Dia hanya tersenyum. Sesudah melunaskan serakahnya dia menghulurkan duit seraya berkata “white man burden”.

          Jun cuma mahu kerjaya Jun dihalalkan. Apa? Bukan agama. Tapi setakat undang-undang negara sahaja. Jun cuma mahu kerjaya Jun disamatarafkan. Macam penghibur. Ya! Memang kerjaya Jun menghiburkan orang lain. Tidak percaya cuba bertanyakan pelanggan Jun. Pasti mereka terhibur. Bukan semua orang mampu memberi hiburan kepada mereka. Kerana itu mereka ke sini.

          Maaf. Jun ada pelanggan. Nampaknya rezeki Jun masih murah. Jumpa lagi, tangan Jun juga layak menentukan pemimpin.

 

Cerita Dua

Aku berada diawang-awangan sekarang. Biarkan dulu. Biarkan aku terbang bersama bidadari itu. Biar aku sampai ke bulan dan bintang. Oh sungguh mengasyikkan.

Lantas aku petik bulan lalu diselitkan di sanggul bidadari itu. Nampaknya dia tersenyum malu.

Oh... bidadari, jangan lari. Aku mahu bersamamu. Ke sana... kearah itu. Tunggu aku sebentar.

Eh... itu planet apa? Kau rupanya.

Memang dunia ini tidak pernah aman dengan pengacau. Semalam aku dikejar polis ketika bidadari itu semakin rapat dalam pelukanku. Dan sekarang, kau pula hadir membuat kacau. Cuba kalian biarkan aku sendirian!

Berikan aku jarum itu. Aku mahu ke sana. Aku tercampak di sini.

Sebenarnya aku bukan dilahirkan untuk dunia ini. Tapi di sana kediamanku. Aku terperangkap. Aku tidak sepatutnya berada di neraka dunia ini. Di sini semuanya berlaku kejam. Sepatutnya aku di sana, di syurga yang dikelilingi bidadari tak berpakaian.

Oh... aku bertambah ghairah.

Apa? Manifesto. Ya...ya tapi tolonglah berikan aku jarum itu.

Negara ini kaya. Jangan dikacau kami. Biarkan kami dengan dunia ciptaan ini. Berilah subsidi kepada kami agar tidak lagi kami mencuri. Kami memang mahu ke sana. Terpaksa kami berbuat begitu.

Hujan. Ayuh bergegas ke istanaku. Ya! Di sini. Bawah jambatan ini harta aku semenjak menjejakkan kaki ke KL. Tidak perlu sewa. Punya ruang udara yang luas. Selesa? Semalam aku lena di sini. Bidadari juga banyak berkunjung. Kami melepaskan syahwat bersama-sama.

 

Cerita Tiga

Lihat di sana. Arah sini. Situ juga.

Kenapa kalian memandang kami. Kami tidak mengganggu. Biar kami dengan dunia sendiri. Kami nampak apa yang orang lain tidak nampak.

Ini kelebihan. Satu anugerah. Nampaknya tuhan juga sayangkan kami.

Bukan orang gila. Cuma siuman kami agak kurang. Diulangi, agak kurang. Ahh... dunia juga yang menjadikan kami begini.

Berikan kami surat itu. Biar kami cop. Ya...ya itu surat sokongan. Tanda setia kami. Cuma satu pinta; usah diganggu rutin hidup kami.

Pilihanraya? Cari kami di serata ceruk Kuala Lumpur ini. Pasti ketemu. Usah bawa kereta mahal-mahal. Kami tidak biasa

Oh... usah takut kami tak akan mengaku erat dengan tuanmu. Kami akan berpura-pura tidak kenal. Tapi...tapi perangai kami yang sama mungkin tidak boleh diubah.

Surat-surat itu sudah dicop. Perjanjian...bukan tetapi manifestonya mana? Oh..tertinggal di rumah. Tak apa..tak apa, barangkali mereka terlalu sibuk.

 

Cerita empat

Jemput masuk. Jangan malu-malu. Maafkanlah sekiranya istana aku kelihatan kotor. Isteri aku tidak punya masa membersihkannya. Dia bekerja kilang. Pergi ketika bulan dan pulang ketika bulan. Matahari sudah jauh daripada hidupnya.

Minumlah. Ia sekadar air kosong buat menggalas perut. Hanya minum, roti ada di dapur. Cuma ia adalah hidangan makan malam kami. Kau mahukan udara. Ya di sini memang nyaman. Angin masuk keluar dari segenap penjuru. Dari tingkap dan pintu yang terbuka. Kadang-kadang angin juga datang daripada bumbung.

Tulislah. Kami Cuma mahukan kesamarataan. Keadilan ekonomi. Masyarakat Malaysia juga berbilang kaum. Tapi banglo itu kepunyaan kaum lain! Maaf jika terkasar. Saya faham ia berkaitan dengan status pekerjaan dan pendidikan.

Itu anak saya. Sembilan orang semuanya. Inilah hasil daripada kenikmatan orang miskin. Ya...harapnya ia hasil yang boleh dituai. Kakaknya entah ke mana dengan teman lelakinya. Entah pulang atau tidak.

Abangnya sudah aku halau keluar. Menghidu gam. Biarkan dia meracau di luar. Dia anak yang tidak boleh dituai hasilnya. Biarkan, mereka sudah besar panjang. Lagipun rumah ini sudah tidak punya ruang untuk melelapkan mata.

 

Cerita Lima

Lupakan karya-karya cinta mendayu-dayu. Ini bukan zamannya. Mari aku ajar kau bermain musik. Kau pastinya akan lupa segalanya. Politik? Sekejap sahaja akan hilang daripada kepala kau. O...ia umpama wirid yang menyentap segala jantung.

          Lama aku tinggalkan sekolah. Terlalu lama. Sejak ibu aku sakit-sakit kerana perangaiku sehinggalah ia meninggal secara terkejut. Aku tidak kecewa, ini jalanku. Ayah? Oh, dia terlalu sibuk dengan politik. Tanah kubur ibu masih merah ketika dia berkahwin lain.

          Underground kerana ia tidak diterima mainstream. Bukan...bukan, ia tidak berasal daripada teori al-kindi. Musiknya indah. Ini muzik syaitan. Bising dan serba hitam. Head bagginglah kawan... lupakan soal politik karut marut.

Lupakan dahulu manifesto itu. Mari ikut aku.

Kau tidak suka musik liriknya menjerit-jerit. Nah! Terimalah ini. Bingit gitar hentaman drum adalah iramanya. Keras kata kau?

Lihat ini, apa yang dikatakan Henry Ford. Jazz adalah musik Yahudi. Sentimental konon. Penuh mendayu-dayu.

Sebentar, aku rasa masa sudah terlewat. Maghrib sudah menjelma. Aku perlu pulang segera. Crayon Sin Chan sedang menunggu aku di peti TV itu. Aku pergi dahulu. Letakkan sahaja Manifesto itu disebelah gitar aku. Kemudian sahaja akan kulihat. Aku agak ia kertas yang sama seperti yang disanjung-sanjung oleh ayahku yang berbini muda itu.

                                                                          ****

Sayalah penglipur lara moden sepenuh masa. Ia terjadi ketika saya dipecat daripada parti. Parti saya kalah teruk. Hilang wang pertaruhan. Kata mereka manifesto yang dibuat tidak disukai rakyat. Saya disalahkan kerana itu. Saya cuma menyatakan yang benar.

Dan sekarang saya menjadi penghibur yang tak bergaji. Maaf, sampai masanya Alfonso mengundur diri.


 * Cerpen ini pernah terbit di akhbar Siasah, suatu ketika dahulu.

Mkriza @ khairulr
mkriza.blogspot.com 

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) hebat! sendat dengan macam-macam isu. terbaik!
  • 2) padat yang laju-laju.
    Penuh sindiran.
  • 3) satirikal!

    kemas dan padat
  • 4) Oho, inilah kehidupan dari sisi yang satu lagi...
  • 5) inilah dia..sampai tak terhadam

  • (Penulis)
    6) Terima kasih untuk sahabat2 semua.

Cerpen-cerpen lain nukilan khairulr

Read all stories by khairulr