Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Satira

Fabel tentang ayam

Cerpen sebelumnya:
tabir rindu
Cerpen selanjutnya:
Bisik

Makluman: Cerpen ini adalah fiktif semata. Ini bermakna setiap huruf dan tanda bacanya adalah batil. Tiada kena mengena walau sekelumitpun dengan mana-mana jiwa yang masih hidup, koma, nazak atau telah usai. Jika terdapat persamaan dari segi jalur atau lekuk cerita, itu bermakna ada dua kebarangkalian. Pertama, ini berlaku secara kebetulan dan tentu sekali ianya tidak di sengajakan. Kedua, anda mungkin tergolong antara orang yang mempunyai imiginasi  dan sikap perasan yang tinggi sehingga cuba untuk menyamakan diri dengan ayam

 

 

Ini cerita tentang ayam. Sebuah fabel yang dinukilkan dari penglipur lara tak bernama. Berjangkit dari si fulan ke si fulan seperti selsema babi hingga berubah menjadi  wabak. Dan lebih menyedihkan lagi tak sedikit  khalayak yang mati-matian percaya bahawasanya khurafat ini adalah sahih lagi benar. Jadi ada benarnya kata Lenin “A lie told often enough becomes the truth”.

Kisahnya begini, kononnya suatu masa dulu di pinggir sebuah desa bernama Terang Bulan tinggal segerombolan masyarakat ayam yang rencam. Terdapat aneka spesis di dalamnya seperti  ayam botak, ayam bulu balik, ayam selasih, ayam janggut, ayam laga, ayam togel dan tak ketinggalan  ayam katik. Atas dasar patriotisme yang marak menyala maka dengan bangganya mereka membangsakan diri sebagai ayam kampung.

Seperti mana manusia, mereka juga turut mempunyai struktur sosial, ekonomi dan politik yang tersendiri. Stratifikasi sosial dijadikan ukuran untuk memilah masyarakat ayam yang berbilang jenis itu berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang akhirnya menjurus kepada pembentukan kelas-kelas sosial. Ini secara tidak langsung telah menatijahkan konflik sosial yang berpunca daripada perbezaan kepentingan, individu dan kebudayaan.

Dipendekkan cerita, secara garis kasarnya masyarakat ayam kampung ini diwakili oleh dua lembaga politik yang berfungsi sebagai lidah rasmi rakyat dalam menyatakan aspirasi dan keinginan melalui pendekatan yang demokratik. Bertitik tolak daripada semua ini terbentuklah Komplot Ayam Kampung Bersatu(KAKB) dan Berikat Terang Bulan (BTB) sebagai organisasi utama yang saling bersaing dalam upaya untuk menjuarai sokongan warga ayam sekampung.

Di dalam persaingan itu masing-masing cuba menonjolkan kehebatan yang ada pada setiap calon mereka daripada pelbagai spesis, latar dan pesona. Namun dalam rusuh itu menjelma satu susuk yang terkehadapan daripada yang lain. Yang tangkas serta kuat berkokok tentunya. Dan susuk dari spesis ayam laga ini muncul di tengah-tengah parti BTB. Kemunculan ayam laga ini sangat diraikan oleh para ahli dengan harapan ia bakal memberi impak positif pada halatuju parti.

Tidak sedikit yang mula mengagumi siasah dan perjuangan politik ayam laga tersebut yang selari dengan kehendak parti dan aspirasi ayam kampung. Ramai juga yang terpukau dengan kesederhanaan serta sikap rendah dirinya. Namun ramalan kaji cuaca tak selalunya tepat. Diramalkan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Populariti telah membuat ia culas. Ia mula dihinggap superioriti kompleks dan merasa diri paling suci. Ibarat kaduk naik junjung!

Derai kokoknya yang dulu nyaring kini sumbang. Langkahnya yang dulu garang kini tempang. Pernah ada ayam janggut yang ikhlas cuba memberi nasihat. Tapi dituduhnya pula si ayam janggut itu musang yang berbulu ayam. Ternyata ujub dan riak sudah menebal dalam diri si ayam laga. Dia sudah tidah ubahnya bagai jawi belang puntung: didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk. Dia sekarang ibarat cuba menangkap ayam, ayam terlepas tangan yang berbau tahi.

Setelah cukup lama bersabar dengan kerenah si ayam laga, BTB memutuskan untuk menghumban keluar si ayam laga itu dari gelangang. Keputusan ini memang telah dijangka oleh semua warga ayam di kampung Terang Bulan. Rentetan daripada keputusan tersebut si ayam laga dengan rasa marah dan kecewa memutuskan untuk membalas dendam dengan mendedahkan semua kelemahan parti BTB kepada umum. Tak cukup dengan itu, si ayam laga mula mengungkit semua bakti yang pernah diikhlaskan dulu. Maka riuhlah ia sekampung dengan telur yang tak seberapa.

Setelah mendapat sedikit dana dan sokongan, si ayam laga dan beberapa ekor pengikut setianya yang dungu telah menubuhkan sebuah pertubuhan feudalisme asabiyah yang diberi nama JABAR. Akronim bagi Jalur Lebar. Kononnya asas perjuangan JABAR adalah untuk menjaga kepentingan dan kekampungan ayam kampung daripada dakyah anasir luar yang sentiasa berusaha tanpa jemu membandarkan ayam kampung.

Maka makin meroyanlah ia pagi, petang, siang dan malam, terkokok- kokok laksana ayam mabuk.Habis semua yang  tak senada diserang dengan pelbagai tuduhan batil. Tiada siapapun yang berada di atas jalan yang lurus melainkan ia seekor jua.  Ia merasa paling tahu segala dan juga merasa benar sendiri. Setiap yang keluar dari mulutnya tidak boleh dibantah. Siapa yang cuba menyanggah akan divonis sebagai musang berbulu ayam.

Lama kelamaan warga ayam mula jelak dengan borak si ayam laga yang tak berjejak. Teori tentang musang berbulu ayam yang selalu dijadikan modal itu sudah tamat tempoh. Politik sempit yang penuh propaganda dan retorika telah ditolak mentah-mentah. Simpati warga yang dulu ada sedikit kini bertukar jadi benci. Nasibnya sudah seperti ayam tak patuk, itik tak sudu. Sedang BTB yang sering digunjing giat meneroka ufuk baru dengan cara pandang lebih matang dalam upaya merealisasikan misi dan visi demi kemaslahatan warga ayam.

Cerpen sebelumnya:
tabir rindu
Cerpen selanjutnya:
Bisik

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.8
5 Penilai

Info penulis

toti

aku antara berbilion manusia yang bercita-cita mahu masuk syurga
toti | Jadikan toti rakan anda | Hantar Mesej kepada toti

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya toti
Muhammad Pesuruh Allah | 2298 bacaan
Cempiang Metropolis (Bahagian Akhir) | 2088 bacaan
Cempiang Metropolis (Bahagian Satu) | 2806 bacaan
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian akhir) | 2880 bacaan
Ayuh! rapatkan saf (Bahagian 1) | 2651 bacaan
Shudhudh | 2327 bacaan
Ilmi Kasbi | 2813 bacaan
Salaamun Hiya’ | 1215 bacaan
Dongeng Tentang Katak | 6527 bacaan
Sayap Senteng | 2956 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

6 Komen dalam karya Fabel tentang ayam
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik