Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Refleksi

Cerpen sebelumnya:
Maaf, Cik! 3 : Juan Bangkit
Cerpen selanjutnya:
Surat Cinta
Awan kelabu memenuhi setiap inci langit petang itu. Suraya mengeluh memandang langit. Dia mengomel di dalam hati. Memprotes idea untuk menghabiskan masa selama setahun di rumah mak ciknya itu. Memanglah keluarga, tapi dia sendiri pun tidak pernah kenal mak cik yang satu itu, apatah lagi anak perempuannya.

“Mama, tak boleh ke Su duduk rumah sorang-sorang?” Suraya merengek lagi sambil mengangkat begnya masuk ke dalam but kereta, “Su bukannya budak kecik lagi, Su dah besar dah. 17 tahun dah, ma. Boleh la. Boleh la,” dia cuba-cuba memujuk lagi, “Lagi pun Su bukan kenal sangat ngan Aunty Mas tu,” pergerakannya sengaja dilambat-lambatkan dengan harapan pujukan itu menjadi.

“Su... Kan kita dah bincang pasal ni. Setahun bukannya sekejap. Kalau seminggu ke, mama tak kisah lagi,” Puan Marina bertegas dalam lembut suaranya. Dia membuka pintu kereta lalu melangkah masuk. Suraya mencukakan mukanya. Mahu tak mahu, dia terpaksa juga mengikut. Kereta Volvo hitam itu meninggalkan perkarangan rumahnya perlahan-lahan.

Suraya mendiamkan diri di sepanjang perjalanan. Tanda merajuk. Dia membungkam sahaja sambil melayan mata memerhatikan pemandangan yang pelbagai dari tingkap kereta. Tidak sampai setengah jam kemudian, mata itu sudah pun tertutup rapat. Lena dalam melayan rajuknya.

Namun kereta Volvo itu terus menyusur jalan. Entah ke mana perginya. Belok kiri dan belok kanan. Merentasi gunung, merentasi denai. Sedar tidak sedar, sebaik sahaja Suraya mengangkat kelopak matanya, sudah terdiri sebuah banglo besar di depan matanya. Encik Suhaimi terus memberhentikan kereta dan keluar menguruskan beg-beg Suraya. Suraya yang masih lagi mamai-mamai ayam melangkah terhuyung-hayang turun dari kereta.

Aunty Mas, teka Suraya, sudah pun sedia berdiri di depan pintu utama. Senyumnya melebar. Kalau tidak silap perkiraan Suraya, Aunty Mas itu baru sahaja berumur lingkungan empat puluh tahun, tapi kenapa entah dia kelihatan seperti seorang nenek berusia lapan puluh tahun. Dia tinggal bersendirian dalam banglo besar ini bersama anaknya, Lisa, yang dua tahun lebih muda daripada Suraya. Lisa tidak pula keluar menyambut mereka.

Setelah bersalam-salaman, Puan Marina menarik Suraya ke tepi dan mengucup kedua pipinya, “Okeylah Su. Mama ngan daddy nak pergi dulu, nanti terlepas flight pulak. Jaga diri baik-baik. Jangan susahkan Aunty tau,” pesan Puan Marina sebelum sekali lagi hilang di sebalik pintu kereta. Suraya mengangguk-angguk sambil memerhatikan kereta itu bergerak perlahan-lahan. Dia melambai-lambaikan tangannya sehinggalah kereta itu lenyap ditelan pokok-pokok besar di kawasan itu. Saat itu, baru Suraya perasan yang rumah itu sangat jauh dari jalan besar. Di sekelilingnya pun hanya pokok-pokok.

“Hurm... Okay Suraya, jom masuk!” teguran Aunty Mas itu mematikan analisis Suraya pada kawasan yang asing baginya itu, “Jom Aunty tunjukkan bilik Suraya,” Aunty Mas menyambung lagi sambil mengangkat beg Suraya yang paling besar.

‘Apalah nasib...’ rungut-rungut Suraya di dalam hati, ‘Entah kat mana lah rumah ni. Macam jauh je dari bandar. Kalau ada pun pekan je kot. Tu pun still cam jauh. Ada wayang ke tak ek? Mana aku nak shopping?? Argh...’ jeritnya kuat-kuat di dalam hati. Sambil itu langkah kakinya makin laju, cuba untuk menyaingi langkah kaki mak ciknya, ‘Kuat pulak orang tua ni.’

Dalam perjalanan ke biliknya, sempat juga Suraya melihat-lihat ruang dalam rumah itu. Saling tak tumpah macam muzium. Emaknya pernah mengkhabarkan yang rumah itu tinggalan British. Tak sangka pula macam ini sekali. Bermacam-macam hiasan. Bermacam-macam bilik. Bermacam-macam ruang. Bermacam-macam jalan. Seperti mudah saja untuk sesat.

Dalam lamunnya itu, sedar tidak sedar, Aunty Mas sudah pun berhenti di depan salah satu pintu. Suraya ternganga besar sebaik sahaja pintu itu dibuka. Aunty Mas, yang seperti tidak peduli langsung mulut Suraya yang terbuka luas itu, terus sahaja meletakkan beg di dalam ruangan bilik itu, “Rehatlah. Ada apa-apa nanti, panggil Aunty yer,” katanya, dan terus berlalu pergi. Suraya pula masih belum boleh menutup mulut. Mana tidaknya dia kaget. Di dalam biliknya, semua benda berwarna merah. Katil, almari, langsir, dinding dan segalanya yang ada. Merah pekat, tak ubah seperti darah.

Suraya menelan air liur memikirkan perkataan itu, ‘Darah? Betul ke ni?’ Bulu romanya berdiri sendiri. ‘Mungkin memang hiasannya begini,’ bisiknya sendiri, cuba menenteramkan. Tetapi, kalau dia sendiri tahu semua rahsia bilik itu, rumah itu, tentu sahaja dia tidak akan tenteram.


* * * * *


Tik tok! Tik tok!

Tepat jam lapan malam, Suraya keluar dari biliknya dan mencari tangga marmar yang tadinya didaki untuk sampai ke bilik. Lama juga masa yang diambil untuk menjumpai tangga itu. Sebaik sahaja tangga itu dijumpai, dia terus sahaja turun perlahan-lahan, menuju ke ruangan makan. Senyap sunyi sugguh rumah itu. Tidak ada suatu bunyi pun melainkan derapan tapak kakinya sendiri.

Setibanya Suraya di ruangan makan, dia nampak Aunty Mas telah pun berada di situ. Dia berdiri senyap di satu sudut, tidak bergerak. Matanya dipejam rapat-rapat. Seperti orang yang sedang tidur kecualilah dia masih berdiri. Suraya menunggu dengan sabar. Seminit, dua minit, tiga minit berlalu. Masih tiada perubahan. Suraya baru sahaja mahu membuka mulut menegur bila tiba-tiba sahaja Aunty Mas membuka mata.

“Jemputlah makan, makanan dah siap,” katanya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Suraya kebingungan tapi hanya memendamkan. Dia hanya ikut duduk bersama Aunty Mas di meja makan yang panjang itu. Sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan, sekali lagi Suraya tercengang-cengang. Terhidang di depannya, tiga jenis makanan yang berbeza. Satunya lembik-lembik belaka, seperti makanan bayi lagaknya. Satu lagi, semuanya yang mentah-mentah. Bukan setakat sayuran sahaja yang mentah, daging-dagingnya pun turut sekali mentah. Dan yang terakhir sekali nampak normal. Sekurang-kurangnya pada mata kasar, ia nampak normal.

Suraya menelan air liur melihatkan makanan-makanan itu. Mukanya yang haru-biru itu senang saja diperasan oleh Aunty Mas tetapi nenek tua itu hanya mendiamkan diri dan mendekatkan makanan yang nampak normal itu kepada Suraya dan mencapai makanan yang seperti makanan bayi itu untuk dirinya sendiri. Suraya hanya menurut. Selama menetap di rumah orang, mana boleh buat perangai sendiri. Namun begitu, makanan itu masih dipandangnya dengan pandangan ragu-ragu. Matanya ditutup rapat-rapat sewaktu suapan pertama singgah di mulut. Beberapa kunyahan kemudian, Suraya melepaskan nafas lega. Terbukti normal makanan tersebut.

“Lisa mana, Aunty? Tak nampak pun,” Suraya memulakan perbualan. Aunty Mas mengangkat bahu, “Ada dalam keranda dia kot,” jawab Aunty Mas bersahaja, antara dengar dan tidak.

“Apa?” Suraya terjerit kecil mendengar jawapan itu. Hampir sahaja dia tersedak.

“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa,” Aunty Mas mengeleng-geleng. Suraya mengerutkan kening cuba memahamkan. Dia terus diam dan sambung menyuapkan makanan. Mereka makan tanpa berkata apa-apa selepas itu.

Sebaik sahaja butir nasi yang terakhir hilang dalam mulutnya, Suraya terus bangun dan membawa pinggannya ke dapur. Sebaik sahaja pinggan dan tangannya dibasuh, Suraya terus berlalu balik ke biliknya. Isi begnya yang separuh terhambur di atas katil direnung dengan perasaan malas yang menggunung.

Jam besar di rumah itu berdenting sepuluh kali sebaik sahaja selepas Suraya menyimpan helaian bajunya yang terakhir dalam almari. Dia menggeliat keletihan dan melihat seluruh ruang biliknya yang kini elok teratur. Suraya mengangguk-angguk sendiri tanda puas, “Sekarang nak buat apa ek?” soalnya pada bucu katil yang tidak mahu menjawab itu. Selepas berkira-kira sendirian dia memutuskan untuk berjalan-jalan, mengeksplorasi rumah besar itu sendirian, “Kejap lagi saya balik yer,” ujarnya sambil melambai-lambai pada bucu katil itu.


* * * * *


‘Rumah ni makin menakutkan bila dah malam. Tengoklah. Lampu sumer pun kaler oren. Bajet istana betul. Eeeiii. Macam rumah hantu!’ Suraya membebel-bebel seorang diri sambil menyusuri koridor yang dipenuhi pintu di kiri dan kanan. Terfikir juga dia mengapa koridor di rumah itu semua seakan-akan sama. Kemungkinannya untuk sesat memang tinggi sekali. Dah lah dia memang sedikit benak bila sahaja berkaitan dengan arah ini.

Dalam keseronokan dia melayan ekspedisinya sendiri itu, Suraya tidak sedar dia makin jauh meninggalkan keselesaan biliknya sendiri. Dia menyanyi-nyanyi kecil, cuba membunuh kegentaran sambil membuka pintu bilik-bilik yang dilaluinya. Ada yang kosong, ada yang penuh dengan bahan bacaan, ada pula yang penuh dengan kotak-kotak yang berhabuk. Suraya berjalan lagi sehinggalah dia singgah di depan sebuah pintu bilik yang kelihatan lampunya terbuka. Tanpa berfikir dua kali, Suraya terus menolak pintu bilik itu.

Hitam?!

Cahaya suram berwarna merah kekuningan tumpah menghiasi katil, langsir, dinding dan segala-galanya yang berwarna hitam di dalam bilik itu. Macam kembar pula bilik ini dengan bilik Suraya cuma bezanya bilik ini serba hitam. Walau warnanya sedikit menolak kejadian, bilik itu kelihatan seperti dihuni. Buku-buku bacaan dan cakera-cakera musik elok tersusun di rak masing-masing. Cadar satin yang berwarna hitam pun elok terpasang pada katil king size yang terletak di tengah-tengah bilik itu. Sedang Suraya asyik melihat-lihat semua yang ada di bilik itu, tiba-tiba sahaja dia terasa ada tangan sejuk yang menyentuh bahunya.

“Apa kau buat kat sini?” satu suara halus yang berdesir-desir seperti ular menegurnya dari belakang. Bulu roma Suraya terus naik mendengarkan teguran itu. Dia memfokuskan pandangan pada cermin besar di hadapannya. Satu lembaga hitam yang rendah sikit daripadanya berada betul-betul di belakangnya. Jantung Suraya seakan terus berhenti berdegup. Perlahan-lahan, dia berpusing ke belakang.

Jantungnya perlahan-lahan berdegup semula apabila dia sendiri melihat yang menegurnya hanyalah seorang gadis belasan tahun. Muka gadis itu sangat pucat seperti tidak berdarah dan pakaiannya serba hitam. Hujung bibirnya melengkung ke bawah.

“Apa kau buat kat sini? Pergi jauh-jauh. Jangan kacau aku.”

Secebis memori menjilat otak Suraya, “Lisa?”

“Ye, ye. Saya Liss... sa. Pergi sekarang!” dia menjawab dengan kasar dan menolak Suraya keluar dari bilik hitam itu. Pintu dihempaskannya sekuat mungkin. Mujur saja skru pintu itu tidak tercabut. Suraya hanya mampu mengangkat bahu, “Pelik. Pelik,” fikirnya kuat-kuat, “Takpelah. Salam perkenalan,” katanya lalu terus berpusing, berpatah balik menuju ke biliknya.


* * * * *


Sudah hampir dua bulan berlalu, Suraya sendiri sudah dapat membiasakan dirinya dengan rumah besar itu dan semua kelakuan-kelakuan pelik saudaranya yang berdua itu. Dia lebih selesa menghabiskan masanya di dalam bilik sahaja. Aunty Mas selalu sahaja sibuk dengan pelbagai rutin harian di sekeliling rumah besar itu. Lisa pula masih lagi dengan sikap biadap dan kasarnya seperti malam pertama Suraya di situ.

Mujur sahaja Suraya itu jenis yang suka membaca. Mujur juga banglo besar itu banyak bahan bacaan. Saban hari ada saja buku di tangannya. Ada juga tergerak hatinya untuk menolong Aunty Mas, tetapi selalu saja ditolak oleh nenek itu. Entahlah kenapa, fizikal Aunty Mas itu sahaja yang nampak seperti nenek tua tetapi kudratnya mengalahkan lelaki muda. Bersihkan itu ini. Angkat itu dan ini. Sampaikan Suraya sendiri jadi segan untuk menolong.

Tetapi pagi itu, sekali lagi dia memperlawa pertolongan. Bukanlah besar pun, hanya sekadar membasuh pinggan-pinggan sarapan mereka, “Aunty Mas, saya tolong basuh pinggan yer.”

“Takpelah, tak payah. Aunty ingatkan nak suruh Lisa bawak Su jalan-jalan kat hutan belakang tu. Pergilah,” tolak Aunty Mas lembut sambil memberikan cadangan.

“Ye ker?” tanya Suraya, teruja. Dia pun sudah lama teringin untuk keluar jauh sedikit dari sempadan halaman rumah itu. Tapi mahukah Lisa menemannya?

“Kalau nak ikut, cepatlah!” sergah Lisa tiba-tiba dari belakang. Dia sendiri sudah siap untuk keluar. Tanpa berlengah, Suraya terus berlari ke bilik, menukar pakaian dan menyarung topinya. Dia cepat-cepat turun dan membontoti Lisa. Mereka keluar beriringan dari pintu belakang lalu berjalan masuk ke hutan.


* * * * *


Pokok-pokok kayu besar menghiasi denai kecil yang hampir kabur itu. Daun-daun hijau merimbun dan menghalang cahaya matahari mencecah lantai hutan. Daun-daun kering yang berguguran pula berdetap-detap bawah kaki mereka. Bau tanah basah berapungan di udara.

Buat seketika, Suraya diam sahaja sambil terus membontoti Lisa. Dia sibuk sekali melihat ke sana-sini. Tapi lama-kelamaan perasaan terujanya mula mencair dan bosan pula singgah bila yang dilihat masih lagi daun-daun hijau. “Kita nak pergi mana, Lisa?” soalnya. Lisa diam. Mukanya yang memang sediakala masam berubah menjadi lebih masam. Suraya yang hampir biasa dengan sikap Lisa itu mengendahkan saja. Tapi dia sendiri perasan yang masam sepupunya itu bukan sekadar masaman biasa, tapi berbaur sedih. Entahlah kenapa. Mungkin perasaannya sahaja.

Tak lama kemudian, mereka tiba di satu kawasan lapang. Suraya yang seawalnya lebih tahu untuk diam tidak dapat menahan diri dan bertanya lagi, “Tempat apa ni?” Lisa yang sekali lagi pura-pura tidak dengar terus berjalan ke pusat kawasan lapang itu. Suraya mengikut. Kali ini, tiada lagi bunyi ranting-ranting patah, dipijak. Cahaya matahari pun dapat menyapa rumput. Memang kosong sekali tanah itu.

Sampai di tengah-tengah, Lisa terus duduk berlutut di depan sebuah batu. Mulutnya terkumat-kamit, entah membaca apa. Suraya hanya memerhati. Dia masih tidak dapat meneka apalah yang dilakukan oleh sepupunya itu.

“Maria kirim salam,” ucap Lisa tiba-tiba sambil bangun berdiri.

“Maria? Siapa Maria?” Suraya terpinga-pinga. Lisa terus berjalan menuju ke arah datangnya mereka tadi. Suraya masih keliru. Dia terus mengikut Lisa berlutut di depan batu itu. Sebaik sahaja kepalanya sama aras dengan batu itu, dia dapat melihat ukiran-ukiran perkataan di atas batu tersebut.

“M.A.R.I.A.” Suraya mengeja kuat-kuat. ‘Maria?’ Seperti automatik, jantungnya terus berdegup kencang. Dia terus menyambung bacaannya, “Dikebumikan pada 12 oktober 2002. Moga rohmu dicucuri rahmat,” ‘Batu nisan?’ Suraya cepat-cepat bangun setelah menyedari batu apakah itu. Dia semacam tidak percaya dia baru sahaja duduk di atas sebuah kubur. Terus sahaja gerak kakinya dipercepatkan, mengejar Lisa yang hampir sahaja hilang dari pandangan.

Sebaik sahaja Lisa berjaya disaingi, Suraya mengurangkan sedikit tempo langkahnya. Dari ekor matanya itu, dia nampak Lisa seperti tersenyum, sinis. Abaikan. Takut yang menjalar dalam dirinya itu masih belum boleh hilang. Fikirannya berkecamuk, ligat memikirkan semua.

Sekonyong-konyong itu, melompat seekor arnab berwarna putih keperangan di hadapan mereka. Suraya terus kembali tenang. Dia memang sahaja seorang pencinta haiwan yang bernama arnab itu secara fanatik. Arnab itu pun seolah jinak, berhenti elok di hadapan mereka.

“Lisa! Tengok arnab tu. Comelnya!”

Arnab itu masih lagi statik. ‘Jinak mungkin,’ fikir Suraya, ‘Baik aku bawak balik. Takdelah boring sangat nanti.’ Serentak dengan itu, dia cuba merapati arnab tersebut. Baru sahaja tangannya dihulurkan, arnab itu terus melompat-lompat, lari. Tanpa membuang masa, Suraya terus merentap tangan Lisa dan membawanya sekali mengejar. Lisa cuba memprotes dan beria-ia menolak tetapi kegilaan si Suraya mengatasi tubuh kecil Lisa.

Arnab itu membawa mereka lebih jauh ke dalam hutan tetapi Suraya tetap tidak mahu berhenti. Lisa terpaksa mengikut sahaja. Langkah mereka berdua terhenti bila arnab itu tiba-tiba meloloskan dirinya ke dalam satu lubang. Suraya mengeluh kehampaan. Dia cuba meneliti lubang tersebut, tidak sedar akan perubahan Lisa yang terpempan, memandang ke hadapan.

Suraya masih belum mengalah bila Lisa tiba-tiba menjerit bagai orang histeria. Suaranya menggegarkan hutan itu. Beberapa ekor burung yang sedang bermalas-malasan di atas pokok dekat dengan mereka terus terbang, terkejut. Lisa masih lagi menjerit tidak berhenti. Dia terus sahaja berlari meninggalkan Suraya di belakangnya sendirian.

Suraya kaget melihat kelakuan maha luar biasa itu. Dia menoleh ke hadapan, cuba mencari punca ketakutan Lisa. Sebaik sahaja pandangannya difokuskan, Suraya terus tergamam. Ia adalah sebuah...... pondok. Hanya sebuah pondok terbiar. Suraya mengerutkan keningnya. Apalah yang ditakutkan sangat?


* * * * *


Suraya melangkah masuk ke halaman banglo itu bila matahari pun sudah malu-malu memancar. Nafasnya pendek-pendek. Kakinya hampir sahaja mahu tercabut. Sudah hampir setengah hari dia sesat seorangan di dalam hutan. Dia mengangkat tangan yang terketar-ketar, mengetuk pintu utama banglo itu. Dari dalam rumah dia dapat mendengar bunyi tapak kaki, berlari-lari.

Aunty Mas membuka pintu itu cepat-cepat, “Su! Balik pun akhirnya. Aunty baru je nak call polis.” Walaupun suaranya seperti cemas, raut wajahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Suraya yang dicengkam keletihan itu tidak begitu peduli tentang hal remeh-temeh seperti itu. Dia terus naik ke biliknya dan menguncikan diri. Tidak mahu berkata apa-apa lagi, lebih-lebih lagi dengan Lisa.

Suraya mencapai tualanya dalam keletihan yang memuncak itu. Dalam keadaan separuh sedar, dia mandi dan menyalin pakaian sebelum menghilangkan diri di bawah selimut. Matanya tertutup sebaik sahaja kepalanya mencecah gebu bantal.


* * * * *


Dalam kekaburan selimut malam itu, dia berlari keluar dari pondok usang yang jauh di tengah hutan itu sambil menjerit-jerit meminta tolong. Lariannya bagaikan tidak cukup tanah. Walaupun kakinya tidak beralas, dia masih lagi bergerak laju dan mengabaikan semua rasa sakit yang singgah.

“Tolong! Tolong!”

Jeritan yang tadinya kuat, makin lama makin lemah. Tapi masih lagi diulang-ulang tanpa berhenti. Seperti ada sesuatu yang mengejarnya. Tetapi apa? Kekaburan yang amat sangat itu menyukarkan Suraya untuk melihat apa-apa kecuali budak perempuan yang masih terus berlari itu. Seperti ada satu lapisan kabus yang sengaja menghalang penglihatannya.

Suraya baru sahaja mahu mengangkat tangan untuk menolak kabus-kabus itu ke tepi bila sahaja matanya terbuka sendiri. Dia terus terduduk di atas katil dan menyeka peluh-peluh yang menitik dari dahinya. Mimpi yang sama lagi.

Sejak peristiwa tersesat di hutan tempoh hari, Suraya selalu sahaja mengalami mimpi yang sama. Hari ini merupakan hari ketujuh selepas kejadian itu dan sudah tujuh kali jugalah mimpi itu menjenguknya. Dia menghembuskan nafas berat dan menjeling jam dinding di depannya. Masih awal lagi. Baru sahaja jam tiga pagi.

Suraya turun dari katilnya perlahan-lahan dan berjalan malas menuju ke tingkap, “Hurmph...... bilalah nak balik ni?” dia mengeluh sendirian. Dari tingkap biliknya, hanya ternampak hutan yang kaku tidak bergerak.

‘Apa yang tidak kena dengan pondok tu yer, sampai aku boleh termimpi-mimpi macam ni,’ fikirnya sendiri, ‘Mungkin ada sesuatu yang misteri atau berhantu dengan pondok tu. Kalau tak, takkanlah Lisa takut sangat.’ Dia memintal-mintal rambutnya sambil melayan fikiran, ‘Hanya ada satu je jalan untuk aku tahu apa yang sebenarnya terjadi. Aku mesti pergi balik pondok itu dan masuk dalam!’ tekad Suraya di dalam hati.

Dengan tekad yang baru itu, Suraya terus kembali ke katilnya. Dia langsung tidak sedar, ada sesuatu yang memerhatikannya daripada bumbung. Dan sesuatu itu hanya tersenyum sendirian.


* * * * *


Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Suraya sudah siap untuk keluar dari rumah besar itu. Aunty Mas dan Lisa pun masih belum bangun. Suraya pun tidak berniat untuk memberitahu mereka. Hanya sekeping nota ditinggalkan atas meja makan memberitahu yang dia keluar bersiar-siar.

Setelah hampir sejam dia mencari-cari jalannya di dalam hutan, Suraya tiba di hadapan pondok usang itu. Jalannya sebentar tadi terasa amat mudah, tidak seperti sewaktu dia sesat tempoh hari. Seperti jalan itu memang dibuka untuknya. Seperti ada sesuatu yang tahu dia akan datang. Dia melepaskan nafas lega kerana tidak sesat tetapi bulu romanya menegak bila sahaja dia berhadapan dengan pondok itu. Dengan semua keberanian yang ada, Suraya menolak pintu pondok itu perlahan-lahan.

Kreet...

Pintu pondok itu berkeriut sendiri apabila ditolak. Suraya masuk dengan langkah berhati-hati. Ruangan dalam pondok itu tidak dapat dilihat dengan jelas. Mungkin sekali kerana cahaya matahari tidak dapat menembusi tirai langsir yang sarat dengan habuk. Bau hapak yang tidak menyenangkan singgah di hidung Suraya. Dia menahan nafasnya sambil memerhatikan sekeliling pondok itu.

Terdapat beberapa perabot usang menghiasi ruang kecil itu. Suraya masuk lebih dalam lagi, cuba untuk mencari apa-apa yang menarik di matanya. Tuahnya mungkin, setibanya Suraya di tengah-tengah pondok itu, matanya tertancap pada sesuatu yang sedikit berkilau di atas lantai. Dia tunduk mengutip kilauan itu.

Rantai.

‘Apa ni? Petunjuk?’ tanya Suraya sendiri. Dia menggenggam rantai itu erat-erat lalu memasukkannya ke dalam poket jeans. Dia memerhatikan sekeliling pondok itu sekali lagi. Tiba-tiba, Suraya merasakan ada sesuatu menyentuh kakinya. Dengan perasaan cemas, dia memandang ke bawah.

“Aa... a... a... a... tikus!” jeritnya lalu terus berlari keluar. Geli-geleman di kakinya masih terasa. Selepas memutuskan yang tiada apa lagi yang menarik di dalam pondok itu, Suraya terus berpusing untuk balik. Mengikuti jalan yang dilaluinya tadi. Tetapi kali ini, jalan yang dilaluinya dirasakan susah pula. Jalan lurus yang dilalui sewaktu datang tadi telah tiada. Bila matahari tegak di atas kepala, barulah Suraya dapat melihat sayup-sayup pintu belakang banglo itu dari jauh.


* * * * *


Sebaik sahaja selepas makan malam, Suraya cepat-cepat menguncikan dirinya di dalam bilik. Rantai yang dijumpainya siang tadi dikeluarkan lalu dibelek-belek. Loket rantai itu berbentuk hati dan di tengah-tengahnya bertakhta sejenis batu berwarna merah. Kalau tidak silap Suraya, batu itu namanya Ruby. Tetapi, warna batu itu tidak naik langsung serinya di dalam bilik itu kerana semua yang lain pun berwarna merah. Suraya membalikkan loket itu dan meneliti pula bahagian belakangnya. Di belakang loket itu terukir perkataan ‘M’.

“M? M untuk apa yer?” bingung Suraya, “Tempat ke? Tak pun nama orang.” Tekanya sendiri. Sambil dia meneka-neka itu, teringin pula dia menyarungkan rantai itu di lehernya. Sebaik sahaja rantai itu melilit leher Suraya...

Dum! Dum! Dum!

Suraya tersentak mendengar bunyi yang tiba-tiba itu. Dengarnya seperti datang dari loteng. Dia menggelengkan kepala dan mengabaikan saja. Memang sering saja terjadi yang pelik-pelik dalam rumah ini.

Dum! Dum! Dum!

Bunyi itu mengganggu lagi. Berulang-ulang. Dan makin lama makin kuat. Makin cuba diabaikan oleh Suraya, makin lagi bunyi itu memberontak. Seperti ada sesuatu yang cuba menarik perhatiannya. Suraya berfikir seketika sebelum membuat keputusan. Beberapa minit kemudian, dia mencapai baju sejuknya dan berjalan keluar dari bilik itu menuju ke tangga loteng.

Tangga yang seperti hidup segan, mati tak mahu itu didaki dengan langkah hati-hati. Setiap keriut dari tangga itu membuatkan perut Suraya jadi kecut, takut-takut tangga usang itu terus roboh. Sebaik sahaja dia tiba di puncak tangga, pintu loteng ditolaknya perlahan-lahan. Gelap. Gelap pekat seperti malam tidak berbulan. Suraya teraba-raba di dalam gelap itu, mencari suis lampu.

Tap!

Ya, jadi terang-benderang bilik itu, disimbah cahaya lampu. Tapi permasalahannya, siapa pula yang membuka lampu itu? Jari-jemari Suraya masih lagi sejengkal daripada satu-satunya suis di situ. Dia menelan air liur, takut. Belum sempat otaknya habis memikirkan suis lampu itu, segugus angin sejuk menampar mukanya. Suraya memandang sekeliling, tak ada tingkap. Dari mana datangnya angin?

Seketika kemudian, bunyi itu menggila lagi membuatkan Suraya teringat tentang tujuan sebenar dia tiba di loteng itu. Bunyi berdentam-dentam itu datang dari suatu sudut loteng. Suraya menggenggam keberaniannya dan melangkah menuju sudut itu. Beberapa langkah kemudian, bunyi itu terus berhenti. Suraya mengerutkan kening, kehairanan. Di sudut yang datangnya bunyi tadi tidak ada apa-apa pun. Tiada barang-barang lama, atau pun kotak-kotak penuh habuk seperti di ruang lain dalam loteng itu.

Hanya yang ada di ruangan itu adalah sebuah cermin besar. Cermin itu cukup panjang untuk membolehkan Suraya melihat dirinya dari hujung rambut hingga hujung kaki dan cukup lebar hingga dapat memuatkan dua kali dirinya. Dia memandang cermin itu lama-lama. Baru pertama kali dia melihat imejnya sendiri yang masih lagi sedang memakai rantai Ruby itu. Cantik, pujinya di dalam hati. Seperti terpukau, Suraya mengangkat tangan kanannya untuk menyentuh imej rantai Ruby di dalam cermin itu.

Sebaik sahaja tangan Suraya menyentuh permukaan cermin, imej di dalam cermin itu terus beransur bertukar perlahan-lahan. Kini, bukan Suraya lagi yang dilihat di dalam cermin itu, tetapi gadis lain. Suraya mengerutkan keningnya. Seperti pernah lihat gadis ini, tapi entah di mana. Di lehernya terkalung rantai Ruby yang dipakai oleh Suraya sebentar tadi. Gadis itu tersenyum menyapa. Serentak dengan itu, Suraya terus teringat di mana dia pernah lihat gadis itu dulu. Gadis inilah yang seringkali muncul, berlari-lari dalam mimpinya.

Gadis itu memusingkan loket di kalungnya dan menunjukkan ukiran di belakang itu. Sekali lagi Suraya sedar akan sesuatu, “Maria?” soalnya dengan suara yang begitu tidak pasti.

Dan refleksi di dalam cermin besar itu beransur perlahan-lahan, bertukar lagi...


* * * * *


Maria menjerit-jerit meminta belas. Namun tangan yang terus-terusan memukulnya itu seperti sudah hilang pertimbangan dan belas kasihan. Entahlah dari mana datang amarah dan gilanya tetapi semua itu dihamburkan pada Maria. Sambil itu, mulutnya terkumat-kamit, “Sebab kaulah ibu kau mati. Pembunuh!” Selepas keletihan membantai dan menghamburkan itu ini, tangan itu terus layu, mabuk keletihan.

Maria masih lagi memeluk tubuh di sudut itu, merasakan semua kesakitan yang ada. Yang paling menyakitkan padanya bukanlah tamparan itu tetapi kata-kata yang diludah oleh ayahnya. Dia bukan pembunuh. Bukan sama sekali pembunuh ibunya. Rantai di lehernya digenggam erat-erat, “Ibu, tolong Maria!”

Permintaan Maria itu bukan sahaja tidak dijawab oleh manusia, malah cengkerik yang tadinya bising pun terus diam mendengarkan hajat itu. Dia menghirup sedunya lagi. Sedu-sedu itu tiba-tiba berubah menjadi harapan dan keberanian. Rantai di lehernya dibuka berhati-hati dan diletakkan ke tepi. Biar semua kenangan silamnya berkubur di sini.

Maria melihat ayahnya yang sedang nyenyak tidur untuk kali terakhir sebelum bangun dan berjalan ke pintu pondok itu. Dia cuba membuka pintu itu sesenyap mungkin, tetapi apalah daya, pintu usang itu tetap berkeriut. Dan serentak dengan itu, ayahnya membuka mata. Tanpa berfikir dua kali, Maria terus berlari sekuat mungkin menjauhi pondok itu. Dalam kepala gadis kecil itu, sudah tertanam destinasi yang seterusnya. Laungan dan derapan kaki ayahnya yang terdengar membuatkan dia berlari makin laju.

Setibanya dia di depan pintu utama rumah besar itu, Maria terus membunyikan loceng. Loceng itu dibunyikan berkali-kali tanpa henti, “Lisa! Lisa! Tolong aku!” Pada laungan yang kelima, pintu rumah besar itu terbuka perlahan-lahan. Tetapi bukan kawan baiknya yang menyambut, malahan dua orang lelaki yang tidak dikenali. Kerana kebuntuan akal dan masa, Maria terus melangkah masuk rumah itu tanpa banyak soal.

Setelah menghirup udara segar buat seminit dua barulah dia berani membuka mulut, “Siapa kamu? Mana Lisa?”

“Lisa dan emaknya bermalam di rumah saudara hujung minggu ini. Kami sepupu dia. Siapa awak?”

“Saya Maria, kawan Lisa. Boleh saya tumpang berteduh kat sini malam ni. Please. Malam ni je.”

Lelaki yang menyoal tadi merenung kawannya meminta kepastian. Kawannya itu pula hanya tersenyum sinis dan mengangguk setuju. Maria mula jadi sangsi. Dia baru sahaja hendak menggerakkan kaki, melangkah keluar dari rumah itu tetapi langkah gadis itu terlalu lambat. Badannya dirangkul kasar dari belakang dan mulutnya ditekup kuat. Dia diheret ke sebuah bilik dalam rontaan gilanya yang makin lama makin lemah. Dan selesai sahaja kedua lelaki itu melepaskan nafsu, sebilah pisau tajam didekatkan di bibir leher Maria dan darahnya dipancut-pancutkan ke serata bilik.

Bilik itu menjadi merah serta-merta, bermandikan darah hanyir. Merah pekat, warna darah.


* * * * *


Suraya tersentak bila bahunya ditepuk seseorang. Dia mengalihkan pandangannya dari cermin itu yang kini hanya hitam gelap, tidak ada sebarang bayangan pun.

“Biarkan Maria sendiri,” ujar Lisa yang tiba-tiba sahaja sudah ada di sebelahnya, “dia sudah lama begitu.”

Suraya mengerutkan dahi, kebingungan, “Awak tahu?”
Cerpen sebelumnya:
Maaf, Cik! 3 : Juan Bangkit
Cerpen selanjutnya:
Surat Cinta

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.3
3 Penilai

Info penulis

Ungku Laila Hanna Binti Ungku Mohsin

im your best kept secret and your biggest mistake
valium | Jadikan valium rakan anda | Hantar Mesej kepada valium

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya valium
Sudut Orang Ketiga | 3617 bacaan
Wahyu | 2267 bacaan
Kata Penjual Susu | 2584 bacaan
The Ragged Doll | 3473 bacaan
M01S05 - Tanah Hanyut | 4206 bacaan
Dari Langit | 2428 bacaan
Kepada Arman | 2593 bacaan
Bisu | 2955 bacaan
Terbang | 2573 bacaan
Dialog Tolak Tambah Edisi Musik Ketuhanan | 3107 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

4 Komen dalam karya Refleksi
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik