Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Fantasi

KERANA AKU SEORANG BUDAK JALANAN

Cerpen sebelumnya:
~Anis~
Cerpen selanjutnya:
Tiket

 

KERANA AKU TETAP AKU

Aku termenung. Rawan di hati aku simpan sendiri. Aku tak perlukan simpati, kerana aku tahu aku ada kemampuan diri. Walau hidupku kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tak semudah itu aku kan mengalah. Onak derita inilah yang mengajar aku untuk menjadi aku. Aku tahu, ada mata-mata jelek yang memandang gaya kehidupanku. Tidak mengapa, aku tidak kisah. berkali sudah aku bilang, berkali sudah aku ceriterakan, aku senang dengan hidupku.

Di tepi kaki lima ini, beratapkan jambatan, berdindingkan debu kota, aku menagih secebis perhatian. Tidak! Bukan bermaksud aku mahu mengambil kesempatan, namun rasa sesakku ini memaksa aku menagih rasa kasihan insan-insan tulus berhati matang. Bukannya aku bermaksud untuk menoktah sandiwara, hanya sekadar melapik perut agar aku dapat terus hidup. Apakan dayaku? Seorang anak kecil yang tidak berbapa. Ibuku? Sudah meninggal setahun yang lalu. Lantas, hidup ini menjadi lebih kejam kepadaku.

Dari kanta perjuangan hidup, aku berdepan dengan segala satu macam rencana dunia sendirian. Dari tebing-tebing usang, aku lihat betapa bodoh manusia yang lupa daratan. Di lorong-lorong gelap, terpapar sadis kisah insan-insan yang terbang dalam fantasi nikmat sementara. Mereka gembira, namun bagiku, mereka derita. Hilang rasa ingin hidup dalam nafas gelojoh ganja. Tersadai bagai aku yang tak berbapa. Bagai aku yang terhumban dalam derita kemiskinan dunia.

Mengapa semua nikmat ini dipersia? Aku yang mengharap penuh susah, menagih penuh rintih, tetap juga menderita. Sedang mereka yang hilang pedoman jiwa, peragut kisah cinta, pemusnah jiwa raga, begitu enak mendodoi gembira? Apakah ini yang dinamai dunia suatu realiti kehidupan? Fakta bahawasanya kasa kehidupan itu wujud, dan aku ditakdir tercampak dalam hidup derita. Berada dalam lembah hina kasa hidup kelas bawahan.

Malam hariku, bertemankan unggas yang menyanyi riang, berpesta memecah hening jiwa yang melara. Juga bersama-sama teman-teman serangga kecil yang berterbangan, seakan-akan mengajuk derita hidupku. " nah! engkau di situ terpelosok di lembah waktu, antara sendu dan haru, lantas aku tanpa menunggu waktu, berlari mencari hidup sendiri". Dan kerana itu, darah-darah manis milikku menjadi santapan enak mereka. Aku relakan sahaja, kerana aku tahu nafsu perut yang derita. Kerana mereka; nyamuk-nyamuk yang mencuba nasib menyambung nyawa. Semangat mereka aku gilap dan jadikan teladan.

Bahawa andai datangnya esok, akan ada bahagia.Ingin aku khabarkan pada dunia, "aku bukan lagi anak jalanan". Dan pada dunia, ingin aku sebarkan kemelaratan watan, biar mereka sedar betapa insan lemah jangan dipandang hina. Lalu, ingin aku membawa satu resolusi baru, menjana kemantapan maruah insan-insan yang kemiskinan. Dan ingin aku buktikan pada dunia betapa aku berjaya melangkahi segala onak nan berliku. Semua itu aku lakukan sendiri tanpa bapa yang tidak aku kenali, dan ibu yang telah lama pergi. Aku akur kehendak Ilahi, dan telah aku buktikan bahawa aku mampu untuk berdiri mengharung duri jelek insani busuk bertopeng bidadari!

Namun, tidak beberapa lama, aku dengar lagi. Dendangan muzik dari perutku yang masih kelaparan. Dan aku, masih lagi kanak-kanak jalanan, yang begitu hina di mata masyarakat. Andai aku ada peluang itu, akan aku kejar bahagia jangan sampai terlepas! Aku pasti dan aku berjanji...

"TING!"

Sekeping syiling berdenting dalam bekas plastik, tempat menadah rezeki yang aku letak di hadapanku. Alhamdullillah... aku tersenyum dan semangat terlafaz menjadi jitu. "wahai dunia, tunggukan aku!"

 

SIAPA SANGKA?

Dalam kemelut rasa ini, siapa sangka ada tunas yang menjadi, ada harapan yang bercambah, ada pelawa datang menyinggah. Kemurungan aku rupanya mendapat peluang melewati tentatif masa melarik enigma hidup baru epilog seorang anak jalanan. Cemburu mata-mata nakal, seakan menyinggah kala melihat senyuman bidadari dunia yang istimewa dikhaskan untuk aku. Kerdil aku memandang diriku ini kala itu, namun itukah yang dinamai dunia kehidupan? Jika sungguh, tiada lagi rasa rawan aku menerus hidup kini. Kerana qiamku terletak kemas sudah, peluang akan datang bila-bila masa, menyinggah seminit dua sebelum dibiar sepi tanpa disedari.

Gadis itu menyimpul senyum. Cukup iklas tanpa jijik menghurung rasa. Aku tertawan pada alis matanya yang cantik dihias rona-rona ceria sebuah ketenangan yang suci! terpempan dalam realitiku, aku akan bangkit menjadi seseorang yang boleh dibanggakan. "Wahai puteri, kayangan mana datangmu? Persembahkan patik dalam kerajaanmu, biar mereka sedar akan adanya hidup seorang anak kecil yang tak berbapa dan kehilangan ibu. Ceriterakan pada mereka siapa patik, agar jangan mereka telan segala umpat caci, juga keji buat patik! Biar mereka sedar, patik punya perasaan, patik juga ada rasa segan. Biar saja patik menuding hidup susah ini menjadi terangan cahaya yang mengindahi." 

Simpulan senyuman itu, akhirnya memberi aku ruang untuk bernafas. Momentum-momentum palsu yang sebelum ini aku impikan, akan berubah dalam kalis kenyataan. Dan lamunan itu, seakan-akan terhenti. Senandung suara merdunya dengan jelas menggeletek sedarku, menggoyah anganku, menagih sesakku. Perlu apa aku menjadi modus operandi suatu eksperimen kehidupan?

"Adik, akak nak bawa adik ke suatu tempat yang lebih selesa, ada teman, ada rumah, ada makanan dan pakaian. Jangan adik takut kerana mereka juga seperti adik. Pernah punya hidup begini suatu masa dulu."

Tidak!

Sungguh aku tidak percaya, igauan-igauan palsu itu rupanya, hanyalah suatu niat memesongkan aku dengan kehidupanku. Bukankah secara tidak langsung,aku dihina, dicaci juga maruahku dirobek? Mengapa? Salahkah aku berjuang dalam hidup dengan suatu tekad aku tetap menjadi aku? Hinakah kehidupan jalanan yang aku lalui sehinggakan aku yang punya harga diri, menjadi lubuk eksperimen propaganda manusia pari-pari. Kononnya ada simpati yang meruah buat insan-insan kerdil sepertiku. Andai benar, untuk apa disebarkan pada dunia?Untuk apa dipersembahkan kemuliaan? Biar terangkat pandangan mata insan? Biar bertingkah kemanusiaan? Ah, persetankan itu semua! Biarkan aku dengan duniaku, dan kamu dengan fantasimu. Bukankah telah aku bilang, aku mahu menjadi aku. Dan aku senang dengan hidupku. Biarkan sahaja aku menjejak mimpi-mimpi palsu yang aku turas dalam sendu kehidupan seorang anak jalanan bernama aku.

Walau hari seterusnya, aku sendiri kurang yakin, ke mana lagi arah tujuku!

 

AKU TELAH DITAKDIRKAN MENJADI AKU

Sudah aku bilang, kasih orang tak mungkin tak bertepian. Simpati orang tak mungkin membukit menjadi sayang yang menggunung. Jelek orang tak mampu nengubah satu tinta realiti hidup. Telah juga aku bilang, sebuah keyakinan tak akan meruntuh jika hanya ditiup sepoi sendu. Aku telah memilih untuk tetap menjadi aku. Lantas, aku masih di sini menanti sapaan waktu, mohon qiamku tetap sabar mengharung dugaan lagi, sebelum peluang datang sekali lagi menjengah diri. Pada si puteri, aku lemparkan senyuman. Biar dia tahu aku ikhlas. Biar dia tahu hinanya tak berbekas, kerana aku yakinkan qiamku, aku mahu terus menjadi aku, mendamba suatu kejayaan atas suatu kemelaratan! Akan aku buktikan pada dunia, akan aku pastikan.

Detik-detik bersama keindahan di sisi sang bidadari, telah menjadi suatu kenangan abadi dalam hidupku. Terima kasih kerana menghadiahi aku senyuman indah, buat menjadi teman dalam lenaku. Terima kasih kerana ada prihatin yang menyinggah kalbu buat aku usung bersama sendu hidup yang akan aku jejak penghujungnya. Terima kasih wahai bidadari kerana menghidupkan azam yang menujah jemala panji hidupku, dan terima kasih buat terakhir kali, kerana sudi menghadir diri. Terima kasih wahai puteri, terima kasih lagi.

"TING!!!"

Sekeping lagi syiling aku terima dari insan tenang berhati matang, lalu lalang mengejar masa. Mereka ini lebih aku percaya, punya rasa kemanusiaan yang tulus,tiada propaganda dan kerana itu sepincing kebaikan tidak perlu dihebahkan! Akan aku buktikan, aku punya tekad yang jitu. Aku akan tetapkan bangkit menjadi seorang aku.

"Wahai dunia, percayalah padaku!"

Cerpen sebelumnya:
~Anis~
Cerpen selanjutnya:
Tiket

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
7 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2360 bacaan
Kanibal Malaya | 2834 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4041 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9982 bacaan
Naskah | 2245 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3466 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2773 bacaan
Tuhan itu cinta | 2759 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2820 bacaan
no title | bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya KERANA AKU SEORANG BUDAK JALANAN
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik