teleNovella cinta 2

 

(Cerita pendek ini berdasarkan sambungan dari cerita teleNovella Cinta. Untuk lebih menghayati kisah percintaan antara Mira dan Haris, silalah baca siri 1 dulu ye? Selamat membaca!) 


Pawarna bahagia

Sudah sebulan berlalu, dan sudah sebulan juga hubungannya dengan Haris menjadi bertambah rapat. Sekarang perasaan segan sudah hampir hilang dari kamus diri masing-masing. Walaupun hakikatnya, kehidupan seperti pasangan suami-isteri yang lain belum sepenuhnya dinikmati, namun Mira dan Haris sudah mulai tabah dengan halangan yang mendatang.Sudah tidak cepat melatah seperti mula-mula berkahwin dahulu.

“Sayang, malam esok abang ada satu kejutan untuk sayang. Abang nak sayang pakai baju yang abang belikan minggu lepas masa abang pergi outstation hari tu. Boleh?” Haris separuh berbisik ketika sama-sama menonton televisyen di ruangtamu bersama isterinya, Mira.  Mira cuma tersenyum simpul. Malu rasanya sebab Haris jarang sekali bersikap begitu romantis seperti ini. Dalam hatinya, ada debaran yang memuncak tiba-tiba.

Tiba-tiba telefon bimbit Haris bergetar. Ada panggilan masuk. Haris mengerutkan keningnya, lalu bangun dan menjawab panggilan tersebut di luar rumah. Dari dalam rumah, atas sofa di hadapan televisyen, Mira dapat melihat bayang-bayang suaminya bercekak pinggang di laman rumah. Mungkin ada sesuatu yang sedang dibincangkan. Penting agaknya sampai begitu sekali reaksi suaminya itu.

Setelah tiga puluh minit, panggilan tadi masih belum berakhir dan Haris masih lagi melayan panggilan tersebut. Mira sudah dua tiga kali menguap. Rancangan televisyen di hadapannya sudah tidak boleh dihadam dek fikirannya. Mengantuk! Lalu, Mira terus ke biliknya untuk tidur tanpa menanti Haris suaminya.

Pagi itu, Mira terasa berat sangat nak buka mata. Mengantuk lagi. Tambahan pula malam tadi hujan lebat. Sejuk dan dingin embun pagi masih terasa membuatkan lenanya bagaikan diulit mimpi-mimpi indah. Sudahnya, bila jam tegak berdiri ke angka 12, baru badannya siap menerima tugasan. Bagaikan badak sumbu Mira mengeliat. Namun, pandangannya melekat pada satu bungkusan yang berbalut kemas di atas meja.

Mira mengambil bungkusan tersebut. Ada nota diselitkan antara lipatan-lipatan di atas bungkusan itu. Kertas kecil berwarna kuning dengan nota ringkas; “Mira, maaf. Abang kena pergi outstation lagi. Tunggu abang. Dua hari lagi abang balik. Tunggu abang.”

Mira tersenyum memandang nota tersebut. Ditariknya kertas kecil itu, lalu diciumnya dengan penuh perasaan seperti mencium pipi Haris. Ya, ciuman yang didambakan oleh seorang isteri terhadap suaminya, namun dalam situasinya ia bagaikan mimpi. Cuma ilusi. Entah di manalah silap dan kekurangan dirinya, Mira masih buntu tanpa jawapan. Namun, walaupun begitu Mira tetap berpuas hati seadanya dengan layanan mesra dari Haris.

Guruh kebenaran

“Hei perempuan, kau jangan ingat kau tu bagus sangat. Aku ni dah lama terkejar-kejarkan si Haris tu. Aku tak suka kau sebab kau tu penghalang aku. Kalau tak mesti dah lama Haris tu dah jatuh cinta dengan aku.” Kedatangan Helmi petang itu bagaikan halilintar menyerang dirinya. Mira terkedu mendengar pengakuan cinta Helmi terhadap Haris. Nasib baiklah Haris masih lagi tahu membezakan antara yang benar dan salah. Petang itu, hadirnya Helmi cukup membuatkan Mira lemas dalam lautan caci dan maki yang tak putus-putus berdentum dari bibir tebal dan seksi Helmi.

“Apa masalah awak ni. Awak datang rumah saya tak berjemput, dan saya tak harap awak keluar pun berhalau.” Dalam sabar, Mira cuba mengawal setiap baris ucapan kepada tetamu yang tak diundang di hadapannya itu.

Helmi tersenyum senget, sama seperti mengejek. Dia mengangkat kening sebelah kanan ala-ala Ziana Zain. Memandang Mira penuh sinis.

“Hei perempuan, apa yang kau nak dengan Haris tu? Dia tu tak guna kalau jadi jantan sekali pun. Hei, laki kau tu mati pucuk. Kau tak payah ceritalah, aku tahu kau memang tak pernah buat apa-apa pun lagi dengan laki kau kan? Tengok badan kau pun aku dah tau!” Lancang sekali Helmi mencaci dirinya ketika itu. Tahap kesabaran Mira kian memuncak. Jika tadi dia berdiri, Mira sudah berubah posisi. Dia duduk di atas kerusi kayu jati hadiah perkahwinannya dengan Haris dari ayah mertuanya itu. Ombak dadanya sudah semakin kencang.

“Kalau aku jadi Haris pun, aku memang tak akan ada selera tengok engkau ni. Dahlah selekeh, gaya macam perempuan kampong. Duduk ceruk hulu manalah agaknya kau datang Mira oi. Buat malu kaum kerabat je. Tak sesuailah kau dengan Haris ni. Entah-entah kau ni kahwin dengan Haris sebab duit je tak? Tak pun…” belumpun sempat Helmi menghabiskan ucapan berjelanya itu, satu lempangan petala kelapan tepat mengenai pipinya yang cengkung itu. Entah bila masanya Mira bangun dari duduknya pun langsung tidak disedari.

“Awww. Sakitlah!” Helmi menahan kebas di mukanya dengan telapak tangan. Terasa berbahang bekas tamparan Mira. Baru dia tahu erti sebenar tamparan wanita, mahu seminggu herot pipi tak boleh nak bercakap.

“Keluar sekarang!” dan jeritan Mira kali ini cukup untuk meringankan kaki tegap Helmi untuk melangkah keluar dari rumah agam itu.

Pelangi kelapan

Haris tersenyum sendiri. Kali ini, apa nak jadi pun jadilah. Dia sudah bertekad sepenuhnya. Hubungan suami-isteri antara dia dan Mira semestinya menjadi lazim seperti pasangan-pasangan yang lain. Sudah tidak sanggup dia melihat kesengsaraan Mira. Dan hakikatnya, dia sendiri turut merasai kesengsaraan itu. Namun, apa yang boleh dikatakan selain menerima takdir yang dikehendaki Allah terhadap dirinya.

Oleh kerana perasaan tanggungjawab dan rasa kasih sayang yang telah lama tersemai buat Mira, Haris sanggup menanggung malu mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Tembok egonya sudah lama runtuh. Biarlah, biar dia korbankan keegoannya demi melihat kelangsungan demi mencari kebahagiaan hakiki dalam rumah tangga yang sudah lama dibinanya. Sudah lama Haris merelakan pengorbanan yang tergalas di bahunya itu.

Cuma masalah yang tinggal, Mira sendiri. Mira masih belum tahu tentang masalah dirinya. Masalah yang ditanggungnya sendirian. Tekanan yang digalasnya dalam diam. Entah bagaimana mahu dimulakan bicara tentang perkara ini di hadapan Mira. Haris sedikit buntu. Entah bila, Haris tertidur sementelah berangan berdua-duaan dengan Mira isterinya. Wajah tampannya tersenyum dalam lena. Haris bahagia kerana dugaannya sudah berjaya diatasi. Sakitnya sudah berjaya diubati. Bahagianya kian dekat untuk dikecapi. Haris bahagia membayangi kebahagian tersebut. Dan kebahagian itu jelas terpancar pada wajah mulus seorang lelaki bernama Haris.

Becak tangisan

Mira menangis teresak-esak. Langsung tidak dijangkanya masalah Haris seserius itu. Betapa beratnya tekanan yang terpaksa dihadapi oleh Haris. Diakah yang bersalah selama ini kerana langsung tidak menyedari kesengsaraan Haris? Belum cukup lagikah perkenalan antara dia dan Haris? Belum cukup mendalam lagikah kasih dan cintanya kepada sang suami? Soalan-soalan itu begitu menyesakkan pemikirannya. Mira buntu. Seharus bagaimanakah tingkahnya untuk menghadapi Haris pada esok hari? Berlagak biasakah, atau perlu ditujahi soalan-soalan kepastian yang sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu apa. Kepastian tentang apa lagi yang mahu diketahuinya? Mira buntu lalu satu keluhan berat meluncur keluar  tanpa dapat ditahan-tahan.

Namun, jauh di sudut hatinya, Mira terkilan. Mengapakah rahsia sebesar ini tidak pernah dikongsi bersama dengan dirinya? Apa selama ini begitu tidak yakinkah Haris dengan dirinya? Tanpa jawapan, air mata suam terus mengalir dari kolam matanya yang tak pernah surut. Akhirnya, malam itu Mira kesiangan dengan air mata yang tak mahu berhenti mengalir walaupun sesaat.

Sinaran harapan

Hon kereta ditekan beberapa kali. Senyum manis tidak langsung lekang dari wajahnya. Haris benar-benar rindu untuk menatapi wajah manis Mira, kekasih hati dan si pengarang jantung dirinya sejak dulu. Perpisahan dua hari itu benar-benar membuatkan hati lelakinya digaru rindu yang begitu susah untuk dikawal. Sekali ini, Haris tewas ditangan isterinya, dia tewas dalam lembut tingkah dan santun pekerti Mira. Haris yakin dengan perasaan hatinya. Miralah kekasih pertama dan terakhir yang akan disanjungnya sehingga nyawa berhenti.

Mira membuka pintu dengan senyuman manis. Matanya yang sembab dirias sebaik mungkin dengan warna-warna lembut memukau. Wajahnya nampak semakin ayu kala terik mentari menerobos ke mukanya yang putih bersih itu. Pipinya menjadi kemerah-merahan ibarat disapukan blusher. Wajah yang sememangnya manis bertambah menawan membuatkan hati lelaki Haris bagaikan digaru semacam rasa. Lagak Haris nampak seperti cacing kepanasan di dalam kereta. Tanpa menunggu, dia segera mendapatkan Mira. Mira dipeluknya erat. Sebuah ciuman terus hinggap di dahi Mira. Mira terkedu. Baru semalam dia mendapat berita tentang kegagalan suaminya berfungsi sebagai lelaki sejati, tapi hari ini Mira dapat merasakan getaran perasaan itu dari Haris.

Mira terpaku memandang Haris. Wajah Haris tampak begitu berseri-seri. Setakat ini, inilah kali pertama Mira dapat melihat kejernihan wajah tampan itu dalam keadaan yang benar-benar ceria.

Antara sedar dan tidak, lembut suara Haris menjamah pendengarannya.

“Sayang, cantik sayang pakai baju ni. I love you, truly love you and I need you. And on top of that, I want you. I want you to complete the half of me. I want you now.” Lembut suara itu berbisik ke telinganya. Mira tersenyum bahagia.

Haris mencampung Mira masuk ke rumah dan pintu rumah itu dikatup rapat. Akhirnya, berbahagialah keduanya dalam mencari erti sebenar sebuah perkahwinan yang bukan sekadar tertulis cantik di atas sehelai kertas kosong.

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Suami Isteri

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) maaf sebab lambat post cerita ni. Huhu, sebenarnya rasa serba salah nak post sebab macam tak sesuai je.. (ke?) hehehe... sebenarnya, cerita ni lagi panjang tapi rasanya tak sesuai kot. jadi saya pendekken sehingga jadilah sebegini. bak kata apun; kurang sesuai saya tulis sesuatu yang berkaitan alam perkahwinan+ malam pertama++ sebab saya pon tak pernah rasa lagi. ok, i take note that. hehehe. okeh, itu je, selamat membaca dan maaf atas semua kekurangan! =p
  • 2) oho..itu rupanya rahsia Haris...
    hurmmmm...

    :D


  • 3) telenovella cinta 3 akan ada tak?
    adala..adala..adala... :P
  • 4) oh,saya menjangkakan cerita ini menjadi lebih telenovela..
    tp singkat plak cite ni..
    btw, still menarik..
    keep it up!

  • (Penulis)
    5) nurcahaya: hehehe... sepatutnya ada... tapi kena tunggulah ye? =p
    mizz_aszni: tu ah, kalau ikut cerita asalnya, memang cerita ni panjang dan berbelit2. tapi banyak yang saya dah potong. mungkin perlu lebih variasi kronologi penceritaan. insya allah, mungkin akan ada lagi sambungannya. =p
  • 6) kalau dayya tukar ke novel..mesti dayya lg selesa nak buat panjang2..
  • 7) hahahaa..adoi!~

    terus tak jadi dinner out2 dating2?

    cis! :p
  • 8) Wah! jauh kembara cerita-cerita dayya, jauh melangkaui masuk ke alam rahsia lelaki wanita. Cerita anda bertemamkan sex, Sesuai atau tak sesuai, anda sebagai penulis harus berani buat keputusan. Kalau rasa ada bahagian yang agak berlebihan (tapi anda belum alami lagi,hehehehe!!) elok saja di tagkan sebagai "Karya Dewasa". Cuma pada saya, seperti kata apun jugak, cerita akan jadi lebih tepat jika peristiwa itu telah anda lalui. Pasti lebih mudah dan tepat orang yang berkahwin bercerita tentang alam perkahwinan, berbanding orang yang melihat alam perkahwinan itu dari luar semata.

    Selamat melangkah ke alam orang-orang dewasa.

  • (Penulis)
    9) rain: takot... hhah, nanti caha marah! novel dulu tak siap lagi =p hehe

    syud: hahah tu ah. penat make up cantik2 kan? =)

    upenyu: hehehe, buat masa ni sebenarnya saya masih tak berani lagi nak tulis begitu detail pasal tu semua. ah! ni novel2 n korean,japan movie punya kerjalah ni! heheeh. okeh. akan lebih berhati2. =p
  • 10) a bit confuse,tp tak boleh tanya kat sini..nanti akak tanya kat pm ok..
  • 11) oooo...

  • (Penulis)
    12) mr_kajiwa: =p ye, waiting for da question. =p
    shazmiey: =p

Cerpen-cerpen lain nukilan dayya

Read all stories by dayya