Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Syiah (Bahagian 1)
Tengah malam yang muram. Hujan lebat berangin. Mencabar daya tahan kota-kota konkrit yang bersifat beku terhadap air. Udara dingin disekitar merangkak ketempat bertekanan rendah sebelum menyusut menjadi lebih berat dan turun ke tanah. Di atas tanah udara menjadi panas dan naik kembali bagi melengkapi proses konveksi. Dibalik celahan blok komposit, ada aku yang sedang meringkuk dalam gigil tak nyaman. Sayup lagu yang melunak dari corong fon telinga IPod Touch turut gagal membawa damai. Aku hanyut dalam khayal. Berita tentang penangkapan 200 orang pengikut Syiah itu betul-betul menggemparkan. Bukan angka itu yang menggemparkan aku, tetapi laporan yang mengatakan Syiah menghalalkan darah sunni dan menafikan kewajiban ibadah Haji. Perkara ini yang sedang merancak dibenakku. Benarkah seperti apa yang dilapor?
Azan terdengar sayup sambil disambut ceridau ungas yang merai kehadiran subuh. Hembusan hangat udara pagi itu menyingkir sedikit demi sedikit titis embun yang menumpang dipermukaan jendela kaca . Aku kurang sedar saat bila aku terlelap. Tapi yang pasti sekarang ini aku perlu segera bangkit melaksanakan fardhu subuh sebelum fajar menyinsing. Dan bersiap sedia untuk kuliah. Hari ini ada persoalan yang perlu aku rungkai. Dalam perjalanan aku menerima sms dari Yuna, memaklumkan kelas hari ini dibatalkan. Aku dilanda gembira. Menjelma senyum diwajah. Aku boleh segera melunas hajat yang dari semalam tertangguh. Aku kejapkan langkah menyusuri siar kaki menuju ke perpustakaan sambil memperkemas posisi tudung. Dalam hati berharap mudah-mudahan dia ada di situ.
“Assalamualaikum” sapa aku sebaik terlihat kelibat dia yang sedang sibuk mentelaah.
“Walaikum salam” sambil mengalih pandang tepat kearah aku. Mata kami bertemu. Bibir saling bertukar senyum. Aku melarikan pandang . sedikit malu-malu.
“Kau Maisarah, aku ingatkan sapa tadi” jawab Luqmanul Hakim pendek.
“Kau teringatkan awek mana?” aku cuba menyakat. Tapi dia hanya membalas dengan senyum .
“ Kau sibuk tak sekarang ni?” soal aku ringkas.
“Tak. Kenapa?” dia menyoal balas.
“Aku nak tanya kau tentang satu hal. Itu pun kalau kau tak keberatan”.
“InsyaAllah, tak. Tapi persoalan kau tu berkenaan apa?”.
“ Tentang isu Syiah”. Jawab aku tanpa selindung. Dia senyum lagi sambil aku mengambil posisi duduk mendepaninya.
“Ini mesti bersangkut paut dengan berita semalam”. Dia meneka sambil menunggu respon.
“ Ha ah. Betul ke berita yang sedang heboh tu”.Soal aku ingin penjelasan
“Sebelum itu, aku perlu tahu apa yang kau tahu atau dengar tentang syiah?”
“ Yang aku dengar syiah menghalalkan darah sunni dan nikah muta’h. Mereka juga mendakwa ibadah haji tidak wajib. Menyeksa tubuh sehingga berdarah pada setiap 10 muharam sempena memperingati syahidnya cucu nabi, Saidina Husin. Mereka mengharamkan solat dibelakang imam bermazhab sunnah. Menjamak solat tanpa alasan atau keuzuran. Sesat dan kafir. Serta banyak lagi yang berbau negatif” jelas ku jujur mengenai keadaan syiah yang aku kenal.
“Kita harus berhati-hati dan teliti dalam menerima sesuatu perkhabaran supaya kita tidak ikut serta dalam mengerakkan fitnah. Seperti firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 6: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. Dia mendengus ringan. Sebelum melanjut.
“Rasulullah SAW juga ada bersabda seperti yang direkodkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya yang bernombor 5752 yang bererti: “Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya”. Hadis ini membawa maksud jika seorang muslim itu menuduh saudaranya kafir sedang yang dituduh itu tidak seperti yang didakwa, maka tuduhan itu kembali kepada si penuduh”. Penjelasan itu seperti sebuah tamparan yang singgah tepat kewajahku.
“Syiekh Shaltut rh, bekas Syeikul Azhar telah berfatwa membenarkan Mazhab Ja'fari ; diatas perkara yang berkaitan cabang amalan penghukuman, dan mereka berbeza dari segi solat, puasa dan selain dari yang dua ini, berkemungkinan boleh ditolerasikan. Manakala Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengambil sikap sederhana terhadap Syiah Imam 12 dan tidak membenarkan takfir seperti yang dinyatakan dalam ucapan beliau yang berbunyi: Sesungguhnya Syiah terlibat didalam BID'AH dan TIDAK KAFIR, dan sesungguhnya kebenaran itu bukan pelbagai, dan syukur kepada Allah bahawa 9/10 umat Islam adalah Ahli Sunnah, dan kebenaran yang berkata mengenai kami.Menurut Almarhum Syeikh Ahmad Kaftaroo, Syiah Zaidiyah digolongkan sebagai salah satu mazhab Islam termulia terutama sekali ketika buku yang ditulis oleh Imam Yahya bin Murtadha berjudul Al-Bahr Azh-Zhakhar Al-Jamâ, suatu ensiklopedi fikih di dalamnya tidak ada perbedaan apa pun dengan fikih dari Ahlus Sunnah kecuali mereka mempunyai perbedaan-perbedaan parsial di dalam isu-isu seperti ketidaksahan mengusap kepala atau kaki dengan ujung jari-ujung jari yang basah ketika berwudhu juga pemboikotan atas pembantaian oleh kaum bukan muslim”. Dia menarik nafas sambil menyandar ke kerusi. Mungkin juga memberi ruang untuk aku memahami.
“Menurut Imam Abu Hasan Asy’ari dalam bukunya Maqalaat Islamiyiin dan Asyaharastani di dalam bukunya al-Milal wal Nihal, Syiah adalah nama yang diberi kepada mereka yang mengaku sebagai pengikut Ali dan percaya beliau mempunyai kelebihan berbanding para sahabat lain. Mereka lahir menjadi suatu aliran selepas berlaku ketegangan yang menjadi ukuran peperangan antara Ali dan Muawiyah. Apabila Ali dan generasi pertama Ahli Bayt meninggal dunia, timbul di kalangan mereka pandangan-pandangan yang tersendiri berhubung dengan akidah dan syariah. Antaranya mereka berhujah, kepimpinan negara adalah salah satu daripada rukun dan prinsip Islam. Tidak boleh bagi Nabi membiarkannya dan menyerahkan kepada umat semata-mata. Mereka percaya Imam itu bersifat maksum (suci daripada dosa)”. Terang Luqmanul Hakim fasih lagi teratur.
“Mereka percaya kedudukan Ali lebih layak menjadi khalifah dan bukannya melalui proses Syura (mesyuarat) sahaja. Mereka mendakwa kelebihan Ali berdasarkan kepada bukti secara terang dan tersembunyi. Untuk bukti terang itu meraka berdalil dengan hadith thaqailain seperti yang direkodkan oleh Imam Tarmizi (no.4046) dan Imam Ahmad (no.19302)dalam kitab masing-masing, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa yang aku adalah pemimpinnya,maka Ali adalah pemimpinnya”. Bukti yang tersembunyi adalah Nabi Muhammad menghantar Ali supaya membaca surah at-Taubah kepada jemaah haji, bukannya Abu Bakar.Oleh itu mereka percaya kepimpinan negara Islam mesti diserahkan kepada Ali bin Abu Talib dan keturunannya. Melantik orang lain bermaksud merampas hak dan melantik orang yang tidak layak. Ada antara mereka menyifatkan perbuatan itu zalim dan kafir. Akhirnya, Syiah berpecah kepada cabang fahaman yang banyak. Ada yang bersikap sederhana dan ada yang radikal”. Dia melirik pandang kearah aku yang sedang megun terpesona oleh kemantapan hujah dan fakta.
Aku memang tidak silap memilih dia sebagai tempat rujukan. Sejak dari waktu di Hishamuddin lagi dia terkenal dengan sifatnya yang cermat dan amanah dalam menerima serta menyampaikan ilmu. Dia juga tahu harus bagaimana meletakkan sikap dalam sesuatu isu. Tidak mudah melenting dan sentiasa menanggapi orang yang bertentangan pendapat dengannya secara bijaksana. Sesuai dengan namanya Luqmanul Hakim. Kini kami sama-sama menjadi penuntut di universiti tertua dan paling banyak berjasa di tanah jawi ini. Dia memilih untuk menekuni Al-Quran dan Al-Hadith dengan menduduki pengajian Ijazah Sarjana Muda Usuluddin sedang aku mengeluti bidang Ekonomi Analisa. Memang kami sering berselisih pendapat terutama dalam bidang ekonomi dan politik tetapi aku harus mengakui kekuatan hujahnya dalam melemparkan suatu idea atau pandangan. Dia seorang yang kritis, pragmatik dan teguh pendirian.
“Adalah tidak adil dan zalim jika kita menuduh semua syiah itu kafir. Kita perlu memahami duduk permasalahan ini secara utuh sebelum menjatuhkan hukum. Seharusnya kita membezakan Syiah terdapat di Iran, Irak, Lubnan dan Syiria tidak sama seperti Syiah yang terdapat di India dan Pakistan yang banyak diresapi elemen-elemen hindu yang jelas bercanggah dari Islam malah ditolak oleh ulama Syiah itu sendiri”. Dia diam sebentar sebelum menyambung lagi.
“Syiah ini telah berpecah menjadi banyak fahaman. Ada yang sederhana dan ada melampaui batas. Antara fahamannya seperti Al-Zirariah, Al-Yunusiah, Al-Syaitaniah, Al-Karrabiah, Al-Kamiliah, Muhammadiah, Hisyamiah, Qaramitah, Duruz, Ismailiyah, Al-Saba’iah, Al-Batiniah dan juga Imamiyah. Dan di dalam setiap fahaman ini pula terdapat beberapa lagi pecahan.” Dia menarik nafas mungkin sedikit kelelahan.
“Jadi bagaimana aku dapat membeza yang mana fahaman melampaui batas dan yang mana sederhana?” Soal ku lagi.
“Untuk memahami subjek ini dalam masa satu hari adalah mustahil. Kerana Syiah itu sendiri telah wujud sejak lebih seribu tahun lampau. Mungkin dikesempatan yang lain aku akan jelaskan secara terperinci sebahagaian fahaman terutama yang dikategorikan sebagai Ghulah Al-Syiah dan sebab mereka dihukum terkeluar dari Islam. Tapi untuk hari ini kita akan mengenali cabang-cabang ini secara umum ”.Aku mengangkuk sebagai menyetujui cadangannya.
“Al-Zirariah adalah pengikut Zirarah bin A’yun. Dia pernah mengikut fahaman al-Afthahiyah yang berkata, imam itu adalah Abdullah bin Jaafar. Kemudian, dia keluar daripada fahaman ini lalu mengikuti fahaman al-Musawiyah. Seterusnya dia mencipta ajarannya sendiri. Antaranya dia berkata, Allah itu pada mulanya tidak hidup, tidak berkuasa, tidak mendengar, tidak melihat, tidak mengetahui dan tidak berkehendak. Kemudian dia mencipta untuk dirinya sendiri akan sifat-sifat kuasa, berkehendak, ilmu, hidup, mendengar dan melihat”. Dia menjelaskan dengan perlahan. Aku jadi semakin teruja.
“Al-Yunusiah adalah pengikut Yunus bin Abdul Rahman al-Qami. Pada mulanya dia menganut fahaman Imamiah Qat’iyah yang memutuskan Imam Jaafar sudah mati. Kemudian dia membawa fahamannya sendiri yang mengatakan Allah itu ditanggung oleh malaikat yang menanggung Arasy, sedangkan Allah itu lebih kuat daripada mereka. Ini juga termasuk di kalangan ajaran-ajaran yang mengelirukan dan terlalu mengada-adakan perkara palsu kepada Allah”.
Jumlah pengunjung perpustakaan terlihat semakin bertambah. Masing-masing sedang menyibukkan diri menyelami samudera ilmu yang kaya warna, ragam fikir serta jawapan untuk segala misteri. Aku cuba sebaik mungkin menghadam setiap baris informasi yang datang mencurah-curah. Ternyata pertemuan ini memberi banyak manfaat buatku. Apatahlagi bila berpeluang menggali hikmah secara langsung dari seorang alim yang kaya ilmu seperti Lukmanul Hakim. Jujurnya, kekaguman aku kepadanya masih belum usai.
“Al-Syaitaniah adalah pengikut seorang yang bernama Abu Jaafar bin an-Nukman al-Ahwal al-Rafadhi yang digelar juga dengan nama Syaitani al-Tak. Dia antara orang yang bertanggungjawab membawa fahaman dalam aliran Syiah. Imam adalah orang-orang disebutkan secara tertentu. Mereka berkata, orang yang disebutkan itu adalah Zaid. Dia mengarang sebuah buku berkenaan dengan kepimpinan. Di dalam bukunya, dia menafikan kenyataan Allah dalam surah at-Taubah, ayat 40,
“Salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada di dalam gua.”
Ayat ini menerangkan peristiwa Nabi Muhammad bersama Abu Bakar di dalam gua Thur. Dia bersetuju dengan pendapat Hisyam bin Salim aljawaqi yang berpegang pada ajaran Mujasimah. Dia juga bersependapat dengan Hisyam bin al-Hakam yang menyatakan Allah itu mengetahui dengan sendirinya tetapi mengetahui dalam perkara-perkara yang ditakdirkan olehnya dan dikehendakinya sahaja. Bagi perkara yang belum ditakdirkan, dia tidak mengetahuinya”. Dia berhenti seketika sambil menikmati suasana sekeliling.
“Al-Karabiah adalah pengikut Abu Karab al-Dharir dan sesetengah ulamak menamakan dengan Ibnu al-Dharir. Golongan ini terlalu melampau memuja Muhammad bin al-Hanafiah sehingga melampaui batas akal dan agama. Selain itu mereka mempunyai pegangan yang sama dengan golongan-golongan sesat yang lain. Mereka juga berpendapat Muhammad bin al-Hanafiah tidak mati sehingga sekarang. Mereka mendakwa dia berada di banjaran gunung Radhwa. Di sebelah kanannya ada singa dan di sebelah kirinya ada harimau yang sentiasa mengawalnya. Dia diberi rezeki yang tidak perlu dicari pada setiap hari. Mereka juga berkata Muhammad bin al-Hanafiah dihukum begitu kerana dia cenderung kepada Abdul Malik bin Marwan yang menjadi khalifah kerajaan Umawiyah pada zamannya”.
Al-Kamiliah adalah pengikut Abu Kamil. Dia mendakwa semua sahabat yang meninggalkan majlis ikrar setia kepada Ali hukumnya kafir. Mereka juga berkata Allah itu mampu berkata-kata dengan semua lidah dan bahasa serta mampu berdiri di semua tempat. Mereka juga mendakwa Allah dapat menzahirkan dirinya dengan rupa manusia sama ada dengan seluruh rupa atau sebahagiannya sahaja. Abu Kamil mampu kembali hidup semula sebelum berlakunya hari kiamat. Mereka membenarkan kata-kata iblis yang mendakwa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam kerana dia diciptakan daripada api. Api lebih mulia daripada tanah kerana api itu bercahaya sedangkan tanah itu tidak bercahaya. Selain itu, api juga pernah disembah. Mereka juga berpegang pada pendapat yang mendakwa jawatan imam adalah cahaya yang berpindah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Kadang-kadang, cahaya itu juga dapat berpindah ke dalam diri nabi. Kadang-kadang, cahaya boleh berpindah ke dalam diri imam biasa dan kadang-kadang juga imam boleh menjadi nabi. Fahaman ini menular pada awal pemerintahan Abbasiah”.Dia menjamah wajah ku dengan dua mata redup sebelum sedikit menunduk mengamati waktu yang tertera pada jam yang melingkari pergelangan tangannya yang berurat-urat.
“Kau ada urusan lain ke? Kalau ada kita sambung saja lain kali” . Aku melemparkan cadangan setelah melihat dia sedikit gelisah.
“Bagus juga cadangan kau tu. Aku ada diperpustakaan setiap Sabtu. Kalau kau ada waktu senggang bolehlah kita sambung balik diskusi”. Ujarnya.
“InsyaAllah. Terima kasih sebab sudi melayan pertanyaan aku. Maaf kalau menyusahkan.”
“Takde susahnya pun, malu bertanya nanti sesat jalan. Kalau macam aku beransur dulu. Assalamualaikum”. Dia sempat menghadiahkan sekuntum senyum sebelum berlalu
“Waalaikumsalam”balasku sambil memerhatikan susuk lelaki yang sangat aku kagumi itu melangkah pergi .
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen UmumCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) cerita yang menarik!
sangat berilmiah.
al syaitaniah pun ada! fuhh (baru tahu!)
disebabkan fakta dan perihalan yang begitu banyak, yang takut disalah erti jika tertinggal, maka penceritaan jadi sukar. faham keadaan itu.
selamat berusaha menghabisinya.
tulisan kang abik banyak bercorak begini, cuba selidik cara beliau rumuskan fakta-fakta yang banyak itu untuk lebih mudah dihadami khalayak massa. contohnya novel beliau: bumi cinta.
hanya pandangan saya- cahatomic
- 14 years ago
-
2) Kuat pengaruh/bau syiah untuk cerpen ini.Aku tak tahu kemana cerita ini harus pergi atau ianya sekadar mahu mengundang para simpati syiah?
/just my two cents
http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html- 26life
- 14 years ago
-
3) Isu berat yang dikupas. Dalam mengolah cerita begini, perlu hati-hati supaya tidak berlaku info dumb yakni lambakan maklumat yang membuatkan pembaca jadi bosan dan keliru. Ya, seperti kata saudara cahatomic, cuba intai-intai tulisan kang abik.
Pasti anda seorang yang rajin membaca. Saya mahu lihat kesinambungan cerita ini.- ridhrohzai
- 14 years ago
-
4) Syukran atas komentarnya. Semua saranan akan diberi perhatian. InsyaAllah.
- toti
- 14 years ago