Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Manifesto Sus scrofa

  • 14
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,324
  • FREE

 

Janganlah berasa cengang dan terancam dengan kehadiran warkah yang mendabak ini. Niat kami hanya untuk menuntut hak asasi selaku mahluk tuhan yang bernafas. Tidak lebih dan tidak kurang. Tuan hamba Allah yang dimuliakan, izinkan kami mengsurahkan sedikit latar ringkas tentang leluhur kami agar Tuan mendapat informasi jelas sebelum kita melanjut ke inti perbicaraan.

Tuan hamba Allah yang disanjungi, kami adalah suku mamalia ungulata dari kumpulan omnivor yang memakan daging dan tumbuh-tumbuhan. Habitat asal kami adalah di kawasan hutan jarang seperti Eropah tengah, kepulauan Mediterranean, Banjaran Altlas dan Indonesia selatan. Secara umumnya kami adalah haiwan nokturnal dan keluar mencari rezeki dari senja hingga subuh hari dengan tempoh rehat yang singkat. Kami melahap hampir setiap makanan yang sempat ditemui tanpa basa-basi. Kekacang, beri, akar, ubi, bangkai, sampah, serangga dan juga reptilia kecil semuanya kami jamah dengan senang hati.

Dahulu dalam tamadun manusia, kami berfungsi sebagai mod penukaran dalam sistem bata sebelum kewujudan mata wang. Sehingga sekarang kami masih lagi digunakan oleh beberapa kelompok manusia seperti kaum asli Papua. Di benua eropah, kami dimanfaatkan oleh para pengembala. Dengan kemampuan meragut serta deria bau yang tajam, kami diandalkan untuk mencari truffle. Ada juga sesetengah penternak lebih nyaman menjadikan kami peliharaan mereka.

Kami juga turut menyumbang kepada perkembangan dunia sains perubatan. Secara genetiknya kami mempunyai persamaan DNA yang nyaris serupa dengan manusia. Oleh itu kebanyakkan penyelidikan  klinikal diuji terlebih dahulu ke atas kami. Lebih dari itu jatung kami pernah dimanfaatkan sebagai gantian sementara bagi jantung manusia yang kronik sebelum mendapat penderma sesuai. Kelenjar pancreas kami sumber insulin yang sangat akrab dengan penderita diabetes. Heparin pula ditemukan secara eksklusif pada dinding usus halus kami yang diklasfikasikan sebagai produk farmasutikal terpenting. Fibrin yang diekstrak dari darah kami digunakan untuk menghasilkan asid amino, bahagian dari cairan infus diberikan sebagai nutrisi kepada pesakit setelah menjalani pembedahan tertentu. Begitulah serba ringkas perihal kami mahluk yang digelar Sus scrofa.

Tuan hamba Allah yang dihormati, fitrah semulajadi setiap mahluk itu tidak akan pernah sunyi dari kekurangan. Begitu juga dengan kami. Di dalam tubuh yang mungil lagi montok ini tersembunyi aneka kuman yang mampu mengubah virus-virus biasa menjadi lebih berbahaya. Retrovirus merupakan salah satu daripadanya. Kuman ini yang dikategorikan dalam keluarga HIV bertindak sebagai jambatan dalam menularkan virus haiwan kepada manusia. Ia mustahil untuk dihapuskan kerana telah sebati dalam DNA kami. Selain itu terdapat juga kuman-kuman yang belum pernah ditemui seperti Porcine Torovirus, Porcine Rotavirus, PRRS dan H3N2.

Islam mengharamkan umatnya memakan daging kami. Larangan ini jelas terangkum dalam Al-Quran seperti tertera pada surah Al-Baqarah ayat 173, surah Al-An'am Ayat 145 dan surah Al-Maidah ayat 3. Umat yahudi juga turut dilarang  seperti yang termaktub dalam Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4 dan Book of Isaiah, Chapter 66, Verse 17. Tetapi di dalam sudut fikah Islam terdapat beberapa khilaf tentang pengharaman kami. Mengikut mazhab Syafie, setiap juzuk dari tubuh kami adalah haram seluruhnya. Sedang menurut mazhab Malik, daging kami haram dimakan tetapi badan kami suci ketika masih hidup. Hukumnya sama seperti harimau, gajah dan seumpamannya. Menurut beliau lagi, ayat-ayat al-Quran hanya menjelaskan daging kami haram dimakan, tetapi tidak pula menyatakan kami najis. Ini diakui oleh pemuka mazhab Syafie, Imam Nawawi.

Tuan hamba Allah yang dimuliakan, mengikut hasil kajian kami merupakan spesis yang paling pintar dan mudah dipelihara. Ianya mengatasi haiwan peliharaan lain seperti anjing dan kucing. Dikalangan masyrakat cina kami juga mempunyai reputasi yang sangat baik. Ini boleh diamati dalam Shio cina. Kami dikarektoristik sebagai haiwan yang mempunyai citarasa yang baik, kaya, rajin, rendah diri dan peka terhadap persekitaran. Kami dipercayai dapat muncul dengan sifat-sifat malaikat. Menurut kepercayaan mereka lagi, sesiapa yang lahir dibawah zodiak kami akan memiliki sifat pandai, senang belajar dan cintakan ilmu.

Tuan hamba Allah yang dikasihi, semenjak tertular penyakit influenza pada tahun 1918 yang meragut lebih 20 juta nyawa, telah mengubah persepsi dunia terhadap kami.  Ramai yang mula melihat kami sebagai beban dan ancaman. Tidak sedikit pula yang gencar mencemuh dengan caci maki yang cukup mendegingkan hati. Hak kami sebagai mahluk pribumi dinafikan. Seolahnya kami tidak pernah berperanan barang sedikit pun dalam perkembangan tamadun dunia. Benarlah kata pepatah “pisau senjata tiada bisa, bisa lagi mulut manusia”.

Dimata umat melayu kami dipandang jijik,hina,buruk dan layak dizalimi. Seolah kami diciptakan Allah tanpa sebarang faedah. Tapi kami masih tetap bersabar. Ini kerana kami berpendapat hal ini tercetus atas dasar kesalahfahaman dalam memahami dalil. Namun apabila nama bangsa kami cuba dimaknai dengan konotasi negatif, sukar untuk kami tinggal diam. Ini merupakan pencabulan terhadap hak kami yang menyangkut maruah dan harga diri. Ke manakah hilangnya sifat adil dan ihsan dalam diri manusia? Lupakah mereka kepada pesan nabi tentang menjaga kebajikan haiwan? Tidakkah mereka mendengar hadith yang menceritakan perihal pelacur diampunkan Allah kerana memberi minum seekor anjing yang hampir mati kehausan?

Dimaklumi bahawa pendapat yang masyhur mengkategorikan kami sebagai najis berat, dikenali juga sebagai najis mughallazhah. Sebenarnya mengklasifikasikan kami sebagai najis berat tidak memiliki asas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Lebih berat, mengkategorikan kami secara sedemikian membuatkan umat Islam memandang kami sebagai makhluk hina. Pandangan atau sikap seperti ini adalah satu kesalahan besar di dalam Islam. Ketahuilah kami termasuk mahluk yang diciptakan Allah (al-Nur 24:45), kami sujud patuh (al-Nahl 16:49), malah kami juga sentiasa berzikir kepadaNya (al-Isra’ 17:44).

Jelas dalam ayat 145 surah al-An’aam bahawa yang najis hanyalah menjadikan kami sebagai bahan makanan. Sesuatu yang najis untuk dimakan tidaklah bererti najis secara keseluruhannya. Justeru pendapat yang menajiskan seluruh kami adalah pendapat yang kurang tepat. Ini kerana seandainya keseluruhan kami adalah najis, pasti Allah dan Rasul-Nya akan menetapkan sedemikian. Namun apabila Allah hanya mengkhususkannya kepada kenajisan kami dalam konteks pemakanan, bererti Allah sememangnya mengkehendaki pengkhususan tersebut. Tak perlu manusia bersikap lebih “bijak” daripada Allah dengan meluaskannya kepada keseluruhan kami.

Tuan yang dirahmati Allah, kami bukan meminta supaya hukum dirombak. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal adalah perbuatan kufur. Kami berlepas diri dari semua itu. Sebagai mahluk Allah yang kerdil kami mendengar perintah Allah, maka kami taat.  Yang kami pohon adalah ihsan dan keadilan Tuan dalam meluruskan kerancuan ini sebelum membarah ke dalam masyarakat. Dan lagi kami berharap agar segala konotasi negatif yang selama ini disarungkan pada nama leluhur kami dicabut serta dikembali kepada makna asal tanpa ditambah atau dikurangi barang sedikitpun. Lebih penting, hendaklah disedari bahawa kami juga adalah makluk Allah seperti Tuan meskipun tak setaraf. Maha Suci Allah daripada mencipta sesuatu yang buruk, rosak, dan sia-sia sehingga tidak memiliki manfaat untuk mahluknya.

Semoga dengan adanya manifesto ini dapat memberi gambaran jelas tentang ketidakadilan yang menindas kami dan berkat usaha Tuan mudah-mudahan kita dapat menjernihkan kembali hubungan sesama mahluk. InsyaAllah. Kami mengakhiri warkah ini dengan sebuah hadith nabi buat renungan kita bersama. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Yang halal adalah apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabnya dan yang haram adalah apa yang diharamkan oleh Allah di dalam kitabnya. Dan apa yang didiamkan oleh Allah maka ia adalah sebuah kelapangan daripada-Nya.”

Diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 1726 (Kitab al-Libas, Bab berkenaan pakaian kulit binatang)

 

Yang ikhlas : Sus scrofa scrofa, Sus scrofa ussuricus, Sus scrofa cristatus, Sus scrofa vittatus dan Sus scrofa taiwanus

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wow..aku baca smpi abis..cara penyampaian yg berlainan.. padat dgn info dan kupasan..

    ebih teruk mereka menggunakan nama kami bila marah2..isk2
  • 2) Inilah jadinya bila kelak kita benarkan binatang bikin Union
    /joke

  • (Penulis)
    3) syukran utk komen.

    paktam: marahkan nyamuk sus scrofa jd mangsa. x patut!

    26life: haru-biru
  • 4) "Dimata umat melayu kami dipandang jijik,hina,buruk dan layak dizalimi." Kenapa harus ada "Melayu" di sini. Konotasi negatif tentang mahkluk ini ada pada semua kaum di dunia.

    Ini mungkin fahaman syiah yang anda cuba sibarkan di sini.

  • (Penulis)
    5) Upenyu: syukran atas keprihatinan anda pada tulisan saya. Benar konotasi negatif ini ada pada kebanyakkan bangsa terutama buat penganut agama monoteisme. Tapi yang saya maksudkan dalam cerpen di atas adalah konotasi negatif yang terpakai pada nama haiwan itu sendiri(Sila rujuk tulisan saya). Memandangkan tulisan ini ditulis di dalam bahasa melayu dan saya lebih dekat dengan kehidupan masyarakat melayu, makanya di dalam tulisan ini memang saya bertujuan mengangkat realiti ditengah masyarakat untuk direnungkan bersama. Jika di dalam bahasa lain seperti pig, khinzir(arab) atau zhu(mandarin) tidak memberi apa-apa makna selain merujuk kepada spesis haiwan. Tetapi ianya berbeza dengan perkataan babi. Di dalam Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan memaki hamun atau menghina orang lain. (Sila rujuk Kamus Dewan Edisi 4)

    Soalan saya pada anda, sila tunjukkan saya mana-mana bahagian dari cerpen di atas yang anda dakwa berbau syiah?
  • 6) Pasti setiap ciptaan Tuhan itu ada hikmahnya kepada manusia yang mahu berfikir. Orang melayu biasanya pengambil sifat baik dan buruk sesuatu perkara untuk perbandingan agar manusia dapat memilih antara yang baik dan buruk. Soal penggunaannya terletak pada individu itu sendiri. Saya secara peribadi tidak mengambil perlambangan berkenaan dalam setiap ungkapan saya baik waihma berada dalam kemarahan sekalipun.

    Banyak perkara yang tidak boleh dilihat tetapi boleh difahami maksud yang tersirat. Saya rasa anda tahu dan anda faham.

  • (Penulis)
    7) Anda tidak menjawab soalan saya.

    Saya bercerita dari sudut linguistik dan definisi umum yang terpakai pada perkataan tersebut. Pandangan dan sikap individu tidak dapat mewakili pandangan umum. Jika benar anda seperti yang didakwa bererti anda seorang yang berakhlak mulia. Tetapi realiti semasa tidak seperti itu. Dan untuk memahami permasalahan ditengah masyarakat, kita perlulah belajar berpijak dibumi nyata.

    Pemahaman itu sesuatu yang subjektif. Saya tidak tahu apa yang anda tahu dan saya juga tidak faham apa yang anda faham sehingga anda membuat dakwaan bahawa saya cuba menyemai doktrin syiah di sini. Saya terbuka dalam menerima kritikan terhadap penulisan saya tetapi bukan tuduhan peribadi yang membabibuta dan bersandarkan andaian.

    Sekali lagi saya bertanya bahagian dan ayat mana dari cerpen ini yang anda dakwa berbau syiah?

    Jika anda tidak dapat menghadirkan bukti dan hujah, sila berhenti menabur fitnah.
  • 8) apa kata tuan-tuan,

    kita berhenti bicara tentang unsur Syiah atau seangkatannya disini dan kembali menikmati karya seni.

    Yang mana tak sesuai, kita rujuk pada empunya laman web kapasitor.

    Kan Pak Penyu dan toti?

  • 9) Penulisan adalah medium paling mudah untuk menyebarkan dakyah. Baik secara terangan atau berlindung dibalik penulisan itu. Anda memilih cara penulisan ini untuk menyampaikan dakyah fahaman anda, samada secara sengaja atau tidak sengaja, secara tahu atau tidak tahu.

    Pastinya apa yang anda hendak sampaikan bukanlah sangat tentang soal linguistik atau difinasi umum tentang perkara itu. Apa yang anda bicara adalah soal hukum yang sememang telah sedia dipakai dan diterima oleh umat islam di Malaysia dan di rantau sebelah sini. Anda mentafsirkan bahawa Firman Allah bahawa babi hanya haram dimakan, dan tidak kepada perkara yang lain. Sedang Ulamak muktabar telah memutuskan bahawa babi itu haram dan segalanya berkatian dengannya juga haram.

    Baca balik tulisan anda, secara terangan anda cuba menyatakan beberapa alasan menyatakan bahawa babi hanya haram makan, selainnya tidak. Anda cuba menyatakan bahawa menternak babi, menjual babi, menggunakan kulit babi, menjadikan bahan ubatan sebagai boleh berdasarkan kepada hadis yang lemah, palsu dan ayat-ayat Quran ditafsirkan secara terus. Di Iran, saya dimaklumkan ada umat islam di sana menternak babi atas alasan yang anda dakyahkan di sini.

    Saya tak serang peribadi anda kerana tak kenal anda, saya melahirkan khuatir dengan penulisan anda yang seolah cuba memesongkan dan menyebarkan fahaman Syiah di sini.

    Kalau bukan itu tujuan anda, baguslah, cuma saya minta selepas ini anda tidak pulak menghasilkan karya berkaitan denga hadis nabi yang membolehkan suami menyetubuhi isterl melalui belakang dengan mentafsirkan suami dibenarkan meliwat isteri. Jangan kerana Syiah membenarkan maka anda mahu di sini juga dibenarkan.

    Menghormati saranan 26life. Harap-harap balasan saya ni yang terakhir tentang hal ini.

  • 10) menarik juga isu babi ni dan rasanya atas nama ilmu, mari kita perhatikan apa kata mereka ini:

    mengikut kata ustaz kazim, lepas sentuh babi kena samak:
    http://www.youtube.com/watch?v=HlSM65npUDQ

    mengikut kata ustaz rasul dahri, lepas sentuh babi boleh terus sembahyang:
    http://www.youtube.com/watch?v=ePdWnNfsar0

    mari kita dengar apa kata ustaz azhar idrus:
    http://www.youtube.com/watch?v=YGuwbxsaBbo

    moga-moga dapat diambil iktibar ya.

    cadangan saya adalah:

    kita sepatutnye sudah "tutup buku" pasal hal-hal sebegini. hal-hal tentang najis berat, ringan dan pertengahan ni kita patutnye dah khatam masa kita sekolah rendah. Kita jangan serabutkan kepala dengan hal-hal begini. apa kata kita serabutkan otak kita dengan research tentang sains dan teknologi, geografi, ekologi, fizik, kimia, matematik dan tentang ilmu-ilmu dalam quran yang kita belum explore.

    1400 tahun yang lepas, ilmuan kita pening kepala fikir tentang zarah yang Allah sebut dalam Quran. Macam-macam research yang diorang buat. Hari ini, orang Islam masih pening kepala tentang babi itu boleh sentuh atau tidak.

    Mari kita bincang tentang bagaimana teknologi web apps Google Chrome boleh digunakan bagi tujuan dakwah.
    Mari kita bincang tentang bagaimana teknologi impuls saraf kita boleh digunakan bagi menghantar instruction pada ipad.
    Mari kita bincang tentang bagaimana universiti malaysia boleh keluarkan teknologi bagi mengesan daging haram.

    Bila orang Islam nak sampai ke bulan macam ni?

  • (Penulis)
    11) Harap-harap jgnlah org Iran dulu smpai ke bulan, kalau tidak tak pasal-pasal dituduh ikut Syiah!
  • 12) aku guna babi (Sus scrofa) sebagai ganti mayat manusia untuk eksperimen PhD aku. Lepas setiap sampling maggots, aku akan samak tangan dan bahagian yang kena bangkai babi tu.
    Aku setuju dengan 26life dalam bab menikmati seni penulisan.
    Aku setuju dengan Jojo bab lain2.
  • 13) Singgah membaca dan mengambil teladan. Dari sudut penulisan, olahannya kemas.
  • 14) Sesungguhnya aku salah seorang peminat karya2 toti!!!

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti