Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ulul Albab

  • 7
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,900
  • FREE

 

“Tidak dapat disangkal lagi pada hari ini bahawa daripada semua tamadun di dunia ini, negara-negara Islam adalah paling lemah dalam ilmu sains. Kemelut ini tidak boleh diambil mudah kerana kelangsungan hidup (atau survival) yang bermaruah pada hari ini bergantung kepada kekuatan dalam ilmu sains dan teknologi.”

Prof. Mohammed Abdus Salam, penerima Hadiah Nobel 1979 dalam kajian Fizik.

 

Langit malam itu bukat terlanjang tanpa bintang dengan disela hembusan angin merempuh kasar permukaan bumi yang temaram akibat bulan ingkar mencurah sinar. Dahan-dahan halus dari pepohon yang menghiasi kening jalan Masjid As-Shariff melayah-layah terpukul oleh keras tamparan angin. Beberapa dedaun rapuh tewas berterbangan bersama debu halus sebelum terhempas bercekerawang di atas rumputan.

Diperkarangan masjid terlihat kenderaan penuh membanjiri  setiap ruang pakir. Beragam jenis daripada yang agam hingga ekonomi.  Baik MPV, SUV, trak, wagon, sedan hingga yang kompak. Terdapat juga deretan motor dan basikal. Pelangi meluncur masuk dengan Vios bogot sambil meliar pandang dengan harapan ada ruang yang masih tersisa. Dia sedikit terlewat daripada biasa. Selalunya sebaik merelop dia sudah siap untuk ke masjid berjemaah sebelum mengisi kuliah Dr. Umar yang diadakan tiga kali seminggu itu. Namun lambakan tugas dihospital telah memaksa dia berkerja lebih masa.

“ Allah memuliakan manusia Ulul albab yang memanfaatkan kelebihan akal untuk meneliti alam sepertimana yang tertera dalam surah Ali Imran ayat 190 hingga 191 : Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, ‘Wahai Tuhan kami, kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka perliharalah kami daripada seksa neraka’”.

Suara Dr. Umar tertangkap oleh deria dengar Pelangi yang kelihatan sedikit tergesa menyelinap masuk ke dalam kelompok muslimah sebaik berjaya menempatkan kenderaannya. Ada pandang dan senyum yang sempat terlontar. Dia jadi malu atas kelewatannya yang mungkin mengganggu khusyuk khalayak.

“Ayat ini bukti rangsangan Allah agar umat menjadi ulul albab dan rausyanfikir. Sekaligus menyarankan agar kita memiliki minda saintifik yang mampu menganalisis data dan fakta sebelum hadir dengan andaian serta konklusi. Ini secara tidak langsung akan membentuk model insan yang kritis dan menolak sebarang pandangan yang tidak berlandaskan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah menyatakan : “Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya”.

“Sehubungan dengan ayat ini, Syed Qutub menulis dalam Fi Zilal al-Quran, “Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan  yang tidak terbukti kesahihannya”.

Dr.Umar menyeluruhi khalayak. Wajahnya yang cerah bersih itu calak memancarkan wibawa. Dijejer janggut hitamnya terseli warna pengalaman yang mematangkan. Dari syarahnya yang ilmiah tertonjol susuk neo modernis Islam yang bukan sahaja berperan sebagai dai tetapi juga seorang intelektual umat. Suasana masih tenteram dengan sesekali terdengar suara risih berbisik halus. Ada sebahagian yang mengambil peluang itu untuk mencatat sesuatu sebagai nota. Pelangi juga tidak mahu ketinggalan. Dia menandakan setiap baris yang dirasakan penting untuk diteliti kemudian.

“Alam semesta ini juga mempunyai penjelasannya sendiri. Dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 Allah berfirman, “Apakah orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya adalah suatu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air kami jadikan sesuatu yang hidup”. Menurut Imam Said bin Jubair, langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini”.

“Ternyata tafsiran yang dilakukan 1000 tahun lepas oleh Imam Said bin Jubair ini sangat mengagumkan. Mengulas tentang hal ini Syeikh Said Hawa dalam kitabnya al-Asas fi al-Tafsir menukilkan, “Tafsiran yang dilakukan ini mengupas sesuatu yang tidak diketahui melainkan masa kebelakangan ini”.

Ramai yang terlongo mendengar apa yang baru diucap oleh doktor lulusan Universiti Iskandariah itu. Ternyata usaha ahli jawatankuasa masjid As-Sharif untuk mengembalikan fungsi masjid sebagai tempat penyebaran akhlak Islam dan membanteras kebodohan semakin menampakan riak positif. Seperti mana yang lain, Pelangi juga ikut tercerah oleh kuliah pimpinan Dr. Umar yang sarat wacana serta kupasan saintifik bersendikan Al-Quran dan Sunnah.

“Proses ini di dalam istilah sains disebut Teori Ledakan Dahsyat. Asalnya teori ini diajukan oleh seorang paderi roman katolik dari Belgium, Georges Lemaitre untuk mengkaji asal usul alam semesta yang beliau namai dengan hipotesis atom purba sebelum dimajukan oleh pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann. Kerangka model teori ini bersandarkan kepada Relativiti Umum yang diutarakan oleh Albert Einstein dan beberapa asumsi-asumsi sederhana seperti homogeniti dan isotropi ruang”.

“Mengikut teori ini, alam semesta pada asalnya bercantum padu sebelum berlaku sebuah ledakan dahsyat sekitar 12 hingga 14 billion tahun dahulu. Kemudian berlaku pengembangan dan penyejukan sehingga membentuk awan gas, bintang, planet, galaksi dan objek astronomi lainnya”.

 

***

 

Bunga sedang tekun menguliti What is Sciencetology?. Ini kali ketiga dia mengulang baca naskah L. Ron Hubbard pengarang asal Amerika yang kontroversi itu. Sebelumnya dia turut menelaah Dianetics yang merupakan karya paling mahsyur dikalangan penganut faham Sciencetology. Dia mula mengenali idea-idea L. Ron Hubbard  ini sewaktu masih menjadi penuntut perubatan di National University of Ireland. Mulanya dia tertarik setelah mendengar tatah-tatah tentang beberapa personaliti besar Hollywood seperti Sharon Stone, Demi Moore, Patrick Swyze , Jerry Seinfield dan Mimi Rogers mula menganut faham tersebut. Kini setelah lama meneliti bentuk gagasan yang ditawarkan dia kian terpikat.

Dia pernah berdiskusi hal ini dengan rakan sejawatnya Nur Pelangi. Tetapi perempuan itu menolak mentah-mentah gagasan tersebut. Menurut Pelangi ini adalah sebuah kesesatan di dalam kesesatan. Dia kurang bersetuju. Baginya Pelagi terlalu jumud dalam menyingkapi perbezaan. Seharusnya sebagai warga yang terdidik di dalam displin ilmu sains tidak sewajarnya Pelangi bersikap skeptikal begitu. Sains mengutamakan pemerhatian, eksperimen dan logik yang berfungsi untuk menerang dan menjangkakan sesuatu kajian. Bukan pula sebaliknya.

 “Asal manusia adalah wujud rohani yg baik, dilengkapi dengan kemampuan yang tinggi melebihi apa yang biasa terlihat. Ia tidak hanya mampu memecahkan masalahnya sendiri, mencapai tujuannya dan meraih kebahagiaan abadi, melainkan untuk mencapai tingkat kesadaran baru yang kemungkinannya belum pernah diimpikan sebelumnya” ungkap Bunga mengawali bicara dengan Pelangi sewaktu singgah minum petang di kafeteria.

“Sciencetology menawarkan suatu kaedah yang tepat melalui pendekatan metafizik untuk membantu manusia mencapai tingkatan keberadaan rohaninya menyeberangi beberapa masa kehidupan dan sekaligus menjadi lebih terampil di dunia nyata. Dalam erti kata lain, Ia memusatkan kepada perkembangan diri sendiri dalam usaha mewujudkan dunia yang lebih aman dan tenteram”

Ujar Bunga lagi seakan memukat persetujuan. Jemari runcingnya terlihat mengelus lembut bibir cawan kopi yang masih beruap sebelum tangan kanannya menyeka rambut tersela perang itu dari menyesak mata. Keadaan kafeteria sedikit lenggang tidak seperti tengahari yang selalunya sesak dengan kakitangan hospital dan pelawat.

“Sciencetology ini bukan jalan keluar kepada masalah malah ianya sendiri merupakan penyakit. Faham yang terbangun demi meraih untung dengan menjaja kebohongan. Menawarkan sesuatu yang kabur dan tak berjejak. Mengajak manusia mempercayai reinkarnasi yang bukan sahaja ditolak oleh agama wahyu malah bertentangan dengan sains dan teknologi”.

“Aku jadi hairan bagaimana kau begitu mudah termakan oleh idea si gila L. Ron Hubbard ini. Apa perlunya kau mencari penyelesaian diluar agama bila telah jelas Allah mengutus Rasulullah dan Al-Quran sebagai jalan keselamatan hakiki yang bebas daripada sebarang kekeliruan” balas Pelangi seakan menemplak.

“Kau bercakap seperti traditionalis yang terperangkap dicelah-celah tembok persimis. Mungkin ada benarnya ungkapan Karl Marx bahawa agama itu candu kehidupan. Bagaimana kau boleh begitu yakin bahawa apa kau percaya itu tidak keliru?”

Bunga memanah pandangan matanya tepat ke arah Pelangi yang berkerudung merah udam dengan roman yang seakan mengejek. Hampir saja terpelencit teh o panas yang dicicip oleh Pelangi mendengar ungkapan tersebut. Dia tidak menjangkakan soalan seumpama itu akan terpancut dari bibir mulus temannya itu. Hampir sahaja dia hilang kepercayaan dengan inderanya sendiri.

“Astaghfirullahalazim, lupakah kau tentang amanat Rasulullah dalam sabdanya yang direkodkan oleh al-Hakim dan Ibn Abdul Barr daripada Abdullah Bin Omar dan direkodkan oleh al-Baihaqi daripada Abu Hurairah “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) kitab Allah dan sunnahku” jawab Pelangi penuh yakin.

“Baik. Tolong jelaskan padaku logik surah Hud ayat 7 yang bermaksud kurang lebih, ‘Dan dia yang mencipta langit dan bumi dalam masa enam hari dan adalah Arasynya di atas air…”.

Bunga tersenyum sinis menikmati rona wajah Pelangi yang berubah resah. Dia merasa menang bila melihat temannya itu bungkam.

 

***

 

“Ayat ini menceritakan tentang dua peristiwa penting. Pertama ia menghuraikan kejadian langit dan bumi melalui pelbagai peringkat. Kedua, proses penciptaan langit dan bumi mewujudkan air dan Arasy Allah berada di atas air. Enam hari di dalam ayat ini tidak sama seperti yang kita fahami sekarang. Hari berdasarkan perhitungan manusia dibumi adalah berbeza dengan hari di alam yang berbeza pada dimensi yang berbeza. Ini dapat difahami dengan konsep Pengembangan Masa yang diajukan oleh Teori Relativiti”.

“Bagi mengulas hal ini, Hamka di dalam kitabnya yang mahsyur Tafsir al-Azhar menyatakan, ‘Hari dalam ayat ini adalah hari Allah, Tuhan sekalian alam. Ia adalah hari meliputi seluruh alam dan bukannya hari yang dikira menurut peredaran bumi mengelilingi matahari yang hanya memakan masa 24 jam. Berjuta-juta bintang dilangit mempunyai hari-harinya sendiri, mengikut edarannya mengelilingi matahari. Ada antaranya lebih panjang daripada hari di bumi dan ada juga yang lebih pendek. Maka hari sebelum bumi tercipta sudah pasti berbeza dengan hari sekarang ini’”.

Pelangi seperti diberi kekuatan baru setelah mendengar penjelasan Dr. Umar itu. Sebelumnya dia berasa kalah dipukul pertanyaan Kaseh yang cukup menginjak daya intelektualnya. Dia tidak pula menyalahkan temannya itu. Baginya, Bunga adalah manusia yang cuba mencari kebenaran namun dalam kembara itu dia sedikit tergelincir. Seharusnya dia sebagai teman dan muslimah wajar memperkasakan diri dengan senjata ilmu agar sebarang serangan atau kerancuan dapat ditangani dengan bijaksana.

Buat kesekian kalinya Dr.Umar menyeluruhi hadirin.

“Salah satu bentuk pengaruh wahyu pada tradisi keilmuan Islam adalah keterpaduan yang utuh di antara tradisi-tradisi keilmuan. Kesalingterkaitan ilmu-ilmu itu ibarat sebuah pohon. Al-Quran dan Hadith adalah seperti akar dan batang dari pohon Islam. Sedangkan ilmu-ilmu budaya dan sains, institusi-institusi sosial adalah seperti cabang-cabang pohon, di antaranya ada yang lebih dekat kepada batang dan yang lainnya lebih jauh. Namun, kesemuanya merupakan bahagian-bahagian dari sebuah organisme yang tumbuh daripada akar”.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) %u201CJanganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan yang tidak terbukti kesahihannya%u201D.

    teringat aku kadang bertanya tentang sesuatu yang diajarkan orang kepadaku, tentang hikmah dan sebab musabab sesuatu itu perlu dilakukan. tapi orang melayu memang gemar "dah agama suruh, janganlah lawan! ikut aje!"

    adoi, bukan tak mahu ikut. aku mahu mendalami hikmah-hikmahnya. adalah berhikmah jika dia kata, "em tak pasti pula, kena lebih selidik tu."

    cerita ni banyak bahagian yang boleh membuka fikrah pembaca tentang cara berfikir.

    dalam buku Bumi Cinta karangan kang abik, ada juga bahagian di mana dia mematahkan hujah mereka yang tidak percayakan agama. sangat padat dan ilmiah.

    tulisan kau ada kemiripan dengan tulisan beliau.

    bahasa-bahasa yang kau pakai pun bagus. jeles aku. sbb aku belum mahir guna kosa-kosa begitu.
  • 2) cerpen ini telah memberi sedikit pencerahan

  • (Penulis)
    3) Syukran utk komentar.

    Caha: aku rasa semua org prnh mengalami keadaan tu. Aku prnh disergah ustazah bila mempertanyakan sesuatu yg dianggap taboo. Maklum saja waktu kanak-kanak, rasa ingin tahu bergejolak. Namun sejak itu aku lebih senang mecari jawapan daripada pembacaan dan pengalaman.

    Kau bukan x mahir tp kau tak punya banyak masa senggang. Kesibukan membataskan daya kreatif kau. Aku percaya klu ko ade waktu pasti hasilnya mengumamkan. Fyi, aku antara penggemar cerpen Maaf, Cik! 2: Naga Terbang.

    Kama: Bangga aku utk Si Cantik Cempaka masih belum surut smpai hari ini... hehe...

  • 4) budaya ilmu kat negara kita ni banyak tapi tak laku. bila agama kita diserang dari kiri kanan depan belakang, kita lebih byk menangkis daripada menguatkan asas kita.

    contoh: khutbah jumaat yang lesu sampai tertido dibuatnya. isi khutbah jumaat tak mencabar langsung (tapi isi khutbah jumaat negeri selangor ok, mencabar minda. negeri lain aku tak pasti)
  • 5) toti.. rendah diri aku rasa bila baca karya ko ni. (seka air mata jap)

    teringin nak ke kelas-kelas sebegini.

  • (Penulis)
    6) jojo: aku rasa mgkn approach kena tukar utk tarik new generation yg semakin intel. khutbah Jumaat sepatutnya berfungsi menyuntik wadah segar dalam pemikiran umat bukan bercerita benda remeh yang berulang2.

    anclime: jgn mcm tu serba salah aku dia buatnyer... mudah-mudahan keinginan ko tu termakbul.InsyaAllah.
  • 7) harapnya toti dapat mem 'bold' kan mana-mana petikan ayat Al Quran dalam naskah ini.Pada pendapat saya, ini akan mewujudkan 'ruang' antara bicara watak dengan firman Allah.

    Cerita ini buat saya rindu pada falsafah dan personaliti Hamka...

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti