Kehidupan Masyarakat Katak Dihabitat Itu Semakin Tertekan. Janji Hanya Tinggal Janji. 
Dahulunya Impian Terdengar Muluk, Kini Bertiwikrama Menjadi Mimpi Ngeri.

Kehidupan masyarakat katak dihabitat itu semakin tertekan. Janji hanya tinggal janji. Dahulunya impian terdengar muluk, kini bertiwikrama menjadi mimpi ngeri.

  • 7
  • toti
  • 10 years ago
  • 7,047
  • FREE

Hikayat dongeng tentang masyarakat katak yang dinamakan PERI-KATAK. Oleh itu, sebarang masalah dapatlah ditangani secara lebih teratur dan efektif. Bukan itu sahaja, keinginan serta aspirasi mereka juga akan didengar dan seterusnya dipertimbangkan. Namun lama kelamaan objektifnya telah melantur. Wakil katak yang diberi mandat telah mencabul segala amanah suci. Agenda peribadi di dahulukan mengatasi kepentingan umum.

 

Ini adalah hikayat dongeng tentang masyarakat katak. Cerita ini tersebar dari mulut ke mulut, dari waktu ke waktu dan dari generasi ke generasi. Tentu saja kisah ini bohong belaka. Jika ianya benar, tentu tidak dipanggil dongeng. Hanya orang yang karut sahaja akan mendakwa hikayat ini benar. Dan sudah barang tentu kisah merapu seperti ini tidak ada sangkut paut dengan realiti hidup. Buat penggemar kisah cinta fiksyen, maaf, katak di dalam riwayat ini tidak akan berubah menjadi putera kacak. Ini kerana tidak mungkin gadis yang waras tergamak untuk mencumbui seekor kodok. Tidak mungkin. Katak di dalam kisah ini akan kekal menjadi katak. Dulu, kini dan selamanya. Tiada magis.

Alkisah, maka tersebutlah sebuah hikayat tentang masyarakat katak multi bangsa yang tinggal di dalam sebuah rawa di daerah Kampung Pisang. Walaupun katak-katak ini berbilang jenis, namun kelompok utamanya terbahagi kepada tiga iaitu katak pisang, katak wong dan katak puru. Memandangkan katak pisang mewakili 60 peratus dari jumlah penghuni rawa, maka secara automatik teraju pentadbiran rawa dipegang oleh mereka. Namun atas dasar kepentingan bersama, maka katak pisang telah bersetuju memberi ruang untuk spesis lain menyuarakan hasrat mereka dengan menggabungkan semua spesis dalam satu badan yang kemudian dinamakan PERI-KATAK.

Kononnya asal-muasal perbentukan PERI-KATAK adalah untuk menjadi medium kepada masyarakat katak menyuarakan keluh kesah mereka melalui wakil yang dipilih. Dengan ini sebarang masalah dapatlah ditangani secara lebih teratur dan efektif. Bukan itu sahaja, keinginan serta aspirasi mereka juga akan didengar dan seterusnya dipertimbangkan. Namun masa telah membuktikan, objektifnya telah melantur. Wakil katak yang diberi mandat telah mencabul segala amanah suci. Agenda peribadi di dahulukan mengatasi kepentingan umum. Janji hanya tinggal janji. Sedang impian yang dulunya terdengar muluk, kini bertiwikrama menjadi mimpi ngeri.

Kehidupan masyarakat katak dihabitat itu semakin tertekan. Sumber makanan utama telah dihak milikkan sepenuhnya oleh barjuis katak. Dasar baru pentadbiran dipaksakan ke atas warga dengan alasan untuk memelihara kepentingan jangka panjang. Makanan mula dicatu sebagai memenuhi slogan penggunaan sumber secara berhemah. Ramai yang merungut dengan kebijakan baru pentadbir rawa. Tidak sedikit pula yang getik dengan semua kerenah mengada-ngada ini. Tetapi disebabkan tiada pilihan lain, mereka sudahnya terpaksa akur. Bertungkus-lumuslah warga katak melangsungkan hidup. Sedang pentadbir rawa bermewah-mewah di atas teraju sambil berpura-pura sibuk.

Semakin hari warga katak semakin berkembang biak. Ketidak seimbangan mula menampakkan riak. Sumber makanan yang diberikan tidak lagi mampu menampung permintaan. Suara-suara mengkritik agar dasar sedia ada dirombak semakin lantang berkumandang. Tetapi pentadbir rawa tetap tidak mahu berganjak dan mempertahankan mati-matian dasar mereka. Dikerahnya katak strawberi untuk meracun fikiran warga agar tidak mempertikaikan dasar yang sedia ada. Berkelilinglah katak strawberi itu di rawa Kampung Pisang mempromosikan temberang. Sedikit yang mungkin terpikat. Tapi rata-ratanya meluat. Tambahan pula si katak strawberi itu bercakap dalam bahasa yang kurang difahami warga kebanyakan.

Bukannya tiada usaha yang  dilakukan warga katak untuk mengubah senario ini. Pernah mereka berikhtiar mengubah teraju pemerintahan melalui proses pemilihan kotak suara yang berlangsung 6 tahun sekali. Tetapi usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Yang lebih menghairankan, disaat kebanyakkan warga katak menolak kepimpinan PERI-KATAK yang tua renta itu, mereka masih tetap memperoleh undi majoriti. InI benar-benar memeningkan kepala. Kini semua warga katak tidak lagi mahu diperbodohkan. Mereka telah siap merangka satu pelan tindakan bagi memastikan pemilihan kali ini bebas dari segala penyelewengan. Atas nama keadilan dan kebajikan semua, mereka menubuhkan sebuah parti yang dinamai dengan Pakatan Warga Katak (PWK).

Dengan persetujuan semua warga katak, PWK telah merancang satu perarakan secara aman disekitar rawa Kampung Pisang bagi menuntut sebuah pemilihan yang adil dan telus. Semua warga katak yang ingin turut serta diwajibkan menyapu kunyit dibadan bagi menunjukkan tanda protes. Segala perancangan telah diatur dengan teliti. Jalan-jalan juga telah dipilih bagi memastikan kelancaran dan sekaligus mengelak sebarang masalah. Jumlah yang ikut serta juga memberangsangkan dan kian bertambah dari masa ke semasa. Risalah yang mengandungi informasi dan kod etika juga turut diedar kepada umum secara meluas.

Perkembangan semasa itu ternyata membakar punggung PERI-KATAK.  Pelbagai tohmahan dilontarkan bagi menonjolkan imej negatif tentang perarakan tersebut. Tidak berhenti setakat itu, muncul pula penjilat tegar pentadbir rawa yang dikenal sebagai pertubuhan PRIRAWA-GAGAH memainkan isu spesis. Kononnya menurut ketua PRIRAWA GAGAH itu, perarakan seumpama ini akan menyebabkan perpecahan dikalangan katak pisang dan menyeru semua katak pisang agar tidak menyertainya demi menjaga kepisangan mereka. Menurutnya lagi, dia dan kuncu-kuncunya (yang kebanyakannya masih berudu itu) telah cukup siap mempertahankan rawa Kampung Pisang dengan perut masing-masing andai terjadi sesuatu yang tak diingini.

Dalam keadaan mendesak itu, PERI-KATAK telah menubuhkan unit tindakan khas bagi mengimbangi pengaruh PWK  yang kian melonjak. Kumpulan yang diketuai oleh katak anamalai yang berjuang atas platform katak pisang ini menamakan diri mereka sebagai PENDEKAR. Walaupun namanya berlainan tetapi fikrah dan pendekatannya tidak jauh berbeza dengan PRIRAWA-GAGAH. Diperalatkannya katak-katak pisang yang tinggal di dalam tempurung untuk memomokan tentang bahaya perarakan tersebut. Tersemput-semputlah katak pisang yang lanjut usia itu cuba menyakinkan seluruh warga. Disenandungkan kembali isu spesis. Tentang peri pentingnya kesatuan sesama demi memelihara kejagoan dan keglokalan katak-katak pisang.

Malangnya, tidak banyak warga katak pisang yang termakan dengan propaganda pentadbir rawa. Semua telah muak sehingga ada yang termuntah belahak sebaik mendengar ungkapan skema tersebut. Warga katak kini sudah bijak. Mereka lebih arif menilai antara batu dengan manikam. Tekad telah bulat. Walau apapun rintangan perarakan itu akan diteruskan. Sedang PERI-KATAK semakin terdesak. Segala usaha mengagalkannya telah menemui jalan buntu. Akhirnya mereka memilih menggunakan segenap kuasa  yang ada dengan memberi ancaman penangkapan dan pemasungan bagi sesiapa sahaja warga katak rawa Kampung Pisang yang terlibat dalam perarakan itu kelak.

Begitulah cerita yang sempat beredar. Tergantung tanpa penyudah. Barangkali hikayat ini akan terus bertahan mungkin juga akan dimodifikasi. Daripada sejengkal menjadi sedepa , daripada  1kaki menjadi 1ekar atau mungkin daripada ada kepada tiada. Siapa tahu? Dalam dongeng segalanya berkemungkinan.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) kisah katak masih berlangsung. entahkan jadi entahkan tidak. kita lihat saja katak tua yang makin gelisah.
  • 2) satira yang kemas. cuma unsur kecindan sinikalnya tidak cukup banyak disisip. hehe.
  • 3) kahkahkah (kau tahu gelak siapa tu?)

    jumpa bom. jumpa gambar. tak sudah-sudah kan bersih ni. kahkahkah!
  • 4) masyarakat katak yang melemaskan, mudah diperdaya lalat kotor. bila sudah didesak, ditakut-takut. ada yang melompat, ada yang melatah.
  • 5) dalam dongeng mungkinkah katak boleh bertukar jadi putera? katak oh katak...

  • (Penulis)
    6) syukran utk semua yg sudi membuang beberapa minit waktu berharga dlm hidup dgn membaca dongeng ini.

    uculer: hehe...

    caha: baiklah pengantin baru, akan diusahakan dimasa yg lain.

    mas joko: itu gelak orang yang slalu bocor tiub.. kahkahkah..

    abang jo: kesian katak

    kamalia: mungkinkah? kahkahkah... (ini yang dikatakan sinis dalam manis)



  • 7) Cantik satiranya. Suka punch-line yang terakhir.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti