Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Salaamun Hiya’

  • 2
  • toti
  • 13 years ago
  • 1,734
  • FREE

 

Setiap saat adalah lailatul qadr dan setiap perilaku adalah iktikaf  -HAMKA-

 

Hujan yang sebentar tadi melutu bumi telah beransur tenang walau belum sepenuhnya mengalah. Di luar masjid permukaan aspal yang cela menjadi destinasi singgahan sisa air langit hingga membentuk tasik kecil. Terdapat juga bahagian masjid yang basah berpunca dari percikan kuat dan kebocoran atap. Kelihatan para jemaah berburu keluar seusai menyempurnakan qiyam. Terjengkit-jengkit dengan seluar dan kain senteng meredah kaki lima yang lencun sebelum bubar menyusuri haluan masing-masing.

Thariq menyisih  ke suatu sudut masjid sambil memerhatikan Bukit Maxwell yang membeku dalam kedinginan malam. Puncak bukit yang tinggi itu sedang dicumbui oleh kabus-kabus putih yang terbentuk kesan dari keterkondensasian wap air dengan kelembapan tahap tinggi. Keadaan suhu yang semakin dingin membuatkan kabus nipis tadi bertukar menjadi kabut lantas menyulap ketinggian bukit dari tenungan indera pandang.

“Kau pernah bertemu Lailatul Qadr?”.

Bahunya terasa disentuh. Namun Thariq tidak bernafsu untuk menoleh kerana dia sudah cukup kenal susuk pemilik suara yang membunuh khayalnya itu. Dia hanya sekadar menggeleng tanpa sedikit pun berkutik.

Fateh memandang temannya itu dengan sebaris senyum menghiasi bahagian bawah hidung peseknya.

“Pernah kau cuba mencari?” soal Fateh menduga.

Sekali lagi dia menggeleng, seakan acuh tak acuh.

“Setiap muslim dianjur menjejaki Lailatul Qadr seiring saranan Nabi "Barangsiapa yg berqiam dan mencarinya kemudian ia akan diampunkan dosa yang sebelumnya dan yang terakhir."

“Soalnya sekarang, layak ke orang yang macam aku bertemu dengan malam mulia yang padanya diturunkan Al-Quran dari Lauhul Mahfuz ke Baitul Izzah dan malam yang di dalamnya tersimpan kafiat melebihi 1000 bulan?”.

Thariq memulakan bicara dengan pertanyaan yang provokatif. Matanya masih tertancap ke arah bukit yang berselimut kabut. Renyai hujan meliuk-liuk dipalu keras angin sesekali terlihat seakan guguran salji dimusim salju. Hembusan hawa dingin mematuk kesegenap saraf dan belulang.

“Kata Nabi : Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah mereka yang bertaubat”.

“Yusuf Qaradhawi ketika ditanya tentang apakah malam Qadr itu hanya khusus untuk mereka yang alim atau boleh terjadi pada masyarakat umum, dia dengan jelas mengatakan : Malam al-Qadr ialah malam umum untuk semua yang menuntutnya. Yang menginginkan kebaikan dan ganjarannya, dan apa yang disisi Allah di dalamnya, itulah malam ibadah dan malam ta'at, dan bersolat, bertilawah, berdo'a, bersedekah, menjalinkan perhubungan, beramal sholeh, dan melakukan maaruf”.

“Pendapat itu disandarkan kepada ucapan nabi yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Barangsiapa melakukan shalat malam pada saat Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

Khali sejenak.

 “Seingat aku tidak ada riwayat di kalangan para sahabat  r.h. yang berkesempatan bertemu Lailatul Qadr. Dan lagi mengikut pendapat Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani malam Al-Qadr yang sebenar hanya sekali iaitu malam mula-mula al-Quran diturunkan. Amal dan ibadat yang kita lakukan ini adalah sempena memuliakan peristiwa besar tersebut. Kita ingati setiap tahun agar bertambah teguh memegang segala yang diturunkan Allah didalam al-Quran”.

Giliran Thariq pula menyatakan pendapat. Diseluruhinya Fateh yang bersongkok hitam, berbaju melayu biru laut yang disandingkan dengan kain pelekat koko gelap. Dijari manisnya tersisip cincin perak ukiran bunga jawa tebuk yang bertahtakan batu firus biru.

Thariq melanjut.

“Aku lebih condong kepada pendapat yang menyatakan semaraknya kaum muslimin beri’tikaf dan memperbanyak ibadat kepada Allah di 10 malam terakhir, lebih-lebih di malam ganjil, terutama lagi di malam 27 ramadhan itu, adalah sebentuk apresiasi seorang hamba Allah dan kaum muslimin dalam mencari makna dan memperdalam kalimat Lai-latul qadri khoirum minalfisyah.

“Pemahaman lailatul-qadr bukan lagi bersifat mutlak yang akan mengenai setiap orang, seperti cahaya bulan purnama yang menyinari siapa saja asal dia keluar rumah untuk menyaksikannya. Kalaupun mahu ditunggu-tunggu dan seseorang berpendapat ada setiap tahunnya, lailatul-qadr itu peristiwanya menjadi relatif menyangkut pengalaman imani secara individual”.

Fateh mendengar dengan teliti hujah yang dilontar temannya itu. Diterjemahkannya dengan cermat maksud ucapan tadi. Dia cukup sedar dengan siapa dia sedang berbicara. Bahasa tubuh Thariq juga mengisyaratkan bahawa dia tidak seluruhnya bersetuju dengan ucapannya sebentar tadi.

“Memang tiada sebarang riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat pernah melihatnya. Namun tidak ada pula ada larangan untuk mencari Lailatul Qadr mengikut tanda-tanda yang dianjur para ulama. Antara tanda-tandanya adalah seperti mentari pagi kelihatan pucat daripada biasa. Tidak dingin dan tidak panas. Di malam harinya hujan turun mencurah dan angin sepoi-poi, tiada bau dan tiada sejuk.

“Ada pula pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita. Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat. Serta ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud. Wallahualam.”

Jeda.

“Ramai daripada kita yang sering keliru dengan menyikapi Lailatul Qadr itu secara mitologi. Kita lebih disibukkan dengan berita-berita ganjil yang berlaku pada malam tersebut sedangkan hal berkenaan tidaklah dapat dipertanggungjawabkan dengan ilmu agama yang sahih. Ini sekaligus menyebabkan kita gagal mencicip pelajaran maha penting yang terlarut disebalik malam mubaarakah itu. Berkenaan dengan tanda-tanda Lailatul Qadr, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi juga ada mengulas :

"Semua tanda ini tidak memberi kepastian mengenainya. Tidak mungkin ia berulang-ulang, kerana malam Al-Qadar selalu berbeda-beda cuacanya dalam berbagai negara, berbeda pula waktunya. Ia mungkin dijumpai di sebuah negara Islam yang tidak putus hujannya, dan kemungkinan di negara lainyang keluarganya bersholat istiqo' yang berdepan dengan kemarau, dan negara-negara berbeda dari segi kepanasan dan kesejukannya, naik matahari dan turunnya, kuat atau lemah pancarannya, maka mustahil untuk mendapat titik pertemuan ini. Kajian ulama' mengatakan: boleh di ambil malam-malam yang tertentu Lailatul Qadar itu dari sebahgian manusia. Ia hanya kelihatan kepada dia seorang saja yang melihatnya. Atau menerima mimpi didalam tidur, atau berlaku (karamah) keajaiban yang luar biasa. Atau Ia terjadi kepada keseluruhan umat Islam agar ia menerima ganjaran kepada siapa saja yang berpeluang melakunya. Dan Ia tidak nampak apa-apa yang berlaku. Kebanyakkan ulama' mengambil pandangan yang awal tadi”.

“Jadi kau mengingkari adanya Lailatul Qadr?”, soal Fateh berbaur gusar.

“Lailatul Qadr akan tetap berlaku sehingga hari kiamat kerana itu bahagian daripada nikmat yang dilimpahkan Allah Azzawajal kepada umat Muhammad seperti dalam sabda baginda :

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Lailatul Qadr yang tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka”.

“Cumanya janganlah malam mulia itu ditetapkan dengan tanda-tanda tertentu yang tidak dapat dipastikan secara tepat. Dan jangan disebabkan ketaksuban mencari-cari tanda Lailatul Qadr sampai kita melalaikan sesuatu yang lebih utama hingga merugikan diri dan umat seluruhnya. Hanya Allah sahajalah yang maha mengetahui segala yang ghaib dan melalui taufik dan hidayahnya jugalah dikurniakan nikmat malam baraakah itu kepada sesiapa jua hambaNya yang Dia kehendaki”.

 “Para ulama menjelaskan; Tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda Lailatul-Qadar, tidak mendapat malam tersebut. Barangkali seorang yang bangun pada malam Lailatul-Qadar itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya. Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah dari orang yang pada malam itu melihat tanda-tandanya sahaja tetapi tidak beribadah”.

Di luar hujan sudah mengalah daripada terusan membedil permukaan bumi. Air diparit berdekatan terdengar menderu deras mengalirkan takungan yang sarat. Dedaun mati dari pepohon yang menompang dicuping jalan basah berserakan ditanah akibat diganasi angin dan air. Katak dan cengkerik riuh berpadu suara mendendangkan lagu alam. Sedang Bukit Maxwell masih tetap lena berselimut kabut dalam dingin yang menggigit.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) sisi yang jarang dibincangakn.. menarik toti isu ni.
  • 2) emm ada few facts yg baru tahu. an eye opener.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti