Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Ilmi Kasbi

  • 3
  • toti
  • 13 years ago
  • 3,781
  • FREE

 

“Ilmu itu jika ditegakkan sebelum ucapan dan amal, maka akan diberkahi pelakunya meskipun perkaranya kecil. Adapun jika ucapan dan amal didahulukan sebelum ilmu, walaupun boleh jadi perkaranya itu sebesar gunung, akan tetapi itu semua tidaklah di atas jalan keselamatan…".

-Asy-Syaikh Sholeh bin ‘Abdul ‘Aziz Alu Syaikh-

 

Suasana di dalam dewan Ibnu Sina hiruk dengan suara hadirin dan graduan yang datang dari setiap pelusuk. Ada juga yang sudah terpacak diperkarangan dewan seawal jam 6.30 pagi bagi menghindari kesesakan yang biasa berlaku ketika majlis graduasi. Perut dewan sedang sarat dipenuhi oleh graduan Universiti Sains dan Teknologi Nusantara yang lengkap berjubah. Disaksikan oleh kelurga masing-masing dengan penuh rasa syukur dan bangga. Rata-rata hadirin gagal menyembunyikan rasa kekaguman melihat struktur senibina dewan Ibnu Sina yang bukan sahaja kaya dengan seni Imarah Islamiyyah tetapi juga keluasannya yang mampu menampung kapasiti sehingga 2500 orang dalam satu-satu masa.

 

"Syukran kita ucapkan kepada naib canselor Prof. Dr. Syed Abdulrahman Syed Mohsin di atas ucapan yang penuh manfaat sebentar tadi. Sekarang tibalah giliran tetamu yang telah kita jemput khas untuk mengimarahkan lagi majlis yang penuh bermakna ini. Beliau merupakan seorang saintis kebanggaan seluruh umat islam yang baru-baru ini telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah nobel dalam lapangan kimia. Tanpa membuang masa, dengan penuh rasa hormat kita menjemput Prof. Dr. Salahuddin Zulkarnain untuk memberikan ucapan".

 

Tepukkan bergemuruh mengapung memenuhi kubah dewan yang kental dipengaruhi unsur Parsi. Semua mata sedang tertancap ke arah tubuh sederhana yang berjalan menuju pembesar suara. Rambut putih kekelabuan hampir berjaya menakluki umbun-umbun kepalanya. Untuk individu yang berusia 47 tahun, dia kelihatan masih segak dan jauh daripada ciri tipikal yang selalu disandarkan kepada seorang professor. Dengan mata redup tanpa kaca mata dan senyum yang sentiasa menghias wajah beliau tampil cukup sederhana.

 

"Khutbatul Hajah. Saya tumpang berbangga melihat pencapaian saudara-saudari pada hari ini yang gigih memburu ilmu. Walaupun kita tidak mempunyai pertalian darah, namun secara fitrahnya kita ini semua bersaudara. Dan diantara sifat orang mukmin itu adalah mencintai saudara Islamnya. Junjungan kita pernah bersabda : "Tiada beriman seseorang kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya".

 

"Saudara dan saudari yang dirahmati Allah. Menuntut ilmu itu adalah fardhu bagi setiap muslim. Ia merupakan jihad fisabilillah yang tujuan utamanya adalah untuk meraih redha Allah. Di dalam al-Quran perkataan ilm diulang sebanyak 811 kali dalam pelbagai bentuk dan variasi. Islam amat menekankan kepentingan ilmu dan memandang tinggi orang-orang yang berilmu. Sehinggakan Allah berfirman di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 : Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Nabi SAW pula mengibaratkan :  Kelebihan seorang alim atas seorang abid, laksana kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang-bintang. Begitulah tinggi dan besarnya nilai ilmu dalam pandangan agama".

 

"Tetapi lihatlah apa yang terjadi kepada kita sekarang. Walaupun kita memiliki saiz keintelektualan yang besar tetapi gagal berfungsi dengan efektif diperingkat global. Menurut Malik Bennabi, intelektual Islam era modenisme ini hanya terfokus kepada intelektual sijil atau ijazah yang memperdagangkan kebolehan ilmu pengetahuannya di pentas politik dan sosial tanpa mengambil perhatian serius dan praktikal terhadap umat Islam. Tambah beliau lagi fenomena ini hanya akan melahirkan golongan intelektual Islam yang hanya pandai bercakap  daripada menangani masalah secara berdepan. Lebih disibukkan dengan pertelingkahan yang tidak menyumbang sebarang faedah kepada kemaslahatan ummah.. Sudahnya kita tercicir jauh kebelakang sedang bangsa lain gigih bersaing untuk mengungguli dunia. Suka atau tidak, kita terpaksa menelan kepahitan hakikat bahawa umat Islam kini adalah bangsa konsumer yang semakin muflis daya cipta".

 

"Saudara dan saudari yang saya kasihi, sejarah telah merekodkan bahawa umatan wahidah ini pernah menguasai dunia sejak tahun 630 hingga 1258, bermula dengan peradaban Islam yang dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat. Kecemerlangan ini kemudiannya memukat perhatian ilmuan barat seperti W.Montgomery Watt, Marshall G.S Hodgson dan John Obert Voll. Melalui penelitian yang dilakukan  mereka berpendapat, umat Islam gigih dan berdaya saing kerana kesedaran pada misi ketuhanan. Keindahan Islam terbukti apabila umatnya dapat mengamalkan ajaran-ajaran normatif sebagai kerja konkrit harian. Kesedaran profetik ini berjaya merangsang umat Islam untuk lebih terampil dalam melaksanakan peranan-peranan sosial dalam sejarah".

 

Dewan Ibnu Sina diam membungkam. Pikuk ceridau yang tadi terapung-apung di kubah telah bubar dibusa angin. Kemahsyuran senireka dalaman dewan bercirikan gaya Murqanas dari Esfahan itu masih juga tidak mampu menandingi pesona saintis yang bertanggungjawab menemukan kaedah menjejak pergerakkan atom dan molekul menerusi sukatan waktu yang tepat itu.

 

"Setelah kewafatan Rasulullah, dunia Islam digoncangkan dengan konflik umat yang meluluhkan hati seluruh kaum muslimin hingga berlaku pemberontakan yang kemudiannya melahirkan beberapa sekolah pemikiran baru. Saya tidak berminat untuk membuka kembali luka lama umat. Allah telah membersihkan tubuh kita semua daripada percikan darah mereka dan jangan pula dibiarkan darah itu melumuri lidah kita. Jika kita tidak mampu menjadi garam untuk menyelamatkan ikan daripada busuk, janganlah pula kita menjadi lalat hijau yang membusukkan ikan".

 

"Selepas daripada rentetan peristiwa itu muncul empayar-empayar Islam antaranya seperti kerajaan Bani Umayyah yang telah menyumbang dalam perkembangan sains moden dibenua eropah. Bani Abbasiah yang telah membangunkan tradisi intelektual dengan penubuhan Baitul Hikmah di Baghdad sebagai pusat akedemik, terjemahan dan juga penyelidikan. Kerajaan Fatimiyah pula telah mendirikan Al-Azhar dan Dar al-Hikmah di Mesir sebagai pusat pengajian tinggi pertama dalam sejarah untuk ilmu-ilmu agama yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan akal".

 

"Dari sini muncullah tokoh ilmuan besar umat yang bukan sahaja diperakui di dalam dunia Islam malah turut diiktiraf oleh pihak barat seperti Al Biruni. Seorang ahli kajibumi yang mengatakan bumi berputar pada paksinya sebelum pendapat itu dikemuka oleh Galilio. Beliau yang sepanjang hidupnya telah menghasilkan 146 buah karya dengan lantang mengkritik teori Aristotle yang terkandung dalam bukunya On The Heaven berkenaan ilmu kosmologi dan fizik".

 

"Tahukah anda bahawa orang Islam merupakan perintis kepada ilmu kimia? Perkataan Alchemy itu sendiri bermuasal daripada perkataan arab Alkimia. Pada abad ke 8 di Taous, Iran telah lahir seorang jaguh kimia Islam bernama Jabir Ibnu Hayyan. Beliau telah mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia yang kemudiannya menjadi dasar pengklasifikasian unsur kimia terutamanya kepada bahan logam, bukan logam dan penghuraian bahan kimia".

 

Jeda. Dia menyeluruhi khalayak dari atas pentas ucapan. Memicingkan sedikit matanya yang berwarna hitam bukat. Banyak ekspresi yang tertangkap langsung ditafsir oleh otak. Sebaik menganalisis hasil maklumat yang dicerna dia tersenyum singkat.

 

"Qanun Fi At-Tibb tanpa was-was merupakan mahakarya Bapa Perubatan Moden, Ibnu Sina berdasarkan pengalaman luas dan kajian teliti yang telah beliau lalui. Buku yang diterjemahkan di dalam bahas inggeris dengan judul ‘Precepts of Medicine' ini kemudiannya dicetak ke dalam 15 bahasa untuk dijadikan panduan difakulti-fakulti perubatan seluruh eropah sejak abad ke 12 hingga ke 17. Menurut ahli sejarah, Philip K. Hitti : Kanun dengan isinya yang bercirikan ensiklopedia, susunannya yang sistematik dan perancanaannya yang filosofis, telah membolehkan karya ini berada pada kedudukan yang terkemuka dan unggul dalam bidang kedoktoran pada masanya.

 

" Suatu ketika dulu Wright bersaudara  pernah menggemparkan dunia dengan kejayaan menerbangkan pesawat pada tanggal 17 Disember 1903. Sekaligus dinobatkan sebagai manusia pertama yang berjaya terbang. Tanpa kita sedari beratus-ratus tahun sebelum itu, Ibnu Firnas seorang ahli fizik Andalus telah terlebih dahulu melakukan ujian penerbangan secara saintifik di atas bukit Al-Rus yang terletak di Rusafa, Cordova dengan menggunakan sepasang sayap dari bingkai kayu dengan ditampal bulu-bulu yang menyerupai sayap burung dan berfungsi seperti mesin peluncur (glider). Kejayaan tersebut telah dinukilkan dengan jelas di dalam syair Mukmin Ibnu Said yang berbunyi :

 

Beliau terbang laju mengatasi kepantasan seekor burung sebaik sahaja dia menyarungkan sayap terbang berbulu itu.

 

"Dalam bidang optometri, dunia terhutang budi dengan Ibnu Al-Haitam yang dinobatkan sebagai Bapa Optik Moden.Beliau telah berjaya mengemukakan beberapa teori tentang penglihatan yang tebukti sahih. Antaranya, benda mengirim cahaya ke mata bukan mata mengirim cahaya kesesuatu benda seperti teori yang dikemukakan oleh Euclid dan Ptolemy sebelum ini. Beliau juga telah mengatakan bahawa cahaya bergerak dalam satu garisan lurus. Dalam fizik pula, beliau merupakan manusia pertama di dunia yang menyatakan bahawa tubuh manusia bergerak terus menerus kecuali ada satu paksaan dari luar yang menghalangnya atau mengubah arah pergerakan tersebut.

 

Khali sejenak.

 

"Saudara dan saudari yang dimuliakan, contoh yang saya bawa ini cuma secebis sahaja daripada keseluruhan lembaran sejarah. Namun saya kira sudah cukup untuk memberi gambaran kepada semua betapa kita pernah menjadi perhatian dan rujukan dunia. Dengan segala kebesaran Allah Azzawajl, tamadun Islam yang tidak emperik ini telah berjaya membentuk sebuah peradaban Ilmu yang tinggi dan disegani".

 

"Tetapi sayang semua ini hanya lipatan kenangan yang sehingga sekarang gagal untuk diulang. Kita tidak boleh terus membeku dalam nostalgia. Salahuddin Al-ayubi tidak mungkin bangkit dari pusaranya untuk membebaskan kembali Masjidil Aqsa. Jadikan sejarah itu sebagai inspirasi bagi menyalakan semangat kebangkitan yang kian malap. Saya, anda dan seluruh kaum muslimin yang diberkahi dengan nikmat ilmu perlu menggubah keadaan ini. Dalam surah Ar Ra'd ayat 11 kita diingatkan, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".

 

"Selepas ini anda akan keluar mengharungi cabaran dunia yang sebenar. Dalam proses kembara  itu nanti anda akan diuji dengan jatuh bangun hidup dalam cubaan mencapai puncak. Satu yang saya harapkan daripada anda semua, jangan pernah berhenti belajar. Ceraplah daripada kegagalan, kejayaan, kekalahan dan kemenangan ilmu yang bermanfaat. Dan perlu selalu diingatkan bahawa anda mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap agama dan umat ini. Galilah mutiara hikmah yang ada pada tinggalan para sarjana Islam terdahulu kerana itulah formula kejayaan dunia barat. Kata para ulama : segala macam ilmu tersebut umpama permata yang tercicir dari khazanah Islam. Maka rebutlah, ambillah dan kuasailah ia kerana ianya memang milik kita".

 

“Ketahuilah oleh saudara dan saudari sekalian, kita pernah melakukanya dulu dan InsyaAllah, dengan kesatuan dan ilmu yang berpaksikan iman tidak mustahil kita mampu berada pada kedudukan tersebut untuk kesekian kalinya. Bertebaranlah kita semua dibumi Allah yang luas ini dengan melaksanakan peranan masing-masing. Mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat melahirkan Ibnu Khaldun, Al-Jabar, Al-Farabi, Rehana, Sutaita Al-Mahamli, Meriam Al-Ajlia, Nasiruddin al-Tusi, Al-Razi, Al- Batani, Al-Khawarizmi dan Omar Khayyam abad ini. Sebagai penutup ucapan yang daif ini, marilah bersama kita merenung pesanan Imam Musa al Kazim bin Jaafar :

 

“Semua orang boleh melihat bintang. Tetapi yang boleh mengambil pengajaran darinya hanyalah mereka yang mengetahui tempat peredarannya. Begitu juga ramai orang yang belajar hikmah namun yang boleh mengambil manfaatnya hanyalah yang mengamalkannya”.

 

Semua bebola mata tercurah ke tengah pentas. Memandang personaliti besar itu dengan penampilan sederhana namun mempunyai ketajaman bashirah serta lisan yang mampu menembusi jantung dan menggetarkan setiap nubari. Ditambah dengan pencapaiannya diperingkat global dan keperihatinan yang mendalam terhadap krisis intelektual umat, menjadikan beliau terpandang sebagai ikon muslim berjiwa besar.

 

 “Taniah untuk semua dan selamat maju jaya”.

 

“Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh”.

 

Serentak dengan itu seluruh khalayak berpadu memuji Allah dengan penuh luapan semangat ukhwah. Bersipongganglah dewan Ibnu Sina yang berdiri megah itu dengan ledakan laungan takbir menyingkir sunyi.

 

"Allahuakhbar!".

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ingatan yang baik dan dibina dalam 1 plot sahaja.

    bila ilmu dan intelektualiti digunakan pada tempat yang salah dan tidak efektif. maka tempanglah institusi.

    ilmuan agung silam kini hanya bersandar pada kenangan.
  • 2) idea yg baik tapi dipersembahkan dgn sesak, mgkn matlamat penulis lain.

  • (Penulis)
    3) syukran utk komen dan teguran.

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti