Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Shudhudh

  • 4
  • toti
  • 12 years ago
  • 3,294
  • FREE

 

Siapapun yang mendakwa bahwa kepentingan manusia –menurut pendapatnya- tidak sesuai dengan apa yang disyariatkan Allah, maka sedikitpun ia tidak berada dalam agama ini dan tidak pula termasuk pemeluknya.” [Sayyid Quthb]

 

Jalanraya sebak dengan aneka bentuk kenderaan yang melecus ke dalam kesesakan trafik. Deruman enjin mengaum kasar seakan memprotes situasi  petang itu. Haba dan asap bebas merayau ke udara sebelum karbon monoksida memilih untuk bersilaturahim dengan atmosfera yang sekaligus menyumbang kepada peningkatan radang bumi. Zehra merejam pandang ke arah deretan bangunan agam yang berjajar megah dikening lebuhraya sambil membiarkan Marina berkonsentrasi dengan trafik. Dia kurang pasti apa yang istimewa tentang bangunan-bangunan itu. Tapi setiap kali diam memandangnya, hati rasa terhibur.

“Lagi-lagi seksualiti merdeka. Hal macam ni pun nak dipolitikkan. Banyak hal lain lagi diorang boleh protes. Pergilah protes tentang rasuah ke, penderaan seksual kanak-kanak ke atau salahguna poligami yang berleluasa sekarang. Ini tidak, sibuk nak bantah kempen yang cuba menghapuskan diskriminasi sesama manusia”.

Marina tiba-tiba meledak sebaik mendengar berita yang berkumandang di tetuang udara kereta. Air mukanya jelas mengisyaratkan bahawa dia benar-benar terganggu.

“Hai, emo nampak?” kata Zehra mengusik.

“Taklah, orang kita ni skeptikal sangat. Lebih-lebih lagi tentang perihal taboo macam seks.  Tak tahu hujung pangkal terus nak melompat. Tahu nak menghukum tapi tak pernah cuba bagi solusi. Macam mana nak maju kalau mentaliti sempit dan jumud. Semua benda pun nak di haramkan”.

“Seksualiti itu bersifat subjektif. Setiap individu mempunyai seksualiti yang berbeza sama ada homoseks, biseksual, transeksual, interseksual ataupun heteroseksual. Dan melalui kajian saintifik yang banyak dijalankan terbukti  bahawa seksualiti itu bukan pilihan tetapi lebih kepada sifat naluriyah yang wujud secara alami dalam diri masing-masing”.

Marina memecal hon setelah melihat kereta dihadapannya lambat bergerak sehingga kenderaan yang berada di lorong kiri sewenang-wenang memotong barisan. Mulutnya terkumat-kamit menggunjing sesuatu.

“Orang-orang seperti ini banyak disekeliling kita. Mungkin mereka berbeza dari sudut orientasi seksual tapi mereka tetap mahluk tuhan serupa kita yang wajar mendapat hak saksama seperti mana manusia-manusia lainnya. Mereka juga bahagian dari anggota masyarakat yang mewakili pelbagai profesion yang ikut serta memberi sumbangan kepada kemajuan negara. Dan adakah kerana perbezaan ini kita berhak untuk terusan menginjak dan mendiskriminasi hak mereka?”

“Agama mengajar kita supaya melihat kerencaman itu sebagai suatu fitrah dan hakikat yang dijadikan Tuhan. Dengan ini kita dapat saling kenal dan hormat-menghormati diantara satu dengan yang lain. Bukan sebaliknya. Jadi objektif program ini dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat diluar sana agar bersama-sama merenung dan bercermin diri. Ia tak ada sebarang kaitan langsung dengan seks bebas seperti yang dicanang sebahagian pihak yang bodoh sombong”.

Marina memandang sekilas ke arah Zehra yang semenjak tadi beku tak bersuara. Dia kurang pasti dengan pendirian gadis yang ditumpangkan itu sama ada menyebelahinya atau tidak. Sementara Zehra masih memilih bungkam walaupun  dalam nubarinya bergejolak keinginan untuk membantah. Tapi dia sedar dia tak punya hujah yang mantap untuk mematahkan serangan Marina. Lagipun dia tak mahu berdebat dalam keadaan Marina yang sedang memandu kerana bimbang akan menyebabkan teman sepejabatnya yang terkenal dengan sifat bengkeng itu hilang tumpuan.

“Kita selalu melaungkan bahawa Islam agama toleransi. Tapi bila ada usaha untuk memperjuangkan hak golongan minoriti yang sering dikucilkan ini, ramai yang mencerca dengan tuduhan dan dakwaan yang berbaur fitnah hingga akhirnya merugikan kita semua. Bagi aku, badan-badan agama harus menangkis rasa takut dan benci terhadap kelainan dan kepelbagaian kudrat manusia dan mula mendekati serta membuka minda dan hati kepada golongan ini”.

“Aku sependapat dengan Prof Dr Siti Musdah Mulia yang merupakan Pengarah Universiti Islam Nasional, Jakarta dan juga pemenang International Women of Courage Award 2007 berkenaan perkara ini. Kata beliau:

Bahkan, menarik sekali membaca ayat-ayat Al-Qur’an soal hidup berpasangan (Ar-Rum, 21; Az-Zariyat 49 dan Yasin 36) di sana tidak dijelaskan soal jenis kelamin biologis, yang ada hanyalah soal gender (jenis kelamin sosial). Artinya, berpasangan itu tidak mesti dalam konteks hetero, melainkan bisa homo, dan bisa lesbian. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia dengan orientasi seksual yang beragam.”

Tambah beliau lagi:

”Esensi ajaran agama adalah memanusiakan manusia, menghormati manusia dan memuliakannya. Tidak peduli apa pun ras, suku, warna kulit, jenis kelamin, status sosial dan orientasi seksualnya. Bahkan, tidak peduli apa pun agamanya”.

“Harus diingat Zehra, hal seperti ini buta warna kulit dan agama. Ianya bukan hal yang dibuat-buat tetapi wujud semulajadi dalam diri setiap orang dikalangan kita. Bayangkan jika hal itu terjadi pada orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Adakah kita akan menyalahkan mereka dan sekaligus menyisih mereka dari kehidupan kita?”.

“Cukup…cukup!  Kau ini kalau bercakap mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat” sampuk Zehra berlelucon atau barangkali menyindir.

Berderai tawa keduanya.

 

***

 

“Sekarang ini Islam tidak hanya berdepan dengan cabaran dari luar tapi lebih membimbangkan adalah serangan dari kalangan penganut Islam itu sendiri. Golongan yang mengaku beriman dengan lisan tapi sering melakukan tindakan yang jelas membatalkannya. Yang dengan biadap cuba untuk merekronstruksi keimanan dan hukum dengan metod sosio-historis. Mereka-mereka ini tidak teragak-agak untuk menaakul sendiri atau menggugurkan langsung hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan dan hak-hak manusiawi meskipun hukum hakam itu telah sabit dengan nas-nas syarak secara qatie”

“Golongan ini sering mengatasnamakan hak asasi manusia, sebuah konsep yang kononnya memperjuangkan hak kemanusiaan di mana kebelakangan ini sering dijulang lebih tinggi dari hak ketuhanan. Barangkali orang seperti mereka ini mengira Allah SWT itu kurang arif tentang keperluan manusia sehingga ketika Allah membuat aturan Dia telah melanggar hak-hak makhluk yang diciptakan-Nya sendiri. Na'udzubillahi min dzalik. Dan sebagai insan yang dikurnikan nikmat iman dan Islam, maka kita berlepas diri dari ranah pemikiran yang semacam ini”.

Dr. Umar mengitari jemaah Masjid Al-Sharif malam itu yang hadir untuk pengajian kitab Baharul Mazi. Sebelum kembali meneliti semula kertas soalan yang dipengangnya dari tadi. Memang sudah menjadi kebiasaan seusai pengajian kitab, Dr. Umar akan meluangkan masa untuk menjawab soalan-soalan yang ditulis oleh para jemaah yang menghadapi sebarang kemusykilan.

“Lebih parah lagi sekarang ini ada usaha jahat dari pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mengelirukan masyarakat dalam upaya menghalalkan yang  haram dengan mencipta istilah-istilah baru yang terkadang diislamisasikan secara ceroboh dengan dalil-dalil yang dipotong-potong dan takwilan yang dipaksa-paksa bagi memenuhi kebejatan nafsu serakah. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah An-Najm berbunyi:

“Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka. Atau apakah manusia akan mendapat segala yang dicita-citakannya? (Tidak), maka hanya bagi Allah kehidupan akhirat dan kehidupan dunia.”

“Benar Islam adalah agama toleren dalam banyak situasi tetapi tidak dalam hal-hal hukum yang jelas menyanggahi syarak. Dan berpijak pada alasan ini kita menolak sebarang agenda yang cuba untuk memaarufkan yang mungkar. Ini termasuklah program Seksualiti Merdeka yang dicanang oleh sebahagian NGO ditanah yang memperakui Islam sebagai agama rasminya. Kita tidak menuduh bahawa mereka menganjurkan acara seks bebas seperti yang didakwa oleh sesetengah orang yang ceroboh. Tetapi kita melihat dari sudut implikasi jangka panjang kepada masyarakat seluruhnya”.

“Jika kita mengizinkan program seumpama ini berjalan bererti kita secara tidak langsung  telah mengiktiraf hubungan songsang antara manusia yang bukan sahaja menyanggahi fitrah tetapi juga akal yang sihat. Dan bila ini terjadi maka berlaku perlanggaran hukum yang akan memberikan impak fatal terhadap pembentukan ummah. Ini senada dengan kebimbangan yang diutarakan oleh Rasulullah SAW seperti termaktub dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah :

Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth”.

Mata para jemaah tertancap erat ke wajah Dr. Umar tanda mereka sedang mengikuti rapat wacana yang dikemukakan. Ramai yang menunjukkan minat dengan persoalan berkenaan seksualiti merdeka ini. Mereka ingin mendengar sendiri pendapat yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah dari susuk ahli ilmu  seperti Dr.Umar.

“Tiada khilaf dikalangan Fuqaha tentang pengharaman zina, lesbianisme, gay, biseksual dan transgender.Malah golongan ini dianggap telah melakukan al-jarimah (kemungkaran). Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 6 -7:

“Dan orang-orang yang menjaga kemaluan mereka,kecuali terhadap isteri mereka ataupun orang yang mereka miliki (hasil dari peperangan dengan orang kafir), maka sesungguhnya mereka dalam keadaan ini tidak tercela.Sesiapa yang mencari yang sebalik dari itu (melalui jalan zina,homoseksual dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas”.

“Dalil ini menunjukkan bahawa umum ayat meliputi lelaki atau wanita pada wajib memelihara kemaluannya kecuali pada suami atau isteri sahaja.Justeru itu, perbuatan zina dan seks songsang merupakan perbuatan maksiat yang tidak menjaga kemaluannya daripada orang yang sepatutnya dijaga”.

Ini ditambah dengan keterangan daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dari Abi Musa Al Asy'ari r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda :

“Apabila seorang lelaki mendatangi lelaki maka mereka berdua berbuat zina,dan apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berdua berbuat zina”.

“Tapi hari ini atas tiket hak asasi manusia ada kelompok yang cuba mengajak masyarakat untuk menerima kemungkaran ini sebagai satu fitrah. Mereka beralasan bahawa naluri seks itu adalah sesuatu yang semulajadi dan perlu dihormati meski melanggar norma-norma manusiawi. Dan lagi mereka menyeru supaya kita merubah cara fikir agar lebih terbuka dan menerima golongan minoriti ini seperti manusia normal lainnya. Bukankah pendekatan ini seumpama membersihkan najis dengan najis?”.

Jeda.

“Agama tidak pernah menindas atau mendiskriminasi mana-mana jiwa. Setiap individu dipelihara maruah, harta dan darahnya tanpa mengira darjat dan warna kulit selagi mana dia tidak melampaui koridor yang telah ditetapkan oleh syarak. Tetapi manusialah yang menzalimi dirinya sendiri dengan menjadikan nafsunya sebagai tuhan. Seharusnya nafsu itu dipandu oleh iman dan akal yang dianugerahkan Allah kepada kita dan bukan pula sebaliknya”.

“Adalah tidak masuk dek akal bila kita menyuruh kelompok majoriti untuk berubah dan sekaligus memaksa mereka menerima kebejatan moral. Seharusnya kelompok minoriti ini lah yang perlu berubah agar dapat diterima dalam lingkungan majoriti. Jika benar-benar ikhlas ingin membantu golongan ini, kita seharusnya memimpin mereka kembali kepada fitrah dan bukan merelakan mereka untuk terus terpuruk dalam penyimpangan yang tak berhujung”.

“Sebagai penutup saya ingin berkongsi dengan anda semua pandangan DR. Taha Jaber Al-'Alwani salah seorang intelektual muslim alaf ini yang juga merupakan Presiden Universiti Cordoba dan Taha Al-Alwani Academy of Quranic Studies berkenan isu ini:

“Sesungguhnya perbuatan ini dianggap sebagai perbuatan tercela dan suatu kejahatan. Oleh kerana itu, apa yang dinyatakan oleh orang-orang sesat tersebut adalah tidak diterima oleh Islam sama sekali dan tertolak sepenuhnya. Sedangkan, kenyataan bahwa beberapa kelompok agamawan, kerana ditekan, telah mengizinkan pengikutnya untuk melakukan perbuatan tersebut tidak dapat dianggap sebagai hujah bagi menghalalkan perbuatan yang haram. Telah terjadi dalam sejarah, sejumlah orang merubah agama mereka dengan menambah dan menguranginya. Sedangkan untuk Islam, dengan tegas dalam masalah ini, tidak dapat menerima sebarang tawar-menawar dalam apa jua bentuk atau kondisi”.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) kupasan isu yang sangat menarik. rindu saya dengan karya-karya toti
    banyak yang boleh diambil sebagai hujah selepas ini.
  • 2) Cantik dan kemas! Lama tak singgah baca tulisan saudara toti...
  • 3) toti toti toti bila mau menulis lagi?

  • (Penulis)
    4) syukran

Cerpen-cerpen lain nukilan toti

Read all stories by toti