Terperangkap

 

 

Gelap. Semuanya gelap. Rasanya, Laila baru sahaja meletakkan kepala di atas bantal tetapi kenapa pula sekarang dia sedang berdiri, berjalan di dalam gelap.

Kaki memijak permukaan yang tidak dapat dipastikan. Terlalu lembut untuk tanah tetapi masih kasar untuk karpet.

' Eh, mana stokin?' Laila bertanya sendiri dalam kepelikan. Ia menjadi lebih pelik apabila suara Laila seolah berbisik sedangkan dia bercakap dengan nada yang biasa.

' Ehem! Helo?' Laila cuba sekali lagi. Suara yang keluar masih lagi dalam nada berbisik.

Laila berhenti daripada berjalan. Matanya memandang baju dan seluar di badan. Masih sama dengan baju yang dipakai sebelum dia tidur tadi. Tetapi, ini di mana?

Laila kemudian memandang keadaan sekeliling. Matanya kini sudah mula sesuai dengan keadaan sekeliling, membolehkan Laila melihat keadaan sekeliling sekalipun sedikit kabur.

 

Laila sedang berdiri di atas tanah yang rata. Di depan terdapat bukit kecil, tidak ubah seperti bukit pasir yang selalu dilihat di dalam televisyen. Semuanya senyap, seolah-olah tiada lagi hidupan lain di sekeliling.

' Jalan ke depan sedikit,' Laila bercakap seorang diri. Kemudian, dia tertawa. ' Sudah. Bercakap sendiri pula.'

Terasa berangin namun Laila cukup selesa. Permukaan yang dipijak sudah berubah tetapi tidak pula ada perubahan ketara pada segi suhu. Sekalipun hanya dengan kemeja T dan seluar tidur, dia masih tidak terasa sejuk. Nyaman, seolah-olah berada di dalam sebuah bilik berpenghawa dingin.

Laila memang suka berjalan kerana ia menenangkan fikiran. Selalunya, dia hanya mampu bersiar-siar di taman selepas kerja. Serabut rasanya menghadap meja yang sentiasa bertimbun dengan kertas kerja. Kerjaya sebagai seorang pengurus projek di sebuah syarikat pemasaran bukan senang. Masa yang terhad cuma cukup untuk dihabiskan di sekeliling taman. Kalaupun sekadar sepuluh hingga dua puluh minit, ia cukup membantu untuk meredakan ketegangan yang dihadapi Laila seharian.

 

Namun, sejak akhir-akhir ini, Laila semakin sukar untuk meluangkan masa untuk diri sendiri. Sejak memenangi sebuah tender untuk program pelancongan, jadual seharian Laila yang sememangnya tidak teratur, jadi semakin kacau bilau. Makan entah ke mana, tidur entah ke mana. Ditambah pula dengan desakan keluarga yang mula bising dengan unur anak dara mereka yang semakin meningkat.

Memikirkan itu, Laila kembali serabut. Apa yang dia perlu sekarang adalah masa. Projek ini sudah 60% siap, tinggal sedikit sahaja lagi. Paling lama pun hingga akhir 2012. Kenapalah keluarga tidak mahu memahami?

KakiLaila semakin jauh melangkah. Tiba-tiba, Laila ternampak seorang lelaki sedang duduk di atas bukit pasir sambil minum teh. Amir? Amir!

' Amir!' Laila berlari ke arah lelaki yang sedang duduk dengan santai di atas bukit. Air mata merembes keluar dengan deras, tanpa disedari.

Lelaki yang bernama Amir mengangkat wajah. Melihatkan Laila yang sedang berlari, lelaki itu bangkit.

' Amir! Amir,' Laila mengulang-ngulang nama lelaki yang kini sudah berdiri di depannya, sambil tangan menggenggam erat tangan Amir.

' Laila....' Amir memegang wajah Laila.

' Saya rindu awak,' Laila berbisik, masih lagi menangis sekalipun dia tidak faham mengapa.

' Saya pun, Laila,' kata Amir sambil memimpin Laila untuk duduk. ' Jangan nangis, sayang.'

' Maafkan saya. Saya rindu awak sangat.'

Laila berasakan seolah-olah sudah lama dia tidak bertemu dengan Amir. Selama ini, Amirlah yang menjadi teman berbual, yang mendengar luahan rasa Laila. Mereka kenal dari zaman universiti dan mula bercinta sejak mereka habis belajar. Hanya keluarga sahaja yang tidak tahu tentang kisah mereka.

Tanpa diminta, Laila bercerita.

' Awak penat sangat, Laila,' Amir menjawab sambil merenung wajah Laila. Renungan yang sangat dirindui.

' Saya sunyi awak. Kerja sudah tak tentu masa. Awak tau, saya dah jarang bersenam. Saya sentiasa sibuk,' Laila bersuara sambil menyambut cawan berisi teh dari tangan Amir.

' Spa? Awak tak pergi spa?'

Laila tersenyum bila Amir bertanyakan soalan itu.

' Awak ingat...'

' Tak mungkin saya akan lupa,' Amir tersengih.

Hari itu, Amir beria-ia mahu ikut Laila keluar pada suatu hari sedangkan dia tahu wanita itu ingin ke pusat perawatan kecantikan. Puas diterangkan, Amir tetap berkeras mahu ikut. Dua jam Amir terpaksa menunggu sehingga sesi rawatan tamat. Keluar daripada bilik, Laila disambut dengan Amir yang sedang tidur.

' Saya ingat awak main-main bila awak cakap sesi itu akan ambil masa yang lama.'

Laila cuma tergelak kecil.

' Awak? Awak macam mana?'

Amir hanya tersenyum.

' Rindu saya?' Laila bertanya, dengan senyum nakal.

' Rindu, Laila. Setiap hari saya teringatkan awak.'

' Kalau rindu, kenapa lama sangat kita tak jumpa?'

Amir sekali lagi tenung wajah Laila. Ada aura sebak berlegar di antara mereka berdua. Untuk beberapa saat, tiada apa yang dapat diluahkan.

' Awak, awak lupakah?'

++++

Hilmy termenung di atas kerusi di hospital besar. Ibu bapa Laila duduk tidak jauh daripada tempat duduknya. Di tengah keriuhan di dalam hospital, Hilmi terasa sunyi.

Sedikit-sebanyak, dia berasa bersalah. Bukan dia tidak nampak yang Laila tertekan dan memerlukan teman berbicara tetapi dia yang terlalu mementingkan diri sendiri. Bukan Hilmy tidak tahu yang dia sepatutnya jadi pendengar yang baik, lebih-lebih lagi sejak pemergian Amir.

Amir. Terasa seperti baru semalam Amir pergi meninggalkan mereka, meninggal di dalam tidur. Arwah pergi dalam keadaan yang sihat dan ia cukup mengejutkan mereka semua. Yang paling terkesan pastinya Laila sekalipun dia cuba untuk menyorokkan kenyataan tersebut dengan menyibukkan diri dengan kerja.

Pernah Laila mengadu pada Hilmy tentang dia susah untuk tidur malam. Salah Hilmy juga kerana ambil ringan masalah itu. Mungkin itu yang menyebabkan Laila terus jadi malas untuk berkongsi masalah.

Hilmy meraup muka. Kalau Amir ada, pasti Amir tahu apa yang perlu dilakukan.

+++++

Laila menangis tersedu-sedu. Dia sudah tahu dia di mana setelah mendengar penerangan Amir.

' Saya selalu mimpi tentang awak,' luah Laila, separa merintih.

' Awak kena lepaskan saya, Laila. Tolong jangan seksa diri awak,' Amir kembali menggenggam tangan Laila. Sekalipun Amir telah tiada, genggamannya masih panas.

' Tapi....'

' Awak mesti teruskan dengan hidup awak. Ini bukan caranya. Sampai bila awak perlu bergantung pada ubat batuk?'

Laila tersentap. ' Ubat batuk?' mata Laila membulat.

' Malam tadi awak telan separuh botol ubat batuk. Selalunya sekadar cukup untuk membuatkan awak mengantuk. Itu sebabnya awak ada di sini,' Amir berkata tenang.

 

Laila bingung.

' Ini bukan kali pertama awak di sini. Sebelum ini, kita pernah berjumpa tetapi tidak dalam keadaan begini. Malam tadi awak terus teguk dari botol dan awak pilih untuk masuk ruang gelap, bukan satu lagi dimensi di mana awak akan terus bermimpi.'

' Ruang gelap? Maksudnya?'

Susah benar Laila mahu menghadam apa yang cuba disampaikan oleh Amir. Mungkin kerana dia terlalu jauh daripada dunia realiti.

' Semasa awak mula tidur tadi, awak diberi peluangu ntuk masuk dua ruang. Satu ruang di mana awak akan bermimpi seperti mana yang awak selalu lakukan. Satu lagi ruang adalah ruang ini; ruang di mana awak cipta sendiri realiti mengikut acuan idaman.'

 

Genggaman tangan mereka terlepas.

' Awak mesti bangun, Laila. Mesti. Ini bukan awak. Awak tidak pernah lari dari realiti.'

' Tapi...' Laila kembali menangis.

' Saya sudah tiada, Laila. Kisah kita sudah tamat tetapi kisah awak mungkin masih panjang. Keputusan di tangan awak, sayang. Awak kuat kan?'

Laila menarik Amir dalam pelukan.

' Jangan, Amir. Jangan.'

Yang terasa hanyalah kucupan Amir di dahi Laila. Mata Amir bergenang cecair jernih.

' Amir....' lirih hati Laila.

++++++

Bunyi mesin yang menegsan denyutan jantung Laila berbunyi, bising. Hilmy yang berdiri di sebelah katil mula menekan butang yang terletak di kepala katil. Bertambah cuak bila Laila mula menangis, sekalipun dalam keadaan koma.

' Doktor!'

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) ucu kau paste cerita dua kali! Edit pls!

  • (Penulis)
    2) Bug pls. Aku paste sekali je.
  • 3) huhu..dalam koma jumpa Amir..itu tandanya nak ikut jalan sama la tu.

  • (Penulis)
    4) Ciksal: mungkin. Mihs.
  • 5) nama penuh Laila bukan KakiLaila, kan?
  • 6) mesti ada anak patient kacak dekat katil sebelah ni haritu, lalu jejari ucu mula menari. sepantas iringan jantungnya.

    kasihnya laila, membawa ke alam gelita. oh ohh~!
  • 7) ah, i want to write in malay too!

    mana aci.

    siapa yang lagi kacak? Amir ke Hilmy?

  • (Penulis)
    8) 26life: typo Caha: hekeleh. Cerita lapan tahun lepas sgt. Nightingale: rasanya Hilmy. Tapi Amir jadi lebih hensem sbb dia sweet
  • 9) clap clap!
  • 10) mane aci...awal2 lagi da petik nama aku...huhuhu...

Cerpen-cerpen lain nukilan uculer

Read all stories by uculer