Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

carldena

 

PROLOG

“Dia diciptakan dengan raut wajah yang gamat susah untuk ditandingi. Tuhan hidupkan ia dengan penuh kelebihan tanpa kerisauan, tanpa kesusahan. Hidupnya cukup terang untuk menghadapi malam-malam yang bakal diharungi. Dia langsung tidak pernah memikirkan hari depan yang sangat kelam dimana menenggelamkan dirinya dalam kekalutan. Tanpa asas yang kukuh dia belum tegar untuk menghadapi gigitan semut sekalipun. Jika badai sengsara melanda dirimu, Carldena, aku yakin kau akan hancur luluh di atas bumi ini. Maka, hadapilah bara-bara kehidupan itu…”      

 PERMULAAN                                                         

      “Langkahan Carldena suram, sesuram pantai tanpa ombak. Acap kali kakinya terangkat, seakan terhiris perutnya. Pantas tangannya mencengkam di perutnya. Carldena mengeluarkan sesuatu dari poket kecilnya lantas digumam dalam mulut. Menyesal. Semuanya tidak akan berada di dimensi ini. Terlalu menyeksa. Kalau mampu diputar kembali roda masa, ingin saja Carldena menukar nama bapanya. Mengukir nama lain di atas helaian sijil kelahirannya. Carldena Amira binti Tan Sri Farizul Akmar. Tan Sri yang membawa malang. Egonya mengalahkan ketinggian Menara Kuala Lumpur. Sehinggakan ketika arwah ibunya (nenek Carldena) dijemput Izrail, dia bagai menjenguk di balik tingkap. Bagai Si Tenggang yang lebih munafiq, pulang ke kampung pun seperti menarik paus ke darat. Masakan kakinya seronok bersila, memegang Yaasin tatkala hari belasungkawa itu. Batunya Si Tenggang kerana memperihalkan ibunya seperti batu, dicampak sesuka hati. Untuk Tan Sri yang memperihalkan jenazah ibunya bagai sampah di tepian longkang, matinya Tan Sri bagai tikus yang di lenyek-lenyek. Jijik. Sedangkan malam itu, Tan Sri amat gembira, berderai tawanya di dalam kelab malam. Tangan kanannya merangkul GRO, tangan kirinya menyangkut sebotol wain putih, dilambung-lambung tinggi. Akhirnya dia yang melambung keluar dari Peugeot 307 SW. Dalam perjalanan pulang, kereta mewahnya hilang arah, sebelum tersasar keluar dari jalan utama. Mabuk.

  

  Carldena memicit perutnya dengan lebih kuat, amat menyakitkan. Fikirannya buntu untuk mengimbas semula, mungkin kerana terlalu sakit, ataupun jiwanya meronta. Tidak sanggup membayangkan posisi ayahnya, kakinya tersepit di dalam kereta manakala sebahagian badannya terkulai mabuk di bonet hadapan. Darah berlumuran dari rambut, mengalir ke hujung kaki. Keadaan yang begitu genting menyukarkan kerja menyelamat, tambahan pula minoriti kereta tersebut telah menjunam ke dalam loji kumbahan dan perlu diangkat menggunakan kren. Nadi Tan Sri masih terus berlagu. Dengan pantas segala kompenen kereta dicabut untuk memudahkan Tan Sri keluar. Namun kakinya tercatuk di situ. Melekat bagai ditarik magnet. Bingung merasuk ke segenap kepala yang memerhati. Puas ditarik, diusahakan agar Tan Sri keluar dari kereta. Tapi,  Tan Sri langsung tidak bergerak. Terdiam, perlahan air matanya menitis melihat Izrail di hadapannya. Panas, haus semuanya bergolak sebelum Tan Sri menjerit tika kereta tersebut meletup.

 

Tersentak, Carldena bagai terdengar bunyi letupan itu. Dia sendirian merasai kepanasan yang tidak terhingga. Pantas manik-manik peluh di wajahnya diseka. Kesedihan terukir di situ. Wajah yang dahulu comel, rambutnya mengurai lembut turun ke mata yang perang, terus ke hidung yang mancung bak seludang, berakhir di bibirnya yang nipis, sudah hilang serinya.                                                            

 

Tangannya masih mengusap muka, di bawah mata yang berair, di tepi hidung yang kemerah-merahan. Semuanya telah hilang, yang putih jadi hitam yang ceria, kelam terbang ditarik sejarah.

‘Tap!’ Carldena tersentak, bahu lembutnya disentuh orang. Lantas dia berpaling, seorang lelaki berdiri di belakangnya. Dia kenal wajah itu. Dia juga benci wajah itu. Benci, sama bencinya dengan wajah Pak Tam, Pak Long, Mak Ngah, Busu Lea, Auntie Sarah, Uncle Am, semua bersilih ganti. Dia jadi tak keruan. Dalam jiwanya bagai dilanda badai yang tidak berhenti. Perlukah ia menyahut tangan itu, atau membuka langkah seribu? Sedar-sedar dia sudah berada jauh dari situ, meninggalkan manusia itu termanggu.

Dasar hatinya mencebir, mencemuh wajah-wajah itu. Tangan mereka menyeluk saku, tuli mata mereka, berhijab hati semua saat permata berderai di alur pipi gebu Carldena. Saat Carldena tergantung tidak bertali mereka menghulurkan tali gantung ke leher putihnya. Malah dia dicemuh, dihina, diherdik, dihalau umpama anjing kurap. Kesalahan-kesalahan Tan Sri yang menggunung disandarkan ke atas pundaknya. Api-api dosa miliki darah dagingnya itu, mengalir dalam tunjang darahnya bagai asid yang menghakis. Tiada satu pertolongan pun  saat Carldena dilambung kesepian, sehingga dia terdampar di persisiran ini.

Air matanya bersungai lagi. Permukaan matanya terpampang wajah ibunya. Belaiannya terasa bermain-main di rambutnya. Tenang sebentar keresahannya, hilang rasa gementarnya. Hatinya begitu tenang pabila tangan ibunya berada berada di ubun-ubunnya. Tiba-tiba tangan tersebut mencengkam kepalanya, menghentakkannya ke dinding, menampar pipinya, menarik rambutnya. Carldena tersentak. Betapa peritnya hidup perempuan itu disamping seorang ibu bangsa Austria. Namun dia tahu, lebih perit ibunya yang mati dalam kufur tatkala putus asa dengan hidup. Di hadapan mata Carldena sendiri, ibunya bermandi darah yang membuak-buak keluar daripada pergelangan lengan.

 

Carldena mengurut dada, merayap ke lehernya, kering segersang sahara. Perutnya terus dan terus berlagu. Namun, kedai mana mahu dipinta, pintu mana ingin di ketuk? Pernah digagahkan jua mengemis di tepian hati. Tapi hasilnya, kasih terbang sayang melayang.

 Carldena tunduk, menghela nafas sepanjang-panjang yang mampu. Dipaksa kakinya untuk berdiri. Tangannya  menekan ke tanah. Belumpun lututnya menegak, kepalanya bagai ditusuk jarum, perutnya mencengkam, tekaknya berpasir, dadanya sesak, akhirnya dia terduduk sendiri, tersandar di dinding yang dilawati lumut. Mengeluh. Sakit ini bukan hakku, perit ini bukan impianku. Tapi siapa tahu?

 

Tangannya merayap kembali, tetapi terhenti di pangkal leher. Seutas rantai dalam genggamannya, bersulam emas, bertatah berlian. Hadiah sempena hari lahirnya yang ke-16, merangkap parti terakhir dalam hidupnya. Telinganya masih boleh terdengar betapa gemuruhnya tepukan tika tersemat rantai tersebut di lehernya. Ramai yang memuji, Carldena umpama bidadari syurgawi, sekilas pandang terpaut hati. Jelasnya, ramai juga yang terpaksa mengibarkan bendera putih tatkala menyedari bahawa sendiri tidak akan mampu membelai Carldena, putri Akmar Villa yang lahir dalam kepuk emas, ditatang bagai minyak. Carldena tak pernah kecewa dengan hidup. Masakan mungkin pabila segala yang terlintas di hati akan dipenuhi. Kebebasannya tidak terbatas, keseronokannya bagai di firdausi, tapi pengakhirannya sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Carldena…

Mulut kecilnya menguap, matanya ditenyeh beberapa kali. Mengantuk. Carldena cuba menganggar waktu. Mungkin jam lapan malam, mungkin jam 12 malam, atau mungkin sudah melewati jam dua pagi. Buntu. Selama ini, masa bukan ukuran hidupnya. Lapar ke dapur, bosan ke halaman, mengantuk tidur. Semuanya tersedia, kalau terasa kurang, dipinta. Tetapi itu dahulu, antonim kepada saat ini. Masa ibarat pedang, setiap detik yang terlepas, menghirisnya, setiap detik yang sedang dilalui, mengerat-ngeratnya, datik-detik yang mendatang akan memenggalnya.

Dia, hanya mampu menunggu hari esok, menanti matahari riang di atas dan dia mengeliat dengan segunung harapan. Namun, masihkah ada hari esok untuknya? Carldena mengurut-ngurut kakinya. Lenguh. Jemarinya menekan di kawasan keting, melurut turun ke buku lali, kemudian ditolaknya segala keperitan itu ke ibu jari yang kehitaman. Nafasnya dihela panjang. Mencari kelegaan walaupun secebis cuma. Dibersihkan kaki itu, bertaburan pepasir, beterbangan debu-debu yang melekat di kulit licinnya. Pandangannya tertancap pada tapak kaki, kulit sekitar buku lali retak seribu, ditambah pula dengan warna hitam yang melekat padu. Menyesal.

Carldena menolak rambutnya yang jatuh berjuraian di dahi ke belakang telinga. Beberapa helai jatuh kembali ke hadapan. Mengeluh. Lima tahun lagi untuk dia lari daripada masalahnya. Lima tahun lagi, semua harta peninggalan arwah akan menjadi hak milik mutlak Carldena Amira. Tetapi, Carldena sendiri masih was-was tentang hidupnya pada hari esok. Masakan dia mampu bertahan selama lima tahun lagi. Setahun yang dilalui ini pun sungguh memeritkan batinnya. Carldena merenung ke tanah, hujung jarinya melukis sesuatu, sesuatu yang cuba menutup rasa kesal di dadanya. Satu langkah yang tersilap terus mengubah susur-galur hidupnya.

Dia menghitung sendirian, dengan harapan yang menggunung, dia lari dari rumah anak yatim ke kampung. Namun, impaknya, yang dikendong berciciran, yang dikejar tak kesampaian. Bagai musang yang ingin membaham ayam, dia bukan sahaja tidak diendahkan, malah ‘dinasihati’ keluar dari komuniti tersebut. Hiba. Salah akukah membuka langkah seribu? Jika berada di rumah anak yatim bagaikan Cinderella. Terseksa hidupku dengan caci maki yang tersirat dalam kata yang tersurat. Salah akukah, membuka langkah seribu lari daripada sengsara? Carldena bermonolog sendirian, bertanya kepada angin dan jawapannya, kesepian.

Kesepian yang mengajarnya erti keperitan. Kesepian yang benar-benar tak dapat ditampung oleh hatinya. Kesepian yang tak bertepi. Kesepian yang mencengkam entah sampai bila. Mungkin sejam, sehari, sebulan, atau lima tahun lagi, sehingga dia menerima kembali haknya. Hak yang dicuri oleh seorang pembelot. Culas. Benar-benar culas saat nama pembelot itu menorobos mindanya. Kebenciannya memuncak terhadap pembuka segala cerita, pencetus masalah dan penutup kebahagiaannya. Harapkan pagar, pagar makan padi. Kehilangannya bersama-sama dengan segala harta Tan Sri Farizul Akmar, menjadi misteri. Meninggalkan tanggungjawabnya ditelan halaman neraka.

 

Carldena mengetap bibir. Terkilan sendirian tatkala di matanya seakan tergambar, satu-persatu harta peninggalan Tan Sri dijual, sedikit demi sedikit aset Tan Sri terhakis. Atas alasan mengambil upah penjagaan Carldena, segalanya seperti air. Lancar.

Mengeluh keras. Sekeras guruh mengintai hujan, melepaskan petir yang menyentak jiwa Carldena. Dia jadi tidak keruan. Namun, pada siapa harus dimuntahkan segala-galanya. Kesepian yang mengisi jiwanya berlumuran keluar dari celahan  mata. Malam yang menagih simpati mentari, terdiam seketika. Tergumam dengan esakan Carldena yang terngadah di tengah kepiluan, merintih malang yang menjadi satu rentetan yang tak ingin pulang. Dia mula mengintai kembali lunas-lunas yang hilang, mencubit rasa senang, walau sesaat. Tetapi, di situ dia kehilangan definisi kejujuran. Jujur yang membahagiakan dalam setiap titisan air mata, akhirnya jatuh berderai ke bumi tuhan. Hatinya benar-benar berkecamuk. Carldena berkira-kira sendirian tentang hari-hari yang menjadi duri dalam dagingnya. Aku tak sanggup lagi. Dalam kekalutan berfikir, ingatannya megimbau mayat arwah ibunya. Mungkin, ini yang dirasakan ibunya. Mungkin, itu juga jalan yang ada untuk keluar. Mungkin, itu juga yang perlu aku turuti . Akhirnya dia mengungkap rasa manisnya maut, membuka alis kekayangan, mengerakkan tangan mencapai kaca yang terngadah, tergugah, semakin hampir dan hampir dengan urat nadinya.”

  PENCERITA

Bakar meneguk liur. Lambat, namun sekurang-kurangnya dapat meredakan peluh yang berantai di dahinya. Satu keluhan menghentikan sebuah cerita yang gamat panjang.

“Carldena, selamatkah dia?”

Bakar mengangguk perlahan, “Kau percayakan keajaiban?”

Tercengang, “Keajaiban, yang bagaimana? Kalau dari sudut yang agak logik, percayalah juga.”

Bakar tersenyum sejurus selepas aku menutup bibir. Senyuman itu seraya merebak menjadi suatu gelak sinis, persis orang gila. “Malam itu, tangannya terkulai layu, darah pekat deras mengalir ke pehanya. Nafasnya pendek, agak keras bunyinya. Carldena terkapar genting, kelemasan dalam lautan eritrosit sendiri. Cebisan masa itu, muncul seorang lelaki mencapai tangannya, mendukung tubuh kecilnya, lalu di bawa entah ke mana. Carldena bingung. Malaikatkah yang sanggup datang menujah masa untuk menarik kembali rohku yang hampir hilang? Dalam kekalutan itu akhirnya dia kegelapan.

 

Pintu cermin setinggi tiga meter itu terkuak luas diiringi dengan derapan kaki seorang lelaki. Di tangannya, terkulai seorang perempuan dengan titisan darah yang makin perlahan. Kurang daripada lima minit, Carldena sudah berada di dalam bilik kecemasan.

Lelaki itu, bukanlah orang asing bagi Carldena, bukan juga orang yang rapat dengannya. Malahan jika Carldena bertembung dengannya, perempuan mungil ini akan berpaling pantas. Benci. Benci atas senua kehancuran yang dilakukannya, benci atas kehilangan harta Tan Sri. Dalam kebencian itu, tiba- tiba sahaja dia kembali memberikan nafas baru kepada Carldena. Namun mengapa dimensinya sekarang? Mengapa baru kini hendak ditutup aibnya? Setelah Carldena kehilangan segala-galanya, setelah Carldena hampa dengan hidupnya sendiri. Mengapa baru sekarang?  

 

Lelaki itu tegar berdiri tegak dihadapan kerusi, disaluti  baju yang lencun dengan darah. Sesal. Terlalu lewat ketibaannya untuk mengelakkan kecelakaan ini. Salah sendiri, balasan sampai mati. Dia gamat resah, sehinggakan peluh mendominasi badannya.”                

 

Bakar diam sekali lagi. Mulutnya menghirup perlahan kopi yang rasa-rasanya sudah lama sejuk. Di luar restoran terdengar sayup-sayup hujan yang semakin lebat, mengisi kekosongan perbualan kami. Masing-masing menanti, masing-masing menyepi. Hampir seminit kami terkandas sebelum aku membuka persoalan semula. “Siapa sebenarnya lelaki itu? Apa kaitannya dengan Carldena?”

Bakar merenung aku, agak tajam pandanganya, sedikit sinis senyumannya. “Satu-satunya penjaga harta  Tan Sri yang bakal diperolehi oleh Carldena.”

Wajahku serta-merta berubah searus dengan persoalan yang terbias diminda.

“Ringgit Malaysia 150 juta aset Tan Sri yang berdaftar  berada bawah jagaannya. Belum lagi ditokok dengan syer-syer saham yang kekal menjadi kepunyaan Carldena. Kalau diumpamakan, seperti pepasir di pantai. Namun pepasir yang bersinar itu sekelip mata ditelan ombak.                   

 

Sebelum ibu Carldena pulang ke taman neraka, satu wasiat telah ditulis. Ringgit Malaysia setengah juta dikhaskan untuk setiausaha peribadi keluarganya (lelaki yang menyelamatkan Carldena). Juga harta yang lebihnya, yang jutaan lagi, akan menjadi harta peninggalan, dan serta merta mengikut faraid, jatuh ke telapak kecil anak tunggalnya, Carldena. Namun sebelum Carldena mencecah kematangan minda perempuannya, dia, bersama-sama hartanya akan berada di bawah telunjuk lelaki itu. Surat penentu hidup itu ditandatangani tepat sejam sebelum Carldena ditemui di sisi mayat ibunya.                 

 

Tahun itu ibarat tahun dukacita untuk Carldena, kematian ketiga-tiga ibu, bapa dan neneknya dalam jangka masa 12 bulan. Perubahan pada sikap Carldena memberi impak yang gila kepada lelaki  itu. Carldena hanya duduk dan termenung, otaknya kosong. Melainkan lelaki itu, tiada lagi tempat untuk Carldena bersandar. Semua saudara-maranya, awal-awal lagi tidak mengakui Carldena sebagai keturunan mereka. Untuk menyelamatkan dirinya daripada terus dihantui kemurungan perempuan sugul ini, lelaki itu membuka langkah ke rumah anak yatim. Datangnya dengan tipu helah dan alasan, pulangnya keseorangan berpaling meninggalkan beban yang menjengkelkan hatinya.

 

Saat dia keseorangan diulit harta milik Carldena, perempuan itu gugup dengan definisi hidup yang baru. Keresahan Carldena sesaat pun tidak dihiraukan. Kepentingannya dalam hidup ini hanya untuk menggapai bintang. Satu demi satu harta Carldena lebur ditabur di atas meja judi. Kalah ditambah, menang sakan berjoli. Saat itu kepuk Carldena tak pernah surut kerana saham atas nama Carldena masih gah di syarikat. Setiap saat, wang yang ada akan bercambah, namun, belum pun pucuknya matang, lelaki itu akan mencantasnya dulu. Sehinggalah  saat syarikat itu lingkup. Lelaki itu kekalutan, hutang-piutangnya pula semakin membukit, poketnya kering. Jalan pintas, dia menjual hampir semua aset Carldena untuk menyelamatkan dirinya daripada dikejar pemiutang.

 

Lelaki itu celik mimpinya dalam ketakutan klimaks. Di situ dia menoleh, lalu gugup, gigil sendirian. Tiada lagi kemewahan yang mengulitinya dahulu. Habis manis, sepah pun jadilah. Hanya itu sahaja yang tinggal untuk Carldena. Carldena? Carldena!

 

Lelaki itu, tiba di rumah persinggahan Carldena dengan penuh keinsafan, berharap agar segala dosa tercuci. Namun di situ perjalanannya bermula. Dia belum melangkah masuk tetapi sudah disambut dengan berita ralat. Carldena hilang seraya menggemparkan seluruh penghuni. Jiwa lelaki itu tergugah.

 

Dia memerah otak mencari haluan Carldena. Hanya satu tempat yang mungkin. Pantas dia sonsong egonya pulang ke kampong Tan Sri. Sekali lagi dia dipermainkan dengan masa. Dikisahkan Carldena telah berlalu, tak siapa endah tujuannya. Lelaki itu dengan semangat yang bergantang, terus mencari galur yang Carldena jejaki. Buntu.                           

 

Sehinggalah pada suatu malam. Saat dia pulang dari sebuah gerai, matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang duduk diam di suatu lorong kelam. Persis pengemis jalanan. Agak lama dia mencari keyakinan sebelum menyentuh bahu Carldena. Perempuan itu menoleh dan sepantas kilat dia hilang lintang-pukang. Lelaki itu sedikit kecewa. Sekurang-kurangnya semangatnya untuk mencari Carldena becambah kembali. Peluang kali kedua tidak mungkin terlepas lagi. Langkahannya gamat laju namun agak lambat tatkala bejumpa kembali dengan Carldena. Darah membasahi perempuan mungil ini.”

 EPILOG

Bakar berhenti berbicara, menarik nafas panjang. Sementara aku menutup buku nota yang mengutip setiap bait daripada mulut Bakar. Cerita itu akhirnya tamat jua, namun aku masih dihujani persoalan. “Carldena, selepas kejadian itu…”

“Terlantar,” Bakar seakan-akan dapat membaca fikiranku.

“Maksudnya, Carldena..”

“Nabilla,” Bakar sekali lagi menjadikan aku cemas. “Nabilla nama barunya. Dia terlantar agak lama sebelum berjaya memeluki segala yang patut dikecapinya. Ah! Melainkan jika kamu ingin menulis sejilid lagi buku, aku sanggup menceritakannya. Namun sekarang aku keletihan. Izinkan aku berlalu. Selamat bejumpa lagi.”

Aku mengangguk faham. Kemudian kami membuka haluan masing-masing selepas berjabat tangan. Saat aku berdiri menunggu teksi, sambil menunggu hujan yang lebat ini teduh, terlintas di fikiran aku. Bagaimana bakar mengetahui setiap inti hidup Carldena atau… Nabilla? Siapa Bakar sebenarnya? Entah mengapa, aku tidak terfikir untuk bertanya. Menoleh, bayangan Bakar sudah tiada dalam kedai kopi tadi. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya sudah aku ada isi untuk ditulis pada majalah keluaran hadapan. Sebuah teksi berhenti di hadapanku. Pabila teksi itu mula bergerak, di seberang jalan, aku lihat seorang lelaki meredah hujan ke arah seorang perempuan yang memegang payung. Baju lelaki itu, macam baju yang dipakai Bakar tadi. Mungkinkah…                                                                                              ZINGGOF

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) fuh. peningkatan yang signifikan dlm penulisan. infact, terlalu signifikan. apakah rahsianya? sila hapuskan keraguan yang menghantui aku ketika ini.

  • (Penulis)
    2)

    hm.. coz...coz ape ek.. cerpen nih aku buat ngan serius.. tuh pon lama dahulu.. haha.. skang aku buat part-time je.. tgok ah.. kalo cerpen leh jadi full-time..maybe leh ah menulis dengan elok lagi

  • 3) ayat kau sgt mantap le... bm kau sure A kan? nk berguru ar cam ni.. ayat aku cam hampeh sket... huhu... kecik ati ckgu bm aku dulu!

  • (Penulis)
    4) ayat mantap?..kot.. tapi kan.. SPM english A1... BM A2..haha..bengang je.english aku tuh..aku translate cerpen BM yg penah aku tulis,, tp BM plak kantoi.satu skolah tergezut..haha..tulis cerpen..tapi BM A2..ades
  • 5) fuhhh . ok. kalau ada kemampuan yang macam ni. kan menarik cuba dikonsistenkan persembahan. inilah karya yang kami crave kan! :D

  • (Penulis)
    6) nisah hj. haron penah komen tok cerpen nih [time ada satu kursus satera]..die kata kan.. `ayat awak cantik.tapi byak gak yang xdiperlukan`.. wahaha.. sedey aku.balik2 je.edit balik..serius..penat ah nak wat benda yang baik..
  • 7) aahhh..how i wish ada sambungan..akan adakah sambungan?
    • sha
    • 17 years ago

  • (Penulis)
    8) uhuk2..terbatuk2,tersedak.. sambung cemana ek.. aku try. ni pun act sambungan carldena 1 n 2.. carldena 3 punye idea ada kat buku conteng aku yg lama. nnti aku carik balik. n aku cuba sambung..

  • (Penulis)
    9) lupa plak.. bak kata akak aku.. daripada sambung baik buat novel.. =P  haha.. tapi aku xreti wat novel.
  • 10) entah2 bakar tu si perampok yg amek harta carldena..hahaha.. pas2 pompuan yg tunggu bwh payung tu lah nabila.. bini dia~ [wakaka..syud ngarotz]

  • (Penulis)
    11) =) ye ah tu kot. oi baru baca ke syud?
  • 12)

    hehhehe... wo.. nasib da remind soh baca pelan2..

    hhahaha.. mantap ar... power ar susunan aayat tuh...


  • (Penulis)
    13) :P  kalo ko xbaca pelan-pelan. terpaksa ah ko ulang baca 4 kali baru paham kot. hahahahaha.
  • 14) agak blur bl bace...b4 diz dah bace tp xkomen...
    ayat power sgt so pale jue cm weng skit...
    nice... ;-)
  • 15) sungguh best ayat anda.mendalam cita nih.best2
  • 16) sory pun.. baru terbaca.. tihihi...tak perlu cakap banyak, apun memang! bila nk balik mesia, jd tutor peribadi chekgu nih?

Cerpen-cerpen lain nukilan zInggOf

Read all stories by zInggOf