Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Bidadari Berwajah Besi

  • 3
  • aleph
  • 11 years ago
  • 2,791
  • FREE

 

Nama saya Cili. Saya bukan sesiapa. Saya dilahirkan di daerah yang diberikan hujan sepanjang tahun. Hidup dengan terik matahari. Saya ditempatkan di kawasan dingin berbau segar. Saya berterima kasih kepada Tuhan. Kisah saya bermula pada pertengahan april. Disatu pagi ketika cuaca cerah. Saya harus memilih sama ada mati bersama tanah dan ulat atau berhijrah ke perantauan. Dan saya memilih untuk mengikut jejak langkah adik-beradik saya dengan meninggalkan kampung halaman. Moga terus hijau dilindung Tuhan. Doa saya di dalam kenderaan buat tempat tumpah darah yang makin menjauh.

Saya terpesona dengan segala bangunan batu, monorel dan papan iklan. Melalui jendela lutsinar. Saya dijemput dengan pandangan berwarna syurga. Siapakah mereka yang berjari cantik itu? saya tertanya-tanya. Alangkah bertuahnya saya. Saya tidak mengerti mengapa mereka terlalu sibuk. Apa yang mereka cari? Saya membatu di suatu sudut dengan pandangan yang tidak terkatub biar setengah saat. Walau dicemuh rakan-rakan. Saya tetap merayu, datanglah kepada saya. Bagai doa dikabulkan. Saya didatangi bidadari bertangan lembut seperti jeli. Wajahnya umpama bulan terbit siang. Pudar sungguh perasaannya. Apakah dia telah kehilangan sayap?

Ini tidak adil, tidak adil, sindir saya meniru Yuna. Saya tidak tahu apa kekurangan saya. Belum cukup kacakkah saya? Berani mereka menyingkirkan saya sesudah menyentuh saya dengan penuh tumpuan. Berilah kasih sayang biar sedikit, pinta saya. Mereka tidak simpati walau senafas. Saya hanya akan diburu ketuaan. Saya tidak tahu apa yang mereka mahu. Di sudut dingin berbau segar itu, saya mendengar gelak ketawa di hujung dunia. Apakah ada syurga yang lebih baik? soal saya kepada teman di kiri dan kanan. Tiada siapa yang peduli kepada saya. Masing-masing sibuk dengan diri sendiri. Betapa menyesal saya meninggalkan kampung halaman. Di sana tentu saya didelusikan sebagai artis sensasi semasa didalam komersial berkaca. Malunya saya. Saya mahu disorokkan di dalam awan kumulonimbus. Supaya tiada satu makhluk pun peduli kewujudan saya.

Selama seratus tahun atau sepuluh minit. Saya berhibernasi didalam kedinginan. Dengan keistimewaan mulut sinis. Saya diterima umum dengan kepura-puraan. Memang sejak azali begitu. Ketika saya mengepal angan-angan. Saya didatangi bidadari berwajah besi. Tangannya kasar. Tidak seperti tangan bidadari jelita yang lain. Namun keharumannya tidak akan membezakan mereka. Saya dijulang ke arah cahaya.

Perasaan bangga atau keriangan tidak boleh disamakan dengan kudup bunga yang mula mekar. Dengan seratus tapak kehadapan. Kehidupan baru saya langsung bermula. Barulah saya sedar betapa kecilnya saya. Mujurlah saya disorokkan. Malu benar saya. Setelah menyembunyikan muka dengan tangan. Saya ditembusi satu pandangan magis. Terasa seperti angin pantai. Saya berselisih dengan cinta pandang pertama. Rupanya bersinar bak berlian. Tiada lelaki di dunia yang tidak mahu mengucupnya. Namanya Gincu. Rupa-rupanya saya dan Gincu dipisahkan oleh beberapa dimensi kehidupan. Biar jauh bezanya dengan saya, hati saya layak untuknya, yakini saya.

Tiada persamaan serba-serbi antara kami kecuali satu. Merah. Yang lain semuanya kontra. Saya tidak seberapa. Dia mewah. Saya merensakan. Dia menyenangkan. Saya biasa-biasa. Dia elegan. Saya terpinggir. Dia popular. Kadang saya dibenci. Dia selalu digilai. Dunia akan memisahkan kami. Begitulah kenyataannya. Saya tersipu-sipu saat kami melewati pohon bunga kertas yang bermacam warna. Seisi dunia adalah musim bunga. Saya melupakan siapa diri saya.

Rasa cinta itu bagaimana? Soal saya. Adakah ini dikatakan cinta? Saya membiarkan pertanyaan itu bebas pergi. Saya membenarkan tsunami perasaan menghanyutkan diri. Saya memohon kepada bidadari yang memungut saya, izinkan saya mencipta syurga saya sendiri. Reaksinya kosong. Saya mengerti yang saya tidak berhak meminta-minta. Saya malu kepada Gincu. Moga dia tidak mendengar isi permohonan gopoh saya. Saya bersabar.

Saya menjadi berdebar-debar sebelum masuk ke dalam syurga baru. Apakah sapaan pertama saat saya disatukan di dalam kamar, fikir saya berkali-kali. Saya kembali malu dan senyum sendiri. Ketika kami berdua ditinggalkan sambil menonton drama romantik satu episod diwaktu tengah hari. Beginilah cinta, luah saya tiba-tiba sehingga mengejutkan Gincu. Hanya satu jam membolehkan saya menulis definisi cinta setebal seribu muka surat. Demikianlah cinta kami nanti, bisik saya. Namun apa yang saya impikan itu tidak berlaku. Bidadari yang baik hati itu mengheret saya lalu dikurung di dalam sebuah peti besi. Apakah dia tidak menyukai perasaan saya terhadap Gincu.

Selama seratus tahun atau sepuluh minit. Saya dipenjara kekeliruan. Saya diterjah cahaya ditengah kegelapan. Hidup kau tidak akan lama, pesan doktor gigi didalam mimpi. Bagaimanakah saya dapat membahagiakan Gincu andai saya pergi dahulu. Tolong! Lepaskan saya, jerit saya. Untuk hidup yang singkat ini. Izinkan saya meluahkan isi hati kepada Gincu, rayu saya lagi. Bidadari yang bermuka besi tidak bersimpati. Dia menangis tetapi bukan meratapi keadaan saya. Dia diganggu jiwanya dengan siaran drama Korea pukul tiga petang. Alangkah kejamnya hidup ini. Saya merintih agar dipertemukan dengan Gincu buat terakhir kali. Biarlah hidup saya bermakna dan tidak sia-sia. Ketika saya hampir menjadi lembik akibat banyak menangis. Bidadari berwajah besi melepaskan saya dengan rupanya yang bercahaya. Cinta, cinta, alunnya sambil mengerat saya tanpa belas! Di atas meja yang disinari lilin. Saya yang mati dengan mata terbuka melihat bidadari berwajah besi dengan senyum Gincunya sedang menggoda pasangan makan malamnya. Kejahanaman saya ditamatkan oleh pengkebumian dengan garpu dan sudu.

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Ini cerpen pertama saya disini. tolong komen..
  • 2) saya sangat menyukainya. saya selalu ingin menulis seperti ini. tapi idea saya selalu dikunci

  • (Penulis)
    3) Tulis saja tanpa risau apa-apa.

Cerpen-cerpen lain nukilan aleph

Read all stories by aleph