Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Lampu Padam

  • 0
  • aleph
  • 10 years ago
  • 2,555
  • FREE

 

Ini adalah kegilaan atas peran harianku dan masa depan peranku. Kegilaan yang datang sesudah rasa putus harap yang tegang dan dalam. Aku terpaksa mendepani hidup yang menjemukan. Benar-benar menjemukan. Aku tidak dapat lari daripada pembohongan besar yang sudah memasung semenjak meletakkan pilihanku. Aku tidak dapat menghindarinya biar seinci. Sebahagian unsur gelapnya tidak dapat tertanggal lagi seperti bayang yang terbaring di tanah. Ia akan abadi mengekoriku mati sekalipun.

Keluhan dan pernafasan sudah tiada bezanya. Tekanan yang rasa bersalahnya dan berpenyakitnya seperti ketakutan tanggungan orang kecewa di rumah sakit. Malah tingkat kekesalan itu lebih jerih daripada dinding bercat putih yang menjadi latar kematian di sanatorium. Seolah-olah rona putih itu memendam semua penderitaan, kesakitan, kebencian dan ketidakadilan yang tidak rela dibawa pulang si penanggung sakit atau juga penziarah. Lalu apabila segala kebenaran dan dendam diketahui. Sifar adalah tempat pulang yang paling akhir. Putuslah segala-galanya.

Putus yang aku maksudkan ialah menamatkan diriku dengan dunia seisinya. Inilah pendapatku yang paling sombong sejak dihujung penciptaanku. Telah aku fikirkan lebih daripada seratus kali seratus. Harapan tentang hidup adalah diktum yang sia-sia, kesimpulanku. Apa bayaran kepada harapan itu, soalku. Kemaafan atau sikap berserah, tanda soal. Sesungguhnya itu semua sesekali tidak akan menyelamatkanku. Hidup tetap berpenamat akhirnya. Kehidupan abadi juga merupakan penamat dengan pengertian dan intipati yang lain. Bagaimana aku melaksanakan penghabisan itu sudah aku bayangkan banyak cara. Setiap minit dalam hidupku.

Bila kegilaan itu sampai kepada tekat yang kemuncak. Rintihan tiada guna lagi sedari mula. Rintihan dapat langsung tidak melunturkan kepayahan yang telah aku seret. Rintihan asalnya dadah daripada dahulu lagi, pendapatku. Yang akan sesiapa pun penuhi dengan berulang-ulang persis gejala ketagihan. Jikalau sahih penyembuhan seperti yang digembar-gemburkan. Penyembuhan itu bersifat sementara cuma. Mekanisma emosiku sudah lama mengalami kecelaruan. Payah melihat aku menangis.

Babak kegilaanku bercampur kebodohan. Tolol. Langkah awal itu spontan sebenarnya. Aku tidak pernah mengharapkan tempat tinggi itu dapat dapat memujukku. Tidak pernah. Biarnya indah atau romantis. Mata fotografik bukan penglihatanku lagi. Kekaburan ilusif. Jiwaku sudah disambung oleh tali layang-layang yang terapung di neraka. Hubungannya terus secara kejiwaan bukan fizikal. Tidak aku sangka graviti akan mentertawakan aku dengan sungguh-sungguh. Nyatalah tindakan yang aku ambil adalah kebodohan besar. Namun keazamanku tidak berhujung lagi. Kerana aku yakin bila jiwa sudah belah. Semua perkara jadi mungkin.

Kelucuan berlanjutan lagi. Ya, rasa kelucuan, kegilaan dan putus harap itu bercampuran seperti rojak buah. Ini dibuktikan dengan kedunguan yang bersambungan. Memutuskan urat saraf atau anggota tubuh ini sekaligus adalah modus yang percuma sesia. Aku tidak pernah mampus lebih sesaat. Hidup semula kemudiannya lalu menyambung paradigma kejemuan yang lalu tetap. Entah mengapa kebodohan ini begitu menyakitkan. Menghempas tidak hancur, berkerat bercantum semula. Aku memerlukan bantuan.

Entah beberapa waktu aku menjadi kebinatangan sepenuhnya. Aku hanya merayap bersama dua pasang kaki untuk menafikan bentuk dan sifat kemanusiaanku. Akal kuanggap sudah tiada. Kerana kelenyapan sedemikian akan mempercepatkan aku kepada kependekan hayat. Bagai ubat nyamuk yang memakan diri sendiri. Lidahku hanya akan mengerti kepada kejahanaman. Semua mimpi bersayap yang dimurnikan dengan indah itu akan aku telan ke perut. Dan menjadi sisa yang dibenci.

Setelah aku pelajari yang jantungku paling berpengaruh ke atas seluruh tubuh badanku dan aliran darah sejukku yang anomali. Usaha kerosakan yang aku mahukan menemui jalannya. Racun. Dalam hal ini, aku ketahui kesungguhanku tidak boleh berhasil berseorangan. Aku boleh mempercayai pihak lain bersamaku. Cara ini paling mudah dan senyap. Bagaimana gambaran keperitannya tidak aku peduli. Dan aku tidak dihantui apa pun kerana aku tidak perlu melakukan apa-apa. Kerana mereka yang akan mengusahakan kemahuanku dengan kecerdikan yang ada. Namun keyakinan yang diserahkanku tidak membuahkan kejayaan. Ia hanya memberi peluang kepada yang selain dariku. Ada yang lebih terdesak daripada diriku banyak.

Apabila fikiran menjadi berkecamuk sesudah ikhtiar gagal. Aku mengasingkan diri supaya boleh mereput. Akhirnya kereputan menjadi karut bagiku. Hasrat memisahkan dunia dengan sesegera yang mungkin patah. Kemahuan bak singa. Nekad, apa yang ada padaku digunakan sebaik-baiknya. Untuk pertama kali lidahku yang sudah menjadi panjang ini setelah terlalu lama menjelir kepada realiti. Aku gunakannya untuk menjerut pernafasanku. Aku menjadi penyangkut baju. Tetapi rohku tidak terlucut seperti dandelion dibawa angin mengikut perkiraanku.

Sial. Kesialan apa yang melekat padaku entah. Aku mencemuh dunia sungguh-sungguh termasuk diriku. Apa ada malaikat mengganggu urusanku? Atau hadir iblis yang mempersendakanku sembunyi-sembunyi? Aku semacam alat permainan daripada permainan diriku sendiri. Sifat paradoks yang menjadi arus survivalku melarat ke apeks yang paling hujung. Dengan tidak memikirkan negara akan menanggung insiden yang akan dicetuskanku secara tidak sengaja nantinya. Aku mengheret diriku ke dalam kotak fius yang menjadi liang pengkebumianku. Inilah kegilaan yang paling terlampau. Kecelaruan neurotik pun tidak serumit ini. Ritualku mendatangkan kegagalan jalan arus elektrik. Lampu padam. Aku tidak harap diriku ditemui. Siapakah aku? Aku bukan sesiapa (dan pada koma ini, adalah nyata bahawa ayat pertama sahaja yang benar.)

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan aleph

Read all stories by aleph