Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Terbang

 

    Aku meniti laluan kecil itu dengan langkah yang bogel. Memang niatku untuk berkaki ayam sahaja. Aku fikir selalunya memang mereka semua pun tidak berkasut. Aku pun tidak pasti. Aku tidak pula pernah melihat dengan mata kepalaku sendiri. Hanya cerita khabar-khabar angin sahaja yang biasa hinggap di cuping telingaku. Tapi aku yakin kalau kaki kecilku ini tidak beralas, mungkin injak langkahku akan lebih tepat. Atau lebih sedar. Dan ternyata, dingin batu-batu kecil di sepanjang laluan ini seperti mengingatkan aku bahawa ini bukan angan-angan lagi. Saat ini, apa yang bakal aku lakukan terasa begitu benar. Sampaikan langkah aku jadi makin berat. Mungkinkah aku masih belum sedia?

    Ah! Persetankan keraguan. Aku begitu pasti aku sudah lebih dari sedia. Perancangan aku yang cukup teliti ini tidak akan tersia. Hampir setiap titik pusing dalam rancangan ini sudah terlaksana. Buktinya, kehadiran aku tanpa berkasut pun adalah sebahagian dari rancangan ini. Aku tahu, tiga hari mana mungkin cukup untuk aku bersedia berhadapan denganya. Hatta, kalau diberikan semua masa yang ada pun aku rasa belum tentu cukup untuk aku bersedia berhadapan dengannya. Tapi tiga hari sudah cukup benar untuk membuatkan aku berasa separa tenang. Walaupun degupan jantungku tidak pernah bergodak laju seperti ini, tapi fikiranku kosong dan pandanganku jelas. Aku perlu lakukan ini. Pertemuan kami tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

    Aku menutup mata dan cuba merasakan angin malam menampar pipi. Kosong. Sunyi. Malam yang aku pilih ini begitu luar biasa tenangnya. Encik Bulan yang baru sahaja kelihatan pun seperti ikut tertidur. Hanya sejalur cahaya sahaja yang dipinjamkan buatku. Itupun aku sudah cukup bersyukur. Cahaya itu memungkinkan aku melihat di kejauhan di bawahku. Jalan di bawah itu jalan utama. Selalunya kenderaan memang tidak pernah putus di situ, apatah lagi pejalan-pejalan kaki. Ada sahaja kehadiran mereka bertali arus macam air. Tapi ketenangan luar biasa ini seperti telah berjangkit ke bahagian dunia di bawah itu. Aku hampir terhibur melihatkan mereka yang tidak ada.

    Tiba-tiba sahaja aku mengambil keputusan bahawa pertemuan itu pasti berlaku di sini, di sudut ini. Bukan sudut yang bertentangan, yang melihat ke jalan belakang seperti yang sudah aku notakan dalam rancangan. Ini kali pertama aku membelakangkan rancangan rapi tiga hari itu. Tidak mengapa. Pada tahap ini, sedikit lencongan dari rancangan awal sudah tidak akan mengubah hasilnya nanti. Di sudut mana pun bumbung ini, pertemuan itu tentu sekali akan berlaku. Aku cuma perlu mengalihkan destinasi watak dungu cerita ini ke tempat yang lain. Mungkin ke bangunan di seberang jalan itu? Oh, sudah tentu ke bangunan itu. Ia cukup sempurna.

    Selalu dalam angan-anganku, aku berdiri sama tinggi dengan watak dungu itu, bertentangan mata. Tetapi, bumbung di hadapanku sekarang ini sedikit rendah dari tempat aku berdiri. Aku boleh melihat kesemua penjuru empat seginya. Entah kenapa aku rasakan ini lebih baik dari angan-angan itu. Si dungu itu akan memandang aku lebih tinggi. Biar dia tahu letak duduk dirinya di mataku. Nanti tentu sahaja dia akan dapat melihat secara langsung pertemuan julungku ini. Seakan-akan dia menjadi penonton kelas pertama. Satu-satunya penonton kelas pertama yang memang aku sudah tempahkan kerusi di lereng paling depan pentas.

    Aku melabuhkan punggung di bucu laluan itu, menunggukan waktu. Sayup-sayup kedengaran suara kucing bercakaran dan anak kecil berteriakan. Lazimnya, itu gangguan bunyi harian yang tidak perlu aku endahkan. Tapi malam ini bukan malam kebiasaan aku, maka bunyi-bunyian itu membuatkan aku terpegun dan fikiranku serta-merta melayang jauh. Aku meraba-raba di dalam kotak memori, cuba mencari kehadiran bunyi lain yang tidak pernah aku pedulikan sebelum ini. Beribu macam bunyian singgah di telingaku sebentar, dipancarkan oleh memori, tetapi yang paling jelas hanyalah suaranya. Suaranya, memanggil-manggil aku untuk mengaturkan pertemuan ini. Suaranya, menenggelamkan sebarang bunyi lain. Suara si dungu pun turut hilang.

    Dalam keasyikan aku yang dibuai anganan itu, tiba-tiba satu bunyian lain yang keras dan pejal, menerjah malam dan mengheret aku ke dunia semula. Aku memandang telefon di tanganku, tidak percaya. Si dungu tepat pada waktunya? Dalam bertahun bersama, akhirnya malam ini yang jadi pilihannya untuk menepati waktu pilihan aku? Ironi.

    "Awak kat mana?"

    "Rooftop, menara X. Datanglah."

    ***

    Aku bingkas bangun apabila sahaja kelibat si dungu melewati pintu ke bumbung itu. Dari jauh aku hanya melihat dia berpusing-pusing kebingungan dan sekali lagi memegang telefonnya.

    "Tak ada pun."

    "Cuba tengok depan."

    "Eh, awak kata menara X tadi. Kenapa awak ada kat situ pulak? Kenapa awak berdiri dekat sangat dengan hujung tu? Bahayalah!"

    "Memang saya nak awak pergi menara X pun"

    "Ha? Untuk apa?"

    "Supaya awak boleh tengok saya."

    "Untuk apa? Awak nak buat apa?"

    "Saya sedang pegang cincin tunangan kita."

    "Awak suruh saya naik menara tinggi-tinggi ni semata-mata nak tengok awak pegang cincin tu? Kenapa dengan awak ni?"

    "Saya nak awak tengok saya buat ini," aku merapatkan cincin itu ke bibir dan mengucupnya sekali. Wajah si dungu yang keliru itu aku tenung dalam-dalam, mahu melihatkan reaksinya. Lantas dengan upaya mana yang masih ada, aku melemparkan cincin itu ke bawah. Dalam sekejap masa, emas putih itu terus hilang. Bunyi dentingnya melanggar batu jalan pun tidak kedengaran. Aku tersenyum puas.

    "Sayang! Kenapa awak buang cincin tu? Awak dah gila ke? Apa yang tak kena dengan awak ni?"

    "Awak ingat tak lagu Elang yang saya selalu nyanyikan dulu?"

    "Kenapalah awak tanya soalan pelik-pelik ni? Saya tanya, awak tak jawab pun!" nada suara si dungu makin lama makin meninggi. Jarang sekali aku ada peluang mendengarkan dia marah-marah begini. Dia sangat sabar. Terlalu sabar.

    "Boleh awak nyanyikan lagu tu untuk saya sekarang?"

    "Tak nak! Saya takkan ikut cakap-cakap gila awak ni lagi. Saya nak turun sekarang. Awak pun kena turun! Kita kena carik cincin tu."

    "Tapi sebelum awak turun, awak kena lihat ini. Mungkin ini kali pertama dan terakhir awak dapat lihat saya berbuat begini," lantas aku mencampakkan terus telefon bimbit di tanganku dan seperti cincin tadi, sekejap sahaja sudah hilang bayangnya.

    Aku menutup mata dan mendepangkan tangan. Malam yang tadinya tenang sudah dilintasi angin sepoi-sepoi. Sekarang, keadaan ini betul-betul seperti dalam anganan dan rancanganku. Pentas aku jadi nyata dan penonton utamaku sudah sedia. Jantung aku yang bergelodak sedari tadi sudah berdetak seperti biasa dan fikiranku langsung kosong. Dengan senyuman terakhir, aku melontarkan badanku ke depan. Saat batu konkrit yang menampung berat badanku itu terus hilang, aku terasa seperti ada satu sentakan maha hebat yang menjunamkan aku ke muka dunia. Laju. Makin hilang ketinggian aku melayang, makin hilang beban yang sudah lama menghempap hatiku ini. Aku rasa bebas. Percuma. Seperti burung dan rama-rama. Terbang.

    Bunyi terakhir yang aku dengar adalah jeritan si dungu, tapi itu pun tidak mungkin menghentikan aku sekarang. Kerana kali ini, aku betul-betul akan bertemu dengannya.

    "Salam perkenalan Tukang Pengambil Nyawa. Ini pertemuan kita."

    ***

Aku ingin terbang tinggi
Seperti elang
Melewati siang malam
Menghembus awan

Ini tangan ku untuk kau genggam
Ini tubuh ku untuk kau peluk
Ini bibir ku untuk kau cium
Tapi tak bisa kau miliki
Aku

Tak usah kau terus tangisi
Kepergian ku
Air mata tak kan memanggilku
Untuk kembali

Aku adalah mimpi-mimpi
Sedang melintasi
Sang perawan yang bermain
Dengan perasaan

Aku adalah mimpi-mimpi
Tiada arti
Aku ingin terbang tinggi
Seperti elang

Elang by Dewa 19

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) er.. apekah. kalau twisted pon.. jangan camni.

    marah!!!!!!.

    hehee... "mari saya pinjam nyawa kamu. semadikan bersama semangat saya."
  • 2) seperti biasa val buat cerita yang luar biasa.

    tak berapa clear la nape dia nak bunuh diri? sbb si dungu tu dungu ke? erk!
  • 3) alamak. saiko sungguh. huhu. mmg pemikiran mistik val.

    idea : tak berapa jelas. tipikal val, takde kapasitorian lain yang membuat karya semisteri dan mistik sebegini

    penceritaan : penceritaan, plotting and tempo ok. tapi jalan cerita dia macam sedikit loose, lebih fokus kepada penceritaan dan idea, tapi lupa ketatkan cerita menjadi naratif yang bagus.

    susunan kata : valium? tak perlu risau.

  • (Penulis)
    4) kepada semua,
    saya ada menyimpan sedikit cita-cita bahawa ini adalah bahagian yang pertama
    adakah itu menjawab serba sedikit persoalan anda?
  • 5) apsal la bunuh diri... knp la si dungu 2 x cuba slamtkn tunangannya.anyway sy suka cita ni, ayat2 prmulaanya 2 mmg puitis........ PEACE...
  • 6) part pertama kurang kaw. penggunakan 'aku' terlalu banyak pada pandangan saya. Penceritaan agak berserabut dan berputar belit. tapi bila masik part kedua, cerita makin menarik, dan ending mmg tip top!
  • 7) ps: saya suka lagu elang :)
  • 8) saya tak suka baca panjang panjang klu kat komputer...
    sakit mata... kjap dah berpinar.. ada buku bak la nak baca..
  • 9) huhuu..suicido2..when u say it's over..mauleee (nyanyi ala2 shione kingstoine)

    sape yg dungu sbnrnya? si dungu @ pun yg mau terbang itu? psycho!

    uh..penah rasa perasaan ingin terbang..dr tingkat 2 low yat..nsb bek tamo menempa nama dlm paper..so xjd terjun..hehe =P
  • 10) tingkat 2 bukan terbang syud. tu lompat. nak sangat rasa bunuh diri. g ah bunjee jumping dulu

  • (Penulis)
    11) nidias:
    terima kasih
    orang nak bunuh diri memang sedikit sentimental mungkin

    fai:
    terima kasih
    tapi apa fai cakap terbalik ngn nidias. huhu.
    semua orang ada pandangan masing-masing mungkin
    val akan cuba kurangkan perkataan 'aku'
    (buktinya tengok 'bisu', berkesan tak?)
    owh saya suka lagu elang versi dewi-dewi

    dad:
    mana ada buku
    saya menulis bila saya ada rasa nak menulis je la

    syud:
    saya sayang awak
    sila jangan lompat tak tentu hala

    zing:
    pernah bunjee jumping ke? wow! nak buat tapi tak berani
    huhu
    awak janganlah sedih-sedih ok
    cinta datang dan pergi!

Cerpen-cerpen lain nukilan valium

Read all stories by valium