Sebuah cerpen yang baik yang sering diterima umum harus memilik protagonisnya, hadirnya berperwatakan yang konsisten, wujudnya fenomena, adanya antagonis yang bangkit menentang protagonis, menyerlah konfliknya, wujud ketegangan yang menanjak ke klimaks dan berkesudahan dengan penyelesaian cerita yang bersifat tragis, sinis, sentimental, pedih, ceria dan bahagia.
Apakah cerpen-cerpen yang dihasilkan oleh kebanyakan penulis di kapasitor pada awal tahun 2010 ini telah kehilangan sifat-sifat yang dinyatakan di atas? Sekali imbas boleh dikatakan kebanjiran cerpen-cerpen di Kapasitor memperlihatkan seolah-olah satu perkembangan yang positif. Namun jika dilihat kembali kebanjiran ini sebenarnya agak merunsingkan saya juga hingga merasa begitu memualkan.
Menyaksikan kegelojohan penulis-penulis baru terutamanya yang begitu sewenang-wenangnya melanggar segala disiplin penulisan cerpen begitu membimbangkan sekali. Saya amat khuatir sekiranya Kapasitor dijadi tempat untuk melambakan karya-karya sampah. Saya berharap mereka yang menulis di Kapasitor tidak sekadar menulis semata-mata kerana mempunyai tempat untuk menulis, seharus telah terlebih dahulu mempunyai matlamat dan hala tuju sebenarnya.
Adalah wajar dan bijaksana seseorang penulis itu memahami dan menguasai landas penulisan dan pelbagai langgam dalam disiplin penulisan cerpen terutamanya sebelum terus melanggar hukum-hukum penulisan dalam usaha mencuba kaedah yang baru, melakukan inovasi dan eksperimen.
Sebagai contoh, pengarang mampan seperti Shahnon Ahmad, A Samad Said, Azizi Hj Abdullah, Fatimah Busu melaksanakan proses yang mengikut tahap perkembangan tahap penulisan terlebih dahulu sebelum meneroka sesuatu yang baru dalam usaha mencari kelainan dalam karya mereka.
Pengecualian kepada penulis seperti Kurusawa, Rizzy, Hulubalang dan beberapa nama lagi (yang tahu kenapa mereka berkarya), kepada penulis-penulis baru yang berhasrat membebaskan diri dari kongkongan disiplin ini d ... |