Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Serban Kasih Abah 2

Cerpen sebelumnya:
Seorang gadis yang tersipu malu
Cerpen selanjutnya:
M0107 - Sumpah Terlerai Sudah

"Jangan datang lagi. Kami tidak mengalukan kamu. Kamu bukan sebahagian dari keluarga ini lagi." aku membaca lirih tulisan Suhaila yang ditinggalkan atas dashboard keretaku. Ada cairan mengalir deras di pipiku lagi. Serasa bagai ada dendam yang masih belum padam setelah sekian lamanya. Aku beristighfar sendirian, cuba mengutip sisa saki-baki kekuatan yang masih tinggal dalam imanku. Aku faham mengapa sebegini beku tindak balas yang aku terima atas jutaan penyesalanku. Bukan salah mereka; tapi aku. Aku sendiri yang menggali kubur untuk diri sendiri. Aku yang membuat onar, berpatah arang dan berkerat rotan dengan keluargaku sendiri. Semuanya salahku. Dan kala ini, saat kematian menggamit aku bak nyanyian buluh perindu baru pula aku terhegeh-hegeh menyedarinya. Deras air mata yang mengalir sedari tadi kian ligat membasahi pipi, bak bermandi pancuran air masin kurasakan.

"Eli, kau jangan jadi bodoh! Ridzuan tu tunangan aku. Dia mencintai aku!" jeritan Suhaila bak halilintar petang itu benar-benar menarik perhatian abah. Aku dapat mendengar derap kaki abah berlari-lari anak ke bilik kami di tingkat atas. Kurang dua minit, tubuh sasanya sudah terjenguk di muka pintu. Sudah kelat dan berkerut menahan amarah yang masih tak terluah. Dadanya berombak mengawal deru nafas yang kian menggila.

Aku dan Suhaila terdiam. Tapi kala abah sudah bercekak pinggang, Suhaila berlari-lari anak mendapatkan abah. Menangis tersedu-sedan dan merengek kepiluan. Abah memeluk tubuh ramping Suhaila erat. Bagai mengalirkan kekuatan pada sesusuk tubuh lesu itu. Bagai menyandarkan janji padanya; 'Bersabarlah nak, biar abah yang selesaikan'. Dan aku dapat melihat pelukan Suhaila kian teguh dan tegap di dada abah.

Aku masih lagi membisu. Beg pakaian yang berada di atas katil aku isikan dengan barangan keperluan yang tercapai dek tangan. Walau jantungku bagaikan ingin pecah menahan takut berhadapan dengan abah, aku cuba juga buat-buat tidak tahu. Aku masih juga ligat memasukkan segala pakaianku ke dalam karungan beg itu. Aku masih lagi berlagak kuat meski ketar tubuh sudah kian jelas nampak. Dan sorotan mata abah masih memanah tajam kepadaku. Ulas bibirnya masih terkunci. Dan akhirnya, pandangan sepi abah memasung langkahku. Aku terduduk lelah ketakutan di sisi beg yang separa penuh. Menunduk. Abah menghampiri aku, berdiri di sisi aku. Beg pakaian itu dicampakkan ke lantai. Barang-barang yang aku masukkan tadi berselerakkan di atas lantai. Suhaila pula sudah terduduk di muka pintu. Menahan sendu tangisan yang masih belum berhenti. Melayan melodi sedu nyanyian hati yang pilu.

Pandanganku ternyata meleset. Cuma setakat itu tindakan abah. Aku tidak ditampar atau dihalau keluar. Abah cuma diam memandang aku yang masih tunduk memandang lantai. Abah keluar dari kamar kecil milik aku dan Suhaila. Aku ditinggalkan sendirian; penuh dengan tanda tanya.

Kerana sifat degilku, aku melarikan diri dari rumah malam itu. Seminggu aku berkeliaran tanpa hala tuju. Ruang tidurku di bawah jambatan beratapkan langit. Aku merempat di kaki lima. Tandas awam pula aku gunakan sepenuhnya untuk membersihkan diri dan melayan karenah perut yang sentiasa membuat 'panggilan alam'. Tika itu tiada takut menjenguk perasaan. Betapa aku yakin bahawa Ridzuan akan mencariku. Sepantas degupan cinta kami.

Firasatku mengena. Tika aku merayau sendirian mengikut gerak kaki, Ridzuan terpacak di hadapanku. Kami berpelukan. Lantaran pacuan rindu yang sarat, lantas kami segera ke Siam; di sempadan Thailand membina masjid cinta. Kala itu, cuma yang penting ialah hubungan cinta kami. Dan semenjak dari itu, aku dan Ridzuan membina hidup bahagia memandang bebintang di dada langit kala gelap malam berlabuh datang. Aku tersenyum teringatkan memori manis bersama arwah suamiku itu. Tapi, senyuman itu sekejap cuma. Kini, di sisiku sudah tidak ada Ridzuan. Aku sendirian. Dipulaukan.

Nafasku kian sesak. Bekas ubat di sisi katil, aku gapai mendekat. Beberapa biji pil aku telan sekali gus. Deru nafas yang bergelora kencang tadi kian mendamai. Seketika, aku memejam mata memadam sesak cerita lama dari kenyataan. Aku cuba membawanya ke alam mimpi agar kenyataan sedih itu,dapat aku layarkan menjadi bahagia. Entah bila kantukku datang. Aku tertidur lena.

*****

Suhaila terjaga dari mimpi. Manik-manik peluh merenek di dahinya. Bayangan wajah Suhaili jelas di layar matanya. Rasa bersalah tiba-tiba sahaja mengetuk hati. Baru sebentar tadi dia tersenyum kerana berjaya menghalau kenangan yang ditinggalkan oleh Suhaili; kenangan yang pernah menghancurkan hidupnya dahulu. Kenyataan yang membuatkan hidupnya nanar dan separuh gila. Suhaila mula menangis dan meraung. Mungkin kerana terkejut, Azfar suaminya terjaga. Tubuh Suhaila menggigil kuat. Mungkin kerana kaget dengan situasi tiba-tiba, Azfar menarik tubuh Suhaila mendekatinya. Tubuh itu di dakap erat. Di telinga Suhaila, Azfar bisikkan kalimah-kalimah suci Al-Quran. Suhaila menumbuk-numbuk dada bidang suaminya. Jeritannya kian kuat. Pekikannya berjaya menarik perhatian seisi rumah. Keadaan luar kawalan itu membuatkan abah berlari ke kamar pengantin. Pintu diketu. Sebaik sahaja mendapat keizinan Azfar, abah segera mendapatkan Suhaila. Suhaila ketika itu bagaikan sudah kerasukan.

"Suhaila, mengucap nak..." getar suara abah menarik perhatian Suhaila. Matanya sudah menjadi merah, memandang tajam wajah abah.

"Kau diam! Kau orang tua bodoh. Sebab kau Ridzuan lari tinggalkan aku. Sebab kau Eli berani datang tadi. Rugi aku tak bunuh dia. Aku nak bunuh dia! Aku nak bunuh dia!!!" lantas Suhaila bangkit tiba-tiba. Melompat dari katil. Sebelum sempat dia berlari, Azfar merentap tangannya. Pipi Suhaila ditampar kuat. Namun, Suhaila kian kuat meronta. Jeritannya benar-benar bagai mahu melepaskan sarang dendam yang sudah tak terbela.

Abah menangis. Menahan sendu mendengar ucapan sang anak. Pilu hatinya mendengarkan tuduhan berat yang dilontarkan kepadanya. Tanpa sebab, Suhaila kerasukan pada malam perkahwinannya.

"Su, kenapa ni? Bila Eli datang? Su tahukan abah sayang Su? Istighfar nak, istighfar... Ingat Tuhan. Ingat Allah!" lantang suara abah memandang wajah bujur sirih Suhaila. Suhaila gelak mengekek. Hilaiannya membuatkan semua isi rumah yang lain ketakutan. Kala itu, sekalian manusia di rumah itu merasakan perubahan emosi. Bulu roma masing-masing sudah mula meremang.

"Kau orang semua bodoh! Nasib aku baru balik sebab keluar pergi set rambut. Kalau tak, mesti perempuan gila tu nak rampas suami aku pulak!" sekilas, Suhaili memandang Azfar. Wajahnya bertukar riak. Kerut wajahnya menahan pilu, dan hilaiannya menyaring semula."Kalau Eli datang tadi, mesti dia nak ambil abang dari sayangkan? Abang mesti ikut dia macam Abang Ridzuan buat dulukan?" Suhaili kian kehilangan arah. Wajahnya yang berkerut berlinangan air mata. "Kalau Eli datang tadi, abang ikut dia tak?" soalan itu diajukan sekali lagi. Penuh lirih.

Azfar menggeleng kepalanya. Tiba-tiba, emosi Suhaila berubah lagi. Wajahnya yang berlinang air mata bertukar kemerahan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Jeritannya bergema ke segenap ruang rumah. "Abang tipu! Kau bodoh! Kau pun mesti ikut dia! Mati kau, mati! Aku nak bunuh kau!" Suhaila menumbuk-numbuk Azfar tanpa kawalan. Azfar membiarkan sahaja biar air matanya juga kita berkampung di hujung mata.

Tanpa respons dari Azfar, amarah Suhaili mula berkurang. Mungkin juga dia sudah kepenatan. dia terjelepuk di atas katil, meratapi kehidupannya yang sia-sia."Tadi Eli datang nak ambil abang. Su tak bagi. Su heret dia masuk kereta dia balik. Su sorok dia dekat belakang rumah Mak Su. Masa tu tak ada orang. Su biar Eli sorang-sorang dalam kereta dia tu. Su biarkan dia tidur. Eli tu bodoh, tidur tengah jalan raya! Penat Su kena bawa dia masuk kereta." Seisi rumah menyepi medengar cerita Suhaila. Semuanya bagaikan terpukau mendengar getar suaranya bercerita.

Suhaila menyambung lagi. Masih dalam nada suara mendayu nan kehampaan. "Eli tu bodoh! Masa abang Ridzuan mati pun dia datang sini. Tapi masa tu semua orang tak ada kat rumah. Abah pergi hospital jenguk Tok Alang sakit. Su yang kena layan dia! Dia ingat Su bodoh ke? Dia ingat Su ni orang gaji dia ke?" nada suaranya mula mengeras semula. Tapi kemudiannya, mendatar balik. Mesti dia tipu bagitahu yang Abang Ridzuan dah mati! Dia tipu Su sebab takut Su rampas laki dia. Dia nak berlagak dengan Su sebab dia dapat abang Ridzuan. Tapi bila dia tahu Su nak kahwin, dia datang sini pulak nak ambil Azfar! Dia jahat!" mendodoi Suhaila bercerita. Suasana yang senyap kian menjadi hening. Seisi rumah mula memberi perhatian pada cerita Suhaila. Sedikit demi sedikit, semakin banyak rahsia yang terbongkar.

"Lepas Su masuk rumah, Su buat-buat kena rasuk. Su buat-buat macam Eli tengah rasuk Su. Su buat-buat macam Eli dah nak mati. Su pun saja cerita pasal Abang Ridzuan yang kononnya dah mati tu! Su nak semua orang lupakan diorang! Su nak semua orang ingat diorang dah mati. Su nak abah dengan Abang Azfar sayang Su sorang je!" Suhaila berubah emosi lagi. Kali ini, dada sasa Azfar dipeluk erat. Azfar menepuk-nepuk bahu isterinya itu. Air matanya sedari tadi bergenang mula mengalir deras. Betapa kala itu bebanan perasaan isterinya ditanggung bersama.

Bagaikan anak kecil, Suhaila mengesat air mata itu. "Kenapa abang nangis? Su pukul sakit ke?" Azfar menggeleng lagi. Tersekat-sekat, Azfar mula bersuara,"Su penat tak? Kita tidur dulu ye?" Suhaila menggeleng. "Tak nak, nanti Eli datang lagi ambil abang!" bentaknya lagi. Semua tetamu yang ada mula risau kembali. Takut andai emosi Suhaila meledak kembali. Perlahan-lahan, Azfar menarik tangan isterinya ke dada. Jemari runcing itu dikucup lembut. "Su, abang tak akan tinggalkan Su. Abang sayangkan Su. Abang cintakan Su. Kalau ada sejuta manusia macam Suhaili sekalipun, abang tetap tak akan dan tak mungkin berpaling meninggalkan Su, sebab Su nyawa abang!" dan kala itu air mata terharu mengalir ke pipinya. Suhaila memeluk erat suaminya.

Azfar mendodoi Suhaila hingga wanita itu tertidur lena dalam dakapannya. Seisi rumah mula bergerak ke ruang tidur masing-masing, melayan kantuk dan melayari mimpi indah yang terhenti seketika tadi.

*****

Di pembaringan, abah mula teringatkan Suhaili anaknya yang seorang lagi. Anaknya yang seiras Suhaila. Kembar yang punya fizikal seiras tapi perangai yang berbeza. Entah apakah yang terjadi pada anaknya yang seorang itu? Ingin bertanya pada Suhaila bagaikan menunjal sarang tebuan. Akhirnya, kantuknya berjaya memesongkan kesedarannya hingga membuatkan dirinya lena melayar bahtera.

 

 

Cerpen sebelumnya:
Seorang gadis yang tersipu malu
Cerpen selanjutnya:
M0107 - Sumpah Terlerai Sudah

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
5 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2403 bacaan
Kanibal Malaya | 2855 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4054 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 10005 bacaan
Naskah | 2257 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3479 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2806 bacaan
Tuhan itu cinta | 2785 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2841 bacaan
no title | bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

11 Komen dalam karya Serban Kasih Abah 2
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik