Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

Lebai Noh

Cerpen sebelumnya:
Kerna Syiqah
Cerpen selanjutnya:
Kerna Syiqah 2

Lebai Noh duduk di ceruk rumah, terhenjut-henjut kepalanya seiring rentak zikir yang sejak Subuh tadi tak lekang dari bibir tuanya. Sejak awal Subuh tadi cuaca sudah mendung buat Lebai Noh tak jadi turun menoreh. Hasil kecil-kecilan sebegitu mahu menampung hiduppun tak cukup, tapi Lebai Noh yakin Tuhan itu Maha Pemurah. Rezeki bukankah ada di mana-mana sahaja? Sedangkan ulat dalam batupun boleh hidup, inikan manusia yang dianugerahi dengan akal dan fikiran.

Lebai Noh khusyuk berzikir. Awan di luar rumah sudah mula memutih langsung tidak disedarinya. Kepalanya masih lagi terhenjut-henjut, begitu tawaduk menghambakan diri di hadapan Penciptanya, Tuhan di langit dan di bumi, Tuhan yang mencipta segala segalanya.

“Allah… Allah… Allah…” sesungguhnya hati tua itu begitu sayu memanggil-manggil Penciptanya. Sedang usia melanjut, hati sudah tak tertahan menahan rindu pada Tuan segala manusia. Rindu juga pada Pencinta Agama yang tersanjung, pada Rasullullah yang teragung. Lebai Noh terasa lenguh pada sendi-sendi lutut. Sudah agak lama bersila, sudah hilang kudrat kerana usia yang tua.

Lebai Noh betulkan lagi letak duduknya. Bersandar pada dinding reput pula. Lebih tenang dan lebih selesa. Badan dan kepalanya masih seiring berayun mengikut rentak zikir yang masih belum mahu berhenti, masih mendayu berlagu. Lebai Noh bagaikan terpaku dalam dunia cintanya, dunia keasyikan yang tak terhingga.

Lebai Noh cukup zuhud. Kata orang, sifatnya umpama para sahabat seangkatan dan sezaman Rasullullah. Lebai Noh umpama Abu Bakar yang setia, tidak pernah berganjak terhadap kecintaan terhadap agama Allah. Entah sudah berapa kali Lebai Noh dicerca dan dihina, di pekakkan sahaja telinga. Hatinya meyakini bahawa Allah itu lebih mendengar, lebih mengetahui kecintaannya.

“Kau nak bagi anak bini makan apa? Dari pagi sampai ke malam, tersengguk-sengguk tak hirau dunia. Kau ingat kau bagus sangat? Makanpun mahu bersuap?” Kata-kata Meon Semput diingatinya sampai sekarang. Sejak muda hingga rambut dah putih beruban, Meon Semput tak pernah kisah tentang akhirat. Jangankan mahu berzikir, bersolat setahun sekalipun liat.

Cakap-cakap orang, Lebai Noh ada membela. Lebai Noh diamkan sahaja. Beristighfar dan berdoa sahaja agar manusia-manusia yang memfitnahnya diberikan hidayah. Biar hati mereka putih boleh kenal erti syurga dan neraka. Hati sudah hitam legam sampai tak tahu jalan apa membawa dosa mahupun pahala.

Kepala Lebai Noh semakin rancak bergoyang ke kanan dan ke kiri, semakin laju, semakin khusyuk dan semakin rindu. Zikirnya bersulam tangisan, sebak yang membelengu setiap rasa dalam benak Lebai Noh hamburkan dalam bentuk tangisan. Tangisan yang bukan kerana sakit dihentam lidah-lidah tajam orang, tapi tangisan sebab rasa syukur yang membukit dan menggunung di dada. Syukur yang sampai lidah tak mampu nak luah selain zikir yang meruah-ruah.

Selama hidupnya yang dah menjangkau 60 tahun ini, tidak sekalipun dia lupa ajaran arwah datuknya. Tentang ilmu alam yang tidak diajar pada sebarang manusia, tentang gelombang minda yang punya kuasa tak terhingga. Tentang segala rahsia yang tak ternampak oleh mata kasar tapi jelas di pandangan mata hati yang tenang. Kerana itu, Lebai Noh diamkan lagi bila ada orang mengata. Mereka tidak faham, biarkan.

Agaknya, manusia lupa di bahagian otak setiap manusia itu tercipta satu bahagian kecil yang meransang nilai-nilai yang menjurus kepada kepercayaan kepada agama. Manusia mudah lupa, mudah leka, hanya akan sedar bila maut makin tiba, bila ada kengkangan dan duka. Waktu lain, manusia lebih senang bergelak ketawa, lebih senang lupa pada Tuhan daripada ingat keEsaannya. Manusia sememangnya punya dugaan yang besar untuk mengharungi nafsu dan hasutan syaitan. Kedua-duanya merupakan dugaan dan rintangan berat hingga buat manusia sesat dan alpa. Dan kedua-dua rintangan itu menjadi alasan paling munasabah yang diberi bila ada yang bertanya.

“Kenapa kau tak solat Meon Semput? Kau lupa siapa yang mencipta kau,keluarga kau, kebahagiaan kau, rezeki kau?”pernah sekali ketika zaman kanak-kanak mereka Lebai Noh bertanyakan soalan itu pada Meon Semput. Jawabnya, seketul penumbuk di muka. Seminggu tak bertegur sapa tapi cepat-cepat Lebai Noh leraikan dendam itu dengan meminta kemaafan. Lebai Noh akur, walaupun bukan salah di pihaknya mahu menegur namun silaturrahim antara seorang Islam dengan yang lain harus dijaga jangan sampai terputus. Betapa Islam itu indah, mengajar untuk menyayangi sesama makhluk.

Namun, sampai sekarang soalan itu bagaikan racun yang membuatkan Meon Semput benci pada Lebai Noh. Dah bermacam-macam cara digunakan oleh Lebai Noh untuk menghapus dendam dan melembutkan seketul hati tersebut tapi segala usaha itu bagaikan sia-sia. Meon Semput bagaikan takbur dengan rezeki pinjaman yang dikurniakan kepadanya. Dia lupa malah berani mengatakan semua kekayaannya itu adalah kerana usahanya semata. Sungguh riak dan bongkak Meon Semput. Dia lupa letak duduknya di mana sebagai hamba.

Lebai Noh teruskan berzikir memuji-muji kekuasaan Allah. Entah kenapa, sebaknya bagai meroyan di dada. Bergelora bagaikan dilanda garuda. Lebai Noh kuatkan zikir biar sampai dengar dek telinga, biar sampai hadam masuk dalam hati meresap terus dalam jiwa. Lebai Noh masih teroleng-oleng membuai tubuhnya dalam nada zikir yang beralun merdu. Makin khusyuk, makin tawadduk.

Tiba-tiba bacaan zikirnya terhenti. Laungan seseorang di beranda rumah buruknya mengganggu konsentrasinya, mengganggu khusyuknya. Lebai Noh bagaikan dipanggil-panggil juga untuk menjengah tingkap yang separuh ternganga.

“Lebai Noh, oh Lebai Noh! Assalammualaikum… Lebai Noh! Mana ke agaknya orang dalam rumah ni, sunyi sepi je. Keluar ke?” ada rungut di hujung bicara bila salam tak bersambut. Salam bersambut lambat sikit dari kebiasaannya.

“Waalaikummussalam. Ha, kamu Ayob ada apa halnye datang rumah aku pagi-pagi buta ni? Aku tak menoreh hari ini, hari mendung je macam nak hujan.  Apa ke halnye kamu datang ni? Nak tumpang motor buruk aku tu ke?” ucap Lebai Noh sambil tersenyum. Memang selalunya begitu bila bersua muka dengan Ayob. Ada saja seloroh dan gurau buat pengikat ukhwah sesama mereka.

“Ha, ada pun Lebai di rumah. Saya ingatkan dah keluar ke mana tadi. Ini ha si Meon Semput…” tergantung ayatnya di situ. Ayob memandang muka Lebai Noh bagaikan ada berita berat mahu disampaikan.

“Ada apa dengan si Meon Semput tu? Apa pula masalah yang dia buat kali ni?” ucap Lebai Noh sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Namun, Lebai Noh diam sebentar. Jauh di sudut hati dia menyesali juga tindakannya yang berburuk sangka kepada Meon Semput. Cepat-cepat Lebai Noh beristighfar, menginsafi kelemahan lidahnya itu. Lidah, tajamnya macam pisau cukur. Kalau tak dijaga itulah akibatnya.

“Meon Semput dah arwah. Pagi tadi lepas Subuh. Milah bininya si Meon Semput cakap, awal-awal Subuh Meon Semput bangun mandi, bersolat jemaah satu keluarga. Lepas solat dia bagitahu Milah, kalau sampai ajalnya panggil Lebai Noh datang uruskan. Ini yang saya datang nak menjemput ni.” Terang Ayob dari awal hingga ke akhirnya.

“Innalillahiwainnailahirajiun” Lebai Noh tercegat sejenak mendengar berita mengejut itu, namun berlahan-lahan berzikir lagi, bersyukur akhirnya di hujung umur, si Meon Semput sempat juga bertaubat. Alhamdulillah.

Dalam kereta, tubuh Lebai Noh terhenjut-henjut lagi, berzikir. Kali ini lebih khusyuk, lebih tenang, lebih bersyukur.

“Subhanallah…Subhanallah… Subhanallah…”

“Alhamdulillah… Alhamdulillah…Alhamdulillah…”

“Allah hu Akbar… Allah hu Akbar… Allah hu Akbar…”

Cerpen sebelumnya:
Kerna Syiqah
Cerpen selanjutnya:
Kerna Syiqah 2

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
8 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2365 bacaan
Kanibal Malaya | 2838 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 4041 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9985 bacaan
Naskah | 2245 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3467 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2777 bacaan
Tuhan itu cinta | 2760 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2822 bacaan
no title | bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

42 Komen dalam karya Lebai Noh
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik