Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Satira

Permintaan

Cerpen sebelumnya:
Mengena Terkena
Cerpen selanjutnya:
Berbaloikah?

KAU! Ya, kau yang sedang membaca ini. Jangan takut, aku bukan nak pukul kau guna tali cemeti atau nak sembelih kau buat lauk pembuka selera. Aku hanya nak buat satu permintaan. Permintaan yang aku rasa kau pasti boleh tunaikan. Aku tak minta duit. Jangan ingat aku ni pengemis jalanan. Aku tak minta rumah.  Banglo lima tingkat aku sudah cukup gah di mata dunia. Aku tak nak pakaian. Baju dan seluar aku sudah terlalu banyak sehingga dengan murah hati aku jadikan kain lap lantai.

Jadi, tentu kau tertanya-tanya apa yang aku minta bukan? Kalau bukan harta, rumah, dan pakaian, maka apalagi yang aku perlukan? Takkan kau tak boleh fikir? Tuhan berikan kau akal untuk berfikir maka gunakanlah sebaiknya. Perkara semudah ini jika kau tak boleh fikir, maka kau tak layak diberi akal. Makanan dan minuman? Itu jawapan kau? Muktamad? Apa, kau mahu talian hayat? Kau ingat aku sedang main-main? Talian hayat itu hanya dalam permainan ‘Who want to be a millionnaire’. Oh, kau terkilan sebab tak dapat masuk pertandingan itu? Tidak mengapa, aku faham. Itulah bahana jika kau tak gunakan akal. Nak masuk pertandingan macam tu pun kau dah kalut. Ish… ish…

Hah? Cinta? Itu jawapan kau kali ni? Huh! Ada apa dengan cinta? Cinta itu hanya sekadar hiasan. Cinta itu tidak mendatangkan kebahagiaan. Buktinya? Pernah kau lihat orang bercinta yang sentiasa bergelak ketawa? Kerat jari jika kau cakap kau pernah lihat. Mustahil orang bercinta itu sentiasa gembira. Kerana apa? Kerana cinta itu bukanlah manis bak madu tetapi juga bukan pahit bak hempedu.

Nak bukti lagi? Kau ada baca surat khabar baru-baru ini? Tak baca? Apa kau sengkek sangat tak punya duit RM 2.00 untuk beli surat khabar?  Setakat RM 2.00, apalah sangat nak dibandingkan dengan t-shirt Guess dan beg tangan Gucci yang kau beli di uptown tu.

Untuk pengetahuan kau yang kedekut nak beli surat khabar tu, baru-baru ini ada kes buang bayi. Sudahlah dibuang dalam tong sampah, kemudian dibakar pula! Itu kerana apa? Kerana cinta! Ops! Sekejap, aku tak habiskan ayat aku lagi. Jangan kau nak melenting tak tentu pasal pula. Kerana cinta yang bertuhankan nafsu. Okey, ada faham? Bagus! Jadi, cinta itu bagiku tidak cukup kuat untuk buat aku bahagia.

Kau tak nak teka lagi? Ala, mudah benar kau mengalah. Generasi sekarang tidak macam dulu. Mana perginya semangat Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau? Mereka dulu berpatah arang berkerat rotan mempertahankan nusa dan bangsa. Tidak kenakah sedikit pun tempias pada diri kau sehingga kau cepat putus asa begini?

Apa, anak-anak muda kini hanya tahu tergedik sana, tergedik sini, terkinja situ menari di pusat hiburan semata? Atau duduk bertinggung dua puluh empat jam di depan skrin LCD menonton sinetron atau gusti? Takpun, bertepuk-tampar merayau keliling kota tanpa arah? Atau melatih jari-jemari bermain permainan video yang menambahkan kadar bayaran bil elektrik di rumah? Oh, serasa mahu saja aku naik roket terbang ke planet lain yang lebih bertamadun masyarakatnya.

Jadi apa yang aku minta? Betul kau nak tahu? Atau kau sudah bosan mendengar aku berceloteh yang entah apa-apa ini? Nak dengar aku bicara lagi? Mengapa kau geleng kepala? Jangan-jangan apa yang aku katakan tepat kena batang hidung kau yang tersumbat itu? Hmm...

Sudahlah, aku juga naik muak membebel di sini. Kalau kau nak tahu apa yang aku minta, datang ke perpustakaan negara esok pagi. Di sana kau akan jumpa dengan apa yang aku mahu dan aku harap kau sendiri akan faham dengan gunakan akal kurniaan Tuhan.

Bagaimana jika kau tidak juga mahu faham? Kau korek tanah, benamkan kepala kau di dalamnya!

 

Cerpen sebelumnya:
Mengena Terkena
Cerpen selanjutnya:
Berbaloikah?

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.1
9 Penilai

Info penulis

Rizai Reeani / Ridha Reewani

Saya adalah penulis yang gemar menulis dalam genre cinta dan umum. Menulis pada saya bukanlah setakat mencoret bait-bait indah dan puitis tetapi lebih kepada menjiwai tulisan yang dikarang. Tidak kisahlah dalam kelompok arus perdana mahupun frinjan, tulislah sesuatu yang dapat menghiburkan dan dalam masa yang sama, memberi teladan. 
ridhrohzai | Jadikan ridhrohzai rakan anda | Hantar Mesej kepada ridhrohzai

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya ridhrohzai
Melodi Cinta | 6207 bacaan
Cinta Yang Terlewat | 4298 bacaan
PCB#2: Aku dan Bro Ramu | 2483 bacaan
Biskut Kelapa Manis | 3480 bacaan
Surat buat Cikgu | 7484 bacaan
Pusaka | 2846 bacaan
Luruhnya Dedaun Rindu | 3351 bacaan
Terima Kasih Cinta | 4586 bacaan
Menggapai Mimpi | 3985 bacaan
Pungguk, Pelangi dan Ombak | 4938 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

19 Komen dalam karya Permintaan
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik